Riana keluar daripada mahkamah syariah dengan ditemani oleh Adya dan Puan Sarah, ibu Riana. Riana yang mengenakan pakaian serba hitam itu berjalan menuju ke keretanya.
Cuaca panas terik ketika itu. Namun dalam hatinya ribut kuat sedang melanda. Akhirnya, hari ini dia dan Faiq telah pun sah bercerai talak satu. Perkahwinan selamat setahun lebih akhirnya berakhir di hari ini.
Tipulah jika dia kata dia tidak kecewa dengan perpisahan ini. Tiada siapa yang menginginkan perpisahan dalam sesuatu perkahwinan. Semuanya inginkan hubungan yang berkekalan.
Namun, dia terpaksa memilih jalan ini kerana dia tidak sanggup lagi untuk bersama Faiq dan terus menyakiti hati isteri pertama Faiq. Dia juga wanita, dia faham bagaimana sakitnya bila diduakan. Jadi, baginya inilah jalan yang terbaik setelah dia memohon doa petunjuk serta melakukan solat istikharah beberapa malam.
Dia redha andai tiada jodohnya dengan Faiq. Biarlah semuanya menjadi kenangan yang terindah dalam hidupnya. "Riana!". Panggil seseorang dari belakang.
Saat Riana berpaling, ternyata Faiq yang memanggilnya. "Riana, abang nak minta maaf sebab abang tak mampu jadi suami terbaik untuk awak. Apa pun jadi, Riana akan tetap dalam hati abang". Ucap Faiq yang berdiri berhadapan dengan Riana.
Riana menguntum senyum nipis. "Saya dah maafkan semuanya. Saya pun nak minta maaf sebab saya dah gagal jadi isteri terbaik untuk awak. Mohon halalkan segala makan minum, perbuatan saya selama saya menjadi isteri awak ya?". Ucap Riana.
"Riana, apapun jadi awak tetap dalam hati abang ya?". Ucap Faiq mengulang semula kata-katanya. Riana hanya mengetap bibirnya cuba menahan tangis.
"Saya minta diri dulu, assalamualaikum". Ucap Riana lantas berlalu pergi menuju ke keretanya. Faiq hanya menghantar Riana dengan pandangan matanya.
Dia cuba untuk berjuang mempertahankan hubungannya dengan Riana, namun pada akhirnya putus jua. Dia sendiri masih lagi tidak percaya yang dia telah pun menceraikan Riana.
Dia melepaskan nafas berat. Cuma mengikhlaskan kepergian Riana demi mencari bahagianya walaupun dia terlalu sayangkan Riana. Sekarang, fokusnya adalah Farah. Farahlah satu-satunya isteri yang dia miliki.
Sehingga kini dia masih lagi cuba memujuk hati Farah yang membeku itu. Dia berusaha untuk membasuh luka di hati Farah. Walaupun masih belum menunjukkan hasilnya namun sekurang-kurangnya dia berusaha.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Mellina perlahan-lahan mendaki tangga di flatnya. Waktu itu sudah pun lewat malam. Sudah beberapa minggu juga dia tidak bertemu dengan Daim. Telefon tak berangkat, WhatsApp pun tidak berbalas.
Mellina ada juga beberapa kali datang ke office Daim, namun Daim enggan untuk bertemu dengannya, malahan dihalau oleh PAnya Daim atas arahannya. Entah bagaimana lagi dia hendak memujuk Daim.
Mellina melihat persekitaran tangga flatnya. Dia sudah bosan hidup miskin. Dia sudah jemu melihat keadaan yang sama sejak kecil. Disebabkan keadaannya ini membuatkan hubungannya dengan Daim kini hancur.
Andai saja dia terlahir dari keluarga yang kaya raya, sudah tentu Daim tidak akan memperlakukannya sebegini. Baru saja Mellina hendak mendaki tangga lagi, dia berselisih dengan Pak Saad yang hendak turun.
"Hai...Mellina. Lambat balik hari ni?". Sapa Pak Saad. Mellina sekadar menjeling. "Kalau saya balik lambat pun kenapa? Ada saya kacau Pak Saad ke?". Soal Mellina sarkastik.
Pak Saad menggeleng-gelengkan kepala mendengar jawapan Mellina itu. Entah hilang ke mana adab anak muda itu. "Mellina, Pak Saad sekadar menegur saja. Lagi pun tak elok anak dara balik lewat malam macam ni. Mak Mellina mesti risau dekat rumah tu". Nasihat Pak Saad.
"Mak risau? Memang taklah! Dia langsung tak kisah pasal saya pun, Pak Saad. Lagi pun biar jelah saya nak balik awal ke, lambat ke, tak kacau hidup Pak Saad pun kan?". Jawab Mellina panjang lebar.
"Jangan cakap macam tu. Mak Mellina tu sayang sangat dengan Mellina. Mungkin dia jarang berlembut dengan kamu tapi dia sayangkan kamu. Kamu je yang dia ada kat dunia, Mellina". Pak Saad tidak berputus asa untuk menasihati Mellina yang keras hati itu.
"Heh sayang konon! Kalau dia sayang saya, dia takkan biarkan saya hidup susahlah, Pak Saad. Dari lahir sampai sekarang hidup saya tak pernah senang! Asyik menderita aje. Saya dah bosan tau tak dengan hidup macam ni! Saya tak perlu pun kasih sayang dia. Kasih sayang dia tak bagi saya duit pun!". Leter Mellina.
"Eh dahlah, kenapa pulak saya layan Pak Saad ni? Buang masa saya je!". Sambung Mellina seraya berlalu pergi meninggalkan Pak Saad yang sedang menggosok dadanya sendiri. Mulutnya tidak berhenti mengucap. Tersentak dia mendengar jawapan berani Mellina itu.
Sebenci itukah dia dengan ibu kandungnya sendiri? Padahal dia sendiri selalu mendengar luahan hati Puan Haida yang menyayangi Mellina, anak semata wayangnya itu.
Puan Haida sudah tidak mempunyai sesiapa lagi di muka bumi ini, hanya Mellina yang dia ada. Namun Mellina pula begitu. Tidak pernah sekali pun mesra terhadap ibunya atau hormat dengan ibunya itu.
Pak Saad berdoa supaya suatu hari nanti, Mellina akan berubah dan dapat jadi anak yang solehah kepada Puan Haida. Amiin...
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Faiz menjemput ibu bapanya untuk datang ke rumah Farah. Akhirnya hari ini mereka bersedia untuk berjumpa dengan Farah setelah sekian lamanya Farah menjadi menantu rahsia mereka.
"Assalamualaikum, kak!". Ucap Faiz dia hadapan pagar rumah Farah. Tidak lama kemudian, Farah keluar untuk mengintai siapa yang datang ke rumahnya tengah hari itu.
"Waalaikumusalam". Jawab Farah. Dia seperti teragak-agak untuk keluar tatkala melihat ibu bapa Faiq berada di situ. Dia tidak tahu hendak beri reaksi apa kepada mereka. Namun Farah gagahkan jua untuk membuka pintu pagar lantas menyalami tangan ibu mertuanya itu.
Puan Yasmin tersenyum tatkala melihat wajah Farah. Cantik orangnya, namun kehadirannya dirahsiakan oleh Faiq. "Farah, sihat apa khabar?". Soal Puan Yasmin membuka bicara.
"Alhamdulillah, Farah sihat je". Jawab Farah ringkas dengan senyuman nipis. "Jemput masuk, uncle aunty". Pelawa Farah. Mereka akhirnya masuk ke rumah.
Puan Yasmin dan Encik Syukri melihat keadaan sekeliling rumah Farah. Bersih dan teratur, tentu Farah yang mengemas semuanya. Sudahlah cantik, pengemas lagi. Kenapalah Faiq boleh mensia-siakan Farah.
"Ni jemput minum dulu ya, uncle aunty. Faiz minumlah". Pelawa Farah. Dia sempat juga untuk menghidangkan air kepada mereka. "Tak payah panggil uncle auntylah. Panggil papa, mama je. Betul tak?". Tegur Encik Syukri sambil bertanya ke Puan Yasmin. Puan Yasmin laju menganggukkan kepalanya.
"Betul tu, Farah. Farah pun kan menantu mama juga". Jawab Puan Yasmin lembut. Farah hanya tersenyum. Dalam hatinya dia tidak menyangka yang kehadirannya boleh diterima dalam keluarga Faiq. "Farah, mama minta maaf ya sebab mama dan papa datang sini secara mengejut". Ujar Puan Yasmin.
"Tak apa aunt....mama. Farah okey je". Jawab Farah ringkas. "Mana Danish?". Soal Puan Yasmin lagi. "Danish tidur, ma. Farah kejutkan dia sekejap ya". "Tak apa, Farah. Biar dia tidur. Nanti dia bangun, mama nak tengok cucu mama tu".
Jawapan Puan Yasmin itu membuatkan Farah terharu. Puan Yasmin ternyata menganggap Danish sebagai cucunya juga. "Mama minta maaf ya ambil masa yang lama untuk datang jumpa Farah. Papa dengan mama dah lama nak jumpa Farah sebenarnya, cuma kami masih perlukan masa juga". Puan Yasmin membuka bicara.
"Mama memang masih tak sangka yang Faiq sanggup sembunyikan Farah dari kami semua sedangkan Farah ni, cantik, baik orangnya". Sambung Puan Yasmin lagi. "Tak apa, ma. Farah faham. Farah pun nak berterima kasih sebab papa dan mama sudi terima Farah". Ucap Farah terharu.
"Dah tentu! Kamu isteri sah Faiq. Sudah tentu kami terima kamu sebagai menantu. Cuma kami masih kesal dengan perbuatan Faiq. Tambah kesal juga dengan perbuatan Faiq yang dulu ke kamu". Jawab Encik Syukri pula.
"Tak apa, uncle, aunty. Farah dah ikhlaskan semuanya. Farah redha. Uncle dengan aunty mampu terima Farah pun Farah dah bersyukur. Terima kasih lagi sekali, uncle aunty". Ucap Farah lagi sekali. Matanya mulai berkaca.
"Farah, Faiq ada bercerita yang kamu keguguran ya? Faiq kan puncanya?". Soal Puan Yasmin. Farah terdiam buat seketika. Bila teringat akan perkara itu, rasa benci terhadap Faiq muncul kembali. Faiq punca anaknya mati.
Farah hanya menganggukkan kepala sahaja. Tidak mampu berkata-kata lagi. "Ya Allah, tergamaknya Faiq buat macam tu. Maafkan Faiq ya, Farah?". Pinta Puan Yasmin. Farah tidak menjawab juga, sekadar mengangguk.
Sejujurnya dia belum boleh untuk memaafkan Faiq atas kesilapannya yang itu. Habya kerana mengikuti emosinya, anak dalam kandungannya pula menjadi sasaran. Tak semudah itu untuk memaafkan Faiq.
"Akak, Faiz juga nak minta maaf. Faiz punca semua ni jadi. Kalaulah masa tu, Faiz tak ikut rasa geram ke abang...". Faiz pula bersuara memecah kesunyian. "Tak apa Faiz. Akak dah maafkan semua. Bukan salah Faiz pun". Jawab Farah. "Kalau Faiz tak cerita, sampai bila pun kami tak tahu rahsia besar Faiq ni". Ujar Encik Syukri kesal.
"Farah ada ibu bapa lagi?". Soal Puan Yasmin menukar topik perbualan. "Tak ada dah, mama. Farah anak yatim piatu. Farah ada sorang mak saudara je kat sini". Jawab Farah sendu. "Maafkan mama ya sebab bertanya. Allahuakbar, kuat sungguh Farah ni hadap semua sendirian. Lama Faiq rahsiakan Farah dari kami semua". Jawab Puan Yasmin kesal.
"Farah tau kan kalau Faiq ada lagi seorang isteri?". Soal Puan Yasmin berhati-hati. "Tahu". Jawab Farah ringkas. "Itu pun bukan dari mulut Faiq sendiri. Faiz yang bagitau Farah". Sambung Farah lagi.
Puan Yasmin sekadar mengucap. Kejamnya Faiq memperlakukan Farah. "Tapi dia orang dah bercerai minggu lepas, kak". Celah Faiz pula membiatkan Farah tersentak. "Cerai? Kenapa?". Soal Farah terkejut.
"Entah. Akak sepatutnya bersyukur sebab dah tak ada lagi orang ketiga dalam hubungan akak dengan Faiq lagi". Jawab Faiz lagi. "Jangan cakap macam tu, Faiz. Abang kamu punca semua ni". Tegah Puan Yasmin.
Dia tidak suka Faiz sering memburuk-burukkan Riana seolah-olah Rianalah perosak rumah tangga Faiq dan Farah. Dia yakin, andai Riana tahu hal sebenar sejak awal lagi, Riana pun tidak mahu meneruskan hubungannya dengan Faiq lagi.
Farah hanya menunduk. Tidak menyangka yang Faiq telah pun bercerai dengan isteri keduanya itu. Dia tidak tahu perasaannya tika ini. Gembira? Sedih? Lega?
"Nanti kalau ada masa lapang, Farah bawa papa dengan mama jumpa mak saudara Farah ya?". Pinta Puan Yasmin. "Boleh je. Tapi mak saudara duduk kat kampunglah". "Tak apa Farah. Kami okey je". Jawab Puan Yasmin seraya tersenyum.
Farah juga turut tersenyum ringkas namun dalam fikirannya dia memikirkan mengenai penceraian Faiq dan Riana. Sejujurnya selepas peristiwa itu, Farah sering mendesak Faiq untuk menceraikannya tetapi Faiq malah menceraikan Riana pula.
Adakah ini petanda Faiq akan benar-benar berubah? Ini bermakna Faiq akan menjadi suami yang terbaik buat Farah?
Share this novel