Riana Suffiyah menyematkan pin tudung berbentuk riben kecil di kain tudung pada bahagian bahunya. Dia membetulkan sedikit 'awning' tudungnya supaya kelihatan lebih kemas. Dia mengenakan blaus berona putih dan dipadankan dengan seluar 'slack' berona kelabu gelap serta padanan tudung bawal berona 'cream'.
Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia menyandang begnya dan bergegas keluar dari biliknya. Pagi isnin mungkin membuatkan orang lain kurang bersemangat untuk bekerja setelah cuti dua hari ataupun satu hari setengah. Tetapi berbeza dengan Riana yang hampir setiap hari, dia bersemangat sahaja untuk ke tempat kerja.
Sampaikan kawan baiknya merangkap teman serumahnya juga, Adya pernah mengusiknya yang Faiq akan cemburu dengan sikap Riana yg terlalu 'workaholic' itu.
Oh ya! Faiq itu adalah tunang kepada Riana. Mereka sudah bertunang sejak enam bulan yang lalu dan bakal menikah dalam tempoh dua bulan lagi. Faiq Ilman, seseorang yang begitu istimewa di hati Riana. Mereka saling mengenali sejak berada di universiti ketika menyambung ijazah.
Faiq merupakan seniornya pada waktu itu, tetapi Faiq mengulang kertas semula, jadinya dia habis belajar sama-sama dengan Riana. Riana ingat lagi bagaimana terjadinya perkenalan mereka. Semuanya kerana Faiq tanpa sengaja terambil buku teks Riana ketika berada di dewan kuliah.
Kisahnya, selepas habis kelas, Riana segera bergegas untuk ke kafetaria. Tetapi disebabkan dia tidak memandang depan, akhirnya dia berlanggar dengan Faiq di muka pintu dewan kuliah. Pada ketika itu, buku teks yang dibawa Riana dia tangannya terlepas lalu jatuh. Begitu juga yang terjadi kepada Faiq. Buku teksnya juga jatuh.
Disebabkan mereka terlalu panik, mereka tidak perasan buku teks yang diambil sudah salah iaitu Faiq terambil buku teks milik Riana, begitu juga dengan Riana.
Namun sampai sahaja di kafetaria Riana baru menyedari yang buku teks itu bukan miliknya kerana itu adalah buku teks bagi subjek Geografi yang mana itu bukanlah jurusannya.
Riana cuba membelek muka surat pertama buku tersebut. Faiq Ilman, itulah nama yang tertera di bahagian atas muka surat pertama itu. Riana cuba mengingat kembali bagaimana dia boleh terambil buku milik Faiq.
Akhirnya Riana terjumpa dengan Faiq dan mereka saling memulangkan buku masing-masing. Sejak daripada itu, Faiq dan Riana menjadi akrab sehinggalah mereka menjalin hubungan yang istimewa.
Riana menuruni tangga rumah teres dua tingkat yang disewa olehnya dan seorang lagi rakan perempuannya iaitu, Adya.
Adya tidak sama tempat kerja dengannya, namun jarak pejabat mereka juga tidaklah jauh, hanya berbeza blok sahaja. Oleh sebab itu, Adya memang akan ke tempat kerja dengan menumpang kereta Riana sekali. Duit minyak juga tidak lupa diberikan kepada Riana pada setiap bulan.
Ambil lesen? Bagi Adya itu semua leceh. Dia lebih gemar menumpang kereta Riana dan jika cuti, dia lebih memilih untuk menaiki pengangkutan awam untuk berjalan.
"Amboi bukan main lagi naik seri bakal pengantin kita ni". Puji Adya tatkala melihat Riana turun dari tangga dan berjalan ke dapur. Riana hanya tersenyum nipis dan mengambil sekeping roti lantas disuap ke mulutnya. Sambil menyuap roti, dia mencicipi juga kopi hasil air tangan Adya. Adya memang rajin bab masuk dapur ni. Kalau terlebih rajin, dia terkadang menyediakan nasi goreng, mee goreng atau makanan berat lainnya untuk dijadikan sebagai sarapan pagi.
"Hmm kawan aku sorang ni kalau buat kopi, tak pernah tak sedap. Kau letak apa ek?". Soal Riana mengusik Adya. "Letak air dijampi biar kau berkekalan dengan Faiq tu". Balas Adya sambil tertawa.
"Eh jomlah gerak. Lambat nanti, jem pulak jalan tu". Ajak Riana sambil mengerling jam di pergelangan tangannya. Adya hanya mengangguk lantas mengambil beg tangannya yang diletakkan di sofa ruang tamu tersebut.
Tanpa berlengah Riana segera menghidupkan enjin kereta Myvi miliknya dan dengan penuh berhati-hati dia keluar daripada perkarangan rumah tersebut lantas laju meluncur membelah jalan raya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Daim Emiir memberhentikan kereta Porshe Cayenne miliknya di hadapan sebuah rumah agam tingkat 4 itu. Di sebelahnya pula, ada kekasihnya yakni Mellina. Rumah tersebut adalah milik keluarga Mellina.
Langit semakin gelap. Jam juga sudah menunjukkan pukul 12 tengahmalam. "Thank you for dinner tadi, sayang". Ucap Mellina sambil tangannya membelai pipi Daim yang putih mulus itu.
"Anything for you sayang". Jawab Daim sambil tangannya mengusap lembut rambut Mellina. Matanya tidak lepas dari memandang wajah Mellina yang putih bersih tanpa sebarang cela, rambutnya pula yang panjang separas bahu dilepaskan begitu sahaja. Badannya yang tidak terlalu kurus dan juga tidak terlalu gemuk dipadankan dengan 'dress' separas lutut berona hitam.
Daim mengeluarkan sesuatu daripada kocek seluar 'slack' nya. Dia mengeluarkan sebuah kotak cincin lalu dibuka di hadapan Mellina.
"Sayang, kita dah lama kenal. Almost a year right? I memang dari awal yakin, youlah yang paling sesuai dan terbaik untuk jadi my angel. I sayang you sangat". Luah Daim.
"So malam ni I nak jadikan you my angel forever. Will you marry me?". Sambungnya lagi. Mellina terdiam. Wajahnya sedikit terkejut namun cuba disorok perasaan itu. Jantungnya juga berdebar laju.
Dia tidak menyangka Daim akan serius hingga ke tahap ini. Perkenalan mereka memang sudah memasuki 1 tahun. Tetapi bagi Mellina ini semua terlalu awal untuknya. Dia baru sahaja berusia 23 tahun, masakan sudah harus berkahwin? Tambahan pula jarak usianya sedikit jauh daripada Daim yakni, 5 tahun.
"Sayang, first of all I nak cakap yang I memang terharu dengan semua ni, tapi as you know, I baru 23 tahun and my parents memang tak bagi I berkahwin dalam masa terdekat ni". Dengan penuh berhati-hati Mellina mengatur bicara supaya Daim tidak terasa hati.
"But why? Sekarang pun ramai kan yang kahwin muda. Tak salah kan? Lagipun you nak tunggu bila? Setahun? Dua tahun lagi?". Jawab Daim dalam nada kecewa.
"Bukan macam tu maksud I. I cuma taknak kecewakan family I. You pun tahu kan, family I nak serahkan bussiness dia orang ke I. Jadi I kena urus bussiness family I dulu. Tapi, I tetap nak kahwin dengan you, just not now". Sambung Mellina lagi. Dia serba salah sebenarnya namun dia terpaksa.
Daim mengeluh perlahan sambil menutup semula kotak cincin tadi. Wajahnya terlihat kesal dengan pernyataan Mellina tadi. Dia faham dengan keadaan Mellina itu, namun bagaimana dengan hatinya?
"It's okay, I faham. I akan tunggu you selama mana pun itu". Jawab Daim setelah berdiam untuk beberapa saat. Mellina tersenyum kembali. Dia tahu Daim itu mudah mengalah apabila berhadapan dengan dirinya.
"Thank you again, Daim. I masuk dululah. You drive safe okay?". Ucap Mellina sambil tersenyum nipis. Dia segera turun dari kereta milik Daim tatkala lelaki itu menganggukkan kepalanya.
Mellina hanya berdiri sahaja di hadapan pintu pagar rumah agam itu sementara menunggu kereta Daim bergerak meninggalkannya. Memang itu yang dikehendaki oleh Mellina apabila Daim menghantarnya pulang. Jika Daim tidak mengikutinya, Mellina mengugutnya untuk meminta putus.
Apabila kereta Daim sudah hilang dari pandangannya, Mellina memandang sekejap ke arah rumah agam di belakangnya itu. Dia melepaskan keluhan kecil. Andai sahaja rumah agam ini memang miliknya ....
Mellina membuka langkah kakinya dalam kegelapan malam itu menuju ke arah beberapa blok flat yang berada tidak jauh daripada rumah agam tersebut. Inilah sebenarnya mengapa dia meminta agar Daim menghantarnya di hadapan rumah banglo tersebut sahaja.
Rahsia yang disimpan kemas sejak awal perkenalan dengan Daim mungkin akan kekal begitu. Mellina hanyalah seorang gadis biasa yang tidak mempunyai latar belakang perniagaan jauh sekali mempunyai keluarga yang berharta seperti yang dikatakan kepada Daim.
Dia tinggal di rumah flat tersebut berdua dengan ibunya yakni, Puan Haida. Ibunya telah bercerai dengan bapanya sejak 10 tahun yang lalu dan terus menghilangkan diri sehingga sekarang. Ibunya hanya bekerja di pasar pagi di kawasan rumah itu di gerai sayur.
Mellina mengeluh kecil. Bukan niatnya untuk menipu Daim tentang keadaan sebenar dirinya kerana dia yakin Daim tidak akan menerima dirinya sekiranya dia jujur tentang hal ini. Dia kenal benar bagaimana sikap Daim yang membenci orang yang tidak sama taraf dengannya.
Tujuan dia mendekati Daim ini pun sebenarnya untuk menyenangkan hidupnya. Dia yakin apabila dia bernikah dengan Daim, kehidupannya bakal terjamin, tidaklah seperti sekarang, perlu bersusah payah bekerja bagi menyara hidupnya.
Mellina menekan butang lif di blok flat 8 tingkat itu. Apabila pintu lif terbuka dia segera masuk dan tangannya menekan butang 5. Sekejap saja dia telah tiba di tingkat 5 dan dia terus melangkahkan kakinya menuju ke rumahnya yang tidak jauh daripada lif.
Sebaik sahaja dia membuka pintu, yang dia lihat hanyalah kegelapan. Dia yakin ibunya pasti telah tidur memandangkan jam pun sudah menghampiri jam 1 pagi.
"Baru ingat nak balik rumah?". Tiba-tiba dia terdengar suara ibunya di belakangnya. Mellina mengetap bibirnya dan cuba membuat muka selamba di hadapan ibunya. Ingat, jangan sesekali tunjuk rasa takut hadapan ibunya itu.
Mellina hanya diam sahaja tanpa respon dan berniat hendak terus masuk ke biliknya tanpa menghiraukan ibunya yang berdiri di hadapan bilik tidur.
"Kau ni apa nak jadi, Mel? Tengah malam baru nak balik. Keluar dengan lelaki pulak tu. Apa orang kata nanti?". Soal Puan Haida apabila Mellina hanya membisu. "Kenapa Mel nak kisah apa orang kata? Ada ke Mel minta duit dia orang? Tak ada kan? So??". Mellina menjawab dengan penuh berani.
"Kalau dah gatal sangat nak berlaki tu, kau kahwin jelah dengan dia tu. Apa susah? Tak adalah korang ke hulur hilir buat dosa aje". bebel Puan Haida. "Apa pulak mak ni cakap pasal kahwin? Eh dahlah mak, Mel ni penat tau. Dari pagi kerja, balik malam, mak pulak membebel entah apa-apa". Jawab Mellina sambil dia terus masuk ke biliknya dan menghempas pintu biliknya.
Mendongkol hatinya apabila Puan Haida disifatkan masuk campur dalam hal peribadinya. "Ha eloklah tu, masuk bilik terus hempas pintu masa orang tua bercakap. Memang tak beradab langsunglah kau ni!". Puan Haida meneruskan bebelannya sambil dia juga turut masuk ke biliknya. Kalau dilayan terus perangai anaknya tu memang boleh mati awal agaknya dia.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Riana meletakkan sudu dan garfunya di atas pinggannya seusai makan. Dia mengelap mulutnya sebelum meneguk jus oren di gelas tersebut.
"Sedap tak?". Soal Faiq yang duduk berhadapan dengannya itu. Riana hanya mengangguk sambil tersenyum nipis. "Mestilah sedap, lagi-lagi makan dengan cinta hati saya ni". Jawab Riana ceria. Mereka memang sudah merancang untuk makan tengahari bersama pada hari itu.
"Awak, saya tak sabarlah nak tunggu hari kita menikah nanti. Mesti indah hari tu". Ujar Faiq sambil membayangkan majlis pernikahan mereka yang berbaki lagi 1 bulan. "Awak ni pun, kenalah bersabar. Yang penting sekarang ni, kita kena selalu berdoa supaya majlis kita nanti dilancarkan dan dipermudahkan segalanya, amin". Jawab Riana.
Persiapan untuk majlis mereka telah siap hampir 90%. Majlis akad nikah akan diadakan di sebuah masjid berhampiran dengan rumah keluarga Faiq. Manakala bagi majlis bersanding, akan diadakan bagi kedua-dua belah pihak keluarga. Belah keluarga Faiq akan diadakan pada hari yang sama, manakala belah keluarga Riana diadakan seminggu selepas majlis akad nikah mereka.
"Lepas ni kita singgah pergi beli barang kahwin sikit eh wak? Nak buat touch up". Ujar Riana dan dibalas anggukan oleh Faiq. Seusai membayar makanan, mereka segera berlalu ke kedai bunga yang terletak tidak jauh daripada restoran tadi.
Riana menilik setiap bunga yang ada di situ. Nampak cantik dan segar semuanya. Dia yang sememangnya mengemari bunga-bungaan sudah pasti senang apabila berada di kedai bunga. Selepas tamat SPM dulu pun dia pernah bekerja separuh masa di kedai bunga disebabkan minatnya terhadap fauna itu.
Ketika asyik memilih bunga yang sesuai dijadikan sebagai bunga tangan, tiba-tiba sekuntum bunga mawar merah berada di hadapan mukanya. Faiq memegang bunga tersebut sambil tersengih kepadanya.
"Nah, bunga cantik untuk orang cantik". Ucap Faiq seraya tangan Riana mengambil bunga mawar tersebut. Dia sempat menghidu aroma mawar merah tersebut, wangi sekali.
"Mawar ni untuk awak sebagai tanda sayang saya pada awak. Lagi satu, saya jugak berharap cinta kita akan mewangi selamanya seperti mawar ni". Sambung Faiq lagi membuatkan Riana tersenyum lebar. Memang dasar mulut manis Faiq ni!
Tetapi itu jugalah harapan Riana terhadap perhubungan mereka berdua. Moga perhubungan ini akan berkekalan hinga ke akhirnya.
dah pernah publish sebelum ni tapi delete balik sebab nak cantikkan ayat lagi. hope u guys enjoy ;)
Share this novel