Gunung Tahan
JAUH dari pergunungan banjaran Titiwangsa, Pekan sedang berjalan seorang diri meredah hutan belantara. Kini dia sudah sampai ke banjaran Tahan, melarikan diri jauh dari perkampungan asalnya. Dia tidak mahu terus berada di banjaran Titiwangsa kerana tidak mahu menemui sesiapa pun yang dia kenali di sana. Pekan merasa sangat malu dengan keadaan dirinya sekarang. Dia tidak ingin sesiapa pun yang mengenali dirinya melihat keadaan dia sekarang. Rupa parasnya sudah tidak seperti dahulu malah sangat menakutkan. Dia terpaksa berpetualang, meninggalkan kampung halaman walaupun dia tahu tindakannya itu akan membuat ibu dan bapanya sedih. Namun dia sendiri akan lebih sedih dan kecewa jika terus berada di perkampungan Bunut Naga.
Selepas penat berjalan, akhirnya Pekan berhenti menghilangkan lelah berhampiran sebatang sungai. Pekan yang kehausan terus meneguk air dari sungai tersebut sehingga puas. Dia kemudiannya menyandarkan belakang badannya pada sebatang pokok yang besar di tebing sungai. Perutnya terasa kembung, penuh terisi dengan air yang diteguknya sebentar tadi. Matanya mula terasa kuyu akibat keletihan.
Pekan kemudian menjengah kembali kepalanya ke tebing sungai dan membasuh mukanya beberapa kali menggunakan air sungai tersebut. Dari permukaan air sungai, Pekan dapat melihat pantulan bayangan wajahnya yang sudah berubah dan terlihat hodoh sekali. Dirinya kini sudah seperti sebatang pokok. Kerana tidak dapat menahan rasa sebak dan sedih dengan perubahan dirinya, Pekan menangis teresak-esak sambil menekapkan mukanya ke kedua lutut yang dirapatkan.
“Pekan..” Suara Melur tiba-tiba tertangkap pada pendengaran Pekan. Pekan menjadi terkejut apabila mendengar suara adik kembarnya, Melur sedang memanggil namanya. Dia tercari-cari kehadiran kelibat adiknya itu.
“Melur.. Kau kah itu?” Pekan mula bertanya walaupun dia tidak melihat kehadiran adiknya disitu. Dia yakin suara Melur tadi bukan khayalannya semata. Suara Melur itu jelas kedengaran di telinganya. Kemudian, tiba-tiba Melur muncul dari belakang pokok yang menjadi tempat Pekan bersandar dan dia mendatangi rapat kembarnya itu.
“Pekan..” Melur menyapa abang kembarnya sekali lagi.
“Melur.. Benarkah kau Melur adikku? Kenapa denganmu Melur?” Pekan segera menatap kembarnya itu sambil meletakkan tapak tangannya di pipi Melur. Pekan begitu terkejut melihat wajah Melur juga turut berubah menjadi jelik kerana dipenuhi parut luka dan menggeleber kesan melecur. Tangan Pekan mengelus pipi adiknya itu dengan penuh kasih.
“Pekan.. Aku faham perasaanmu.. Aku juga sama denganmu sekarang.. Tapi kenapa kau tinggalkan Ibu? Ibu sedih dengan pemergianmu..”
“Tapi.. Kau juga kenapa datang kemari? Kenapa kau tidak bersama Ibu saja? Bagaimana kau tahu aku berada disini Melur?”
“Aku akan sentiasa berjumpa Ibu. Cuma aku tidak mampu untuk terus bersamanya sepanjang masa.. kerana aku sekarang sudah bersama Datuk Jalit di perkampungan Nirma. Aku tidak mampu lama-lama di alam ini Pekan.. Aku cuma akan datang sesekali untuk menemuimu, ibu dan ayah. Disebabkan aku sekarang sudah berada di alam bunian, aku mampu muncul dimana-mana sahaja di alam ini. sebab itulah aku mampu ke sini mencari mu..”
“Tapi, tahu pula kau, aku berada dimana..”
“Bodoh la kau ni.. kita kan kembar. aku dan kau.. kita berada dalam kandungan ibu bersama dan kita juga membesar bersama.. darah kau dan darah aku, kita mengalirkan darah yang sama.. pastilah aku tahu bagaimana untuk mencarimu.” Melur sedikit meninggikan suaranya kerana geram dengan kata-kata Pekan. Pekan tertawa apabila mendengar kata-kata Melur yang seakan ingin merajuk.
“Tapi bagaimana dirimu boleh menjadi begini Pekan? Ketika itu aku sendiri melihat kau dibunuh oleh raksasa korbu..” Melur melanjutkan kata-katanya dengan persoalan.
“Aku.. sebenarnya ketika aku sudah mati waktu itu, ibu menggunakan kesaktiannya untuk menghidupkan aku kembali. Kau tahu kan, ibu digelar Hati Hutan kerana kesaktiannya yang menghidupkan hutan dan tumbuh-tumbuhan seperti kata nenek. Mungkin kerana kesaktian ibu dalam hal pokok-pokoklah, menjadikan aku hidup kembali seperti pokok begini..”
“Aku telah kembali ke kampung Bunut Naga untuk berjumpa Ibu.. Tapi orang-orang disana terkejut melihat wajah hodohku sekarang.. Mereka beri aku nama baru lagi..hihihi” Melur ketawa nyaring.
“Mereka beri nama baru? Ish.. jangan ketawa begitulah.. Bingit telingaku.” Pekan menegur Melur.
“Ya.. Mereka sebenarnya nak panggil aku anak Punti Kenchana.. Tapi kerana terkejut dengan wajah hodohku, mereka sebut anak punti.. anak punti.. sampai tersasul, mereka gelarkan aku puntianak.” Melur cuba mempamerkan senyuman kepada abang kembarnya walaupun hatinya agak terluka apabila mengenangkan wajah terkejut orang semasa melihatnya. Tiba-tiba perbualan mereka dua beradik itu terganggu oleh sekumpulan gajah yang sedang membuat bising ketika mandi di sungai. Pekan merasa sangat terganggu dengan bunyi bising gajah-gajah tersebut. Kerana tidak tahan dengan hingar-bingar tersebut, Pekan pun segera berjalan menuju ke arah kawanan gajah yang sedang mandi itu.
“Bukan kau saja yang sudah mempunyai kelebihan Melur.. Aku juga sudah mendapat kesaktian dari ibu.” Pekan pula tersenyum disaat berpaling ke arah Melur yang berada di belakangnya. Apabila sekumpulan gajah di situ melihat Pekan cuba menghampiri mereka, salah seekor dari mereka cuba menerpa ke arah Pekan yang dianggap sebagai pengganggu kawanan mereka yang sedang mandi. Namun sebelum gajah itu sempat mendekati Pekan, anak kepada Punta Betara itu segera meludah ke arah gajah tersebut dan gajah itu serta merta bertukar menjadi batu. Apabila melihat salah seekor dari mereka telah disumpah menjadi batu, kawanan gajah tersebut bertempiaran melarikan diri kerana ketakutan.
“Aku tidak mahu lagi orang mengenaliku sebagai Pekan dari Puak Saga. Mulai sekarang, aku akan gelarkan diriku sebagai Kelembai. Sang Kelembai..” Pekan tersengih kepada adik kembarnya yang masih berdiri di tebing sungai tersebut.
“Baiklah Pekan. Suka hati kau lah mahu gantikan namamu menjadi apa. Aku mahu kembali ke perkampungan Nirma dahulu. Nanti aku akan ke Bunut Naga pula untuk bersama ayah dan ibu.. Jumpa lagi saudaraku..”
“Kirimkan salamku kepada ibu dan ayah. ” Pekan tersenyum kepada kembarnya itu. Melur juga membalas senyuman sebelum menghaibkan dirinya dari pandangan Pekan. Pekan terus menatap tebing sungai, tempat Melur berdiri. Walaupun baru beberapa detik adiknya itu menghilang, Pekan sudah mula merasa kerinduan. Dia kemudian mendongakkan kepalanya ke atas. Cahaya matahari terlihat berbalam kerana terlindung oleh dedaunan dari pokok yang tinggi dan rendang.
“Melur.. Ayah.. Ibu.. Sungguh! Aku sayang kepada kalian...”
Perkampungan Bunut Naga
KENCHANA dan Betara berdiri di pinggiran tebing kawasan taman bunga. Mereka berdua sedang menikmati keindahan panorama dari puncak Gunung Chamah. Begitulah kebiasaan mereka suami isteri. Betara dengan penuh kasih sayang merangkul bahu Kenchana, rapat dalam pangkuannya. Kenchana pula memeluk erat pinggang suaminya itu. Kenchana terus terpesona menatap kehijauan hutan yang saujana mata memandang. Di hutan itulah dirinya membesar sendirian. Di hutan itu jugalah dia menemui Betara. Hutan itu menjadi saksi segala suka dan duka yang telah dia tempuhi. Dan di sini, tempat mereka sedang berdiri, menjadi tempat cintanya bersemi.
"Sayang.. Benarkah Kenchana ini Hati Hutan?" Kenchana bertanya kepada Betara sambil matanya masih setia memandang kehijauan hutan di hadapan matanya.
"Entahlah.. mungkin benar.. mungkin juga tidak.." Betara menjawab ringkas.
"Kenapa begitu?"
"Kisah Hati Hutan itu kan cuma dongengan.. cuma sekadar cerita dari orang dulu-dulu."
"Jadi, Betara tidak mempercayai kepercayaan leluhur tentang semangat alam?"
"Ya.. Bagiku, semua itu mengarut.. Aku tidak percayakan apa-apa semangat pun. Selama ini, aku hanya turutkan sahaja mendengar kisah kepercayaan dari orang tua." Betara berterus-terang dengan persoalan yang ditanya oleh isterinya.
"Jadi apa yang kamu percayakan sayang?" Kenchana ingin tahu isi hati Betara yang masih tersirat tentang kepercayaan.
"Aku percaya alam ini adanya Tuhan. cuma ada satu Tuhan.. Dialah yang mengatur semua kejadian alam ini. Langit dan bumi ini dibawah kekuasaanNya.. Tuhan itu sifatnya penyayang.. Maka disebabkan itulah manusia itu semua, asalnya bersifat penyayang kerana manusia juga diciptakan oleh Tuhan yang penyayang.. Hanya manusia yang dirasuk hantu sahaja yang akan bertukar sifatnya mengikut kejahatan.." Betara berkata dengan yakin sekali. Kenchana hanya terlopong mulutnya mendengar kata-kata suaminya itu.
“Tuhan seperti yang di percayai oleh bapa dan penduduk Nirma?”
“Iya.. ketika berada di Nirma dahulu, aku merasa tenang apabila mendengar mereka membacakan kitab suci yang disebut sebagai al-quran. walaupun aku tidak memahami ucapan mereka itu, namun hatiku terasa tenang dan damai.. bukankah itu keajaiban? Hanya ayat dari Tuhan sahaja yang mampu menambat hati manusia sebegitu..”
“Jika harus mempercayai Tuhan dan menolak kepercayaan terhadap semangat, lalu bagaimana dengan kesaktian yang ada pada makhluk?” Kenchana masih ingin tahu.
“Kesaktian itu adalah anugerah Tuhan kepada orang yang terpilih.. Baik buruknya kesaktian, tergantung kepada cara kita mendapatkannya dan mengendalikannya.”
“Maksudmu?”
“Seperti kesaktianmu, kau diberi anugerah oleh Tuhan yang tiada pada orang lain. Jika kau guna untuk kebaikan, maka baiklah jadilah. Jika kau guna untuk kejahatan, buruklah akibatnya. Seperti Ratu Manikmaya pula, bukankah bapa pernah beritahu, kesaktiannya di dapatkan dari memuja hantu syaitan. Perbuatannya terkutuk dan menyesatkan. Kerana itulah dia bersikap buruk dan mudah dirasuk oleh kejahatan.”
“Jadi, Betara ingin mengikut agama yang sama seperti bapa?” Kenchana mula mengubah posisi kedudukannya dengan menghadap ke arah Betara dan meletakkan tapak tangannya di dada suaminya itu. Betara langsung tersenyum sambil mengelus jari-jemari tangannya di pipi Kenchana.
“Lailahaillallah.. Muhammadurrasulullah.. Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bapa pernah ajarkan aku kalimat ini. Inilah ucapan tauhid yang akan menjaga diri dan seluruh kehidupan kita.”
“Jadi Betara sudah mengikut agama bapa? Jika bagimu agama itu penting, maka bawalah Kenchana bersama untuk beragama seperti kalian.”
“Iya.. agama itu penting dalam kehidupan kita sebagai manusia.. sama juga pentingnya cinta.. Cinta adalah anugerah terindah yang dicampakkan oleh Tuhan ke dalam hati kita. Kerana Tuhan, aku mencintaimu Kenchana..” Betara menoktahkan kata-katanya seraya mencium dahi Kenchana. Mereka kembali menikmati keindahan alam di depan mata mereka. Suasana senja ketika itu begitu indah sekali. Langit kemerahan menyelubungi alam. Dari puncak gunung itu, terlihat matahari yang sudah separa terbenam dari kejauhan. Kenchana terus tersenyum bahagia di dakapan suaminya. Ucapan Betara sebentar tadi mengingatkan Kenchana kepada kata-kata Mastika kepadanya.
“Cinta dan kasih sayang itu anugerah terindah kepada orang yang terpilih. Jika sudah mendapat anugerah itu, pergunakanlah sebaiknya. Jangan sia-siakan.”
-TAMAT-
Share this novel