Perkampungan Bunut Naga
Setelah kisah lama tersingkap, semua yang berada di gazebo terdiam. Masing-masing terpempan mendengarkan kisah di antara mereka satu sama lain. Puak bunian langsung tidak menyangka Betara itu adalah anak kepada Ulong, Naga Purba Raya Dirgantara. Pengorbanan Mastika untuk menjadi korban persembahan bagi penduduk Puak Saga di sana mengejutkan mengejutkan lebih-lebih lagi buat Betara dan Kenchana. Para manusia dari Puak Saga di situ pula amat tersentuh dengan pengorbanan Mulya yang meruntun jiwa. Kisah kelahiran Kenchana dan ketaksuban neneknya terhadap kuasa kesaktian sehingga sanggup untuk membunuh cucunya sendiri dianggap satu kegilaan yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras.
"Sungguh tak kusangka.. Ratu Manikmaya sebenarnya nenek kepada Kenchana sendiri.." Ruwai Damar menghembuskan sebuah nafas kesal. Langsung mereka tidak menyangka, orang yang mereka lawan untuk melindungi Kenchana sepuluh tahun lalu adalah nenek Kenchana sendiri. Kerana rakus akan kekuasaan dan keabadian, seorang nenek rela untuk membunuh darah dagingnya sendiri.
"Aku sendiri kesal dengan apa yang telah berlaku.. Aku minta maaf kerana sudah menyusahkan kalian dan menyebabkan kematian yang banyak dari kalian disebabkan oleh Kenchana.." Penghulu Jalit menundukkan wajahnya.
"Tidak usah minta maaf.. Kami mempertahankan Kenchana kerana dia juga sudah menjadi sebahagian dari kami.. Bahkan kami patut berterima kasih kepadamu kerana Kenchana disini, dia sudah memberikan kami zuriat yang akan meneruskan kelangsungan puak kami.." Punta Damar bijak mengambil hati Penghulu Jalit. Mereka pada masa yang bersamaan terus memandang ke arah Pekan dan Melur yang sudah tertidur disudut gazebo. Anak-anak itu sepertinya tidak memahami dan tidak mempedulikan kisah asal-usul kedua ibu bapa mereka yang diceritakan kembali oleh datuk dan nenek mereka. Penceritaan dari Penghulu Jalit dan Mastika sejak dari tadi seakan membosankan bagi kembar tersebut.
"Tapi.. Kenapa dikatakan Kenchana mempunyai kesaktian?" Kenchana pula bertanyakan soalan kerana bingung dengan cerita yang disampaikan oleh mereka tadi. Kenchana langsung tidak tahu apa-apa hal yang sakti mengenai dirinya. Penghulu Jalit dan semua yang berada disitu turut terkejut dengan pertanyaan Kenchana itu dan mereka sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada Kenchana kerana mereka sendiri tidak pernah menyaksikan apa-apa kesaktian dari diri wanita itu.
"Kamu itu benar-benar sakti Kenchana.. Kamu adalah Hati Hutan yang dikatakan dalam lagenda.." Mastika tersenyum dan mengusap kepala Kenchana.
"Hati Hutan? Apa maksud ibu?" Kenchana bertambah hairan dengan gelaran yang diberikan oleh Ibu mertuanya itu.
"Apa kamu sudah menyaksikan kesaktian Kenchana?" Penghulu Jalit bersemangat bertanya kepada Mastika. Mastika terus tersenyum dan menganggukkan kepalanya.
"Aku tidak tahu dengan pasti setakat mana kemampuan sakti Kenchana.. Tapi sepuluh tahun lalu, Aku yakin Kenchana sendiri tidak menyedari apa yang sudah dia lakukan.."
"Apa yang telah Kenchana lakukan Ibu?" Betara pula mencelah.
"Selepas pertempuran kalian di Ulu Sepat sepuluh tahun lalu, ramai dari kita yang tercedera.. Kami juga ke sana untuk membantu pencarian mereka yang cedera dan meninggal dunia ketika itu.. Tapi kerana tidak menemukan keberadaan Betara, Kenchana yang hilang kesedaran telah mengeluarkan kesaktian yang tidak pernah kami saksikan.. Hutan yang musnah setelah menjadi medan pertempuran kalian itu dihidupkan kembali oleh Kenchana. Pokok-pokok tumbuh dan membesar sekelip mata. Mereka yang cedera di situ juga tiba-tiba kembali sembuh serta merta.. Sungguh..itu adalah kesaktian yang besar sekali.." Mastika bercerita kembali apa yang telah berlaku dengan panjang lebar.
Kenchana yang mendengar kisah dari Mastika itu terpinga-pinga kerana langsung tidak tahu apa yang sudah dia lakukan. Benar dugaan Mastika, Kenchana pada waktu itu sudah hilang kesedarannya. Namun orang lain yang mendengar penjelasan Mastika itu semuanya terlopong dan merasa takjub dengan kesaktian Kenchana yang diceritakan. Cuma Ruwai Damar sahaja yang terlihat tenang, mungkin kerana dia sudah mengetahui awal kejadian tersebut yang diceritakan lebih awal oleh Mastika kepadanya. Sepuluh tahun lalu, beberapa orang yang pulang dari medan pertarungan juga terlihat sangat taksub menyembah Kenchana kerana dikatakan mempunyai daulat sebagai Punti Puak Saga.
"Benarkah apa yang Ibu katakan tentang Kenchana pada sepuluh tahun lalu? Kenchana masih inginkan kepastian.
"Kenchana rasa Ibu berbohong?" Mastika bertanya kembali. Kenchana terus menggelengkan kepalanya. Dia bukan ingin mengatakan ibu mertuanya itu berbohong, tetapi Kenchana sendiri seakan tidak percaya apa yang sudah dia lakukan. Ingatan sebegitu langsung tiada dalam memorinya.
"Lalu.. Kenapa Ibu katakan Kenchana sebagai Hati Hutan dalam lagenda? Apa kisah disebalik Hati Hutan itu?" Kenchana masih terus bertanya.
"Hmm.. Nenek moyang kami Puak Saga mempunyai kepercayaan.. Alam ini ada penjaganya masing-masing. Gunung, Sungai, Langit, Hutan ini semua ada penjaganya.. Semangat Gunung, Semangat Langit, Semangat Angin.. semua itu akan berikan bencana jika semangat itu marah. Gunung akan bergoncang jika semangat gunung marah.. Ribut melanda jika semangat angin marah.. Sungai akan mengering jika semangat sungai marah.. Jadi untuk mengelakkan bencana, kita perlu lakukan upacara dan penyembahan kepada semangat itu semua. Namun dalam kepercayaan itu, ada lagenda mengatakan, cuma ada satu semangat yang tidak membawa bencana tapi semangat itu sifatnya menjaga, memelihara dan memberi kehidupan dan kesembuhan.. semangat itu adalah semangat hutan.. dan kerana sifatnya yang membawa kebaikan, semangat hutan itu juga digelar Hati Hutan.. Dari kesaktian yang Kenchana miliki, semuanya sama dengan sifat Hati Hutan.." Panjang lebar lagi Mastika memberikan jawapan kepada pertanyaan Kenchana tadi.
Semua yang berada disitu terdiam mendengar kisah kepercayaan Puak Saga tersebut. Suasana menjadi sunyi seketika sebelum dipecahkan dengan suara batuk dari Ruwai Damar.
"Rasanya sudah sampai masa kami kembali ke alam kami.." Penghulu Jalit memulakan bicara kembali.
"Tidak bolehkan kalian tunggu sehingga malam ini. Kami akan mengadakan jamuan sempena kepulangan Punta Betara." Ruwai Damar cuba menahan pemergian Penghulu Jalit dan beberapa orang pengikutnya.
"Lain kali sahajalah Ruwai Damar.. penduduk Nirma memerlukan aku sekarang. Tujuan kami untuk menghantar pulang Betara dan menjelaskan cerita sebenar kepada Kenchana sudah terlaksana." Penghulu Jalit memberikan alasan. Kenchana segera menghampiri ayahnya yang tidak pernah dia temui selama ini.
"Ayah.. tak bolehkah Ayah tinggal sebentar saja lagi.. Kenchana baru kenal dengan ayah sendiri.." Kenchana cuba memujuk.
"Maafkan ayah sayang.. Ayah masih punya urusan di Nirma.. Nanti ayah akan selalu bersamamu.. Ayah juga sangat rindu kepadamu Kenchana.." Penghulu Jalit memeluk dan mencium dahi anak perempuannya itu.
"Adalah lebih baik jika Kenchana ikut kembali bersama Ayah ke alam kita.. Nendamu juga sudah tiada.. Kau sudah selamat sekarang.." Penghulu Jalit cuba memujuk Kenchana untuk kembali ke dunia asal mereka.
"Tidak Ayah.. Kenchana tidak boleh pergi dari sini.. Betara sudah kembali.. Puak Saga disini memerlukan Punta Betara untuk kembali memimpin mereka. Kenchana juga tidak boleh meninggalkan suami dan anak-anak Kenchana disini.." Kenchana memberi alasan yang kukuh untuk menolak pelawaan ayahnya itu.
"Baiklah kalau begitu.. Ayah tak mampu menyanggah kata-katamu."
"Tapi.. Ayah seringlah ke sini.. " Kenchana cuba memujuk Penghulu Jalit.
"Ya sayang.. Ayah pasti akan sering ke sini untuk melihatmu dan cucu-cucu ayah nanti." Penghulu Jalit mengukir senyuman dan membelai lembut kepala Kenchana.
"Suri.. Kau tetaplah berada di sini untuk mengawasi keselamatan Kenchana." Penghulu Jalit memandang ke arah Suri. Bapa saudara Kenchana itu cuma tersenyum dan menganggukkan kepalanya sebagai patuh pada arahan penghulunya itu.
"Kalau Suri ingin pulang ke Perkampungan Nirma pun tidak menjadi masalah.. Kami di sini pasti akan menjaga Kenchana." Betara tidak mahu membebankan Suri setelah sekian lama lelaki itu berkorban demi Kenchana.
"Biarlah dia tetap disini Betara.. Setidaknya dia sentiasa boleh melaporkan perkembangan kalian di sini kepadaku." Penghulu Jalit tetap memohon untuk Suri tetap berada di sana.
"Kalau begitu, tidak mengapalah.. Aku sendiri tidak keberatan jika Suri terus berada di sini. Bagus juga kalau dia boleh terus menjadi penghubung diantara kita. Lagi pula, kami di sini tidak tahu caranya untuk menghubungi kalian di sana."
Kenchana, Mastika dan Ruwai Damar menganggukkan kepala mereka sebagai mengiyakan kata-kata Betara itu. Memang benar, mereka tidak tahu caranya untuk menghubungi kaum bunian di Perkampungan Nirma itu. Hanya kaum bunian sahaja yang bebas berpergian diantara dua alam sedangkan manusia memerlukan izin dari kaum bunian sendiri untuk masuk ke alam mereka. Jadi keberadaan Suri memang sangat diperlukan disitu untuk menjadi penghubung antara mereka dengan kaum bunian. Walaupun Kenchana adalah dari kaum bunian, tapi Kenchana sendiri tidak tahu kewujudan alam sana apatah lagi untuk tahu cara pergi ke sana.
"Kenchana, nanti pulanglah sesekali ke tempat asalmu.. tanah kelahiranmu.." Penghulu Jalit menatap Kenchana dengan penuh kasih.
"Baiklah Ayah."
"Kami berangkat dulu.. Semoga berjumpa lagi.." Penghulu Jalit meminta diri untuk pergi seraya bangkit berdiri. Beberapa orang lelaki dari kaum bunian turut mengikuti perbuatan penghulu mereka itu. Tindakan dari penduduk Perkampungan Nirma itu disusuli juga oleh Puak Saga yang turut berdiri mengiringi tetamu mereka.
"Terima kasih sekali lagi Aku ucapkan kepada Penghulu dan kalian semua kerana sudah merawat dan menjaga Betara dengan baik." Ruwai Damar tidak melupakan budi yang dihulurkan oleh Penghulu Jalit kepada cucunya.
"Tidak apa-apa Ruwai.. Betara juga adalah anak menantuku.. Menjadi kewajipanku juga untuk merawatnya.." Penghulu Jalit memandang sambil tersenyum ke arah Betara.
"Betara, jagalah Kenchana dan cucu-cucuku dengan baik.." Penghulu Jalit sempat memberi pesanannya kepada Betara. Betara kemudiannya memandang pula ke arah Kenchana yang masih duduk disamping Penghulu Jalit. Kemudian mereka semua berjalan meninggalkan gazebo. Selepas semuanya saling bersalaman, kaum bunian yang diketuai Penghulu Jalit itu beriringan keluar dari perkarangan perkampungan Bunut Naga dan berjalan memasuki gerbang ke alam bunian yang dibuka oleh Penghulu Jalit. Kenchana menangis dan memeluk Betara apabila melihat ayah dan kaum kerabatnya akan pergi meninggalkan dirinya. Hanya Suri yang akan terus tinggal bersama Kenchana di Perkampungan Puak Saga itu. Selepas gerbang antara dua alam itu tertutup, Suri memandang ke arah Kenchana yang masih menangis di pangkuan Betara.
"Kenchana.. kerana kau sudah tahu tentang siapa sebenarnya dirimu, dan keistimewaan yang engkau miliki.. Aku fikir adalah lebih baik kau mulai melatih dirimu untuk mengawal dan menggunakan kesaktian yang ada padamu itu.." Suri memberikan sarannya.
"Tapi.. bagaimana? Kenchana tidak tahu caranya.." Kenchana menjawab dengan jujur.
"Aku juga kurang pasti tentang kesaktian milikmu.. Tapi aku akan ajar bagaimana caranya mengawal dirimu untuk berubah wujud menjadi haiwan dan cara untuk membuka gerbang ke alam bunian.. Aku fikir, itu cara yang sama untuk kau mengawal kekuatanmu itu.." Mendengar kata-kata Suri itu, Kenchana mendiamkan diri seketika.
"Tapi.. Untuk apa juga bagiku untuk menggunakan hal-hal kesaktian sebegitu?"
"Kita tidak tahu apakah Ratu Manikmaya itu benar-benar sudah mati ketika melawan Naga Purba Raya sepuluh tahun dulu.. Bagaimana jika dia masih hidup dan nanti akan kembali mengincarkan dirimu? Setidaknya, kau sendiri mampu mempertahankan dirimu dari sihir sang ratu itu.." Suri menguatkan hujahnya.
"Malah tidak rugi jika kau berjaya mengawal kuasamu itu.. Kau boleh melakukan banyak hal-hal kebaikan dengan kesaktianmu.. Jangan mempersiakan keistimewaan yang ada pada dirimu itu Kenchana." Suri melanjutkan hujahnya.
"Benar apa yang dikatakan oleh Suri itu.." Betara pula mencelah sambil melihat ke arah Kenchana untuk memberi sokongan dan keyakinan kepada isterinya.
"Kau juga Betara.. Kau juga pasti mempunyai kesaktian yang engkau sendiri tidak tahu.." Suri tersenyum melihat Betara.
"Ke..kenapa pula aku?" Betara terpinga-pinga setelah mendengar kata-kata Suri.
"Kau itu Sang Saka Purba.. Anak Naga Purba.. pasti kau juga mewarisi kesaktian Naga Purba Raya itu.." Suri tertawa setelah mengucapkan kalimatnya itu.
Betara hanya mendiamkan diri. Selama ini dia sendiri tidak menyangka kalau Naga Purba Raya Dirgantara yang sering disebut sebagai naga lagenda itu adalah ayahnya. Ibunya sendiri tidak pernah mengatakan hal tersebut selama ini dan dia juga tidak pernah tahu kisah silam dimana Ibunya itu telah menjadi korban persembahan kepada Naga Purba Raya. Dari kecil dia sering bertanya tentang ayahnya kepada Mastika, namun ibunya itu pasti akan menangis dan kemurungan setelah ditanya oleh Betara. Jadi Betara hanya mendiamkan diri dari terus menyoal tentang ayahnya kerana tidak mahu ibunya itu terus bersedih.
"Aku perlu mengubah bentuk wujudku sekarang. Berada dalam bentuk begini terlalu lama banyak menguraskan tenagaku.." Suri melanjutkan bicara. Seketika kemudian badan Suri mengalami perubahan dan mula bertukar menjadi seekor rusa putih kembali. Seketika kemudian beberapa orang lelaki dari kejauhan mendekati Perkampungan Bunut Naga. Mereka adalah pasukan pemburu yang diketuai oleh Bikas dan baru pulang dari berburu. Setelah semakin hampir, Bikas yang menyedari kehadiran Betara disitu segera berlari menuju ke arah Puntanya yang sudah hilang selama sepuluh tahun itu.
"Punta.. Kau masih hidup rupanya.." Bikas menangis kencang sambil memeluk Betara. Mereka yang berada disitu hanya tersenyum melihat Bikas yang menangis dan Betara yang menepuk-nepuk belakang Bikas untuk menenangkannya.
"Kami fikir kau sudah mati Punta.. tidak tersangka.. kau pulang juga akhirnya.." Bikas melepaskan pelukannya sambil mengesat air matanya.
"Jangan kau peluk-peluk suamiku Bikas.. " Kenchana pula memeluk Betara dan menyandarkan kepalanya ke dada Betara yang bidang. Semua yang berada disitu ketawa besar dengan gurauan Kenchana itu.
"Ayuh.. kita persiapkan jamuan yang besar sempena menyambut kepulangan Punta Betara." Ruwai Damar tersenyum kemudian memusingkan badannya menghadap ke arah Perkampungan Bunut Naga dan berjalan memasuki perkarangan kampung. Mereka semua bersorak gembira sambil melaung bersama.
"Hidup Punta Betara!"
Share this novel