32

Fantasy Completed 11833

Perkampungan Bunut Naga

KENCHANA dan Melur sedang bermain dengan pelanduk yang bernama Suja dipinggir perkampungan Bunut Naga. Disitu biasanya menjadi tempat mereka bermain dengan Suri. Namun sejak beberapa minggu ini, Suri masih tidak muncul. Entah kemana Rusa albino itu menghilang. Pekan pula sedang menahan jerat disekitar hutan disitu. Anak muda itu sungguh gemar menahan jerat menangkap haiwan kecil seperti pelanduk, kancil, ayam hutan, burung dan sebagainya. Ketika diusia sepuluh tahun dia sudah mahir memerangkap haiwan sebegitu dan hal itu amat mengembirakan Kenchana. Pada fikiran Kenchana, anak lelakinya itu pasti akan mewarisi kehebatan dan ketangkasan ayahnya, Punta Betara dalam hal berburu dan kepimpinan suatu hati nanti. Malah hanya Pekan sahaja yang akan menjadi calon Punta berikutnya menggantikan jawatan yang ditinggalkan oleh ayahnya itu.

Tidak jauh dari tempat Kenchana dan Melur, di kawasan hutan, pinggiran perkampungan Bunut Naga, Pekan baru selesai memasang jerat. Dia berdiri sambil tersenyum memandang ke arah jerat yang baru dia sediakan. Dia yakin jeratnya itu sebentar lagi akan membuahkan hasil. Setiap hari, jeratnya tidak pernah gagal memerangkap mangsanya.

"Kamu ini anak dari Bunut Naga?" Tiba-tiba suara seorang lelaki menyapa Pekan.

Pekan cuma memalingkan wajahnya ke belakang untuk melihat ke arah suara tersebut. Beberapa orang lelaki asing berdiri dibelakangnya. Pekan yang terkejut segera memusingkan badannya, menghadap para lelaki tersebut secara berdepan. Dia yang awalnya merasa sedikit gentar mula menenangkan dirinya. Dia langsung tidak mengenali sekumpulan lelaki asing tersebut, malah pakaian mereka juga terlihat aneh. Lebih memelikkan bagi Pekan, Suri si rusa putih yang selama ini dikenali olehnya sebagai teman ibunya, juga turut bersama dikalangan lelaki asing tersebut.

"Ya.. Aku.. dari Perkampungan Bunut Naga.." Teragak-agak Pekan menjawab. Dia masih musykil dengan sekumpulan lelaki di hadapannya sekarang.

"Anak siapakah kamu wahai anak muda?" Lelaki itu bertanya lagi. Lelaki seorang itu kelihatan agak berbeza dengan orang lain dikumpulan mereka itu. Cuma lelaki itu seorang sahaja yang tidak memakai pakaian putih yang terlihat cantik dan indah. Pakaian lelaki itu terbuat dari kulit haiwan.

"Apa kemahuan kalian? Dan kenapa Suri ada bersama kalian?" Pekan tidak menjawab persoalan dari lelaki tersebut tetapi dia pula yang mahukan jawapan dari mereka.

"Ya sudahlah.. Kita ke Perkampungan Bunut Naga dahulu.." Kata salah seorang lelaki berpakaian putih yang terlihat bersih.

"Tapi siapa kalian?" Pekan masih tidak berpuas hati selagi tidak mendapatkan jawapan dari mereka. Namun Suri kemudiannya terus berjalan perlahan menuju ke arah Pekan. Rusa itu menolak lembut bahu Pekan menggunakan hidungnya untuk memusingkan badan anak muda itu. Kemudian Suri menolak bahagian belakang anak muda itu untuk mendorong anak itu memajukan langkahnya. Pekan seolahnya mengerti permintaan Suri yang mahu dia kembali dan membawa kumpulan orang tersebut ke perkampungan Bunut Naga. Pekan akur dengan permintaan kumpulan orang tersebut yang ditemani Suri. Dia tahu mereka itu tidak membahayakan kerana Suri terlihat selamat semasa berada bersama mereka.

"Apakah kau ditimpa masalah dan mereka menyelamatkanmu Suri?" Pekan bertanya kepada Suri sambil berjalan dan memalingkan mukanya kepada rusa tersebut. Namun rusa albino itu hanya terus mendorong belakang Pekan untuk meneruskan perjalanan mereka. Apabila tiba dipinggir perkampungan, terlihat kelibat Kenchana dan Melur sedang ketawa bermain dengan anak pelanduk. Pekan terus berlari menuju kearah Ibu dan adik kembarnya itu.

"Ibu.. ada beberapa orang datang ke sini bersama Suri!" Pekan menjerit sambil berlari ke arah Kenchana.

Kenchana dan Melur segera memandang ke arah Pekan yang sedang berlari menghampiri mereka. Kenchana hanya tersenyum melihat ke arah anak lelakinya itu. Melur yang agak ketakutan melihat kelibat beberapa orang asing mendatangi mereka segera memeluk anak pelanduknya dan berdiri dibelakang Ibunya untuk berlindung. Kenchana kemudian melihat ke arah kumpulan orang asing tersebut. Tiba-tiba Kenchana tergamam. Kumpulan lelaki berbaju putih itu langsung dia tidak kenali tetapi salah seorang dari mereka yang tidak berpakaian putih itu sangat dikenali Kenchana. Itu adalah lelaki yang sangat di rindui oleh Kenchana selama sepuluh tahun ini. Lelaki yang dianggap sudah mati, namun kini kembali dihadapan matanya.

Kenchana tidak dapat menahan sebaknya. Air matanya tidak dapat dibendung lagi dan gugur mencurah membasahi pipinya. Kenchana menangis teresak-esak sehingga menyebabkan Pekan dan Melur memandang ke arah Ibu mereka. Mereka tidak tahu kenapa Ibu mereka menangis kencang saat ini. Kenchana yang tidak dapat menahan rindunya kepada lelaki tersebut terus berlari menerpa ke arah kumpulan lelaki itu.

"Betara!!!" Kenchana tanpa segan silu memeluk Betara dengan begitu erat sekali. Dia langsung tidak mempedulikan orang disekelilingnya. Kenchana merasa begitu tenang apabila berada didakapan Betara. Tubuh kekar yang sangat dia dambakan selama ini akhirnya berada dipelukannya.

"Kenchana tidak bermimpikan? Kamu masih hidupkan, sayang?" Kenchana sangat berharap keadaan ketika ini bukanlah mimpi sama sekali.

"Iya.. Aku masih hidup sayangku.." Betara mengusap kepala Kenchana yang masih erat memeluknya. Beberapa kali kucupan diberikan oleh Betara pada dahi dan ubun-ubun isterinya sebagai melampiaskan kerinduan. Betara sebenarnya masih tidak mengetahui kerinduan dan kesengsaraan Kenchana jauh lebih besar berbanding dirinya. Pekan dan Melur terkebil-kebil menyaksikan kejadian tersebut. Mereka belum pernah melihat ibu mereka berdakapan dengan seorang lelaki dan menangis sebegitu. Pada fikiran mereka, ayah mereka sudah lama meninggal dunia, sebelum kelahiran mereka lagi. Jadi siapakah lelaki tersebut yang tanpa segan mencium ibu mereka.

"Kenapa begitu lama sekali tinggalkan Kenchana? Kenchana rindu.. Kenchana fikir Betara sudah meninggal.." Kenchana meluahkan perasaannya. Kerinduan yang bersarang selama sepuluh tahun dihatinya akhirnya terlepas.

"Aku juga fikir akan mati ketika itu.." Betara masih mencium dahi dan kening Kenchana berkali-kali sedang tangan mereka masih tidak melepaskan rangkulan masing-masing.

"Mereka itu anak siapa? Aku tak pernah melihat mereka selama ini?" Betara bertanya kepada Kenchana sambil menunjukkan ke arah Pekan dan Melur yang masih tercengang dan kebingungan. Kenchana segera mengesat air matanya sambil tersenyum.

"Mereka.. itu anak kita sayang.. Selepas peperangan dulu, baru tahu rupanya Kenchana sudah mengandung zuriat dari benihmu. Kita mendapat anak kembar."

"Aa..anak.. Anak kita? Aa..Anakku?" Betara terkejut besar.

"Sungguh lama sekali kau pergi.. Tinggalkan Kenchana bersama anak.. sehingga sepuluh tahun.." Kenchana melentokkan kepalanya di dada Betara sambil memandang ke arah anak kembar mereka.

"Eh.. se.. sepuluh.. sepuluh tahun?? Bukankah aku cuma pergi beberapa bulan?" Betara semakin bingung. Dia bergilir-gilir memandang kearah semua orang. Kenchana juga menjadi hairan apabila mendengar percakapan Betara itu. Dia mengerutkan dahi sambil memandang wajah Betara yang kebingungan. Namun, seketika kemudian Kenchana tidak mempedulikan soal waktu yang dibangkitkan Betara itu. Dia lantas memandang ke arah anak-anaknya dan melambai memanggil kedua anaknya.

"Pekan.. Melur.. Ke sini sayang.. Ini adalah ayah kalian.."

Pekan dan Melur menghampiri Ibubapa mereka dengan penuh pertanyaan di benak. Selama ini mereka di beritahu ayah mereka, Punta Betara telah meninggal. Namun sekarang Ibu mereka mengatakan lelaki yang baru muncul itu sebagai ayah mereka. Perasaan Pekan dan Melur sekarang sukar untuk ditafsirkan, namun mereka menuruti sahaja permintaan Ibu mereka untuk mendekat.

"Sayang.. ini adalah Pekan.. dan ini pula Melur. Mereka berdua anak kita yang terlahir kembar." Kenchana memperkenalkan anak mereka kepada Betara yang masih bingung.

"Anak.. anakku sudah besar? Bagaimana mungkin? Bukankah aku cuma dirawat beberapa bulan sahaja?" Betara bertanyakan pula kepada lelaki berpakaian putih dibelakangnya.

"Hmm.. Biar aku jelaskan.. Sebenarnya perjalanan masa di sini dan di Perkampungan Nirma jauh berbeza.. Kerana disini dan disana adalah alam yang berbeza.." Lelaki itu memberi penjelasan. Lelaki itu adalah Penghulu Jalit. Ketua kepada kumpulan yang berpakaian serba putih itu.

"Alam berbeza?" Betara semakin bingung. Kenchana juga terpinga-pinga kerana tidak memahami maksud perkataan Penghulu jalit tersebut.

"Sebenarnya.. Kami dan kamu adalah berbeza.. Di dunia kamu ini, alam kami sering disebut sebagai alam ghaib. Kami adalah bangsa bunian, berbeza dengan bangsa kamu. Dunia kami terhijab dari dunia kamu ini.. kerana itu kami digelar alam ghaib.. Perjalanan masa diantara dua alam ini jauh berbeza. Sebulan di alam kami, tapi di alam kamu ini, masa sudah berlalu bertahun-tahun.. " Penghulu Jalit melanjutkan penerangannya.

"Bangsa Bunian?" Betara semakin pelik. Rupa-rupanya selama ini dia tidak tahu kumpulan manusia yang membantu dan merawatnya itu adalah bangsa bunian.

"Ya.. Kami dan kamu bukan makhluk yang sama walaupun zahirnya kita terlihat sama. Sama juga dengan Kenchana.. Dia adalah salah seorang dari kami.. Bangsa bunian.."

Betara dan Kenchana terkejut besar apabila mendengar penjelasan Penghulu Jalit itu. Seketika kemudian, Betara melihat kembali ke arah Kenchana yang masih berada dalam pelukannya. Fikir Betara, apa yang diperkatakan oleh Penghulu Jalit itu mungkin ada benarnya. Kulit Kenchana putih melepak sama seperti warna kulit kumpulan dari perkampungan Nirma tersebut. Jauh berbeza dengan penduduk dari bangsa manusia yang mendiami kawasan pergunungan tersebut yang berkulit sawo matang. Malah Pakaian Kenchana juga terlihat aneh dan berwarna putih, sama seperti mereka yang digelar bangsa bunian itu. Kerana itulah, sejak kali pertama pertemuannya dengan Kenchana, Betara sudah tertanya-tanya dari mana asal isterinya itu.

"Tapi.. bagaimana Kenchana boleh berada sendirian di sini? Kenapa tidak bersama kalian?" Betara bertanya lagi.

"Hmm..Panjang ceritanya.. Cuma aku ingin beritahu, Kenchana adalah anakku."

Betara dan Kenchana semakin terkejut. Mereka langsung tidak menyangka Kenchana sebenarnya masih mempunyai seorang ayah. Kenchana sendiri selama ini hanya mengetahui dia cuma mempunyai seorang ibu dan ibunya itu telah lama meninggal dunia. Sekarang muncul pula seorang lelaki mengatakan dia berasal dari bangsa bunian dan mengaku sebagai ayahnya. Perasaan Kenchana bercampur baur. Lidahnya kelu untuk berkata-kata dan menanyakan dengan lebih lanjut.

"Ya.. Aku adalah ayah kepada Kenchana. Aku menghantar Kenchana dan Ibunya ke dunia ini kerana ingin menyelamatkan nyawa Kenchana. Aku juga mengarahkan Suri untuk menemani Kenchana dan Ibunya selama ini. Tapi malang sekali, kami bangsa bunian tidak mampu bertahan lama di dunia ini. Kerana itulah Ibu Kenchana tidak lama usianya. Tapi dia rela korbankan dirinya demi menyelamatkan anak kami." Penghulu Jalit pula mengalirkan air mata apabila mengenangkan pengorbanan isterinya yang tercinta demi anak mereka itu. Kenchana yang tidak mampu melihat Penghulu Jalit dilanda kesedihan terus menerpa dan memeluk ayahnya itu.

"Ayah.. Kenapa lakukan semua ini? Kenapa? Dan.. Suri.. Suri itu.." Kenchana menangis dipangkuan ayahnya dan melihat ke arah Suri. Tiba-tiba mereka dikejutkan pula dengan perubahan pada diri Suri. Rusa putih itu kini bertukar menjadi seorang lelaki berpakaian putih, sama seperti kumpulan lelaki dari bangsa bunian yang lain.

"Suri.." Kenchana, Betara dan anak mereka iaitu Pekan dan Melur sungguh terkejut melihat perubahan pada diri Suri. Bagaimana seekor rusa yang mereka kenal selama ini tiba-tiba bertukar menjadi seorang manusia lelaki. Suri yang sudah berubah bentuk itu sekarang cuma tersenyum kepada mereka semua. Wajah lelaki itu ada kemiripan dengan wajah Kenchana. Mereka langsung tidak menyangka rusa albino itu sebenarnya seorang lelaki.

"Suri adalah adik lelaki kepada Ibu Kenchana. Dia adalah bapa saudara kepada Kenchana. Kerana itulah Aku mengarahkan dia untuk menjaga Kenchana dan Ibunya." Penghulu Jalit terus memberi penjelasan mengenai Suri.

"Tapi.. Bagaimana Suri boleh menjelma sebagai rusa? Kenapa tidak kekal dalam bentuk manusia?" Kenchana pula bertanya.

"Aku terpaksa menjelma sebagai rusa untuk terus bertahan hidup di alam ini Kenchana.. Seperti yang ayahmu beritahu tadi, kami bangsa bunian tidak mampu bertahan lama di alam ini jika terus kekal dalam bentuk asal kami. Kerana itulah Ibumu, Mulya meninggal dunia. Dia terpaksa mengekalkan bentuk wujudnya demi membesarkan kamu sebagai seorang Ibu. Kerana itulah juga aku mengubah wujudku dalam bentuk haiwan. Kita bangsa bunian sememangnya boleh mengubah wujud kepada haiwan jika masuk ke alam manusia ini. Untuk bertahan lama, aku mengubah wujudku ke bentuk haiwan untuk terus membantu dan mengawasi mu.." Suri pula bersuara memberi penjelasan yang panjang lebar.

"Sesekali aku akan kembali ke Perkampungan Nirma di alam bunian untuk mendapatkan bekalan makanan dan pakaian untukmu." Suri tersenyum kepada Kenchana. Kenchana kembali menangis teresak-esak apabila mengenangkan pengorbanan ramai orang untuk dirinya lebih-lebih lagi ibunya dan bapa saudaranya itu.

"Aku biasanya pulang beberapa minit sahaja ke Perkampungan Nirma. Tapi kamu disini pasti sudah beberapa hari mencari diriku. Kerana itulah aku sering hilang beberapa hari dari pandanganmu."

"Tapi kenapa kau tidak memberitahukan saja dari awal tentang dirimu kepada Kenchana?" Betara pula mencelah.

"Sudah penghulu katakan tadi.. semuanya demi keselamatan Kenchana. Aku juga terpaksa merahsiakan hal ini dari pengetahuan Kenchana sendiri agar dia tidak melakukan hal-hal yang diluar jangkaan dan membahayakan dirinya sendiri. Aku tak mahu pengorbanan Ibunya itu menjadi sia-sia." Suri terus menjelaskan keadaan sebenar kepada Betara.

"Ayuh kita masuk ke Bunut Naga dahulu.. lagipun kalian tidak boleh berlama-lama disini.." Betara memberi saran setelah tahu akan kelemahan bangsa bunian tersebut.

"Tapi.. Bagaimana Betara boleh terselamat semasa perang dulu? Bagaimana pula Betara boleh ada bersama kalian?" Kenchana pula melontarkan persoalan yang bermain difikirannya sejak dari tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience