Bab 13

Fantasy Completed 11833

MALAI bunga yang sudah siap diangkat oleh Kenchana. Dia menatap hasil kerja tangannya itu dengan tersenyum simpul. Malai bunga tersebut ingin dia hadiahkan kepada Betara yang pernah menyelamatkan dirinya sebagai tanda penghormatan dan terima kasihnya kepada lelaki tersebut. Kenchana kemudian meletakkan malai bunga yang dibuat olehnya itu. Dia kelihatan termenung dan mengelamun jauh. 

"Betara.. cintakan Kirana.." Perlahan suara Kenchana terluah dari mulutnya. Rupa-rupanya Kenchana sedang memikirkan tentang Betara dan Kirana yang diceritakan tadi oleh Mastika kepadanya. Dia langsung tidak menyangka, Betara yang dikenalinya itu agak sedikit pendiam dan jarang berbicara kerana mengalami tragedi yang menyayat hati. Dalam tidak sedar, Kenchana sebenarnya merasa sedikit cemburu kepada Kirana. Dia tidak tahu kenapa perasaannya dirasakan begitu. Padahal Kenchana langsung tidak mengenali Kirana dan wanita itu juga telah lama meninggal dunia.

"Tolong ibu.. Tolong kembalikan Betara yang dahulu.. Ibu percaya hanya Kenchana yang mampu kembalikan Betara." 

Kata-kata Mastika tadi tiba-tiba terngiang-ngiang kembali difikiran Kenchana. Kenapa Ibu angkatnya itu berkata sedemikian? Kenchana menjadi bingung apabila memikirkan kembali kata-kata Mastika tersebut. 

"Apakah ibu ingin aku menggantikan tempat Kirana? Atau aku harus menghiburkan hati Betara untuk dia kembali ceria?" Kenchana terus bermonolog.

Setelah puas berfikir, Kenchana yang tidak ingin terus membuang masa lantas berdiri dan mengambil malai bunga yang diletakkannya tadi. Dia kemudiannya terus keluar dari kediaman yang menjadi ruang peribadinya itu sambil membawa malai bunga. Matanya mencari-cari kelibat Betara. Kenchana tersenyum apabila melihat Betara sedang duduk di gazebo sambil meraut kayu. 

Sementara itu, Betara yang sedang fokus meraut kayu untuk dijadikan anak panah bagi tujuan berburunya nanti juga menyedari Kenchana sedang berjalan menghadapnya sambil membawa malai bunga di tangan. Betara tiba-tiba merasakan hatinya tersangat senang apabila dapat melihat Kenchana. Di fikirannya, sebentar lagi dia akan berbual-bual dengan Kenchana dan dia akan dapat menatap lama gadis itu secara dekat. Dia ingin sekali menghabiskan masa sehariannya bersama Kenchana. Betara yang sedang meraut kayu itu terus menumpukan pandangannya kepada kayu di tangannya sementara menunggu Kenchana menghampiri dan menyapanya. Namun selepas beberapa detik, Kenchana belum lagi sampai di hadapannya. 

Kenchana yang sedang menuju ke arah gazebo, dimana Betara sedang berada di sapa oleh Salak. Kenchana terpaksa memberhentikan langkahnya bagi memberi ruang kepada Salak yang menegurnya. Di tangan Salak juga terlihat ada satu karangan bunga yang berukuran kecil. Sekadar muat jika dijadikan kalungan kepala.

"Kamu mahu ke mana Kenchana?" Salak menyapa Kenchana.

"Tidak kemana-mana." Kenchana tersenyum melayan lelaki yang mendatanginya itu.

"Malai bunga itu untuk siapa? Adakah untukku?" Salak menghalakan jari telunjuknya ke arah malai bunga di tangan Kenchana.

"Ah.. Aku buatkan untuk orang yang sudah menyelamatkanku."

"Aku juga ada malai bunga.. " Salak menunjukkan malai bunga di tangannya. 

"Wah, cantiknya. Pandai juga kau buatkan." Kenchana cuba memuji.

"Ini.. Aku ingin hadiahkan.. untukmu.." Salak cuba meletakkan dan memakaikan malai bunga tersebut ke kepala Kenchana.

Betara yang sedang meraut kayu di gazebo tidak mendengarkan perbualan diantara Kenchana dan Salak. Tetapi dari reaksi pergerakan mereka, Betara tahu mereka sedang berbicara soal malai bunga di tangan masing-masing. Kecemburuan kini meluap-luap dihati Betara. Dia tidak dapat menahan perasaan itu dari terus mencengkam hatinya. Betara segera meletakkan kayu yang diraut untuk dijadikan anak panah itu ke lantai gazebo dan terus bangkit dan pergi dari situ. Dia tidak sanggup untuk terus melihat adegan di antara Kenchana dan Salak yang menyakitkan hatinya. Rasa cemburu itu benar-benar mengganggu jiwanya, apatah lagi apabila melihat Salak cuba menyarungkan malai bunga di kepala Kenchana. Kenchana juga pasti akan memakaikan malai bunga di tangannya kepada Salak nanti. Betara langsung tidak memalingkan wajahnya ke arah dimana Kenchana berada. Dia cuma berjalan terus meninggalkan pekarangan perkampungan tersebut. Setelah keluar dari pekarangan kampung, Betara membelokkan haluannya.

Sementara itu, Kenchana menolak untuk menerima malai bunga pemberian Salak. Dia mengalihkan kepalanya agar Salak tidak menyarungkan malai bunga itu di kepalanya.

"Maaf. Aku tidak boleh menerima pemberianmu Salak." Kenchana terpaksa berterus-terang dan jujur.

"Kenapa Kenchana?" Air muka Salak mula berubah.

"Aku.. tidak layak untuk menerima malai bunga darimu. Bukankah malai bunga itu diberi kepada orang yang sepatutnya kita hormat dan sanjungi? Aku tidak patut menerimanya Salak." Kenchana cuba memberi alasan. Tetapi, di hati Kenchana, dia tidak mahu ada kalungan kepala lain yang akan menutup kalungan kepala yang dipakainya sekarang. Kalungan kepala pemberian Betara itu sangat dia hargai dan dia tidak ingin kalung itu terlindung atau dilepaskan dari kepalanya.

"Tapi.. Tiada masalah pun kalau aku berikan malai bunga kepadamu sebagai hadiah semata-mata. Malai bunga juga boleh diberikan kepada orang yang kita suka." Salak masih cuba memujuk Kenchana untuk menerima pemberiannya.

"Maaf Salak. Aku tidak layak menerimanya. Aku pergi dulu." Kenchana segera melanjutkan langkahnya menuju ke arah gazebo, meninggalkan Salak yang masih terpinga-pinga.

Namun apabila sampai ke gazebo, Kenchana menjadi hampa apabila melihat Betara sudah tiada di kawasan tersebut. Kenchana mula berlari anak menuju ke arah luar pekarangan perkampungan Bunut Naga. Matanya masih melilau kesana sini mencari kelibat Betara. Di depannya kini ada seorang wanita yang sedang mendukung anaknya yang masih kecil. Kenchana tanpa membuang masa terus bertanya kepada wanita tersebut.

"Kemana Betara? Tadi dia ada di sini." 

"Betara baru sebentar tadi pergi ke arah sana." Wanita itu menunjukkan ke arah belakang perkampungan.

"Terima kasih." Kenchana sempat mengucapkan kalimat tersebut kepada wanita yang memberitahunya keberadaan Betara sebelum dia mula berlari kembali sambil membawa malai bunga di tangannya.

"Tadi pun dia hilang bila aku mencarinya.. Sekarang hilang lagi.." Getus hati Kenchana.

Di hujung tebing kawasan taman bunga, Betara sedang berdiri melihat panorama di kawasan tersebut. Selepas beberapa detik, dia menurunkan pandangannya ke arah bawah jurang. Disitulah tempatnya Kirana terjatuh dahulu. Pandangan mata Betara tiba-tiba terbayangkan saat Kirana jatuh dari tebing tersebut. Kirana yang sedang menjerit memanggil namanya terngiang-ngiang di telinga Betara saat gadis itu sedang jatuh ke jurang yang tinggi itu.  Disebabkan tidak mampu menahan sebaknya, Betara memejamkan matanya dengan rapat. Setitis air jernih kelihatan terbit dari celah kelopak matanya disaat itu.

"Betara.. Aku harap dapat menjadi isteri yang baik untukmu.." Suara Kirana terdengar oleh Betara. Bayangan wajah gadis itu muncul dalam fikiran Betara.

"Apa kau buat di sini sendirian?" Kirana menyapa Betara dari belakang. Betara segera memalingkan wajah dan badannya. Dia melihat Kirana yang sedang tersenyum dan berjalan perlahan-lahan menuju ke arahnya.

"Aku sedang tenangkan hatiku.. Aku mahu sendirian sahaja." Betara juga melangkah perlahan ke arah Kirana dan menjauhi tebing tempat dia sedang berdiri tadi.

"Kenapa dengan kau ni? Aku pun tak boleh nak temani kau ke?" Kirana bertanya lagi. Betara hanya tersenyum kelat.

"Aku sedang gundah.. hatiku sedih Kirana."

"Kenapa?" Ceritakanlah padaku."

"Aku sedih memikirkan tentang diriku." Betara duduk dan menyandarkan badannya pada satu bongkah batu.

"Aku kan ada.. Apa lagi yang kau fikirkan tentang dirimu?" Kirana turut duduk di samping Betara. Kedua belah tangannya memegang tangan kanan Betara.

"Aku tidak punya ayah macam orang lain. Tiada sesiapa yang mahu ceritakan tentang ayahku, termasuk ibuku sendiri.”

"Aku juga tidak ada ayah."

"Kau lain.. Kau tahu siapa ayahmu. Kau tahu ayahmu meninggal dunia. Kau sempat membesar dengan ayahmu. Tapi aku langsung tidak tahu siapa ayahku.. Aku tidak pernah kenal dan tidak pernah melihat sekalipun ayahku.." Betara mula meluahkan perasaannya.

"Sudahlah.. Tak usah difikirkan perkara yang mengusutkan fikiranmu. Yang pastinya, Kau ada di dunia ini. Maka sudah pasti kau mempunyai ayah dan ibu."

"Tapi aku juga mahu melihat dan mengenali ayahku, Kirana."

"Betara.. Perkara yang tidak kau tahu, kau fikir seribu tahun pun kau tetap tidak akan tahu. Jangan membuang masa mu menunggu orang yang tiada. Lebih baik kau fikirkan hidupmu sekarang sahaja. Bukankah kau ada aku? Apakah kau ingin abaikan aku yang ada nyata di depanmu ini demi memikirkan benda yang tidak ada di depanmu?"

"Bukan begitu maksudku.."

"Sudah.. Tidak peduli ayahmu ada atau tidak, lebih baik kau fikirkan tentang masa depan kita berdua sahaja."

"Maksudmu?"

"Maksud apa lagi? Masa depan kita berdua la. Kita menikah.. Nanti punya anak.. Besarkan anak kita.. Anak kita pasti akan membesar menjadi kuat sepertimu." Kirana mula geram dan menepuk-nepuk bahu Betara.

"Tapi aku mahu anak yang ramai." Betara cuba mengusik tunangnya itu.

"Berapa? lapan orang? sembilan? Sepuluh?"

"Tiga puluh orang la." Betara tertawa besar.

"Mampus aku nak kena beranak tiga puluh orang." Kirana mencubit perut Betara. Betara pula mengalihkan sedikit badan ke kiri apabila Kirana mencubit perutnya. Betara kemudiannya mengangkat tangannya dan meletakkan tangannya ke belakang badan Kirana.Gadis itu dipeluk dengan erat menggunakan sebelah tangannya. Kirana yang menyukai tindakan Betara memeluknya itu terus menyandarkan kepalanya di dada Betara yang bidang. Perlahan-lahan, tangan Kirana juga menjalar merangkul badan Betara.

"Betara.. Aku sayang padamu.." Suara Kirana terdengar perlahan.

"Betara.." Suara gadis itu semakin sayup.

"Betara.." Tiba-tiba suara Kenchana menyedarkan Betara. Lelaki itu segera membuka matanya dan berpaling ke arah belakang. Dia melihat Kenchana sedang berdiri memandangnya. Malai bunga masih ada digenggaman gadis tersebut. Betara kemudian berjalan perlahan menuju ke arah Kenchana. Matanya tidak berkedip menatap gadis di depannya itu.

"Kenapa Kenchana?" 

"Kau.. Betara.. Kenapa sendirian disini?" Kenchana tidak tahu untuk memulakan perbicaraan.

"Tiada apa-apa.. Apa tujuanmu mendatangi ku Kenchana?" 

"Ah..ini.. Kenchana ingin berikan malai bunga ini.."Kenchana mengangkat dan menunjukkan malai bunga di tangannya kepada Betara.

"Untuk ku? Tapi tadi.. bukankah kau sudah beri.. kepada.." Betara sedikit tergamam. Kini Betara mula sedar apa yang dia fikirkan tadi cuma salah sangkaannya sahaja. Betara juga mula memerhatikan kepala Kenchana. Yang ada di kepala gadis itu cumalah kalungan kepala yang diberikan olehnya. Sekarang sudah jelas bagi Betara bahawa Kenchana tidak menerima malai bunga dari Salak dan Kenchana juga tidak memberikan malai bunganya itu kepada Salak tetapi Kenchana ingin berikan kepada dirinya. Tapi Betara masih tertanya kepada dirinya sendiri, kenapa tadi dirinya merasa sangat cemburu apabila melihat Kenchana bersama Salak? Bahkan untuk kali kedua pada hari tersebut.

"Tadi apa? Kenchana sudah beri?" Kenchana mula bingung dengan kata-kata Betara.

"Tidak.. Tiada apa-apa.." Betara pula sudah mula merasa malu. Tadi dirinya sendiri yang salah meneka dan cemburu melihat Kenchana bersama orang lain.

"Malai bunga ini Kenchana buatkan khas untukmu.." Kenchana berjalan merapati Betara. Betara menjadi gugup dan kehilangan kata-kata.

"Terima kasih Betara." Kenchana memakaikan malai bunga di tangannya kepada Betara dengan memasukkan karangan bunga tersebut melepasi kepala Betara, kemudian di sangkut di leher Betara.

"Terima kasih? Untuk apa?" 

"Kerana sudah selamatkan Kenchana tempoh hari dan bawa Kenchana ke sini. Kenchana benar-benar bahagia berada di sini."

"Aku juga gembira kalau Kenchana merasa bahagia." Betara memberikan sebuah senyuman kepada Kenchana sebelum dia membelek-belek karangan bunga yang tergantung di lehernya. 

"Terima kasih juga untuk hadiah ini." Betara memegang malai bunga yang tergantung di lehernya itu. Di hatinya, Betara merasa sangat terpuji dan dihargai. Hatinya sedang mekar seperti kembangnya bunga. Dia juga menyesal kerana tadi sudah tersalah sangka terhadap Kenchana. Dia langsung tidak menyangka, karangan bunga yang dihasilkan oleh Kenchana itu adalah untuk dirinya.

"Ayuh kita duduk di sana." Betara melanjutkan kata-kata. Mempelawa Kenchana untuk duduk bersama di hamparan sebuah batu besar yang pernah dihancurkannya suatu ketika dahulu. Betara lantas membuka langkah kakinya menuju ke arah yang ditunjukkan dan Kenchana tanpa sebarang kata, hanya menuruti saran lelaki tersebut. Setelah mereka sampai ke hamparan batu besar yang dimaksudkan, Betara dan Kenchana terus duduk di atas batu tersebut.

"Kata ibu, bunga-bunga ini semua ditanam oleh Betara.." Kenchana mula berbicara setelah mereka melabuhkan punggung di atas batu.

"Ya.. Semua itu ditanam olehku. Aku mengambil apa sahaja bunga yang terlihat cantik semasa berburu, lalu aku bawa pulang dan tanam di sini."

"Tak sangka, Betara juga suka kepada bunga."

"Bu..bukan begitu.. Aku cuma ingin menjadikan impian seseorang sebagai kenyataan. Seseorang yang ku kenal.."

"Kirana.." Kenchana tiba-tiba menyebut nama wanita yang pernah menjadi tunangan Betara itu. Betara sangat terkejut apabila mendengar Kenchana menyebutkan nama teman yang juga tunangnya.

"Bagai.. bagaimana kau tahu tentang Kirana? Ibu sudah memberitahu mu?" 

"Ya.. Ibu sudah menceritakan kepada Kenchana.." Kenchana menundukkan pandangannya. Dia kini merasa menyesal kerana terlanjur menyebut nama wanita yang pernah bertakhta di hati Betara. Betara hanya mendiamkan diri sambil menatap wajah Kenchana yang tertunduk.

"Jangan membuang masa mu menunggu orang yang tiada. Lebih baik kau fikirkan hidupmu sekarang sahaja." Suara Kirana tiba-tiba terngiang kembali di fikiran Betara. Betara tersentak. Bayangan wajah Kirana muncul kembali difikirannya. Kemudian Betara menatap kembali ke arah Kenchana.  Dari pandangan sisi, Kenchana terlihat persis seperti Kirana. Bezanya cuma kulit Kenchana lebih putih dan mulus. Kenchana kemudian mengalihkan pandangan wajahnya ke arah Betara. Pandangan mata Kenchana dan Betara bertautan. Masing-masing hanya berdiam diri di saat mata mereka bertentangan. 

"Kenapa Betara?" Kenchana minta maaf jika ambil tahu kisah yang tak sepatutnya.." Suara Kenchana kedengaran mendatar. 

"Tidak.. Tidak apa-apa.. Kenchana tidak bersalah. Tak perlu minta maaf. Kisah tentang Kirana juga bukan rahsia di Bunut Naga ini. Lagi pun ibu sendiri yang menceritakan kepada Kenchana."

"Apakah Betara tidak mahu mencari pengganti untuknya?" Kenchana seolah segan untuk bertanyakan soalan sedemikian, namun mulutnya sudah terlanjur berkata-kata.

"Tidak ada yang mampu menggantikan Kirana."

"Janganlah terus membuang masa dengan menunggu orang yang sudah tiada. Sebaiknya Betara fikirkan hidup sendiri buat masa sekarang." Kenchana cuba memujuk. Betara pula tersentak dan sangat terkejut. Kata-kata Kenchana itu seakan sama dengan kata-kata Kirana terhadapnya dahulu. Tanpa disedari, Betara yang tidak mampu mengawal dirinya menyentuh dagu Kenchana. Tapak tangannya kemudian mengusap pipi Kenchana. Kenchana pula tersipu-sipu dan terkejut dengan tindakan Betara kepadanya. Namun Kenchana hanya mendiamkan diri, membiarkan Betara terus membelai pipinya. Setelah itu, Kenchana memegang tangan Betara yang mengusap pipinya dengan kedua belah tangan. Kedua tangannya melurut tangan Betara sehingga telapak tangan mereka bertemu. Tangan Betara dipegang kemas oleh Kenchana. Mata mereka terus saling memandang tanpa berkedip. 

"Maaf.. Aku sudah berlebihan." Betara segera menarik tangannya yang dipegang oleh Kenchana. Dia sepertinya baru tersedar dari lamunan. Kenchana hanya terus mendiamkan dirinya.

"Oh ya.. Aku ingin minta maaf tentang semalam. Aku sudah memalukan Kenchana di depan orang ramai." Betara mula mengingati pesanan Punta Damar kepadanya tadi. Wajah Kenchana merona kemerahan apabila mengingati peristiwa Betara menggendongnya di depan orang ramai kemudian mereka rebah bersama dan Kenchana menindih badan Betara yang sasa itu. Namun Kenchana juga mengalami perasaan pelik semasa tubuh mereka begitu rapat sekali. Ketika dada mereka saling bersentuhan dan Kenchana dapat menghidu nafas Betara yang sangat rapat dengan wajahnya, suatu perasaan yang tidak pernah dia alami sama sekali selama hidupnya. Kenchana cuba mengingati kembali saat itu dimana jantungnya berdebar dengan kencang namun hatinya begitu tenang dan senang sekali.

"Itu..itu tidak apa-apa.. Kenchana tidak apa-apa.." Kenchana melambai-lambai tangannya sambil mukanya sudah bertukar merah padam. Betara yang melihat perubahan wajah Kenchana yang menjadi merah itu mula merasakan Kenchana pasti sangat malu dengan perbuatannya kepada gadis itu. Betara benar-benar rasa menyesal kerana mengusik Kenchana secara berlebihan semalam. Dia kemudiannya memegang kedua-dua tangan Kenchana dengan erat.

"Aku benar-benar minta maaf. Aku janji tidak akan sebegitu lagi kepadamu." Betara bersungguh-sungguh meminta maaf. Dia benar-benar merasa kesal dengan perbuatannya.

"Jangan.." Kenchana terlepas cakap. Dia sebenarnya ingin memaksudkan Betara agar jangan berjanji sebegitu kerana Kenchana tidak menyalahkan lelaki tersebut. Malah Kenchana sebenarnya lebih merasa bahagia diperlakukan sebegitu oleh Betara. Rasa malu kepada orang yang melihat Betara menggendongnya tidak jauh lebih besar dari rasa bahagia yang dia rasakan saat badannya dan Betara dalam keadaan rapat. Namun Betara pula memahami butir bicara Kenchana itu sebagai 'jangan ulangi lagi.'

"Ya. Aku berjanji tidak akan ulangi lagi perbuatan sebegitu terhadapmu." 

"Sudahlah.. Ayuh kita pulang.." Kenchana segera berdiri dan terus berjalan pergi dari situ. Dia sebenarnya tidak dapat menahan rasa malu untuk terus bertentangan dengan Betara. Langkah kakinya dihayun dengan laju menuju ke arah perkampungan Bunut Naga. Betara yang melihat Kenchana pergi dengan cepat itu segera mengejar gadis tersebut. Dia masih berfikir bahawa pasti Kenchana tersangat marah kepadanya sehingga melarikan diri dan tidak mahu untuk terus melihat mukanya. 

"Maafkan aku Kenchana."

"Sudah.. Tidak ada apa-apa.." Kencahana terus melajukan langkah kakinya sambil melambai-lambai tangannya tanpa melihat ke arah Betara yang masih meminta maaf di sebelahnya. Mereka beriringan dengan keadaan sebegitu berterusan sehingga memasuki pekarangan perkampungan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience