Sungai Lepir
LEBIH kurang dua ratus orang lelaki dari Puak Saga berkumpul. Beberapa orang dari mereka sudah siap membina tempat untuk mereka berteduh disitu, menggunakan kayu dan daun-daun kering. Setiap orang dari mereka membawa pelbagai jenis senjata untuk bertempur dari jarak jauh dan jarak dekat. Betara kelihatan berdiri di tengah-tengah kawasan tersebut bersama beberapa orang yang lain. Mereka yang sedang bersama Betara adalah wakil dari setiap perkampungan Puak Saga. Ketumbukan yang terpaksa ditubuhkan dengan kerjasama untuk menyekat Ratu Manikmaya. Dengan persetujuan membentuk kesepakatan, mereka kini mula merangka perancangan untuk menentang pasukan raksasa korbu nanti.
"Aku Sakar, Ketua pemburu dari perkampungan Tanjung Meranti." Salah seorang dari mereka mula memperkenalkan diri.
"Namaku Jati, wakil dari perkampungan Cula Badak." Lelaki berbadan kurus dan tinggi diantara mereka itu menghulurkan tangan untuk berjabat salam.
"Aku Teraju, anak Punta Ganjar dari perkampungan Lembah Kasturi."
"Aku pula Bikas, Ketua pemburu dari perkampungan Bunut Naga." Bikas mempamerkan senyuman meleret. Dia yang baru sahaja dilantik oleh Betara sebagai ketua pasukan pemburu itu terlihat gagah dan penuh bersemangat.
"Aku Punta Betara dari Bunut Naga." Pemimpin muda yang gagah itu memperkenalkan dirinya. Betara bersalaman tangan dengan mereka yang masing-masing merupakan wakil dari setiap perkampungan. Beberapa orang mula menundukkan wajah mereka apabila bertatapan dengan Betara sebagai tanda hormat kepada pemimpin bergelar Punta itu.
"Wah, tidak ku sangka Punta dari Bunut Naga masih muda orangnya." Teraju menundukan sedikit kepalanya kepada Betara sambil menyambut salam tangan yang dihulurkan oleh lelaki bergelar Punta itu. Anak kepada pemimpin Puak Saga dari Perkampungan Lembah Kasturi itu terlihat sebaya Betara.
"Perkampungan Cita Perawas tidak mampu menghantar wakil mereka kerana mereka baru saja diserang puak suku lain. Walaupun mereka mampu bertahan, tapi ramai dikalangan mereka yang cedera." Bikas memberi laporan kepada Betara.
"Baiklah kalau begitu. Aku fikir, dengan jumlah sekarang pun, sudah memadai untuk kita." Betara cuba berfikiran positif. Mahu atau tidak, dengan jumlah sebanyak apa pun, mereka tetap juga terpaksa berperang untuk kali ini. Satu peperangan yang tidak dapat dielakkan demi menjaga kelestarian wilayah mereka di kawasan tersebut dari menjadi taklukan Ratu Manikmaya. Peperangan juga demi keselamatan Kenchana yang sudah menjadi sebahagian dari mereka dan diberi jaminan perlindungan oleh Puak Saga. Malah juga demi keselamatan Betara sebagai pemimpin puak disitu. Walau apa pun yang terjadi, mereka tidak dapat lari dari peperangan kali ini. Ratu Manikmaya perlu dihentikan. Bukan cuma untuk mereka, tetapi demi keamanan seluruh buana.
Perbincangan di antara Betara dan wakil-wakil setiap perkampungan berlaku seketika. Masing-masing memberi pendapat dan pandangan. Ketumbukan mereka perlu bekerjasama bukan hanya secara tenaga dan fizikal, tetapi juga gagasan fikiran yang bernas. Pemikiran ramai orang lebih baik dari seorang. Betara yang pernah berdepan dengan raksasa korbu lebih banyak berkongsi pengalaman dan rancangan yang akan dilakukan. Kegagahan raksasa korbu yang diceritakan oleh Betara dan Bikas sedikit sebanyak menggentarkan jiwa mereka yang mendengarnya. Namun sebagai pahlawan, mereka semua sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan. Selesai berbincang, semua wakil yang berkumpul menyerahkan kepada Betara untuk membuat keputusan. Mereka sepakat untuk menjadikan Punta dari Bunut Naga itu sebagai pemimpin ketumbukan mereka. Walaupun masih muda, namun kepimpinan, pemikiran dan perancangan Betara membuatkan semua wakil yang bekumpul itu kagum dengannya. Fikir mereka, wajar sahaja Betara menjadi Punta di usia muda. Kedudukan itu layak untuknya. Setelah mencapai kesepakatan dalam keputusan, Betara pun mendepangkan dada seraya bersuara.
"Dengarkan aku wahai seluruh Puak Saga sekalian! Musuh yang akan kita hadapi sekarang bukanlah musuh yang biasa. Mereka adalah golongan raksasa yang akan menakluk seluruh kawasan di banjaran pergunungan ini. Jika kita tidak bersatu untuk mengalahkan mereka sekarang, maka puak kita akan binasa dan tiada lagi keturunan kita di bumi ini nanti!" Betara memulakan ucapannya dengan suara yang kuat dan lantang.
"Kita tidak akan mampu untuk menghadapi para raksasa itu jika berperang secara berdepan dengan mereka kalau cuma jumlah kita seramai ini. Jadi Aku sarankan kita ke Ulu Sepat untuk menghadapi mereka. Sediakan perangkap yang membunuh untuk hapuskan mereka. Itu sahaja cara untuk kita memenangi perang ini." Kata-kata Betara yang penuh karisma itu disusuli oleh anggukan kepala semua orang. Terserlah kewibawaan Betara dalam perancangan dan kepimpinan melalui ucapannya.
"Pertahankan wilayah dan anak cucu kita!" Bikas pula melaungkan kata-kata sambil mengangkat sebelah tangannya.
"Ya!!" Seluruh warga puak Saga disitu mengangkat tangan mereka sebagai menyahut seruan.
"Ayuh kita berangkat ke Ulu Sepat!" Laung Sakar yang juga wakil dari Perkampungan Tanjung Meranti dengan penuh semangat.
Ulu Sepat
Ketumbukan Puak Saga bergabung tenaga memasang pelbagai jenis perangkap. Setiap orang, masing-masing memahami tugas dan tanggung jawab mereka. Tanpa memerlukan pengawasan dan arahan yang banyak, setiap dari mereka yang sudah mahir berburu melaksanakan kerja menghasilkan jebakan yang dikehendaki oleh Betara dalam masa yang singkat. Sebagai puak yang mendiami kawasan pergunungan di situ, mereka sudah sangat mahir dengan lingkungan persekitaran kawasan tersebut. Mereka tahu kawasan tersebut akan menjadi laluan utama pasukan tentera Ratu Manikmaya untuk menuju ke Gunung Chamah. Mengikut percaturan yang disepakati oleh pasukan pimpinan Betara itu, mereka akan menghalangi tentera raksasa korbu di pertengahan jalan. Jebakan disusun dan dipasang dengan penuh teliti. Setelah melihat perangkap yang selesai dihasilkan, kesemua perangkap itu sangat memuaskan hati Betara.Pemimpin ketumbukan Puak Saga itu sendiri yang membuat penilaian setiap jerangkap yang disediakan oleh pasukan pimpinannya. Tidak lama kemudian, terlihat Sakar, iaitu Ketua pasukan pemburu dari Perkampungan Tanjung Meranti mendekati Betara.
"Punta, pasukan pengintip kita sudah kembali membawa laporan." Sakar menyampaikan khabar kepada Betara.
"Ya Sakar. Bagaimana hasilnya?" Betara menyoal.
"Seperti yang kita jangkakan, pasukan musuh telah melalui jalan yang kita jangkakan. Diperkirakan, selepas matahari gelincir mereka akan sampai ke sini."
"Baguslah. Arahkan semua orang kita untuk bersiap siaga. Pecahkan pasukan kita kepada beberapa kumpulan seperti yang sudah dibincangkan sebelum ini dan tunggu isyarat dariku untuk mulakan serangan hendap."
"Baiklah Punta."
BEBERAPA jam kemudian, Pasukan raksasa korbu yang diketuai oleh Ratu Manikmaya tiba di Ulu Sepat dimana kawasan yang menjadi medan perang yang dipilih oleh puak Saga. Di celahan semak dan pepohonan, Puak Saga sudah sedia menanti dan memerhatikan pasukan musuh. Puak yang mahir berburu itu langsung tidak dapat dikesan persembunyian mereka oleh Ratu Manikmaya dan bala tenteranya. Gerombolan raksasa korbu yang mengiringi Ratu mereka itu walaupun berjumlah cuma lebih kurang lima puluh ekor, tetapi kekuatan mereka mengatasi kekuatan tiga ratus orang lelaki dewasa.
Ketumbukan Puak Saga yang sedang mengintip dari tempat persembunyian berharap agar pihak musuh masuk ke perangkap yang telah mereka sediakan. Mereka telah bersiaga untuk menunggu isyarat penyerangan dari Punta Betara. Kawanan raksasa korbu yang sedang leka berjalan akhirnya memasuki zon perangkap. Tiba-tiba beberapa batang kayu balak yang sebesar dua pemeluk lelaki dewasa meluncur laju ke arah pasukan raksasa korbu. Beberapa ekor dari mereka terpelanting dan terperosok ke dalam lubang yang sudah disediakan dan dipenuhi kayu-kayu tajam yang tertancak. Raksasa korbu yang terjatuh ke dalam lubang perangkap itu habis ditembusi oleh kayu-kayu tajam dibadan mereka. Tidak habis disitu, beberapa batang kayu tajam yang diikat secara tersusun pula jatuh dari atas dan menimpa para raksasa korbu yang terjatuh tadi. Para raksasa itu melolong kesakitan dan menggelupur sebelum longlai kehilangan nyawa beberapa saat kemudian. Perangkap yang membuahkan hasil itu membuatkan Ratu Manikmaya dan raksasa korbu yang lain menjadi kelam-kabut.
"Hati-hati semua!" Jerit Ratu Manikmaya.
Raksasa korbu yang masih terselamat berundur beberapa langkah dan ada yang mengalihkan pergerakan mereka ke arah tepi denai yang dilalui. Namun tanpa mereka sangka, perangkap seterusnya pula mendatang. Beberapa kayu tajam pula berayun menembusi badan beberapa ekor dari raksasa itu. Raksasa korbu yang terkena hayunan kayu tajam yang menembusi badan mereka itu cuma melolong beberapa saat sebelum terkulai dan mati.
"Ayuh, maju cepat! kawasan ini dipenuhi perangkap!" Ratu Manikmaya mengarahkan raksasa korbunya.
Mereka bergerak lagi maju ke hadapan. Ratu Manikmaya pula mengibas-ngibas sayapnya berundur ke belakang dari barisan raksasa korbu. Dia ingin mengelak dirinya dari terkena perangkap jika dia berada di barisan hadapan. Baru sahaja mereka meneruskan perjalanan, beberapa ekor lagi raksasa korbu di barisan hadapan terjatuh kedalam lubang yang tertutup oleh daun-daun kering. Seperti lubang pertama, perangkap itu juga dipenuhi oleh kayu tajam dan menembusi badan badan dan tenggorokan raksasa korbu yang terjerumus disitu.
Ketika pasukan Ratu Manikmaya bertambah kalut, tiba-tiba satu anak panah menyusur angin dan menembusi tenggorokan salah seekor raksasa korbu. Itu adalah isyarat dari Betara untuk memulakan serangan. Maka ratusan anak panah lain turut muncul menyerang mangsa mereka. Ada dikalangan raksasa korbu yang menggelupur, melolong dan mati. Sebahagian lagi cuma luka dan ada juga yang terselamat dari serangan hujan anak panah itu.
"Musuh bersembunyi disekitar! Hapuskan mereka!" Ratu Manikmaya cemas apabila banyak raksasa korbunya yang gagah itu mati dan cedera. Dia langsung tidak menyangka mereka akan terkena perangkap dan serangan hendap. Walaupun raksasa korbu itu kuat, namun mereka juga tidak mampu bertahan jika diserang tanpa membalas kepada pihak lawan. Situasi tersebut benar-benar meresahkan Ratu Manikmaya. Para raksasa korbu yang masih selamat mula menggila, menyerang ke arah semak samun dan pokok-pokok di sekitar. Senjata ditangan mereka di hayun secara membuta tuli untuk menyerang musuh yang bersembunyi. Semak samun menjadi licin dan rata ditebas mereka dan pokok-pokok juga tumbang apabila menerima serangan makhluk sumpahan itu.
"Serang!!" Suara Betara kedengaran dari celahan belukar dan para pahlawan puak Saga pun muncul dari pelbagai arah melakukan serangan secara terbuka. Ketumbukan pimpinan Betara terlihat tidak gentar untuk menghadapi lawan mereka yang terdiri dari makhluk raksasa. Sebelum masuk merapati para raksasa, mereka melakukan serangan menggunakan senjata jarak jauh seperti anak panah dan lembing untuk mencedarakan musuh. Setelah mendekat, senjata berupa parang dan kelewang pula menjadi keutamaan.
Pertempuran antara makhluk raksasa dan manusia pun bermula. Walaupun raksasa korbu cuma masih berbaki lebih kurang tiga puluh ekor, namun pahlawan puak Saga yang seramai tujuh kali ganda pihak musuh tetap mengalami kesukaran untuk menjatuhkan lawan mereka. Masing-masing berhempas pulas untuk menewaskan musuh. Kekuatan raksasa korbu terlalu besar walaupun jumlah mereka jauh lebih sedikit. Sekali terkena serangan dari raksasa korbu, pasti sukar untuk berdiri kembali malah lebih teruk ada yang terus meninggal dunia walau cuma menerima satu serangan dari raksasa itu.
Jati dan Bikas kelihatan bergandingan menghadapi lawan mereka. Serat kayu yang dipintal menjadi seperti tali dilempar oleh Bikas dan Jati kearah raksasa korbu yang menjadi lawan mereka untuk melilit dan menghalang pergerakan raksasa itu. Tindakan mereka membuahkan hasil apabila tali yang dilemparkan berjaya mengekang pergerakan musuh. Setiap tali memerlukan sekurangnya tiga orang untuk menarik untuk menghentikan pergerakan musuh. Salah seorang lelaki pula melempar tali dan melilit kaki raksasa korbu tersebut. Setelah tali ditarik, maka rebahlah raksasa korbu itu. Seorang lelaki lagi lantas melompat ke arah raksasa korbu itu dengan hayunan parang ditangannya. Mata Parang tepat mengenai leher raksasa korbu dan memancut darah keluar dari leher makhluk tersebut.
Teraju dan Sakar bersama beberapa orang lelaki lain pula bergandingan melawan raksasa korbu yang lain. Ada kumpulan yang berjaya mengalahkan raksasa korbu dan ada juga kumpulan yang gagal. Betara sendiri terlihat berhempas pula bersama beberapa orang untuk mengalahkan lawan mereka. Pertempuran secara bersemuka dengan raksasa bukan sesuatu yang mudah. Tersilap langkah sedikit sahaja, mampu menghilangkan nyawa mereka.
Setelah menyedari peluang yang tiba, Betara segera menyerbu ke arah raksasa korbu. Kedua-dua belah tangan Betara memegang parang setiap satunya. Pemimpin ketumbukan manusia itu terlihat gagah dan bergaya dengan menggunakan dua bilah parang sekaligus. Setelah mendekat Betara segera menghayunkan parangnya ke pergelangan tangan raksasa yang memegang senjata dan tangannya sebelah lagi menuju ke arah leher raksasa itu untuk menyembelih mangsanya. Serangan pada pergelangan tangannya menyebabkan raksasa korbu menjatuhkan senjata digenggamannya kemudian menggelupur akibat darah keluar memancut dari lehernya.
Ratu Manikmaya yang berada dibahagian belakang tidak mahu hanya terus menonton. Dia menghayunkan tongkat ditangannya ke arah para pahlawan puak Saga dan keluarlah cahaya hijau yang menyerang para musuhnya itu. Puak Saga yang menerima serangan dari Ratu Manikmaya segera tumbang. Serangan itu tidak mematikan mereka tetapi berjaya melumpuhkan musuh sang ratu itu. Kesan dari serangan Ratu Manikmaya itu seolahnya seperti terkena arus elektrik yang bervoltan tinggi. Betara yang menyaksikan tindakan Ratu Manikamaya itu dengan segera berlari menyerbu ke arah sang ratu. Namun lariannya tergendala apabila dihalang oleh raksasa korbu yang cuba menyerangnya. Betara yang geram ingin segera menghapuskan raksasa korbu itu. Pada fikirannya, Ratu Manikmaya terdahulu yang harus dihapuskan secepat mungkin kerana sang ratu itu cuma berlindung disebalik raksasa korbu untuk melakukan serangan kepada Puak Saga. Jika dibiarkan keadaan itu berlanjutan, kemungkinan untuk Puak Saga untuk kalah amat tinggi.
Betara yang tidak mahu menunggu lebih lama segera membaling salah satu parang di tangannya ke arah Ratu Manikmaya untuk mencederakan wanita berwajah buruk sebelah itu. Namun Ratu Manikmaya yang menyedari serangan ke atas dirinya itu sempat menempis parang layangan Betara tersebut. Betara yang tidak menunggu juga mengelak serangan dari raksasa korbu yang menyerangnya. Sambil melompat, sebuah tendangan diberikan oleh Betara kepada raksasa korbu itu yang menyebabkan kedua mereka jatuh ke tanah. Tanpa membuang masa Betara bangkit dan menuju ke arah Ratu Manikmaya lagi.
Ratu Manikmaya dengan penuh amarah langsung menghayunkan tongkatnya ke arah Betara. Cahaya hijau yang keluar dari tongkatnya menuju cepat ke arah Betara namun berjaya dielak oleh pemimpin puak saga tersebut. Namun malang bagi Betara, serangan kedua dari Ratu Manikmaya tepat mengenai dirinya dan menyebabkan Betara tercampak jauh ke belakang. Ratu Manikmaya tersenyum puas apabila serangannya berhasil. Betara merasakan kesakitan yang akan membuatkan dia lumpuh. Namun dengan tekad yang kuat, Betara berdiri kembali sambil berteriak keras. Nasib malang terus mengunjungi Betara apabila salah seekor raksasa korbu berjaya memukul dada Betara sehingga membuatkan lelaki itu melambung lagi untuk kesekian kalinya. Betara kini sudah terbaring kesakitan. Nafasnya dirasakan tersekat akibat pukulan kuat yang diterima oleh dadanya. Sedang Betara menggelupur tidak mampu bernafas, satu lagi serangan melayang ke arah mukanya. Betara bagaimanapun sempat mengangkat tangannya untuk menyanggah serangan tersebut namun pukulan kuat yang ditahan menggunakan lengan itu menyebabkan tulang lengannya patah. Betara berteriak kesakitan. Pada fikirannya, ajalnya sudah sampai sekarang.
Share this novel