Bab 2

Fantasy Completed 11833

Perkampungan Bunut Naga

KENCHANA membuka matanya. Dia lantas bangkit dari pembaringannya. Otaknya ligat berfikir, entah dimana dirinya berada sekarang. Dirinya baru bangkit dari baring di atas sebuah katil yang diperbuat dari buluh dan dialas daun mengkuang, terkurung di dalam sebuah bilik. Dia tidak tahu bagaimana dirinya boleh berada disini. Matanya kemudian melihat kakinya terbalut dengan daun. Kemudian baru Kenchana teringat. Sebelum ini kakinya sakit setelah tersadung akar pokok semasa melarikan diri dari pemburu. Dua orang lelaki cuba menghampirinya dan setelah itu dia tidak sedarkan diri. 

"Ah.. lelaki itu." Kenchana bersuara perlahan. Dia mula teringat tangan pemburu itu terpotong dan ada seorang lelaki yang berdiri di antara dirinya dan pemburu yang memburu dirinya. Kenchana mula tertanya-tanya apa yang berlaku selepas itu. Apa yang terjadi pada dirinya? Bagaimana dirinya boleh berada di dalam bilik ini sekarang? Dimana dia berada sekarang? Kenchana mula dihantui ketakutan. Kedua belah tangannya dikepal. 

Kakinya yang berlunjur dialihkan ke lantai. Kenchana cuba berdiri namun kakinya masih terasa sakit. Tiba-tiba pintu bilik dibuka. Kelihatan seorang wanita memasuki ruangan bilik tersebut. 

"Kamu dah sedar ya." sapa wanita itu kepada Kenchana. Wajahnya berseri dan terlihat seperti orang yang baik. Kenchana yang sedikit terkejut berundur kebelakang dan terduduk semula dikatil yang menjadi tempat pembaringannya tadi. 

"Dimana..." Kenchana ingin menanyakan tempat keberadaannya saat itu namun tidak menghabiskan kata-katanya.

"Ini perkampungan Bunut Naga puak Saga. Jangan takut. Kamu selamat dan baik-baik saja." Wanita itu menjawab dengan lembut, sepertinya dia memahami persoalan yang bermain difikiran Kenchana saat itu.

"Macam mana.. Aku boleh ke sini?" Kenchana ingin memastikan apa yang telah berlaku padanya selama dia tidak sedarkan diri.

"Anakku, Betara yang membawamu ke sini. Kamu rehatlah dahulu. Nanti Aku bawakan makanan untukmu." Wanita itu menjawab soalan Kenchana sambil tersenyum. 

"Betara? Apakah dia itu yang menyelamatkan aku?" Kenchana bermonolog perlahan. Di fikirannya, terbayang adegan dimana seorang lelaki yang berdiri membelakanginya sebelum dia tidak sedarkan diri. Kenchana seolah terhanyut dengan lamunan sehingga tidak menyedari wanita yang bersamanya telah keluar dari ruang bilik tersebut. Kenchana masih tertanya-tanya sendirian. Apa yang berlaku setelah dia pengsan. Apakah lelaki bernama Betara itu sudah bergelut dengan dua orang pemburu yang mengejarnya waktu itu.

Kenchana melihat kembali ke kakinya yang sudah berbalut. Dari kemesraan yang ditunjukkan wanita tadi, malah dengan kakinya yang sakit sudah dirawat, Kenchana yakin dirinya sekarang sudah selamat. Senyuman mula terpamer pada bibirnya. Sudah lama sekali Kenchana berkelana seorang diri di dalam hutan. Cuma haiwan sahaja yang menjadi temannya. Tapi sekarang dia sudah menemukan sekumpulan manusia yang baik hati.

Seketika kemudian, wanita tadi muncul semula di hadapan Kenchana sambil membawa talam yang terbuat dari buluh. Di talam tersebut terisi beberapa jenis makanan termasuk buah-buahan dan segelas air. Talam yang dibawa kemudian diletakkan diatas sebuah meja yang berada disisi katil Kenchana. 

"Makanlah dulu. isi dulu perutmu itu." pelawa wanita tersebut kepada Kenchana. Senyuman tidak pernah lekang dari wajahnya. 

"Janganlah segan. Makan saja. Ini semua untukmu." Sambung wanita itu lagi apabila dia melihat Kenchana seolah malu-malu untuk menjamah makanan yang dihidangkan. 

Dengan tersipu-sipu, Kenchana mula mengambil makanan yang diberikan kepadanya itu. Dirinya masih segan untuk makan memandangkan dia tidak mengenali siapa wanita di hadapannya itu. Namun kerana tidak tahan dengan perutnya yang sudah berkeroncong kelaparan, ditahan juga rasa malunya itu. Terasa sungguh tidak manis bagi dirinya yang menjadi tamu untuk makan sendirian di hadapan wanita yang lebih berusia. 

"Aku Mastika. Siapa namamu anak muda?" Wanita tersebut memperkenalkan dirinya. Kenchana yang sedang mengunyah makanan di dalam mulutnya cuma memandang wanita dihadapannya itu. Dia harus menelan terlebih dahulu makanan di dalam mulutnya sebelum menjawab soalan dari wanita yang sentiasa tersenyum itu.

"Kenchana.. Dwi Wulan Kenchana.." pendek jawapan dari Kenchana.

"Dwi Wulan... Kenchana.. Apakah kau dinamakan begitu sempena kelahiranmu, lapan belas tahun dahulu?" Mastika mula tertanya tentang asal namanya Kenchana.

"Ya.. sepertinya..begitulah kata ibuku." Kenchana mengiyakan pertanyaan Mastika berserta anggukan kepala.

Raut wajah Mastika tiba-tiba berubah. Senyuman yang dari tadi terukir di wajahnya sudah hilang.Sepertinya ada peristiwa yang mengganggu jiwanya pada lapan belas tahun yang lalu. Mastika diam seketika. Dari matanya terpamer satu pandangan kosong seolah fikirannya sudah jauh hanyut dalam lamunan.

"Dimana ibumu? Dimana kalian tinggal?" Mastika mula bertanya lagi. 

"Ibu.. dah lama meninggal. Kenchana cuma tinggal sendirian sejak kecil lagi." Kenchana menjawab perlahan. Matanya terus menatap lantai. Seolahnya Kenchana sangat sedih apabila mengenangkan dirinya yang membesar sendirian. Dia sendiri tidak tahu asal-usulnya. Yang Kenchana tahu, dari kecil dia cuma memiliki seorang Ibu yang menjaganya. Namun Ibunya itu telah meninggal dunia kerana sakit dan membesarlah Kenchana seorang diri dan cuma berteman dengan haiwan di dalam hutan. 

"Ahli keluarga yang lain tiada? Kamu dari suku kaum mana? Mastika masih menyoal.

"Tak tahu. Selama ini Kenchana cuma ada ibu seorang sahaja.. dan Suri, seekor rusa yang menjadi teman Kenchana selama ini." Air mata mula bergenang dikelopak mata Kenchana sambil bibir mulusnya mengukir sebuah senyuman kelat. 

Mastika terus menghampiri Kenchana dan memeluk gadis yang terlihat naif itu. Tangannya dengan lembut mengusap kepala Kenchana dan merapatkan kepala Kenchana ke pangkuannya. Gadis muda itu di dakap dengan penuh kasih sayang. Dihatinya, terasa sangat tersentuh dan mengasihi gadis malang itu. Dia dapat membayangkan betapa peritnya kehidupan gadis itu, hidup sendirian dari kecil ditengah hutan belantara itu.

"Jangan khawatir lagi. Mulai sekarang, Kamu jadilah anakku. Tinggallah bersama kami di sini. Jangan lagi sendirian." Mastika cuba menghilangkan kegundahan di hati Kenchana saat itu. Naluri keibuannya tak sanggup untuk membiarkan seorang gadis yang terlihat polos hidup berkelana seorang diri di dalam belantara. Air mata Kenchana pula mula bercucuran. Setelah berbelas tahun, inilah kali pertama dia berkomunikasi dengan manusia lain selepas ibunya. Malah sangat mengharukan, manusia kedua ini juga sudi menjadi ibunya, menggantikan ibunya yang sudah lama meninggal dunia. 

Walaupun masih terasa kekok, tapi Kenchana sangat merasa bahagia dengan dakapan dari Mastika. Tangan Kenchana mula bergerak perlahan-lahan merangkul pinggang Mastika. Matanya terpejam rapat. Cuba menikmati kehangatan pelukan dari seorang ibu yang sudah lama dia dambakan. Sudah berbelas tahun dia tidak merasakan kehangatan sebegitu, sejak ibunya meninggal dunia. Setelah ibunya meninggal, Kenchana cuma ada Suri sebagai peneman untuk berbual dan bermain. Sebelum mampu berdikari, Surilah yang selalu membawa makanan kepada Kenchana. Terkadang Kenchana juga tertanya-tanya, dari mana Suri mendapatkan sumber makanan untuknya. Walaupun ditanya, Kenchana tetap juga tidak memahami percakapan Suri yang hanyalah seekor rusa. 

"Suri.. eh.. dimana Suri..?" Kenchana bersuara perlahan, menanyakan dirinya sendiri tentang keadaan Suri. Sejak dari sedar tadi, baru sekarang dia teringatkan Suri, temannya itu. Suara perlahan Kenchana itu masih tertangkap oleh cuping telinga Mastika.

"Suri itu si rusa putih kan?" Dia ada di sekitar perkampungan ini." Mastika menjawab pertanyaan Kenchana walaupun pertanyaan itu tidak ditujukan kepadanya. 

"Eh? Macam mana?..." Kenchana tidak menghabiskan perkataan dari mulutnya.

"Semasa Betara membawa Kenchana ke sini, rusa putih itu terus mengikuti kalian. Mungkin dia bimbangkan keadaan Kenchana. Apabila sampai di sini, Rusa itu cuma mundar-mandir sekeliling perkampungan dan tidak berani masuk mendekat. Betara sudah arahkan kepada semua orang disini, jangan diapa-apakan rusa putih itu." Panjang lebar Mastika menjelaskan kepada anak angkat barunya itu sambil melepaskan pelukannya dan kedua tangannya mula memegang bahu Kenchana.

Kenchana tersenyum apabila mendengar penjelasan Ibu angkatnya itu. Setidaknya dia tahu rusa putih yang menjadi temannya itu selamat dari buruan pemburu. Hatinya terasa lapang. 

"Habiskan dulu makananmu. Nanti pergilah bertemu temanmu itu." Mastika bersuara lembut. Wanita itu terlihat sangat memahami keinginan yang tersirat dihati Kenchana saat itu. Kenchana cuma menganggukan kepala dan tersenyum kepada ibu angkatnya itu.

Sambil menjamah makanannya, Kenchana terbayangkan kembali lelaki bernama Betara yang telah menyelamatkannya. Setelah mengunyah dan menelan perlahan-lahan, Kenchana mulai bersuara kembali.

"Yang menolong Kenchana itu, namanya Betara?" Soal Kenchana.

"Ya, namanya Betara. Anak lelaki ibu." 

"Kenchana ingin berterima kasih kepadanya." 

"Rasanya dia masih ada disini. Nanti Kenchana pergilah bertemu dengannya." Mastika tersenyum kepada anak angkat barunya itu.

Setelah selesai makan, Kenchana cuba berdiri. Namun kakinya masih belum benar-benar pulih. Kesakitan masih terasa menyucuk dikakinya yang berbalut daun kering itu. Mastika yang melihat keadaan itu segera memaut lengan Kenchana untuk membantunya berdiri dengan stabil. 

"Kamu hendak kemana Kenchana? Kakimu belum pulih. Hati-hati sedikit." Tegur Mastika.

"Kenchana ingin keluar, melihat suasana di sini." 

"Kalau begitu, nanti Ibu ambilkan tongkat untukmu."

Mastika berjalan ke arah sudut bilik tersebut dan mengambil sebatang kayu yang tersandar di dinding. Kayu tersebut kemudian diberi kepada Kenchana.

"Pakailah tongkat ini untuk memudahkanmu berjalan." Mastika meletakkan kayu topang dibawah ketiak Kenchana sebagai sokongan kepada gadis muda itu untuk berjalan. 

Kenchana memulakan langkahnya terenjut-enjut dengan sokongan kayu topang. Perlahan-lahan menghala ke arah pintu untuk keluar dari bilik tersebut. Mastika pula mengikuti rapat di belakang Kenchana dengan berjaga-jaga. Bimbang jika Kenchana hilang keseimbangan dan rebah. Kenchana berjalan sambil melihat sekeliling dalaman rumah yang dia berada sekarang. Terdetik kekaguman apabila melihat rumah yang diperbuat dari buluh tersebut. Selama ini, Kenchana hanya tinggal di dalam gua dan belum pernah melihat rumah yang dibina manusia menggunakan sumber alam. 

Setelah melangkahkan kaki keluar rumah, Kenchana bertambah kagum apabila melihat, banyak rumah lain yang terbina di kawasan tersebut. Beginikah yang dinamakan perkampungan? detik hati Kenchana. Kenchana melihat beberapa anak kecil sedang bermain sambil berlari-lari. Suasana di perkampungan itu sungguh meriah. Begitu ramai manusia yang hidup bersama. Inilah kali pertama Kenchana melihat manusia lain, hidup bersama, beradat, berbudaya dan bergembira. Kemudian beberapa orang wanita berjalan menuju ke arahnya yang sedang bersama dengan Mastika.

"Dia sudah sedar ya.. Macam mana keadaanmu?" sapa salah seorang wanita itu sambil tersenyum manis. Kenchana cuma terpempan dan kaku berdiam diri. Mulutnya terlopong, tidak berani untuk bersuara. Dirinya masih terkejut setelah melihat kehadiran begitu ramai manusia di sekitarnya sekarang.

"Ya.. dia baik-baik saja." Mastika menjawab bagi pihak Kenchana. Mastika sedar anak angkatnya itu masih segan dan kekok untuk bergaul dengan orang lain. 

"Kalian jangan menyoal bermacam-macam padanya. Dia masih dalam kejutan." Mastika menyambung percakapannya. Dia sedar keadaan Kenchana dan tidak mahu gadis muda itu terus diasak dengan berbagai persoalan. Kenchana perlukan tempoh untuk menyesuaikan dirinya dengan kehidupan bersama manusia lain secara tiba-tiba. Wanita-wanita yang menghampiri mereka cuma menganggukkan kepala sebagai memahami dan akur dengan permintaan Mastika itu. Walaupun masih ingin tahu siapa wanita yang baru tiba di perkampungan mereka itu, tetapi mereka terpaksa mendiamkan diri dulu sebagaimana permintaan Mastika. Wanita di depan mereka sekarang sungguh aneh. Kulitnya putih bersih dan pakaiannya pula dari sutera putih yang belum pernah dilihat mereka selama ini.

Pada pandangan Kenchana pula, orang-orang disitu yang aneh. Pakaian mereka cuma dari dedaunan yang dijalin dan diikat di pinggang menutup bahagian selangkangan dan diikat pada leher untuk menutupi dada sahaja. Dari jauh, terlihat juga beberapa orang lelaki yang cuma menutup bahagian selangkangan mereka sahaja dengan dada terbuka. Terdetik pula difikiran Kenchana tentang pakaiannya sendiri. Dia sendiri tidak tahu bagaimana pakaiannya terbuat. Yang dia tahu, dari kecil, ibunya sering memakaikannya pakaian. Setelah ibunya meninggal dan dia makin membesar, pakaian baru untuknya sentiasa ada. Tiba-tiba sahaja pakaiannya muncul ditempat tinggalnya. Kenchana fikir, mungkin Suri yang membawanya kerana cuma Suri sahaja yang tahu gua kediamannya. Tetapi entah dari mana rusa itu mendapatkan pakaian sutera putih itu semua. Suri juga tidak mampu menjawab setiap pertanyaan Kenchana kepadanya.

"Marilah Kenchana. Katamu ingin bertemu Betara." Mastika mengajak Kenchana sambil tangannya menunjuk ke arah yang lapang di perkampungan itu. Di sana kelihatan beberapa orang lelaki sedang berbual-bual dan ramai kanak-kanak sedang bermain. Kenchana hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience