44

Fantasy Completed 11833

"Cukup.. Sudah puas aku bermain." Tiba-tiba suara Sang Ukong mengejutkan Betara. Lelaki itu segera berpaling ke arah belakang dan mendapati Sang Ukong sedang berdiri beberapa kaki jaraknya dari belakang Betara. Betara melihat kembali Sang Ukong yang ditikam olehnya.Rupa-rupanya Sang Ukong yang ditikam oleh Betara itu adalah jelmaan klon yang dihasilkan oleh kera sakti tersebut. Entah bila masanya kera tersebut menghasilkan jelmaan dirinya. Betara semakin bingung.

Sang Ukong kemudian memutar-mutar dengan kencang tongkatnya lalu menghentak tongkat sakti tersebut di tanah seperti sebelumnya. Betara  tersentak lagi apabila suasana persekitaran mereka sekali lagi bertukar. Mereka kini kembali ke hutan tempat mereka berada sebelumnya. Kera-kera yang berada di situ berdicit melarikan diri apabila melihat Betara dan raja mereka kembali ke sana.

"Betara!" Kenchana menjerit memanggil suaminya apabila melihat Betara muncul kembali. Namun Betara yang masih hilang kesedarannya itu tidak mengendahkan panggilan dari Kenchana.

"Arrghhhh!!" Betara menjerit buat kesekian kalinya. Api mula menyambar kembali dari badannya dan membakar lagi hutan yang sedia terbakar sejak dari tadi. Dia pun melancarkan kembali serangan yang bertali arus ke arah Sang Ukong. Semua serangan dari Betara tetap berjaya dielak dengan mudah oleh Sang Ukong yang bertingkah lincah.

"Sudahlah.. sampai setakat ini sahaja.. kalau dibiarkan lagi, nanti hutan ini akan musnah sepenuhnya." Sang Ukong berbicara seraya melompat jauh ke belakang untuk menghindari serangan Betara yang bertali arus sambil bertujuan untuk menjarakkan dirinya dari Betara.

"Tongkat sakit, memanjanglah!" Serta merta tongkat di tangan Sang Ukong kembali menjadi panjang sekali lagi dan seraya itu juga Sang Ukong menghayunkan tongkatnya itu ke arah Betara. Serangan kera sakti itu berjaya mengenai sasarannya dan mengakibatkan Betara terpelanting sebelum tergolek beberapa kali ke tanah. Sang Ukong dengan tangkas melompat ke arah Betara yang masih tertungkup di tanah dan sekali lagi menyerang dengan satu hentakan kuat di bahagian belakang badan Betara yang mengakibatkan Betara mengalami kecederaan sehingga memuntahkan darah. 

Api yang menyala pada badan Betara pun menghilang. Tangannya yang tadinya menggenggam erat Keris Taming Gemala Naga, kini melepaskan keris tersebut. Sungguh luar biasa kehebatan Sang Ukong si raja kera itu. Cuma dengan dua pukulan sahaja sudah mampu mengalahkan Betara yang tersohor sebagai pahlawan yang hebat dari kalangan Puak Saga. Kenchana dari atas dahan pokok yang tinggi itu cuma mampu menangis tidak henti apabila menyaksikan suaminya ditewaskan dengan mudah oleh seekor kera yang menggunakan tongkat kayu. 

Walaupun sudah tertiarap ditanah, nafas Betara yang kelelahan masih kedengaran. Sang Ukong yang berdiri hampir di kepala Betara itu cuma melihat Betara yang sudah lemah itu sambil menggaru-garu badannya, layaknya sebagai seekor kera. Sang Ukong kemudian mengalihkan pandangannya ke arah Kenchana yang terikat di atas pokok. Tangisan kencang Kenchana itu dirasakan membingitkan telinga Sang Ukong dan kera sakti itu kemudian menutup telinganya menggunakan tangannya sambil mulutnya dimuncungkan ke arah Kenchana dan kepalanya kemudian digelengkan ke kanan dan kiri beberapa kali. 

Tanpa disangka, Betara yang masih mempunyai tenaga itu menyambar kaki Sang Ukong dengan tangannya. Kaki kera itu dicengkam dengan kuat dan penuh tenaga oleh Betara. Sang Ukong yang terkejut dengan tindakan Betara itu cuba melompat-lompat supaya cengkaman tangan Betara dikakinya itu terlepas namun usahanya itu sia-sia. Betara lantas bangkit dan menghempas Sang Ukong ke tanah. Betara cuba mengulangi serangannya itu dan menarik kaki Sang Ukong dengan keras sehingga badan kera itu terangkat melepasi kepala Betara. Namun sebelum Betara menghempasnya kembali ke tanah, Sang Ukong segera memijakkan kakinya yang sebelah lagi ke atas bahu Betara dan dia kini berada di posisi berdiri diatas Betara. Dengan cepat sekali Sang Ukong menghayunkan ekornya ke muka Betara. Kera itu kemudian menggunakan kakinya untuk memulas lengan Betara dan dia menjunamkan dirinya ke tanah sambil menarik lengan Betara. Dorongan dari Sang Ukong menyebabkan Betara hilang keseimbangan dan tercampak jatuh ke tanah, beberapa kaki jaraknya dari Sang Ukong.

Kesakitan pada lengan dan belakang badannya menyebabkan Betara meronta dan mengerang. Sang Ukong pula sudah pun berdiri dan berlari-lari anak sambil melompat memegang tongkatnya seolah sedang bergembira. Kera itu kemudiannya mengambil semula Kipas Daun Pisang yang dicampakkannya tadi lalu menghayunkan sekali lagi kipas itu untuk memadamkan api yang masih marak membakar, hasil serangan Betara tadi. Angin kencang yang terhasil itu membuatkan Betara yang sedang terbaring tergolek beberapa kali dan beberapa ekor kera yang berada di sekitar itu mencicit melarikan diri. Kenchana yang sedari tadi menangis tiba-tiba diam seketika apabila menyaksikan angin kencang yang memadamkan api tersebut. 

Sang Ukong kemudiannya dengan tangkas memanjat pokok besar yang dia mula-mula munculkan diri tadi dan juga tempat dimana Kenchana sedang terikat. Apabila tiba di hadapan Kenchana, Sang Ukong hanya tersengih sambil menggarukan kepalanya. Kenchana pula sudah mula dihantui ketakutan apatah lagi kera itu dilihat dengan mudah mengalahkan Betara. 

"Tolong.. jangan apa-apakan aku.. tolong lepaskan kami.." Kenchana menangis dan merintih memohon belas kasihan dari kera tersebut.

"Kamu benar-benar isteri orang itu?" Sang Ukong bertanya kepada Kenchana sambil menunjukkan jarinya ke arah Betara yang sedang terbaring di tanah selepas tergolek-golek ditiup angin kencang sebentar tadi. Kenchana hanya menganggukkan kepalanya sambil dirinya masih menangis walaupun dia masih merasa hairan kerana melihat seekor kera sedang berbicara kepadanya. Kemudian Sang Ukong membawa Kenchana yang sedang terikat itu turun dari pokok yang besar dan tinggi itu. Sesampainya mereka di tanah, kera sakti tersebut terus membuka ikatan yang membelenggu Kenchana. Apabila ikatannya terlerai, Kenchana yang ketakutan segera berlari mendapatkan Betara yang sedang mengerang kesakitan.

"Bodoh! Bodoh! Bodoh! Kenapa kau bawa isteri orang kepadaku." Sang Ukong mengetuk-ngetuk kepala salah seekor kera yang berada di pangkal pokok tersebut. Kera yang diketuk kepalanya itu tidak berani melawan dan cuma berdiri membatu sambil mencicit setiap kali kepalanya diketuk. Tiba-tiba kumpulan kera itu dikejutkan dengan satu cahaya putih yang menyilaukan mata. Cahaya yang hanya muncul sesaat itu tidak dapat dipastikan dari mana puncanya. Namun Sang Ukong menjadi terkejut apabila melihat Betara yang tadinya sedang meronta kesakitan, kini sudah mampu berdiri di samping Kenchana. Lelaki itu terlihat seolah langsung tidak mengalami kecederaan. Sang Ukong kemudian mengalihkan pandangannya kepada Keris Taming Gemala Naga milik Betara yang berada di atas tanah. Kera sakti itu mendekati keris tersebut dan mengambilnya sebelum menuju ke arah Betara dan Kenchana. 

"Kenapa kesakitanku sudah hilang sama sekali? itu.. apakah Kenchana..." Betara cuba bertanyakan Kenchana tentang keajaiban yang terjadi pada dirinya namun tidak sempat dia menghabiskan pertanyaannya, Betara terus menarik Kenchana untuk berlindung di belakangnya apabila dia menyedari Sang Ukong menghampiri mereka. Kemarahan Betara terhadap kera sakti itu kembali menyelimuti hatinya lebih-lebih lagi apabila melihat raja kera itu sedang memegang Keris Taming Gemala Naga miliknya. Tiba-tiba Sang Ukong mencampakkan keris di tangannya itu ke arah Betara dengan perlahan. Keris itu pun disambut dengan kemas oleh Betara. Pemimpin Puak Saga itu kemudiannya membuka langkah kuda-kudanya dan bersedia menghadapi Sang Ukong sekali lagi. 

"Kenapa kau masih begitu marah kepadaku? Padahal isterimu sudah ku kembalikan.. dan senjatamu juga sudah aku kembalikan.." Sang Ukong memuncungkan bibir mulutnya sambil memacakkan tongkatnya ke tanah dan kedua kaki dan tangannya berpaut pada tongkat tersebut. 

"Ah..aa...Aku.." Betara kehilangan kata-kata . Dia menjadi bingung serta merta dengan tindakan dan kata-kata Sang Ukong. Ada benarnya kata kera sakti tersebut. Tadinya Betara mengamuk kerana isterinya telah diculik tetapi kini isterinya itu sudah pun dikembalikan semula kepadanya. Jadi Betara sepatutnya sudah tiada alasan untuk terus bertengkar dengan kera tersebut. 

"Aku.. ada sesuatu yang ingin ku tanyakan padamu.." Sang Ukong tersengih melihat ke arah Betara. Sikap nakal kera tersebut terus menerus membingungkan Betara. Terkadang kera itu terlihat bodoh dan tolol namun seketika kemudian juga sangat menyakitkan hati.

"Apa yang kau ingin tahu dariku?" Betara masih bersikap dengan kera yang terlihat menjengkelkan itu.

"Senjatamu itu... itu milik Sang Ulong, Naga Purba Raya Dirgantara..  Aku kenal hawa kesaktian dia.. Bagaimana kau mampu memiliki senjata tersebut?" 

"Oh.. Jadi kau juga kenal Naga Purba Raya.. Sebenarnya aku adalah anaknya.." Betara cuba menjawab dengan jujur.

"Apa? Anak? Kau Anaknya? Ulong ada anak?" Sang Ukong terkejut sehingga melepaskan pegangan tangan dan kakinya di tongkatnya yang terpacak mengakibatkan punggungnya jatuh terhempas ke tanah dan dia juga berundur kebelakang dengan menguis kakinya. Sang Ukong kemudian bangkit berdiri dan berlari menuju ke arah Betara kembali sambil menarik tongkatnya yang terpacak di tanah. Tindakan lincah Sang Ukong itu sangat mengejutkan Betara sehingga lelaki itu hampir menyerang Sang Ukong kerana terperanjat. 

"Benar kau anak Ulong?" Sang Ukong memanjangkan lehernya untuk mendekatkan kepalanya ke arah Betara.

"Ya.. Dia adalah ayahku."

"Sungguh tak sangka si bangsat itu mempunyai anak..hahaha. Patutlah tadi kau bereaksi sebegitu dan mengeluarkan api.. " Sang Ukong ketawa terbahak-bahak sambil memegang perutnya. Betara dan Kenchana hanya memerhatikan tingkah laku kera sakti tersebut.

"Sebenarnya aku dan ayahmu itu sahabat baik. Dulu kami bertiga sering bersama..hihihi.." 

"Bertiga? kalian bertiga? siapa seorang lagi?" Betara menjadi ingin tahu. Perasaan marah dan geramnya kepada Sang Ukong langsung menghilang. Betara juga sudah tidak mempamerkan sikapnya yang dingin terhadap kera sakti tersebut.

"Nanti kau tanyakan sendiri ayahmu itu..hihihi"

"Aku.. Aku tidak pernah bertemu dengan ayahku.." 

"Tidak pernah bertemu? hahaha.. Ulong memang bangsat sejati. Anak sendiri pun dia tidak pernah ambil peduli..hihihi" 

"Kalau tiada apa-apa yang penting, kami ingin pergi dahulu dari sini.. kami kesuntukan masa sekarang.." Betara cuba mengundurkan diri apabila dia kembali terfikirkan misi mereka untuk menyerang Ratu Manikmaya dan menyelamatkan anaknya Melur. Masanya sudah banyak terbuang. Dia tidak ingin terlambat sedikit pun untuk sampai ke Gunung Korbu. Nyawa anaknya mungkin akan melayang bila-bila masa sahaja di tangan Ratu Manikmaya yang kejam.

"Nanti dulu.. Tadi kau katakan tentang Ratu Manikmaya.. Apakah kau sedang menuju kepadanya?" Sang Ukong cuba meneka.

"Ya.. dia telah melarikan anakku.. Aku perlu menyelamatkan anakku secepat mungkin.."

"Jadi, itulah tujuan kalian melalui jalan ini.. sudah sembilan tahun aku disini, belum ada manusia yang berani mendekati sarangku ini."

"Hmm.. Apakah kau boleh membantu kami? Bantu kami untuk mengalahkan Ratu Manikmaya.."

"Eemmm... Walaupun aku boleh mengalahkannya dengan mudah, tapi aku tidak ingin mencampuri urusan manusia."

"Tolonglah..."

"Tidak! Dahulu manusia suka menyerang dan menghapuskan kera-kera walaupun kami tidak mengganggu mereka.. Kerana membalas perbuatan jahat manusia, akhirnya aku dibuang dan dikutuk oleh kayangan. Aku sudah bersumpah tidak akan melupakan dendam kami kepada para manusia. Kau diberi pengecualian kerana kau sendiri bukanlah sepenuhnya manusia. Tapi urusanmu sesama manusia, aku tidak akan ambil peduli.. selesaikanlah sendiri masalah diantara kalian." Sang Ukong meluahkan perasaannya. Baginya manusia itu penuh dengan sifat kejam dan dia tidak ingin berdekatan dengan manusia lagi. Kerana itulah dia mengetuai pasukan kera bersarang di kawasan tersebut. Mereka tidak akan mengizinkan mana-mana manusia mendekati sarang mereka itu.

"Baiklah kalau begitu. Jadi kami pergi dulu.." Betara memegang tangan Kenchana dan ingin berjalan pergi dari situ.

"Nanti!" Sang Ukong masih cuba menahan Betara.

"Apa lagi?"

"Dari kemampuanmu tadi, aku yakin kau tidak akan mampu mengalahkan Ratu itu. Pasukan raksasa korbunya bukan biasa-biasa."

"Itu bukan urusanmu.. jika kau tidak mahu membantu sekalipun, aku tetap perlu pergi menyelamatkan anakku."

"Hahaha.. kau itu panas baran orangnya.. sama seperti perangai Ulong. Bukan aku ingin merendahkanmu, tapi aku yakin itu bukan kemampuan sebenarmu jika benar kau itu anak keturunan naga purba.."

"Apa maksudmu?"

"Ulong itu kuat. Bahkan aku sendiri tidak yakin mampu mengalahkannya. Mana mungkin anaknya berkemampuan selemah itu.. Kau diam disitu." Sang Ukong meminta Betara untuk berdiri diam tidak bergerak dan Betara cuba menuruti arahan kera sakti itu. Betara hanya mengamati Sang Ukong yang menatap ke seluruh badannya.

"Hmm.. patutlah.. sarafmu di sini masih terkunci. Biar aku bukakan." Sang Ukong mencucuk beberapa tempat di dada Betara menggunakan jarinya sebelum menekan tapak tangannya di bahagian perut lelaki tersebut yang menyebabkan Betara tiba-tiba muntah mengeluarkan angin dan terbatuk-batuk. Betara merasakan kepalanya pening dan tubuhnya tiba-tiba menjadi lemah sehingga dia rebah melutut ke tanah. Kenchana gelisah apabila melihat keadaan suaminya itu. Betara yang tidak mengerti perbuatan Sang Ukong terhadap dirinya hanya memandang ke arah kera sakti tersebut. Fikirnya, kera itu masih ingin mempermainkannya.

"Pergilah kau selamatkan anakmu.. Aku ingin kembali berehat di sarangku.. Eh.. sarangku sekarang sudah terang dimusnahkanmu." Kera itu melompat-lompat sambil menggaru-garukan kepalanya. Rasa geram Betara hilang kembali apabila menyaksikan telatah kera tersebut. Tiba-tiba Betara terasa geli hati dan ingin tertawa namun ditahan tawanya itu dari terluah. Kenchana pula memegang lengan Betara untuk menyokong suaminya itu kembali berdiri.

"Nanti sebentar lagi kami akan kembali melalui jalan ini bersama pasukan kami. Semoga kera-keramu tidak menghalang perjalanan kami nanti." Betara dan Kenchana pun berlalu dari situ untuk kembali bergabung dengan ketumbukan mereka. Pasangan suami isteri itu kemudiannya tertawa kecil setelah melihat Sang Ukong yang menjerit-jerit kerana sarangnya yang merupakan hutan gelap selama ini sudah menjadi terang benderang kerana sudah terbakar oleh api dari Betara tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience