27

Fantasy Completed 11833

Sungai Lepir

Kenchana, Mastika dan dua orang lelaki dari Puak Saga tiba di Sungai Lepir yang menjadi tempat berkumpul pahlawan Puak Saga sebelum ini.
Kenchana yang mengatakan dia berfirasat buruk tidak mahu terus menunggu di Perkampungan Bunut Naga. Kenchana berkeras untuk bersama Betara dan Puak Saga yang lain berada di medan pertempuran. Walaupun telah dihalang, namun Kenchana tetap melarikan diri dari Bunut Naga dan menuju ke arah Sungai Lepir seperti yang diketahui oleh mereka tempat itu menjadi tempat berkumpulnya para pahlawan Puak Saga dari berbagai perkampungan. Kerana tidak mampu menghalang Kenchana yang sudah berkeras kepala, Mastika terpaksa ikut bersama menantunya itu dan dua orang lelaki juga diarahkan untuk menemani mereka bagi menjaga keselamatan Kenchana sebagai Punti Puak Saga itu.

"Tidak salah lagi, disini tempat mereka berkumpul." Salah seorang lelaki pengiring memulakan kata.

"Tapi dimana mereka semua?" Kenchana pula menyoal.

"Barangkali disini cuma tempat untuk mereka berkumpul. Mungkin mereka memilih tempat lain yang lebih sesuai untuk berperang." Seorang lelaki lagi memberi pendapat.

"Lebih baik kita menunggu disini aja Kenchana. Jangan mendekat dengan kawasan pertempuran." Mastika memberi sarannya.

"Betul tu. Sangat bahaya jika kita memasuki kawasan mereka bertempur. Lebih baik kita menunggu mereka disini saja." Lelaki pengiring itu menyokong pendapat Mastika.

"Kita rehatlah dulu disini Kenchana."Mastika duduk sambil menarik tangan Kenchana untuk duduk bersama. Kenchana hanya mendiamkan diri dan menuruti kata-kata Ibu mertuanya itu walaupun hatinya sedang resah. Sejak dari tadi jantungnya berdebar-debar dan fikirannya cuma memikirkan tentang suaminya. Dia bimbang sesuatu yang buruk akan menimpa Betara yang mengepalai ketumbukan perang mereka bagi menentang kawanan raksasa korbu. Ingatannya membangkitkan bayangan mimpi yang dia pernah alami suatu masa dulu. Wajah ngeri raksasa korbu yang memukul Betara sehingga tewas meresahkan Kenchana. Wanita itu semakin khawatir apabila memikirkan tragedi yang pernah menimpa Betara kemudiannya, dimana suaminya itu cedera parah dan tidak sedarkan diri. 

Ulu Sepat

MEDAN pertarungan antara Puak Saga dan raksasa korbu masih rancak berlangsung. Namun begitu, di suatu sudut, kelihatan Betara yang terbaring dengan mata terpejam dan menjerit menahan kesakitan. Kekuatan Betara sudah habis terkuras dan sekarang dia sudah tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menantikan ajalnya datang menjemput. Raksasa korbu yang cuba meneruskan serangan ke atas Betara dihentikan oleh Ratu Manikmaya. Sang Ratu menguncupkan sayapnya dan berjalan menuju ke arah Betara yang sudah hampir pengsan itu. Senyuman meleret di wajah Ratu Manikmaya.

"Manusia tak guna ini berani menyerang aku. Biar aku sendiri yang menghabisi riwayatnya."

Raksasa korbu yang berdiri disebelah Betara segera berundur setelah mendengar arahan dari Ratu Manikmaya. Sang Ratu yang menghampiri Betara tiba-tiba berteriak kesakitan. Rupa-rupanya bahagian belakang badannya telah ditikam oleh Tupak. Lelaki yang menyampaikan khabar berita tentang rancangan penyerangan Ratu Manikmaya kepada Betara itu berjaya melepaskan kebenciannya terhadap ratu yang kejam itu. Walaupun tikamannya cuma mencederakan Ratu yang telah menyerang puaknya itu, tetapi Tupak tetap merasai puas hati.

"Mampuslah kau Ratu Manikmaya! Aku akan bebaskan puakku dari kekejamanmu!" Tupak menjerit ke arah sang ratu. Dia mengeluarkan belati yang menusuk belakang badan Ratu Manikmaya dan cuba untuk melanjutkan serangan berikutnya untuk mencabut nyawa wanita kejam itu.

"Manusia celaka!" Ratu Manikmaya lantas memusingkan badannya dan menguakkan sayapnya untuk menyahkan Tupak dari sisinya. Tupak terundur kebelakang beberapa tapak apabila tertolak oleh sayap besar dibelakang badan Ratu Manikmaya itu. Tupak yang hilang keseimbangan tubuhnya cuba menstabilkan langkah kakinya untuk berdiri. Ratu Manikmaya yang dikuasai amarah langsung menghayunkan tongkat ditangannya untuk menyerang Tupak dengan cahaya sihir kehijauan yang muncul dari tongkatnya itu.

Serangan Ratu Manikmaya yang pantas itu tepat mengenai Tupak. Lelaki itu segera lumpuh dan jatuh melutut di tanah. Salah seekor raksasa korbu kemudian dengan pantas menikam badan Tupak menggunakan lembing dari belakang sehingga menembusi dada lelaki tersebut. Membuak-buak darah keluar dari tubuh lelaki yang bersemangat kental itu apabila lembing yang menusuknya ditarik kembali oleh raksasa korbu yang menyerangnya. Ratu Manikmaya memukul kepala Tupak yang sudah kehilangan nyawanya itu dengan tongkatnya. Kemarahan sang satu jelas terpancar dari renungan matanya kepada Tupak. Mata putihnya terlihat dipenuhi urat-urat merah yang halus dan menambahkan kengerian pada wajahnya yang buruk separuh itu. Amarah Ratu Manikmaya memuncak apabila manusia yang dianggap hina itu telah mencederakan dirinya. Kini Ratu Manikmaya beralih semula ke arah Betara yang sudah terkulai layu di pembaringannya. Pemimpin ketumbukan yang menyerang Ratu Manikmaya itu sudah tidak sedarkan diri.

"Ini satu lagi manusia tak guna. Akan aku tamatkan riwayat kau dengan tanganku sendiri."

Ratu Manikmaya pun berjalan semula mendekati Betara. Matanya kemerahan menahan marah. Lalu tangannya yang memegang tongkat diangkat tinggi. Dia ingin menghabiskan riwayat Betara dengan satu serangan. Lelaki yang sudah nazak itu pasti akan mati serta merta jika menerima satu serangan sahaja lagi.

Tiba-tiba langit berdentum kuat. Bunyi kuat seakan guruh itu mengejutkan semua orang. Ratu Manikmaya yang belum sempat menyerang Betara mendongakkan kepalanya memandang ke arah langit dengan muka yang berubah menjadi pucat. Bunyi dentuman seakan guruh itu bergema lagi.

'Itu.. itu.. ngauman Ulong.. Sang Purba.." Ratu Manikmaya menjadi ketakutan. Pada fikirannya, suasana yang kacau bilau dan hiruk pikuk di medan perang itu telah mengganggu Sang Purba Raya. Namun dia langsung tidak menyangka Sang Purba Raya itu akan berada berdekatan sekitar pergunungan tersebut.

Tiba-tiba muncul seekor naga yang besar menerpa ke arah medan peperangan. Beberapa ekor raksasa korbu di telannya dengan mudah dan semburan api dari mulut sang naga itu bertebar ke seluruh arah. Ketumbukan Puak Saga ramai yang lari bertempiaran menyelamatkan diri mereka dari amukan Naga bergelar Sang Purba Raya itu. Sekuat apa pun mereka, pasti tidak akan mampu menghadapi Naga lagenda itu. Ratu Manikmaya pula mengeluarkan lapisan pelindung yang bercahaya hijau untuk mengelakkan api serangan Naga tersebut.

"Ulong.. Sang Purba Raya Dirgantara!! Apa lagi yang kau mahukan wahai naga bodoh!" Ratu Manikmaya menjerit kegeraman terhadap Naga Purba Raya yang telah mengganggunya.

Ulong yang bergelar Naga Purba Raya Dirgantara itu melihat ke arah Ratu Manikmaya yang menjerit kepadanya. Sang Purba Raya menjadi geram apabila Sang Ratu Manikmaya menahan serangan apinya dengan lapisan pelindung dan menjerit kepadanya seperti mencabar kekuatan sang naga itu. Lalu hembusan api yang lebih besar dikeluarkan dari mulut sang naga purba itu ke arah Ratu Manikmaya. Sang Ratu juga sedaya upaya menguatkan lapisan pelindungnya untuk mengelakkan serangan api dari naga tersebut.

Kerana tindakan Ratu Manikmaya yang mencabar kekuatannya, Naga Sang Purba pun memijak lapisan pelindung sang ratu dengan menggunakan kakinya. Kekuatan fizikal dari naga yang bersaiz besar itu sungguh menggerunkan apabila dengan mudah menghapuskan lapisan pelindung milik Ratu Manikmaya. Kemudian Naga Purba Raya menggunakan ekornya untuk melibas ke arah Ratu Manikmaya yang membuatkan wanita itu terpelanting jauh dan bergulingan sehingga menghampiri pinggiran tebing.

Amukan Ulong, Sang Naga Purba Raya tidak habis disitu apabila dia menyerang lagi dengan api yang dihembus dari mulutnya ke arah Ratu Manikmaya dan seluruh kawasan. Ratu Manikmaya yang sudah cedera itu sempat bangkit berdiri untuk menghasilkan lapisan pelindung sekali lagi bagi mengelakkan semburan api Naga Purba membakar dirinya. Sang Ratu yang sudah lemah dan kehabisan tenaganya itu tertolak ke belakang apabila menahan semburan api yang marak ke arahnya. Kecederaanya yang parah menyebabkan dia hilang keseimbangan untuk terus berdiri seraya terpelanting ke hujung tebing dan terus jatuh ke lembah. Suara teriakan Ratu Manikmaya terdengar nyaring dan semakin sayup semasa dirinya jatuh ke jurang yang jauh dari ketinggian tebing.

Sungai Lepir

SETELAH mendengar ngauman Sang Naga Purba yang seakan guruh dilangit, Mastika dan dua lelaki pengiring mereka menjadi terkejut dan panik. Kenchana yang belum pernah mendengar ngauman itu tidak tahu apa-apa. Dia cuma menyangka itu bunyi guruh yang aneh. Kenchana yang mendongakkan kepalanya ke langit langsung merasa sangat pelik kerana suasana langit ketika itu sangat cerah. Bagaimana pula boleh ada guruh yang aneh bunyinya. Walau bagaimana pun, hatinya semakin resah dan dia semakin tidak senang duduk.

Bagi Mastika dan dua lelaki pengiring mereka yang pernah mendengar bunyi tersebut, mereka sudah pun menyedari bahawa itu adalah ngauman Sang Naga Purba Raya Dirgantara. Ketika mendengar bunyi itu berulang lagi, Mastika terus menekapkan kedua tangannya menutup kedua belah telinganya. Dia tak sanggup untuk mendengar lagi ngauman naga tersebut. Sepertinya Mastika sangat trauma dengan ngauman sang naga. Matanya terpejam rapat sambil menggelengkan kepalanya berkali-kali. Tiba-tiba Mastika menjerit kuat sebelum jatuh pengsan. Kenchana dan dua lelaki puak Saga itu menjadi kelam-kabut melihat keadaan itu.

"Ibu, kenapa ibu?" Kenchana memeluk tubuh Mastika yang sudah tidak sedarkan diri.

"Baringkan dulu Ibu Mastika, Punti." Kata salah seorang lelaki.

"Kenapa dengan Ibu?" Kenchana bertanya kepada dua lelaki dihadapannya. Kedua lelaki tersebut hanya menghembuskan nafas berat seolah mengeluh.

"Ibu Mastika ada pengalaman buruk. Tapi kami tak patut untuk bercerita mengenainya. Nanti Punti boleh bertanyakan kepada orang sepatutnya untuk mengetahui kisahnya." Salah seorang lelaki menjawab.

"Siapa yang patut Aku tanyakan?" Kenchana semakin menjadi ingin tahu.

"Yang boleh ceritakan hal itu cuma Ibu Mastika sendiri dan Ruwai Damar sahaja."

"Sekarang Ibu Mastika pengsan. Kita tunggu sahaja sehingga dia sedar." Lanjut seorang lelaki lagi. Mereka berdua masing-masing melemparkan pandangan wajah mereka ke tanah. Kenchana cuma diam setelah mendengar penjelasan dua orang lelaki yang mengiringinya itu. Fikirannya semakin tidak tenang setelah memikirkan keadaan Ibu mertuanya itu. Apakah yang telah berlaku kepada Mastika? Pasti itu bukan hal yang biasa-biasa sehingga mampu menyebabkan Mastika trauma sedemikian sedangkan Mastika yang Kenchana kenal adalah seorang wanita yang sabar dan tabah. Bahkan sewaktu Betara cedera parah beberapa minggu lalu pun, Mastika cuma menangis sebentar sahaja kerana terkejut dengan keadaan anak tunggalnya yang belum pernah seteruk itu. Selepas Betara di rawat, Mastika sudah mampu tenang dan menunggu sahaja sehingga Betara sedar. Berbeza sekali dengan Kenchana yang menangis tidak berhenti sehingga Betara sedar dari pengsannya.

Dari kejauhan, bunyi dentuman seakan guruh itu masih kedengaran. Bunyi apakah sebenarnya itu, Kenchana masih tertanya-tanya sambil melihat ke langit. Yang pasti, bunyi seakan guruh itu sungguh menakutkan dan menggentarkan jiwa. Fikiran Kenchana kembali mengingatkan Betara. Entah bagaimana keadaan suaminya yang sedang bertempur itu. Rasa cemas semakin menimpa-nimpa benak Kenchana di saat ini. Dia kemudiannya mengalihkan kembali pandangannya ke arah ibu mertuanya yang pengsan tidak sedarkan diri. Mastika yang selama ini terlihat tabah dan tenang, namun dihatinya tersimpan seribu kedukaan yang tidak pernah dikongsikan. Kenchana perlahan-lahan mengusap pipi Mastika. Ibu mertuanya itu masih muda dan terlihat cantik. Wanita tercantik dikalangan Puak Saga.

Ulu Sepat

KEMBALI ke medan perang. Suasana sekarang sudah menjadi sunyi. Kedengaran hanyalah bunyi api yang masih marak membakar pokok-pokok dan ranting kayu. Hanya Ulong, Sang Naga Purba Raya Dirgantara sahaja yang berdiri megah di situ. Sang Naga cuma memerhatikan keadaan sekeliling, melihat-lihat jika masih ada sisa mereka yang sudah mengganggunya sebentar tadi. Dalam sekelip mata, medan pertempuran itu menjadi sunyi kerana ulah sang naga seekor itu sahaja.

Kelihatan beberapa mayat manusia dan raksasa korbu terbaring di kawsan tersebut. Tanpa disangka masih ada dua ekor raksasa korbu yang mampu bangkit berdiri. Tindakan makhluk bodoh yang tidak berakal itu akan meragut nyawa mereka. Naga Purba Raya yang melihat dua ekor raksasa korbu yang masih mampu berdiri kembali itu dengan sekelip mata menerkam ke arah mangsanya dan menelan mereka hidup-hidup. Jika ada yang masih bernyawa dan mempunyai akal, mereka akan memilih untuk berpura-pura mati sahaja saat ini demi menjaga nyawa mereka dari diragut oleh Naga yang buas itu. Itulah yang dilakukan oleh beberapa orang lelaki dari Puak Saga yang tercedera. Mereka hanya mendiamkan diri dan berbaring di tanah kerana ketakutan. Berpura-pura mati adalah langkah terbaik walaupun terpaksa menahan kesakitan yang dialami.

Dari celah pokok dan semak yang jauh, beberapa orang manusia dari Puak Saga masih terselamat dan bersembunyi dari Naga tersebut. Mereka cuma mengintip dari kejauhan sambil bersembunyi untuk melihat tingkah naga dalam lagenda itu. Mereka tidak berani bergerak sedikit pun bahkan ada yang tidak berani untuk bernafas. Bimbang keberadaan mereka diketahui oleh Naga Purba Raya Dirgantara. Sebarang bunyi yang terhasil pasti bakal menarik perhatian naga tersebut.

Seketika kemudian, selepas puas meninjau, Ulong, Si Naga Purba Dirgantara itu pun mengaum dengan keras dan melompat ke udara. Badannya yang seakan ular gergasi itu pun terbang jauh meninggalkan medan pertempuran. Ngauman Naga Purba yang menakutkan itu membuatkan beberapa orang lelaki yang bersembunyi disekitar itu terkencing dan menangis sambil bergementaran. Raksasa korbu yang merupakan makhluk menakutkan itu masih mampu untuk mereka hadapi namun seekor Naga Purba beratus kali ganda lebih menakutkan. Jangankan untuk melawan makhluk itu, menyentuhnya sahaja di fikirkan sangat mustahil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience