KENCHANA sedang berjalan di dalam hutan seorang diri. Nafasnya tercungap-cungap dan dirinya kelelahan. Setelah berjalan beberapa ketika, Kenchana pun tiba di kawasan sungai. Di tebing sungai tersebut, Suri sedang berdiri memandang ke arahnya. Kenchana mahu meneruskan langkah kakinya menuju ke arah Suri, tetapi tiba-tiba muncul satu tangan memegang dan menarik lengannya.
"Lepaskan aku." Kenchana terperanjat dan cuba meronta, meminta lengannya dilepaskan.
Genggaman tangan itu mulai longgar dan kemudian dilepaskan. Kenchana melihat ke arah pemilik tangan itu. Kenchana menarik nafas lega setelah mengetahui orang tersebut adalah Betara. Betara hanya tersenyum seraya menyapa Kenchana.
"Kamu buat apa lagi di hutan sendirian? Jangan meletakkan dirimu dalam bahaya. Ayuh kita kembali ke perkampungan."
"Ah.. Kenchana.. mencari Suri." Tersekat-sekat suara Kenchana menjawab pertanyaan Betara. Kenchana kemudiannya mengalihkan pandangannya ke arah Suri berada. Tapi dia sudah tidak melihat kelibat Suri di situ. Kemana pula perginya si rusa itu. Beberapa saat tadi Suri masih berdiri di tebing sungai tersebut.
"Ah..Suri sering sahaja begitu.. Tiba-tiba sahaja menghilang." Getus hati Kenchana. Terkadang dia geram dengan perangai rusa albino tersebut.
"Ayuh Kenchana, kita kembali. Aku sudah mendapatkan hasil buruan hari ini." Betara menunjukkan seekor arnab di tangannya kepada Kenchana.
"Betara, jangan kelamaan pergi berburu. Kenchana bimbang.." Kenchana sendiri tidak tahu kenapa dia mengucapkan kalimat itu kepada Betara. Sekarang dia kebingungan dengan dirinya sendiri.
"Ayuh.." Betara pun memalingkan badannya.
Baru sahaja Betara berpaling, tiba-tiba satu pukulan kuat hinggap ke dada lelaki sasa itu. Kenchana terpana apabila melihat Betara melambung jauh ke belakang. Darah tersembur laju keluar dari mulut Betara dan arnab digenggamannya juga terlepas. Kenchana hanya terpempan, terkaku diam. Lidahnya menjadi kelu dan dirinya tidak mampu berbuat apa-apa. Kenchana merasakan lututnya lemah longlai apabila melihat sosok seekor raksasa yang berbadan seperti manusia yang kekar dan besar tetapi berkepala seperti kerbau. Makhluk itu menjatuhkan Betara cuma dengan satu pukulan.
"Lari Kenchana! Selamatkan dirimu!" Betara yang terbaring di tanah menjerit mengarahkan Kenchana menyelamatkan diri. Darah yang berwarna merah pekat memenuhi mulut dan dada Betara. Walaupun Betara menjerit supaya dia melarikan diri, tetapi seluruh badan Kenchana sudah tidak mampu digerakkan. Dia terlalu takut sehingga terketar-ketar seluruh tubuh. Makhluk pelik yang hodoh itu kemudian melompat ke arah Betara sambil menghayun senjatanya untuk menghabisi nyawa lelaki berkenaan. Kenchana yang panik hanya mampu menjerit.
"Betara!!!"
Peluh kasar memenuhi wajah Kenchana. Jantungnya berdebar kencang seakan mahu terkeluar dari badannya. Kemudian Kenchana melihat Mastika berada disampingnya. Mastika segera memegang bahu Kenchana yang baru bangkit dari pembaringan.
"Kenapa Kenchana, Kenapa kamu jerit nama Betara?"
"Betara.. Dia..dia..."
Kenchana memalingkan wajahnya ke seluruh kawasan. Mencari-cari kelibat Betara dan raksasa yang menyerang lelaki itu. Tapi pencariannya meleset. Kenchana masih tertanya-tanya dimanakah Betara. Bagaimana keadaan lelaki itu sekarang? Dia yakin Betara dilanda musibah sekarang.
"Ibu, dimana Betara?" Kenchana bertanya kepada Mastika.
"Ah, Betara belum lagi pulang dari berburu. Kenapa Kenchana?"
"Betara.. Dia diserang.. Betara diserang.."
"Kenchana.. Betara tidak apa-apa.. Jangan khawatirkan dia. Jaga dulu kesihatan dirimu." Mastika mengusap kepala Kenchana.
"Kenchana.. Kenchana.. Kenapa dengan Kenchana?" Kenchana sepertinya masih bingung dan tidak menyedari apa yang telah berlaku kepadanya. Gadis itu memerhatikan kawasan sekelilingnya. Kenchana baru sedar, dia sekarang sedang berada di kediamannya. Tubuhnya terasa lesu dan urat di seluruh badannya dirasakan tegang.
"Kenchana kelumpuhan semalam. Seluruh tubuh Kenchana tidak boleh digerakkan. Betara sudah bawa pulang Kenchana kembali ke perkampungan. Jangan risau.. Kenchana sudah selamat sekarang. Cuma jaga kesihatan Kenchana selepas ini." Mastika memberi penerangan untuk menyedarkan kembali situasi gadis tersebut.
"Ah.. Ya.. Salak.. Kenchana lihat.. dia membunuh Limbat..Betara.. Betara datang selamatkan Kenchana.. Betara bunuh Salak.." Kenchana cuba mengingati apa yang terjadi kepada dirinya sebelum ini. Kekesalan mula timbul di hatinya. Dia terlalu percayakan Salak namun lelaki itu cuba mengapa-apakan dirinya. Dia mula mengingati kembali saat dia merasa bahagia apabila Betara muncul di depan matanya. Lelaki sasa itu mendukung dirinya dalam pangkuan dengan erat sekali. Kenchana mula mengelamun, mengingati betapa hangatnya tubuh Betara dan bagaimana bau keringat tubuh lelaki itu yang membuatkan dirinya terpesona. Sekarang Kenchana mula bingung. Kenapa dirinya sangat menyukai bau tubuh Betara? Bau itu bukanlah harum tetapi amat mengasyikkan. Mastika yang melihat wajah putih Kenchana mula merona kemerahan merasa pelik dengan gadis itu. Kulit putih Kenchana menyebabkan emosinya mudah terlihat, apatah lagi Kenchana yang bersifat polos itu tidak pandai menyembunyikan perasaannya.
"Kenchana, bagaimana dengan dirimu?" Mastika meletakkan tangannya di dahi Kenchana untuk merasakan suhu badan gadis itu.
"Kenchana.. Kenchana tidak apa-apa." Kenchana tiba-tiba kelam-kabut dan menjadi tersipu sendiri. Mastika mengulum senyuman yang cuba terbit di bibirnya. Dia menahan rasa ingin tertawa setelah melihat telatah Kenchana sebentar tadi. Fikirnya, Kenchana benar-benar gadis yang polos. Seketika kemudian, Kenchana baru teringat dengan insiden dimana dia melihat Betara dipukul oleh seekor makhluk berbadan seperti manusia yang kekar tetapi berkepala kerbau. Wajah makhluk itu benar-benar mengerikan. Kenchana masih tertanya-tanya mengenai kejadian tersebut. Dia ingin menafikan apa yang dia lihat itu adalah mimpi semata. Kenchana ingin meyakini apa yang dilihatnya itu suatu kejadian sebenar namun dia juga tidak mengharapkan hal itu benar-benar berlaku. Dia tidak sanggup jika Betara benar-benar dipukul dan dibunuh oleh raksasa yang menakutkan itu.
"Ibu.. Betara dimana?"
"Betara keluar berburu.. Semalaman dia menunggu Kenchana di sini sampai tertidur." Mastika meleretkan senyuman apabila menceritakan hal tersebut kepada Kenchana.
"Betara tunggu Kenchana?" Muka Kenchana kembali merona. Namun selepas itu, fikirannya mula membayangkan kembali saat Betara memuntahkan darah apabila dipukul. Betara menjerit mengarahkan dirinya melarikan diri dan raksasa berkepala kerbau sekali lagi menerpa ke arah Betara dan menghabisi nyawa lelaki tersebut. Kenchana menjadi tidak keruan. Seluruh badannya gementaran apabila bayangan tersebut muncul difikirannya.
"Kenchana? kenapa denganmu?" Mastika menjadi pelik dengan tingkah Kenchana yang tiba-tiba berdiam diri dan kini gementar seluruh badan.
"Betara dalam bahaya.. Betara dalam bahaya ibu.." Kenchana mula menangis teresak-esak. Dia memeluk badan Mastika yang sedang berdiri di samping tempat pembaringannya. Muka Kenchana dibenam ke pelukan Mastika. Mastika yang tidak memahami apa yang sedang difikirkan oleh Kenchana hanya terkulat-kulat mengusap kepala anak angkatnya itu.
"Betara tidak apa-apa sayang.. Dia keluar berburu. Nanti dia pulanglah." Mastika cuba memujuk Kenchana yang sedang menangis.
"Kenchana nampak.. Betara diserang oleh raksasa.."
"Raksasa? Apa yang Kenchana katakan ini?" Mastika semakin bingung.
"Kenchana bersama Betara ketika itu.. Tapi.. muncul satu raksasa.. badannya seperti manusia tetapi sangat besar.. Kepalanya pula seperti haiwan.. bertanduk.. Dia memukul Betara.." Kenchana masih menangis dan tersedu-sedan sambil menceritakan apa yang dia lihat sebelum ini.
"Sayang.. Kamu bermimpi Kenchana.. Semalam kamu baru dibawa pulang oleh Betara. Sekarang kamu baru sedar dari tidurmu sejak semalam. Betara pagi tadi sudah keluar berburu bersama pasukannya.. Kamu cuma mimpi.. Sabar sayang.." Mastika baru mengerti sekarang. Sepertinya Kenchana sudah mengalami mimpi ngeri semasa tidurnya tadi. Kerana itulah gadis itu terbangun dari tidurnya sambil menjeritkan nama Betara tadi.
"Tapi.. Kenchana benar-benar melihat Betara dipukul." Kenchana masih ingin menafikan dirinya bermimpi.
"Tenanglah sayang.. Pergilah mandi dulu. Nanti ibu siapkan makanan. Kenchana belum makan dari semalam lagi.. Pasti sangat lapar kan?" Mastika bijak memujuk gadis polos itu. Kenchana mula merasakan perutnya sedang berkeroncong apabila mendengar kata-kata Mastika.
"Bila Betara akan pulang ibu?"
"Sekarang sudah petang. Nanti dia pulanglah.. Kenchana pergilah mandi dulu." Mastika membelai kedua belah pipi Kenchana sambil menatap ke mata gadis tersebut. Kenchana hanya mendiamkan diri. Pandangan matanya dijatuhkan ke lantai. Fikirannya masih lagi memikirkan tentang Betara. Di dalam hatinya, dia berdoa agar Betara selamat dan tiada perkara buruk yang menimpa lelaki itu. Kenchana kemudian melihat ke arah pakaiannya. Gaun putihnya bersih. Beberapa detik kemudian dia mula teringat, pakaiannya sudah berlumuran darah apabila ditindih oleh Salak yang bergelumang dengan darah Limbat dibadannya. Kenchana yakin, dia memakai gaun lain semasa dirinya lumpuh. Gaun tersebut sudah pun dikotori dengan darah dan tanah. Selepas diberi minum ubat oleh Mastika, dia terus tertidur dan kini dirinya baru sedar dari tidurnya. Lalu bagaimana gaunnya bertukar ganti setelah dia tidur? Kenchana membelek-belek gaun yang menutupi badannya. Mastika yang melihat Kenchana sedang memerhatikan gaunnya itu sudah mampu meneka persoalan yang bermain di fikiran anak angkatnya itu.
"Ibu yang tukarkan pakaian Kenchana semalam sewaktu Kenchana tidur. Pakaian Kenchana semalam sudah kotor. Ibu sudah mencucinya." Mastika segera menjawab persoalan yang bermain difikiran Kenchana walaupun tidak ditanya.
"Oh.. Begitukah? Terima kasih ibu." Kenchana mengukir senyuman semasa mengucapkan kalimat tersebut.
"Ya.. Sekarang Kenchana pergilah mandi. Semalam ibu cuma lapkan badan Kenchana yang kotor dengan kain basah sahaja."
"Baiklah ibu.." Kenchana perlahan-lahan menurunkan kakinya dari tempat pembaringan. Tubuhnya terasa sangat letih dan lesu. Tidak pasti hal itu disebabkan oleh kesan air melumpuhkan yang diminum oleh Kenchana atau kerana dirinya yang tidur terlalu lama. Setelah menginjakkan kakinya ke lantai, Kenchana terasa sedikit terhuyung-hayang apabila cuba berdiri. Mastika yang melihat keadaan Kenchana itu segera memegang kedua bahu Kenchana untuk memastikan anak angkatnya itu dapat berdiri dengan stabil. Setelah beberapa detik, Kenchana mengangkat tangannya separas dada sebagai isyarat kepada Mastika dia sudah tidak memerlukan sokongan wanita itu.
"Kenchana tidak apa-apa ibu.. " Kenchana menyentuh bahu Mastika dan ibu angkatnya itu mula melepaskan pegangannya perlahan-lahan.
"Mahu ibu temankan Kenchana mandi?" Mastika menawarkan diri. Dia sebenarnya tidak mahu untuk membiarkan Kenchana yang masih belum pulih sepenuhnya itu berjalan sendirian ke sungai di belakang perkampungan. Sungai yang tidak jauh dari perkampungan itu menjadi sumber utama kepada penduduk Bunut Naga untuk mendapatkan bekalan air bagi tujuan mandi, mencuci, memasak dan sebagainya. Walaupun jaraknya tidak terlalu jauh, namun Mastika tidak ingin lagi membiarkan Kenchana bersendirian lebih-lebih lagi disaat gadis itu masih berkondisi tidak baik dengan kesihatannya. Kenchana hanya menganggukkan kepalanya kepada Mastika. Mata Kenchana kemudian dialihkan ke sebelah katil yang menjadi tempat dia berbaring. Di sebelah katil tersebut tersusun beberapa helai gaun putih Kenchana yang dipakainya bersilih ganti. Semua pakaiannya berwarna putih.
Share this novel