Perkampungan Bunut Naga
BETARA memegang keris Taming Gemala Naga dan melihat-lihat kepada bentuk dan ciri-ciri unik yang terdapat pada senjata tersebut. Kenchana, Mastika, Ruwai Damar dan semua yang ada disitu turut memerhatikan gelagat Betara dan melihat ke arah keris ditangan lelaki itu. Betara kemudiannya meletakkan keris pemberian Naga Purba itu ke lantai.
"Hampir sebulan Betara pengsan sebelum sedarkan diri.. Selepas dia sedar, lebih kurang dua bulan lamanya dia cuma terlantar di pembaringan. Selama masa itu, dia menerima rawatan sehingga sembuh." Penghulu Jalit menyampaikan kisah yang ingin diketahui ramai orang itu.
"Tapi dia sudah pergi selama sepuluh tahun dari sini.. sampaikan anaknya juga sudah besar.." Mastika menangis lalu memeluk Betara yang duduk disebelahnya. Rindu seorang ibu terhadap anak tunggalnya itu sukar diungkapkan. Selama ini, Mastika hanya memendam perasaan sendirian mengenangkan nasib Betara yang disangkanya sudah meninggal dunia. Perasaannya tidak pernah diluahkan walaupun kepada Kenchana kerana dia tidak mahu menantunya itu lebih menderita mengenangkan Betara.
"Seperti yang kami beritahu tadi.. Masa di alam ini tidak sama dengan masa di alam kami.. " Penghulu Jalit mengulang kembali penjelasannya tadi.
"Kerana kita tinggal di alam yang berbeza, maka perjalanan masa di antara kita juga berbeza. Kalian sebagai manusia tidak dapat ke alam kami tanpa dijemput oleh kami tetapi kami mampu ke alam kalian dengan bebas. Namun kami mempunyai keterbatasan jika berada disini. Kami tidak mampu untuk bertahan hidup dalam waktu yang lama jika masuk ke alam manusia ini. Kerana itulah Ibu Kenchana mati. Suri pula terpaksa mengubah bentuk wujudnya kepada binatang untuk terus bertahan disini." Panjang lebar Penghulu Jalit melanjutkan perbicaraan.
"Tapi.. Kenapa Kenchana mampu bertahan? Bukankah dia sebahagian dari kalian?" Betara bertanya.
"Kenchana itu istimewa.. Dia terlahir dengan kuasa sakti secara semula jadi yang tidak dimiliki oleh orang lain."
"Kuasa.. sakti..?" Betara terpegun. Mindanya mula mengingati peristiwa ketika jari Kenchana terluka. Namun lukanya itu segera menghilang bahkan tidak meninggalkan sedikit parut pun. Apakah itu kesaktian Kenchana? Betara hanyut terbawa fikiran.
"Kenchana itu terlahir pada malam dua purnama mengambang?" Mastika mencelah.
"Kamu juga tahu tentang dua bulan purnama mengambang?" Penghulu Jalit kehairanan. Mastika hanya mendiamkan diri. Ruwai Damar, Betara dan beberapa orang lagi menatap ke wajah Mastika yang terlihat sugul. Semasa perkenalannya dengan Kenchana suatu ketika dahulu, Mastika juga bertanyakan hal yang sama kepada Kenchana kerana nama gadis itu. Berdasarkan nama dan umur Kenchana ketika itu, Mastika mampu meneka tarikh kelahiran gadis itu. Namun kejadian malam dua bulan mengambang itu jarang di ketahui oleh manusia biasa.
"Kamu benar.. Kenchana itu terlahir pada malam dua bulan purnama yang mengambang penuh. Pada malam itu, bulan di dunia kalian dan bulan di dunia kami, keduanya mengambang penuh dengan cahaya keemasan pada saat bersamaan. Hal itu cuma terjadi selama tujuh ratus sebelas tahun sekali sahaja. Malam itu penuh dengan kesaktian.. Sekalian makhluk ghaib akan berebut untuk mendapatkan kesaktian pada malam tersebut. Tanpa disangka, kesaktian pada malam itu turun kepada Kenchana yang dilahirkan pada waktu itu." Jelas Penghulu Jalit lagi.
Mastika hanya menatap ke arah Kenchana. Jadi persoalannya pada sepuluh tahun lepas sudah terjawab. Selepas perang berakhir, Kenchana mengeluarkan kesaktian yang menghidupkan kembali hutan yang sudah musnah dan memulihkan kecederaan orang yang tercedera pada masa itu. Rupa-rupanya Kenchana sememangnya mempunyai kuasa sakti yang dia sendiri tidak tahu.
"Kerana memiliki kesaktian, Kenchana mampu bertahan hidup di dunia ini... begitu juga dengan Ratu Manikmaya.. Dia juga adalah sebahagian dari kami.. Kami membawa Kenchana ke alam ini adalah untuk menyelamatkan Kenchana dari Ratu Manikmaya. Namun akhirnya Ratu itu tetap mengetahui muslihat kami dan dia mengejar Kenchana sehingga ke alam ini. Dia juga mampu bertahan hidup di alam ini kerana mempunyai kesaktian dari kuasa sihir yang dia puja. Kerana terlalu gilakan kuasa sakti dan mengejar keabadian, dia merancang untuk membunuh Kenchana dan mengambil kuasa sakti milik Kenchana.." Lanjut Penghulu Jalit.
Semua yang mendengar penjelasan Penghulu Jalit itu terdiam seribu bahasa. Tiada yang mampu menanyakan apa-apa soalan lagi kerana masing-masing sedang berfikir dan cuba memahami kejadian yang telah belaku dua puluh lapan tahun yang lepas.
"Tapi.. Kenapa Naga Purba berikan kerisnya kepada Betara?" Kenchana mula bersuara setelah dia asyik menatap keris yang diletakkan di atas lantai, di samping suaminya itu.
"Hmm.. Itulah yang masih kami fikirkan dan tidak mendapat sebarang jawapan.. " Jawab Penghulu Jalit.
"Kerana dia mahu pastikan Betara selamat.." Ruwai Damar pula bersuara. Riak wajah lelaki tua itu nampak sungguh serius. Semua mata memandang ke arah Ruwai Damar. Seolahnya lelaki itu tahu sesuatu mengenai Naga Purba Raya Dirgantara.
"Sebenarnya.. Betara.. adalah anak Ulong, Naga Purba Raya Dirgantara.. " Matika mula meleraikan kebuntuan yang melanda mereka yang tertanya-tanya mengenai Naga Purba. Semua yang berada disitu terkejut dan langsung tidak menyangka pengakuan Mastika itu termasuklah Betara sendiri. Bagaimana mungkin Betara itu anak kepada makhluk lagenda tersebut.
"Apa... yang Ibu katakan ini... Bagaimana..Betara anak naga?" Betara sendiri semakin bingung dengan pengakuan ibunya itu.
Mastika memandang ke arah Kenchana dan tersenyum kepada menantunya itu. Mastika memegang tangan Kenchana dan mengusap-usap tangan lembut wanita itu.
"Sudah lama Kenchana nak tahu tentang ayah Betara kan? Sekarang Ibu akan ceritakan..."
Imbas Kembali...
MALAM yang sunyi terlihat cerah oleh sinaran bulan yang terang keemasan. Di kawasan hutan, langsung tidak kedengaran suara bahkan dari seekor cengkerik pun. Di sebuah tasik, permukaan air yang tenang tiba-tiba bergelombang. Sang Naga Purba Raya menjengahkan kepalanya keluar dari permukaan tasik tersebut. Matanya tertancap kepada bulan purnama yang sedang mengambang penuh. Cahaya purnama itu sungguh cerah menerangi suasana malam itu. Naga Purba Raya pun menenggelamkan kepalanya ke dalam air tasik dan dengan pantas dia keluar kembali, terbang dari tasik tersebut sambil mengaum kuat. Suaranya yang gagah itu terdengar seperti guruh yang berdentum dilangit. Naga Purba Raya terbang meluncur laju membelah awan menuju ke arah puncak Gunung Chamah.
Setelah sampai ke puncak Gunung Chamah, Naga Purba melihat ada cahaya dari jamung api yang dihasilkan oleh penduduk Puak Saga di Perkampungan Bunut Naga. Sang Naga Purba pun mendarat di puncak gunung tersebut, berhampiran dengan kawasan perkampungan. Dia mengaum kuat sehingga menakutkan penduduk disitu. Seluruh Perkampungan Bunut Naga menjadi gegak gempita dan huru-hara kerana ketakutan.
"Punta.. Naga Purba Raya telah datang ke perkampungan kita!" laung salah seorang lelaki menyampaikan berita kepada Ruwai Damar yang masih bergelar punta ketika itu.
"Kita perlu sediakan korban.. berikan korban persembahan kepada Naga Purba Raya Dirgantara." Arah Punta Damar.
"Ta..Tapi.. siapa? Kita nak persembahkan siapa sebagai korban?"
"Kita perlukan gadis sunti yang bersih dan suci dari darah." Punta Damar memberi penerangan.
Semua yang berada disitu mendiamkan diri. Tiada sesiapa yang sanggup bersuara mencadangkan satu nama atau menjadi sukarela untuk menjadi korban kepada Naga Purba tersebut. Seketika kemudian, Mastika menghampiri Punta Damar.
"Biarlah Mastika yang menjadi korban persembahan untuk Naga Purba.." Mastika menawarkan dirinya sendiri dengan berani.
"Tapi.. Mas.. Kamu itu satu-satunya anakku.. Kamu yang akan menentukan punta yang akan menggantikanku.." Punta Damar menolak permintaan Mastika.
"Hal itu kita putuskan kemudian ayah.. Sekarang kita kena tenangkan dulu Naga Purba. Jangan biarkan semangat gunung terus marah dan mengutuk kita." Mastika tetap berkeras.
"Ini bukan hal yang mudah Mastika! Kalau kamu dikorbankan, siapa yang akan menjadi punta seterusnya nanti.."
"Ayah.. soal punta pengganti itu masih panjang masanya untuk difikirkan.. Sekarang kita perlu selesaikan masalah yang lebih penting.."
"Tapi.. tapi..." Punta Damar tidak mampu meneruskan kata-katanya. Hatinya tidak sanggup untuk mengorbankan anak tunggalnya itu. Tangannya digenggam kemas. Fikirannya berkecamuk untuk membuat keputusan. Mastika itu satu-satunya anaknya. Dia akan kehilangan waris keturunannya jika Mastika dikorbankan. Malah, Mastika itulah yang akan menentukan punta berikutnya puak mereka. Jika Mastika dikorbankan, Puak Saga akan tiada pemimpin yang akan menggantikan dirinya.
"Sebagai anak punta, Mas akan bangga jika dapat berkorban untuk Puak Saga.. " Mastika tersenyum sambil memegang kedua tangan Punta Damar yang tergenggam.
"Sungguh berani kau mengambil keputusan yang berat ini Mas.." Punta Damar menangis sambil melihat wajah anak perempuannya itu. Sungguh pilu hatinya apabila memikirkan akan kehilangan satu-satunya anak dia yang sepatutnya akan berkahwin dan menjadi isteri kepada punta berikutnya. Sudahlah isteri Punta Damar meninggal setelah melahirkan Mastika dahulu, menjadikan Mastika satu-satunya anak tunggal pemimpin itu. Kini Mastika pula akan mengorbankan dirinya demi puak mereka.
"Sediakan pancang kayu diluar.. Kita akan menyediakan korban penyembahan kepada Naga Purba Raya itu! Kemarahan semangat gunung perlu diredakan." Jerit Punta Damar, memerintah dengan kuat untuk menghakis rasa pilu dihatinya.
Ngauman dari Naga Purba Raya yang sedang berselindung di dalam kegelapan hutan itu semakin kuat menggegarkan alam. Penduduk Puak Saga yang semakin ketakutkan mengikat dan memacak kayu dengan cepat untuk menyediakan korban penyembahan secepat mungkin kepada Naga Lagenda itu. Pacang kayu dipasang diluar perkarangan perkampungan. Setelah semuanya tersedia, Punta Damar dan Mastika mendekati pacang kayu yang terpacak di situ. Mastika kemudian diikat kemas pada kayu tersebut menggunakan akar-akar pokok oleh beberapa orang lelaki. Setelah Mastika selesai diikat, beberapa lelaki disitu terus berlalu pergi dan kembali masuk ke perkarangan kampung. Yang tinggal sekarang hanyalah Mastika yang sudah diikat dan Punta Damar sahaja yang masih menemani anak perempuannya itu.
"Maafkan ayah wahai puteriku.." Punta Damar menangis sambil menyentuh pipi Mastika dengan telapak tangannya.
"Ayah tidak perlu minta maaf. Ini kerelaan Mas sendiri dan Mas akan bangga kerana berkorban demi puak kita."
"Wahai Naga Purba Raya Dirgantara yang menjaga semangat gunung! Kami sudah sediakan korban penyembahan untuk mu.. Tenanglah engkau dan ambillah korbanmu ini! " Selepas melaungkan kata-kata kepada Naga Purba Raya yang sedang berselindung di dalam kegelapan hutan itu, Punta Damar pun segera berpaling dan berlalu pergi dari situ untuk pulang ke perkarangan perkampungan Bunut Naga. Langkah kakinya diiringi dengan deraian air mata, menahan kesedihan kerana terpaksa mengorbankan anak tunggalnya itu.
Mastika yang ditinggalkan bersendirian sambil diikat itu mula keresahan apabila mendengar ngauman Naga Purba Raya dari kegelapan. Seketika kemudian ngauman naga itu berhenti dan yang kedengaran hanyalah suara menderam yang menakutkan. Dari kegelapan hutan itu, Mastika dapat melihat dua biji mata yang besar berwarna merah saga dan menyala-nyala. Mastika yang terikat dikayu yang dipancang itu mula terketar-ketar seluruh badannya. Jiwanya mula gentar apabila melihat cahaya api yang sesekali keluar dari hujung hidung makhluk gergasi itu.
Seketika kemudian, seorang lelaki yang berwajah bengis keluar dari kegelapan hutan itu menuju ke arah Mastika. Lelaki itu hanya memakai dedaunan tebal menutupi kelangkangannya dan kelihatan banyak taring yang tersusun menjadi kalung di leher lelaki tersebut. Mastika hanya meronta-ronta kerana ketakutan namun ikatan yang kuat pada kaki dan tangannya hanya menyakitkan dirinya apabila dia terus meronta. Lelaki itu mendekati Mastika dan diam seketika apabila melihat Mastika yang sedang meronta dalam ikatan itu. Mastika pula sudah memejam rapat kedua matanya, tidak sanggup untuk melihat lelaki yang menyeringai dihadapannya itu kerana terlalu ketakutan. Lelaki itu kemudian mendekatkan wajahnya ke tubuh dan leher Mastika sambil mengendus-ngendus hidungnya menghidu Mastika. Wajah bengisnya kemudian menjadi kendur. Lama dia menatap wajah Mastika yang sedang memejamkan mata. Sepertinya lelaki itu mula tertarik dengan Kecantikan Mastika.
"Aku tidak akan apa-apakan dirimu.. Aku cuma mahu kau membawa waris keturunanku.. Lahirkan kepadaku anak naga yang gagah dan berani.."
Lelaki yang bergelar Ulong, Sang Naga Purba itu kemudian melepaskan ikatan yang membelenggu Mastika. Setelah ikatan dilepaskan, Ulong memeluk erat Mastika sehingga dada mereka rapat bersentuhan. Ulong kemudian mengangkat Mastika yang berada dalam pelukannya itu dan merebahkan gadis itu ke tanah. Tubuh sasa Ulong itu menindih tubuh kecil Mastika sehingga membuatkan Mastika sukar untuk bernafas seketika. Mastika ingin sahaja menjerit tetapi lidahnya sudah kelu kerana terlalu takut. Setelah itu, Mastika membiarkan sahaja sang Naga Purba itu untuk memperlakukan seenaknya kepada dirinya.
Share this novel