AROMA wangi dengan pelbagai jenis bunga menusuk deria penghiduan Mastika. Dia hanya duduk bersimpuh di atas hamparan batu besar yang rata sambil memerhatikan Kenchana yang sedang memetik bunga. Kenchana hanya menginginkan Mastika untuk menemaninya sahaja ke tempat tersebut tetapi Kenchana tidak mahu Mastika memetik bunga bersamanya memandangkan bunga yang diperlukannya tidaklah terlalu banyak. Kenchana fikir, dia sendirian sudah cukup untuk mendapatkan jumlah bunga yang dia perlukan.
Kenchana sebolehnya tidak mahu membebankan ibu angkatnya itu. Jadi dia meminta Mastika hanya duduk di atas batu di situ dan tunggu sahaja sehingga Kenchana selesai memetik bunga. Setelah urusannya selesai, Kenchana segera mendatangi Mastika yang sedang menunggunya.
"Sudah cukup bunganya?" Mastika menyapa apabila melihat Kenchana sedang berjalan menghampirinya.
"Mungkin sudah lebih agaknya." Kenchana tertawa sambil menunjukkan hasil bunga yang dipetiknya kepada Mastika.
"Kenchana mahu berikan kepada siapa pula malai bunga kali ini?"
"Ah.. Kenchana.. hendak berikan kepada.. Betara." Senyuman terukir di bibir mulus Kenchana.
"Betara?" Mastika inginkan kepastian.
"Ya. Betara sudah selamatkan Kenchana. Jadi Kenchana ingin berikan penghormatan dan hadiah sebagai balasan kepada Betara." Kenchana menggigit bibir bawahnya.
"Baguslah kalau begitu. Betara pasti suka."
"Benarkah Betara akan suka?"
"Pastilah.. Malai bunga itu, kita cuma akan berikan kepada orang yang kita hormat, orang yang kita sayang. Erti dari pemberian malai bunga itu sangat tinggi nilainya. Sesiapa pun pasti akan suka jika mendapat malai bunga. Orang yang menerima malai bunga pasti gembira kerana ada orang yang menghormati, sanjung dan sayang kepadanya."
"Ibu.."
"Kenapa Kenchana?"
"Betara.. belum ada pasangan? Apa dia tidak pernah suka kepada sesiapa?" Kenchana mulai untuk mengorek rahsia peribadi Betara dari ibunya. Mastika terdiam sebentar apabila diajukan soalan sedemikian oleh Kenchana.
"Betara sangat suka pada seorang gadis.." Mastika mula membongkar.
"Seorang gadis dari Bunut Naga ini?"
"Ya.. Gadis itu juga penduduk di Bunut Naga ini."
"Siapa Ibu?"
"Kirana.. Namanya Kirana."
"Kirana?"
"Ya.. Betara dan Kirana adalah teman baik sejak dari kecil. Lima tahun lalu, mereka sudah pun bertunangan."
“Bertunangan itu apa?” Kenchana tidak memahami maksud tersebut.
“Bertunang itu, sebuah ikatan hubungan di antara lelaki dan perempuan sebelum mereka berkahwin. Sebelum berkahwin dan digelar suami isteri, mereka akan bertunang dahulu. Betara dan Kirana dahulu pernah membuat perjanjian hubungan untuk dinikahkan.”
“Oh, begitu..”
Imbas kembali 5 tahun lalu...
SAMBIL tersenyum, Betara memegang tangan seorang gadis.
"Kirana.. ayuh kita menikah sekarang." Betara menarik tangan gadis tersebut. Gadis berwajah manis dan bertahi lalat di bawah bibir sebelah kanan itu adalah Kirana. Teman baik dan juga tunang kepada Betara.
"Dua hari lagi kita menikah la. Kau sabar boleh tak?" Kirana menepuk kuat tangan Betara yang sedang menggenggam lengannya. Setelah menarik Kirana berdekatan sebatang pokok, Betara menghentikan langkahnya dan menyandarkan belakang badan Kirana pada pokok tersebut. Kedua tangannya diletakkan di pokok tersebut dan mengapit Kirana ditengah menjadikan gadis itu betul-betul menghadap ke arah Betara dalam keadaan hampir rapat.
"Kau sudah gila ke Betara?" Kirana menunjukkan ekspresi geramnya.
"Kalau gila pun, nanti jadi suamimu juga.. Dan kau, isteri kepada orang gila.." Betara tertawa. Kirana mula menepuk dada Betara berkali-kali dengan kuat. Kemudian Gadis itu memegang kedua belah pipi Betara.
"Betara. Kenapa kau nak menikah denganku?" Kirana mengajukan soalan dengan lembut.
"Sebab tiada orang yang nak jadikan kau isteri. Terpaksalah aku yang menikah denganmu."
"Bencilah aku tengok muka kau." Kirana seraya menampar pipi Betara dan menolak wajah Betara dari mendekatinya. Kirana kemudiannya menepis tangan Betara yang menahannya di pokok dan cuba berlalu pergi dari situ. Sambil ketawa,Betara menangkap pergelangan tangan Kirana dan menarik gadis itu kembali ke pangkuannya. Betara kemudiannya merangkul pinggang Kirana dengan erat sehingga mengejutkan gadis tersebut. Seolah sedang mabuk, Betara cuba merapatkan bibirnya ke pipi Kirana namun gadis itu segera menolak Betara.
"Bodoh la kau ni. Nanti orang nampak la." Kirana menarik tangan Betara yang merangkul pinggangnya dan menolak dada lelaki itu supaya menjarakkan diri mereka.
"Kita kan dah nak kahwin dua hari lagi."
"Nak kahwin.. tapi belum kahwin.. sabarlah.. Dua hari saja lagi. Lepas kahwin nanti, kau nak gigit, nak makan aku pun suka hati kau lah."
"Gila.." Betara menepuk dahi Kirana sambil ketawa terbahak-bahak dan ketawa Kirana turut beriringan bersama.
"Aku jadi isteri orang gila.. Kau jadi la suami orang gila juga." Deraian ketawa mereka semakin kuat berhamburan.
Selepas seketika, ketawa mereka mula reda. Betara menolak badan Kirana rapat semula ke batang pokok di belakangnya badan wanita itu.
"Kau bersandar di situ sebentar." Betara kemudian mengeluarkan parang yang tersisip di pinggangnya. Lalu parang di tangannya itu ditetak pada pokok yang menjadi tempat Kirana bersandar. Tetakan pada pokok itu dibuat pada paras ketinggian kepala Kirana.
"Kau hendak bunuh aku ke?" Kirana tersengih menampakkan giginya.
"Kalau aku bunuh kau, aku hendak kahwin dengan siapa nanti?" Betara menolak kepala Kirana dengan lembut sebagai tanda supaya gadis itu beralih mengalihkan kedudukannya. Kemudian Betara pula menyandarkan tubuhnya ke pokok tersebut dan meletakkan parang di tangan pada paras kepalanya lalu ditetak parang tersebut pada batang pokok. Betara memasukkan kembali parangnya ke sarung yang kemas tersisip di pinggangnya dan beralih kedudukannya untuk melihat pokok tersebut.
"Kau lihat.. Ini tinggi kau.. Ini tinggi aku.. pokok ini menjadi saksi, setinggi hujung pucuk pokok ini, begitulah tinggi sayangku padamu. Semakin lama, semakin tinggi pokok ini.. dan sayangku padamu juga akan sentiasa semakin tinggi."
"Setinggi itu saja? Tapi aku sayangkan kau setinggi langit sana Betara." Kirana merapatkan badannya ke belakang badan Betara. Kedua tangannya memegang tangan Betara dan dia meletakkan dagunya di bahu kiri Betara. Mereka yang merupakan kawan baik semenjak kecil dan kini hampir menikah itu sudah terbiasa bergurau secara kasar dan romantis sesama sendiri.
"Jadi aku kena jadi burung untuk kejar cintamu."
"Jadi burung buat apa. Lebih baik kau jadi naga. Kau kan kuat." Kirana menolak kuat belakang Betara sehingga membuatkan lelaki itu tersembam ke arah pokok di depan mereka. Kirana segera berlari meninggalkan Betara yang sedang memeluk pokok untuk mengelakkan dirinya terjatuh ke tanah.
"Tak guna. Kemana kau nak lari?" Betara segera mengejar Kirana sambil mereka ketawa beriringan.
Setelah berkejar-kejaran, mereka pun menghentikan langkah kaki mereka di satu kawasan belakang dari perkampungan Bunut Naga. Kawasan itu cuma dipenuhi semak dan beberapa bongkah batu. Kirana menapak menuju ke arah tebing dan Betara hanya mengikuti langkah Kirana dari belakang. Di hujung tebing, mereka berhenti melangkah dan melihat panorama indah dari puncak gunung.
"Indah sungguh pemandangan dari sini." Kirana memaut lengan Betara dan menyandarkan kepalanya di bahu lelaki tersebut.
"Dari dahulu pun, begitulah pemandangan dari sini. Tiada apa pun yang berbeza." Betara cuba meningkah.
"Ish.. Kau ni kan.." Kirana menepuk lengan Betara. Geram dengan tunangnya itu yang cuba merosakkan suasana hatinya yang sedang senang. Kirana kemudian memandang ke atas tanah berbatu yang tinggi di sebelah mereka. Di puncak tanah berbatu itu, Kirana dapat melihat sejenis bunga yang berwarna kuning.
"Kau tengok atas sana, Betara. ada pokok bunga." Kirana menunjukkan ke atas puncak tanah berbatu itu kepada Betara menggunakan jari telunjuknya. Betara turut mendongakkan kepalanya melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Kirana.
"Hmm.. Aku sedang memikirkan sesuatu.." Kirana merenung ke arah Betara.
"Apa yang kau fikirkan?"
"Aku nak bersihkan semak-samun di sini dan tanam pelbagai jenis bunga. Biar kawasan ini penuh dengan bunga yang berwarna-warni."
"Bagus juga kalau begitu. Nanti aku carikan pelbagai jenis bunga di hutan. Kau tanam disini." Betara tersenyum mendengar keinginan Kirana.
"Ayuh, rehat dulu di sini." Betara duduk di tanah seraya menyandarkan tubuhnya pada satu bongkahan batu besar. Betara yang kepenatan memejamkan matanya dan Kirana turut ikut duduk di sebelah tunangnya itu.
"Lusa hari pernikahan kita. Aku harap dapat menjadi isteri yang baik untukmu.." Kirana berbisik kepada Betara lantas menyandarkan kepalanya di bahu Betara.
"Aku juga begitu Kirana.." Betara menjawab sambil matanya terpejam. Angin yang bertiup di puncak gunung tersebut membuatkan Betara ingin lena. Betara yang baru pulang dari berburu tadi sebelum berkejaran dengan Kirana pasti sudah terlalu penat dan memerlukan istirehat.
"Langit sudah gelap. Sebentar lagi hujan pasti turun.. Ayuh kita pulang dulu Betara." Kirana memberikan sarannya. Namun Betara sepertinya sudah tertidur dan tidak memberikan sebarang tindak balas. Kirana hanya menatap wajah Betara yang sudah terlelap itu dengan penuh kasih sayang. Kirana menggunakan jari-jemarinya menolak rambut Betara yang panjang menutupi wajah bakal suaminya.
"Rehatlah sayang." Kirana berbisik lembut.
Tidak lama kemudian, Betara tersedar dari tidurnya apabila beberapa titis air menimpa wajahnya. Air hujan itu membuat Betara terpinga-pinga. Betara lebih cemas apabila mendapati Kirana tiada di sebelahnya. Dia memalingkan wajahnya di sekeliling kawasan untuk melihat keberadaan Kirana namun kelibat gadis itu gagal ditemuinya. Betara lantas berdiri dan masih memusing-musingkan badannya melihat ke sekitar kawasan. Hujan yang turun mula semakin lebat.
"Kirana! Di mana kau?" Betara menjerit memanggil tunangannya itu.
"Betara. Aku di sini." Terdengar suara Kirana menyahut panggilan Betara dari atas. Betara segera memandang ke atas tanah berbatu di hadapannya. Kirana rupanya berada di puncak tanah berbatuan itu.
"Kau buat apa di atas sana? Turunlah. Sudah hujan ni.. bahaya kau di atas sana."
"Aku nak ambil pokok bunga ini. Nanti aku nak tanam di bawah sana." Kirana menunjukkan sepohon pokok bunga berwarna kuning di tangannya kepada Betara.
"Turunlah.. "
"Ya. Aku turun sekarang."
Kirana pun segera menuruni tanah tinggi itu. Dengan penuh berhati-hati, kakinya perlahan-lahan memijak batu-batu untuk menuruni kawasan tersebut. Hujan yang semakin lebat dan angin yang bertiup kencang semakin menyukarkan Kirana untuk turun. Betara pula dengan cemas menanti di bawah. Tiba-tiba kaki Kirana tergelincir dari batu yang dipijaknya kerana licin akibat air hujan yang sedang mencurah dari langit. Namun tangan gadis itu sempat berpaut pada batu lain untuk mengelakkan dirinya dari terjatuh ke bawah. Pokok bunga digenggamannya terlepas jatuh ke bawah. Betara semakin cemas apabila melihat keadaan Kirana.
"Tunggu! Aku datang kesana." Betara segera melompat dan mendaki batuan di situ menuju ke arah Kirana.
"Tolong aku Betara!" Kirana mula menjerit ketakutan. Betara dengan sedaya upaya mendaki dengan berhati-hati menuju ke arah Kirana. Kirana menguatkan cengkamannya pada batu yang menjadi tempat dia bergantung sekarang. Tiba-tiba batu yang dipegang oleh Kirana tergelincir dari kedudukannya dan tercabut dari tanah berbukit itu akibat tanah yang menjadi renggang kerana hujan yang lebat.
"Betara!!" Kirana akhirnya terjatuh ke arah jurang yang tinggi.
"Kirana!!" Betara hanya mampu menjerit nama tunangnya itu sambil melihat gadis itu terjatuh ke bawah jurang. Betara segera terjun ke tempat dia tidur sebentar tadi dan menuju ke arah tebing gunung tersebut untuk melihat Kirana yang terjatuh ke bawah sana. Kelibat Kirana sudah tidak terlihat. Air mata mula bercucuran namun tidak terlihat kerana tercampur dengan titisan air hujan yang lebat membasahi kepala dan seluruh badan Betara. Mata Betara terbeliak luas seolah tidak mempercayai apa yang sedang dia lihat sebentar tadi. Betara yang terduduk di tanah mencengkam tanah di hujung tebing tersebut dengan jari-jemarinya. Tangannya mengepal dengan kuat dan mula terketar-ketar.
"Kirana!!!" Betara menjerit nama tunangannya itu sambil menghentakkan kedua tangannya ke tanah berkali-kali. Di sebelahnya, terlihat pokok bunga yang terlepas dari pegangan Kirana tadi. Pokok itu semakin layu ditimpa hujan yang lebat mengganas. Beberapa orang penduduk di Perkampungan Bunut Naga menghampiri kawasan tersebut setelah mendengar jeritan kuat Betara tadi. Mereka yang masih tidak tahu apa yang telah terjadi, kebingungan melihat Betara yang sedang menangis, meratap di hujung tebing itu ketika hujan lebat sedang melanda. Namun jeritan Betara yang memanggil nama Kirana tadi pasti kerana sesuatu yang buruk sudah berlaku kepada Kirana.
Penduduk kampung yang berlari menuju ke arah Betara menghentikan langkah mereka apabila melihat api yang menyala secara tiba-tiba dari badan Betara.
"Api apa pula yang muncul dalam hujan lebat ini?" Salah seorang dari mereka bersuara. Namun semua yang melihat situasi itu tidak menjawab kerana masing-masing kebingungan. Betara kemudiannya berdiri dan mengamuk. Sudah jelas Betara sudah hilang kewarasannya dan mula memukul semua benda disekelilingnya.
Penduduk kampung yang menyaksikan kejadian tersebut segera melarikan diri mereka kembali ke perkampungan untuk mengelakkan hal yang tidak diingini berlaku. Hanya dua orang lelaki yang masih tetap tinggal disitu tetapi berdiri jauh dari Betara. Mereka hanya menyaksikan Betara yang sedang mengamuk dan menghancurkan semua ada berada di sekitar kawasan tersebut.
Sehari semalam Betara mengamuk dan menghancurkan kawasan tersebut. Semua benda ditumbuk dan disepak oleh Betara dengan sepenuh tenaga. Pokok-pokok, Bongkah-bongkah batu semua dihancurkannya. Semak-samun turut dimusnahkan malah tanah tinggi berbatu yang menjadi tempat Kirana mengambil bunga itu pun sudah diratakannya. Kekuatannya diluar batasan manusia biasa.
Keesokan harinya baru Betara berhenti dari mengamuk kerana sudah kehabisan tenaga. Betara akhirnya jatuh pengsan. Setelah itu, barulah penduduk Perkampungan Bunut Naga berani mendekati Betara dan mengangkat Betara untuk dibawa pulang dan kecederaannya dirawat. Kawasan yang berbukit dan berbatu disitu akhirnya menjadi landai dan terang setelah menerima amukan Betara. Yang tersisa hanyalah satu bongkah batu besar yang telah dihancurkan dan menjadi hamparan batu.
Share this novel