Bab 16

Fantasy Completed 11833

SATU tendangan kuat hinggap di badan Salak dan melontarkannya jauh dari Kenchana. Salak mengerang kesakitan. Serangan yang diterimanya kali ini terasa lebih keras berbanding pukulan kayu dari Limbat tadi.

"Celaka.. siapa kau?" Salak mula mengamuk kembali. Suaranya ditinggikan, mengherdik penyerangnya.

"Kau sudah tidak mengenal aku Salak?" Betara terlihat berdiri gagah di samping Kenchana. Kenchana yang mendengar suara Betara segera membuka kembali matanya yang dipejam. Walaupun lumpuh dan tidak mampu bercakap, namun jelas terlihat bibir Kenchana kini menguntum sebuah senyuman apabila melihat Betara sedang berdiri di hadapannya. 

"Betara?" Salak mulai cemas dan terpinga-pinga. Dia langsung tidak menyangka lelaki itu akan muncul.

"Ya. Aku Betara. Aku fikir, kau yang sudah dirasuk setan sudah tidak mengenaliku." sebuah sindiran diluahkan oleh Betara. Betara kemudiannya mengalihkan pandangannya kepada Kenchana yang sedang terbaring lemah. Air matanya mengalir deras dan bergenang sehingga mengakibatkan penglihatannya menjadi kabur. Gaun putih Kenchana juga sudah penuh dengan kemerahan, bekas darah Limbat dari tubuh Salak yang menindihnya sebentar tadi. Betara merendahkan badannya untuk membetulkan gaun Kenchana yang sedikit terselak. Lelaki itu turut menyeka air mata Kenchana dengan tangannya. 

Beberapa orang pasukan pemburu yang bersama Betara sudah pun mengepung kawasan tersebut. Salak terlihat semakin cemas dan berdiri diam, tidak mampu berbuat apa-apa.  Salah seorang dari pasukan pemburu, Bikas mengambil sebuah tabung buluh yang dilihatnya berada di atas tanah, berhampiran sebuah bakul yang baru terisi beberapa cekak cendawan. Tukil berisi air yang diminum oleh Kenchana tadi dibuka tudung penutupnya. Bau aneh dari air tersebut segera dikenal pasti oleh Bikas. 

"Ini air dari daun yang melumpuhkan.. Jika terminum air ini, pasti akan segera lumpuh." Bikas menunjukkan tukil air di tangannya kepada Betara.

Betara melihat kepada Bikas yang memberi penerangan kepadanya tanpa sebarang reaksi. Pemimpin pasukan pemburu itu kemudian melihat ke arah Kenchana yang kelumpuhan. Kepala Kenchana diusap dengan lembut untuk menenangkan Kenchana. Betara tahu Kenchana sedang trauma teruk dan sangat ketakutan sekarang setelah diperlakukan sebegitu oleh Salak.  Kemudian pandangan Betara dialihkan pula kepada jasad Limbat yang bergelumang dengan darah penuh dengan kesan tikaman dan juga hirisan di lehernya.

Menyedari perbuatan terkutuknya sudah diketahui, Salak cuba untuk melarikan diri. Namun ketika dia baru berpaling tubuh, langkah kakinya belum sempat dibuka lagi, sudah pun meluncur satu anak panah dan dengan laju tertancak ke tanah tepat di depan kaki Salak menyebabkan Salak membatukan dirinya seketika. Salak cuba melarikan diri lari dan kini dirinya dihalang oleh salah seorang pemburu yang cepat memintas dan berdiri di hadapan Salak. Salak melihat ke sekeliling kawasan. Beberapa orang pasukan pemburu Puak Saga sudah pun menarik busur masing-masing, menghalakan anak panah mereka ke arah Salak.

"Kau benar-benar memalukan Puak Saga.. Orang yang patut kita lindungi, tapi kau cuba nodai.." Betara yang bangkit berdiri melihat ke arah Salak dan menunjukkan jarinya ke arah Kenchana. Betara maju beberapa langkah ke hadapan. Telunjuknya dihalakan pula ke arah jasad Limbat yang sudah kaku tidak bernyawa.

"Sahabat kau sendiri, sanggup kau habisi.. cuma demi serakah mu! Bangsat!!" Betara mula meninggikan suara. Salak cuma mencuka, menatap ke arah Betara tanpa membalas bicara.

"Tiada ampun kepada orang yang membunuh temannya sendiri! Pengkhianat!!"  Betara dengan penuh amarah mula meluru ke arah Salak. Namun Salak yang tahu dirinya bersalah tetap tidak mahu mengalah. Dia segera menghunus parangnya untuk menghadapi Betara. Betara yang cuma bertangan kosong terus menerkam ke arah Salak. 

Salak yang mahu mengambil peluang untuk menamatkan riwayat Betara langsung menghayunkan parangnya. Betara dengan mudah mengelakkan serangan Salak dan serentak itu juga melakukan serangan balas. Tumbukan dari Betara tepat mengenai rusuk Salak sehingga membuat lawannya itu melambung dan tercampak ke belakang. Jelas tumbukan Betara itu tersangat kuat sehingga mampu membuat Salak terlambung. Tulang rusuk Salak sudah pasti patah dengan serangan sekuat itu.

Salak yang tidak berpuas hati masih terus ingin menyerang. Kesakitan pada dirinya diabaikan hanya kerana ingin melibas Betara dengan mata parangnya. Hayunan parang dari Salak disanggah oleh Betara. Betara segera mecengkam lengan Salak yang memegang parang tersebut. Satu tumbukan dilepaskan Betara, tepat ke ulu hati pihak lawan. Betara yang tidak menunggu lama, terus memaut lengan Salak menekan bahu lawannya itu kebawah untuk mengunci pergerakan Salak. Kemudian satu hentakan dari tapak kakinya hinggap dengan kuat di bahu Salak sehingga terdengar bunyi tulang yang patah. 

"Arrgghhhh!!!" Salak meraung dengan sekuat hati. Kesakitan yang dia rasakan sekarang tidak terkata peritnya. Betara yang masih tidak melepaskan tangan Salak itu kemudian memulas tangan lawannya dan mengambil parang dari tangan Salak. Tumit kaki Betara yang berada di bahu Salak diangkat dan seterusnya sekali lagi hinggap di bahagian pinggang lawannya pula. Badan Salak kini sudah tertiarap ke tanah.

"Prakk" Terdengar bunyi tulang pinggang Salak yang patah dikerjakan oleh Betara. Raungan oleh Salak semakin kuat berkumandang. Betara kemudiannya memijak tangan Salak di sebelah kiri dan seraya melepaskan tangan kanannya yang sudah tidak mampu digerakkan oleh Salak. Lutut kanan Betara ditahan pada pinggang Salak manakala kaki kirinya memijak tangan kiri Salak. Betara menggunakan tangan kirinya untuk mencengkam rambut Salak dan menarik kepala lelaki itu sehingga terdongak ke atas. Tangan kanan Betara memegang kemas parang yang dirampas olehnya dari Salak sebentar tadi.

"Aku Betara! Wakil kepada Punta Damar, kini menegakkan hukum adat Puak Saga. Kerana kau wahai Salak, sudah berkhianat dengan membunuh temanmu sendiri, maka dengan ini, aku akan menghukummu dengan balasan yang setimpal. Hutang nyawa dibayar nyawa.. Hutang darah dibayar darah.. Sebagai ganti nyawa Limbat, akan ku ambil nyawamu.. Sebagai ganti darahnya juga, akan ku tumpahkan juga darahmu. Matilah kau pengkhianat!" Betara lantas merapatkan mata parang di tangannya ke leher Salak dan menarik dengan laju parang tersebut. Maka tersemburlah darah dari leher Salak membasahi bumi. Akhirnya parang yang digunakan oleh Salak untuk mengambil nyawa sahabatnya Limbat, kini berganti mengambil nyawanya sendiri.

Betara kemudian berdiri dengan gagahnya. Dia terus berjalan menuju ke arah Kenchana. Parang di tangannya dilepaskan dan jatuh ke tanah. Semasa sedang menuju ke arah Kenchana, mata Betara juga sempat mengerling ke arah mayat Limbat. Hati Betara benar-benar sedih dan kecewa. Dia langsung tidak menyangka, di antara orang di perkampungan Bunut Naga, ada yang sanggup membunuh teman mereka sendiri. Padahal dia sendiri sudah menganggap semua penduduk di sana sebagai ahli keluarganya sendiri. 

"Kita semua adalah satu keluarga." Itulah kata-kata yang sering disebut oleh datuknya Punta Damar. Tetapi kenapa masih ada yang sanggup berbunuhan sesama ahli keluarga? Betara tiada jawapannya. Padahal mereka hidup bersama di kampung yang sama, tinggal di rumah yang serupa, makan makanan yang sama. Namun kenapa masih perlu ada sengketa. Hanya kerana nafsu, manusia sanggup menjadi gila. Kerana nafsu, manusia sanggup berbuat apa sahaja. Fikiran Betara sungguh tertanggu apabila memikirkan hal tersebut.

Betara merapati Kenchana dan duduk di sebelah gadis tersebut. Tangannya mengangkat kepala Kenchana, kemudian kepala gadis itu diletakkan semula  di ribanya.Paha Betara diguna untuk melapik Kenchana dari terbaring langsung ke tanah. Tangan kasar lelaki itu mengusap lembut pipi Kenchana serta menyeka air mata yang masih bergenang dan mengalir di mata gadis lumpuh itu.

"Maafkan aku Kenchana kerana sudah membiarkan dirimu menjadi seperti ini." Betara terlihat kesal dengan apa yang sudah terjadi.

Kenchana pula hanya menatap Betara dengan penuh rasa gembira. Gadis itu sekarang merasa bahagia apabila Betara memperhatikan dirinya. Ketakutan yang dia alami sebentar tadi kini sudah terlupakan oleh Kenchana. Di saat mata mereka saling bertentangan, perasaan mereka juga turut bertautan. Betara kini sedar, dia sudah menyayangi Kenchana. Namun perasaan itu hanya terus terpendam di dalam hatinya. Baginya, biarlah hanya dia yang tahu tentang hati dan perasaanya. Betara tidak ingin meluahkannya.

Betara kemudian berdiri sambil mengangkat Kenchana di pangkuannya. Betara terpaksa menggendong Kenchana untuk membawa gadis itu pulang ke perkampungan Bunut Naga. Kenchana yang kelumpuhan hanya merasa bahagia apabila berada di pangkuan Betara. Dia ingin selamanya berkedaan begitu. Keringat di badan Betara menyentuh pipi Kenchana. Bau badan Betara membuat Kenchana tenang. Meyakini dirinya sekarang sudah selamat di pangkuan Betara, Kenchana hanya memejamkan matanya, menikmati perasaan yang sedang bergelora dalam jiwanya. 

"Tanamkan sahaja pengkhianat itu disini.. jasad Limbat, kita bawa kembali untuk ditanam di perkuburan Bunut Naga.." Betara memberikan arahan kepada beberapa orang pasukan pemburu yang berada disitu. Mereka segera bertindak untuk menyelesaikan misi mereka. Betara melihat Kenchana yang sedang digendong olehnya. Gadis itu terlihat tenang dan nyaman. Betara mengukir senyuman melihat gadis malang yang telah dia selamatkan.

"Ayuh Kenchana..kita pulang.." Betara berbisik lembut kepada Kenchana yang di dakapnya. Kenchana yang tidak mampu bergerak atau berkata-kata itu cuma membuka kembali matanya memandang ke arah Betara. Pandangan sayu sebagai tanda setuju dengan kata-kata Betara sebentar tadi kepadanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience