SELEPAS seminggu, keadaan Betara sudah pulih seperti sediakala. Bikas sendiri telah menceritakan kembali kepada Betara tentang kejadian mereka melawan raksasa korbu untuk Betara meyakini kembali apa yang sudah berlaku. Berita kematian Lungga sangat mendukacitakan Betara walaupun semasa hari kejadian dia melihat sendiri bagaimana kepala Lungga dipukul oleh raksasa korbu. Sejak lima hari lalu, Betara setiap hari akan pergi ke kawasan perkuburan puak Saga untuk meratapi kematian Lungga. Betara asyik menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal menyelamatkan sahabatnya itu. Sebuah dukacita yang sangat menyeksakan jiwa Betara.
Hari ini, Betara baru selesai mengunjungi pusara sahabatnya itu. Air matanya diseka untuk kesekian kalinya selama menatap makam yang menjadi tempat tinggal abadi bagi jasad Lungga. Mata Betara beralih ke pusara di sebelah kuburan Lungga. Di sebelah Lungga adalah kubur Limbat yang beberapa hari lebih awal mengambil tempatnya disitu. Dua pahlawan Puak Saga yang disemadikan bersebelahan. Keduanya juga mati di depan mata Betara. Bezanya, Lungga meninggal ketika bertempur melawan makhluk raksasa bersama Betara manakala Limbat pula mati setelah bertempur dengan sahabatnya sendiri demi melindungi Kenchana. Betara kemudian melutut di depan pusara Limbat. Dia berterima kasih dan memberi penghormatan kepada Limbat yang berjuang serta sanggup berkorban nyawa demi menjaga kehormatan Kenchana. Suatu perjuangan yang terhormat dan terpuji. Di hati Betara, dia benar-benar menganggap Limbat adalah seorang pahlawan Puak Saga yang sejati.
"Kau telah membuktikan bahawa kau adalah pahlawan sejati, Limbat.. Aku sendiri tidak sebanding dengan dirimu.. Perjuanganmu telah kau buktikan dengan nyawamu sendiri.. Tapi aku.. Aku hanyalah pecundang.. Aku tidak mampu untuk mempertahankan Lungga seperti mana kau mempertahankan Kenchana.." Air mata Betara tumpah menitis di tanah perkuburan tersebut. Setelah menangis seketika, fikiran Betara mula melayang mengingatkan Kenchana. Dia kemudian bangkit berdiri dan menatap lagi seketika makam Limbat dan Lungga sebelum berjalan menuju ke tengah kawasan perkuburan tersebut.
Setelah sampai di satu pusara yang ditandakan dengan batu, Betara menghentikan langkahnya. Dia menatap lama batu yang menjadi tanda di makam tersebut. Itu adalah pusara yang menempatkan jasad Kirana yang meninggal pada lima tahun lalu. Betara kemudiannya duduk disamping pusara tersebut sambil menyentuh batu yang menjadi tanda kuburan itu. Fikirannya kini jauh melayang ke peristiwa lalu dimana saat dia dan Kirana membesar, bermain bersama sehinggalah bercinta dan bertunang. Namun malang nasib mereka, hari pernikahan yang cuma tersisa dua hari lagi terpaksa dibatalkan kerana pemergian Kirana yang meninggalkan dunia. Betara kemudian teringatkan lafaz janji tentang cintanya kepada Kirana yang tidak akan pernah padam malah akan sentiasa bertambah untuk selamanya. Tiba-tiba bayangan wajah Kenchana pula muncul di fikiran Betara. Betara yang sedang berperang dengan perasaannya sendiri dikala itu melepaskan satu nafas keluhan.
"Betara.. Aku adalah masa silammu. Lupakanlah aku.. teruskan hidupmu. Gapailah cinta yang sedang menyala dihatimu. Jangan sampai api cinta itu juga padam dari hidupmu. Aku akan bahagia jika kau bahagia." Betara tersentak apabila kata-kata Kirana yang pernah muncul dalam fikirannya pada beberapa hari yang lepas kini berulang kembali.
"Kirana..." Mulut Betara menyebut perlahan nama gadis yang pernah bertakhta di hatinya itu.
"Cinta itu anugerah terindah.. Jika sudah mendapatkan anugerah itu, jangan disia-siakan.." Kata-kata ibunya pula terngiang di fikiran Betara. Betara termenung sejenak sebelum dia menarik nafas yang dalam dan menghembus kembali nafasnya itu perlahan-lahan.
"Baiklah.. Aku tidak akan sia-siakan anugerah ini. Kirana, bersemadilah kau dengan aman. Aku akan meneruskan hidupku dan aku sudah menemukan penggantimu. Aku berjanji, aku akan hidup dengan bahagia.. Semoga kau juga bahagia dengan keputusanku ini.. Aku tidak ingin sia-siakan perasaanku kepada Kenchana lagi. Aku sudah kehilanganmu.. Aku tidak mahu kalau kehilangan Kenchana pula." Betara sudah membuat keputusannya dengan tekad dan terus bangkit berdiri. Dia tersenyum sambil menatap makam milik Kirana.
ANGIN sepoi bahasa menyapa wajah Betara yang sedang berdiri di pinggiran tebing jurang yang pernah menjadi tragedi kepada Kirana suatu masa dahulu. Rambut Betara yang sedikit melepasi paras bahunya beralun melambai apabila ditiup angin. Lelaki itu hanya diam memandang alam yang saujana luasnya. Pemandangan yang penuh kehijauan hutan rimba yang mengasyikkan dari puncak gunung itu menenangkan jiwa Betara. Nyanyian burung-burung terasa enak menjadi halwa telinga. Seketika kemudian, arah angin mula berubah. Betara masih diam membatu, berdiri tegak di hujung tebing. Bibirnya tiba-tiba menguntumkan senyuman.
"Datanglah mendekat padaku Kenchana.. Kenapa bersembunyi di sana?" Suara Betara memecah keheningan. Dia masih tetap berdiri tegak tanpa memalingkan wajahnya.Tidak jauh dari belakang Betara, Kenchana yang sedang berselindung disebalik pokok menjadi terkejut dengan sapaan Betara itu. Mahu atau tidak, Kenchana terpaksa muncul menunjukkan dirinya memandangkan kehadirannya sudah diketahui oleh Betara.
"Bagaimana tahu.. Kenchana ada di sini?"
"Aku tahu bau tubuhmu.. Malah angin yang bertiup sekarang menguntungkanku. Baumu dari sana terbawa oleh angin sampai ke sini.."
"Bau? Apa badanku berbau?"
" Hahaha.. Semua orang mempunyai bau badan. Cuma bau milikmu berbeza."
"Kenapa? Ada yang salah dengan badanku? Bauku busuk?" Kenchana mula menjadi malu tetapi terus berjalan mendekati Betara. Difikirannya juga sedang terbayangkan bau badan Betara yang pernah menarik perhatiannya dahulu. Sepertinya dia ketagihan untuk terus menghidu bau lelaki tersebut.
"Tidak..tidak begitu.. bahkan bau badanmu sangat harum. Seperti bunga sundal malam.." Betara mula membalikkan tubuh dan memalingkan wajahnya menghadap ke arah Kenchana.
"Ja..jadi.. Kau.. kau suka.. denganku?" Kenchana mulai gugup. Wajahnya sudah merona menjadi merah padam.
"Hmm.. ya..baumu enak sekali. Apa benar kau manusia?" Soalan berseloroh dari Betara diiringi gelak ketawa olehnya.
"Jadi kalau bukan manusia, Kenchana ini apa? Raksasa?" Kenchana seakan merajuk. Namun ketawa dari Betara menjadi lebih kencang.
"Kalau raksasa itu semua secantik kamu, Aku rela bersama raksasa setiap hari." Betara tersenyum lebar, sekadar memuji Kenchana secara berseloroh. Namun Kenchana yang mendengar perkataan Betara itu sudah merasakan kehangatan pada wajahnya. Suatu perasaan girang dan bahagia menyerbu ke hati Kenchana saat itu. Dia kehilangan kata-kata untuk terus berbicara kerana terlalu teruja.
"Kata Ibu, Kenchana yang menjagaku dan tidak meninggalkanku sepanjang diriku tidak sedar. Kenapa Kenchana sampai sanggup berbuat begitu?"
"Eh.. ahh.. apa.. Ibu tak beritahu Betara apa-apa?"
"Ibu beritahu apa pula?"
"Emm.. Kenchana... hmm.. Kenchana.. " Pertuturan Kenchana menjadi gagap kerana malu ingin menjawab soalan Betara. Dia sedang memikirkan untuk mencari alasan, tetapi sekuat apapun otaknya diperah, jawapan untuk diberikan kepada Betara masih buntu. Ketika ini Kenchana tiba-tiba mengingatkan kata-kata Mastika kepadanya.
"Jika Kenchana cintakan Betara, katakanlah.. luahkan isi hatimu.." Bayangan ibu angkatnya itu menjelma di fikiran Kenchana. Kenchana kemudian memejamkan matanya. Dia menguatkan tekad dihatinya untuk berkata tentang perasaannya yang terbuku selama ini. Matanya dicelik dan tepat memandang ke arah mata Betara.
"Emm..Kenchana cintakan Betara." Kenchana memejamkan kembali matanya untuk mengucapkan kalimat itu. Seumur hidupnya, dia tidak pernah merasa malu sedemikian. Tapi Kenchana kuatkan juga dirinya untuk menyatakan perasaannya yang terpendam kepada lelaki yang sudah menggoncangkan jiwanya itu. Setelah mendengar ucapan Kenchana itu, Betara terus tergamam. Dia langsung tidak menyangka gadis lurus seperti Kenchana akan berani meluahkan perasaan cinta sebegitu.
Kenchana yang melihat Betara tidak memberikan apa-apa reaksi mula menundukkan muka dan mengalihkan pandangan matanya. Dia mulai menyesal kerana mengatakan hal itu kepada Betara. Sekarang Kenchana kecewa kerana Betara tidak cintakan dirinya. Mereka tidak saling mencintai sepertimana yang Mastika yakini. Pasti cinta Betara itu masih untuk Kirana. Betara tidak pernah berhenti dari melupakan Kirana yang sudah meninggal dunia itu. Ternyata dirinya hanya bertepuk sebelah tangan fikir Kenchana. Dalam hatinya, Kenchana mengutuk dirinya sendiri. Terpukul dengan rasa kecewa dan malu, Kenchana yang sudah menjatuhkan pandangannya itu mula membuka langkah untuk berlalu pergi dari Betara yang sedang menghadapnya. Namun tiba-tiba Kenchana terkejut apabila terasa tangannya dipegang. Kenchana segera menoleh dan dia melihat Betara sedang memegang kedua belah tangannya.
Kini telapak tangan Betara dan Kenchana menyatu. Betara menggenggam kemas telapak tangan Kenchana dan menarik tangan gadis itu sehingga menyebabkan Kenchana terperlus ke pangkuannya.
"Kenchana... Mahukah kau menjadi teman hidupku?" Betara mula melamar gadis yang telah meluahkan perasaan kepadanya sebentar tadi.
"Ah.. Ya.." Kenchana mengangguk perlahan sambil mengetap bibirnya. Pandangan matanya bertaut pada mata Betara. Perasaan malu dan kecewanya tadi hilang serta merta. Hati Kenchana kini sedang berbunga-bunga. Inikah kebahagiaan dari anugerah terindah? getus hati Kenchana. Jantungnya terasa berdebar kencang apabila menatap sinar mata Betara.
"Kalau begitu, jadilah isteriku.." Kata-kata Betara membuatkan Kenchana terpempan. Kenchana membayangkan dia akan tinggal bersama Betara. Namun dia sebenarnya tidak memahami erti sebenar hubungan suami isteri. Pada fikiran Kenchana, suami isteri itu hanya hubungan yang diikat oleh pasangan lelaki dan perempuan yang saling sayang menyayangi dan mereka akan tinggal bersama di dalam satu rumah. Tidak lebih dari itu. Dia tidak pernah tahu malah tidak pernah terfikir hubungan itu akan menjadi lebih jauh seperti hubungan kelamin diantara pasangan. Salak yang cuba menodainya beberapa hari lalu pun Kenchana tidak tahu erti perbuatan lelaki durjana tersebut. Fikirannya cuma membayangkan Salak akan mencederakan dirinya dan tidak tahu erti keperawanannya yang ingin diragut.
"Kenchana.. Sungguh.. Aku cinta padamu.." Betara membisikkan kalimat yang terpendam di hatinya selama ini ke telinga Kenchana. Kebahagiaan yang menyelubungi hati Kenchana disaat ini menghanyutkan fikirannya sehingga dia membiarkan tangan Betara merangkul pinggangnya. Pelukan erat Betara menyebabkan badan mereka rapat dan dada mereka bersentuhan. Mulut Betara yang membisikkan kata cintanya masih dekat dengan telinga Kenchana sehinggakan Kenchana dapat mendengar deruan nafas lelaki itu.
Betara kemudiannya merapatkan bibirnya perlahan-lahan ke bibir Kenchana. Kenchana langsung tidak memahami erti perbuatan lelaki tersebut namun gadis polos itu dapat merasakan sensasi bahagia yang tidak pernah dia bayangkan. Dirinya dirasakan sedang terbakar oleh api cinta yang mengasyikkan. Matanya terpejam rapat untuk menikmati saat indah itu. Dek kerana kenikmatan luar biasa yang tidak pernah terbayangkan, Kenchana tidak menyedari tangannya mula menjalar dan merangkul pinggang Betara. Bibirnya turut digerakkan untuk membalas perbuatan lelaki yang sedang dirangkul olehnya. Dunia terasa sungguh sunyi. Kicauan burung dan deruan angin tiba-tiba hilang dari deria pendengaran mereka. Pandangan mereka juga sudah buta dari melihat alam sekeliling.
Share this novel