45

Fantasy Completed 11833

Ketumbukan yang menantikan Betara pergi menyelamatkan Kenchana masih merasa cemas. Namun mereka terpaksa sabar menunggu kerana patuh kepada arahan Betara. Pemimpin mereka itu tidak membenarkan sesiapa pun mendekat selagi dia tidak pulang kembali. Terlihat Bikas sedang berdiri menghadap ke arah terowong yang terbentuk dari cantuman pokok-pokok besar. Ketua pemburu itu hampir tidak dapat menahan sabarnya untuk meluru masuk ke kawasan yang gelap tersebut. Dia tidak mahu sekali lagi berasa bersalah kerana mengabaikan keselamatan Punta dan Puntinya itu seperti yang berlaku lima belas tahun dahulu. Tidak lama kemudian, kelibat Betara dan Kenchana pun muncul, berjalan keluar dari terowong tersebut. Semua orang yang menunggu akhirnya merasa lega apabila melihat Betara dan Kenchana telah pun kembali semula dengan selamat. Pekan yang melihat ibubapanya yang tidak mengalami apa-apa kecederaan segera memeluk kedua orang tuanya. Walaupun Betara tadinya mengalami kecederaan akibat pertarungan dengan Sang Ukong, tetapi kecederaannya telah pulih sepenuhnya.

"Apa sebenarnya yang berlaku?" Penghulu Jalit bertanyakan anak dan menantunya itu.

"Tiada apa-apa.. cuma ada kera yang nakal.." Betara tertawa kecil sambil menggaru kepalanya apabila menjawab pertanyaan mertuanya itu.

"Ah, sudahlah. Ayuh kita berangkat segera. Jangan membuang masa lagi disini." Betara mengarahkan ketumbukannya untuk meneruskan perjalanan mereka menuju ke Gunung Korbu. Maka bergeraklah pasukan yang besar itu menuju ke destinasi mereka. Betara dan Kenchana terpaksa berpatah balik dan melalui semula tempat mereka bersama Sang Ukong tadi. Hutan itu sekarang menjadi semakin terang dan penuh dengan kesan kebakaran. Hanya di kawasan hujungnya sahaja yang masih membentuk terowong. Di tengah kawasan yang menjadi sarang Sang Ukong, sudah pun menjadi terang-benderang akibat kebakaran. Betara dan Kenchana hanya mendiamkan diri dan menjeling diantara satu sama lain apabila mendengar beberapa suara dari pasukannya yang bercakap perihal kebakaran dihutan itu. Sesekali mereka juga melihat ke arah pokok-pokok yang masih selamat dari kebakaran itu. Di atas pokok-pokok itu dipenuhi oleh kumpulan kera yang sedang menyorok dan mengintai pasukan Betara yang melalui kawasan tersebut. Betara tiba-tiba teringat kembali adengan dimana Sang Ukong mengetuk kepala salah seekor kera disitu sambil memanggilnya bodoh berulang kali. Hal itu membuatkan Betara tiba-tiba ketawa sendirian.

"Kenapa Betara?" Mastika bertanya apabila melihat tingkah aneh anaknya yang ketawa sendirian itu.

"Tiada apa-apa Ibu.. cuma Betara teringatkan sesuatu hal yang melucukan.." Betara menggelengkan kepalanya sambil tersenyum menahan ketawa.

"Ish kamu ni.." Mastika menepuk lengan Betara.

Pasukan mereka melalui kawasan itu dengan tiada sebarang halangan. Sang Ukong sudah pun mengarahkan kera-keranya itu agar tidak mengganggu pasukan Betara sesuai dengan permintaan lelaki itu kepadanya tadi. Walaupun raja kera itu terlihat nakal dan suka membuat huru-hara serta menyakitkan hati orang, namun kera sakti itu sebenarnya sangat baik hati. Mungkin benar seperti yang Ukong ceritakan, dia mula membuat kerosakan adalah kerana perbuatan manusia sendiri. Tapi sifat manusia itu, cuma akan melihat kejahatan orang lain terhadap dirinya namun mereka tidak akan nampak kejahatan mereka sendiri terhadap orang lain. Berbuat baik pasti akan dibalas baik dan begitulah sebaliknya.

Gunung Kuar

AKHIRNYA Betara dan ketumbukannya tiba di Gunung Kuar, tempat yang dijanjikan untuk pertemuan mereka dengan kumpulan yang lain. Kini cuma ada satu pasukan sahaja lagi yang belum bersama kembali. Mereka akan menunggu di sana sebelum melanjutkan perjalanan. Sesuai perjanjian yang disepakati, mereka akan berkumpul dahulu di sana. Sambil menunggu teman mereka yang belum tiba, mereka mengambil peluang untuk beristirehat.
Tidak lama kemudian, pasukan yang ditunggu oleh mereka pun tiba. Ketumbukan yang berkumpul untuk memerangi Ratu Manikmaya itu, kini sudah mencapai lebih seribu orang.

"Aku fikir, jumlah kita seramai ini sudah mencukupi untuk menentang Ratu Manikmaya nanti." Kata Teraju, anak kepada Punta Gemas dari Perkampungan Lembah Kasturi. Pada peperangan lima belas tahun dahulu, dia pernah menjadi pembantu kanan Betara.

"Aku juga berharap sebegitu Teraju. Tapi.. sekarang kita tidak tahu seramai apakah pasukan raksasa korbu Ratu Manikmaya itu. Lagi pula, dahulu kita dipihak bertahan dan banyak perangkap yang kita pasang. Setidaknya hampir separuh raksasa korbu dahulu kita hapuskan dengan perangkap. Tapi kali ini kita yang akan menyerang mereka di Gunung Korbu. Entah disana mereka juga memasang perangkap kepada penyerang seperti kita. Kekuatan raksasa korbu itu sungguh luar biasa. Kita akan kepayahan jika bertembung terus secara berdepan. Malah, dahulu kita juga bernasib baik kerana Naga Purba Raya yang datang membantu meleraikan pertempuran." Panjang lebar Betara memberi penerangan.

Teraju dan semua yang lain mendiamkan diri apabila mendengar penjelasan yang masuk akal Betara. Penghulu Jalit dari kaum bunian hanya memandang kepada Betara. Sesekali matanya mengerling ke arah keris yang tersisip dipinggang menantunya itu. Dia sepertinya menaruh harapan tinggi kepada Betara dan yakin keris pemberian Ulong, Si Naga Purba kepada anaknya itu memiliki kesaktian yang sangat ampuh.

"Bapa rasa, kami kaum bunian akan bertukar wujud kami sebagai haiwan bagi menghadapi raksasa korbu itu nanti. Seperti yang kalian tahu, kami akan lebih bertahan lama jika wujud dalam bentuk haiwan di alam ini. Bahkan sepertinya, kami mungkin akan memiliki kelebihan menghadapi raksasa korbu itu jika kami menjelma sebagai haiwan buas. Bukan sahaja mampu bertahan lama, tapi kekuatan kami juga akan meningkat berlipat kali ganda." Penghulu Jalit menyampaikan perancangannya kepada Betara.

"Baguslah jika begitu." Betara hanya mengangguk menyetujui rancangan bapa mertuanya.

Setelah mendapatkan rehat yang secukupnya, mereka memulakan kembali perjalanan mereka untuk melawan Ratu Manikmaya. Selepas dari Gunung Kuar itu, mereka akan mula memasuki wilayah kekuasaan Sang Ratu Manikmaya iaitu Gunung Yong Yap. Sejak lima belas tahun lalu, Ratu Manikmaya masih tidak memperluaskan jajahan takluknya kerana mengalami kecederaan yang sangat parah. Sepanjang masa itu, Si Ratu itu hanya merawat dirinya dan mengumpulkan kuasa sihirnya untuk membentuk kembali pasukan raksasa korbu miliknya.

Gunung Korbu

Ratu Manikmaya menatap tajam ke arah Melur yang diikat dihadapannya. Setelah lama menatap, dia mendengus kasar.

"Untuk apa kau bawakan perempuan ini kepadaku? Langsung tiada kesaktian pada dirinya.. Aku suruh kau cari dan bawakan Kenchana kepadaku! Tapi kau bawa perempuan ini pula.. Dia bukan Kenchana!" Marah Ratu Manikmaya. Burung gagak yang hinggap di atas tongkat Ratu Manikmaya itu menggerak-gerakkan anak matanya seolah menghantar maklumat kepada sang ratu.

"Perempuan ini anaknya? Tapi kenapa dia langsung tiada kesaktian?" Ratu Manikmaya bingkas berdiri dari singgahsananya.

"Hmm.. kalau begitu kita jadikan sahaja anaknya ini sebagai umpan. Kita serang mereka.. dan anaknya yang sudah menjadi tahanan ini kita akan buat pertukaran dengan Kenchana..hahaha!" Ratu Manikmaya ketawa dengan terbahak-bahak, seolah dirinya sudah memperolehi kemenangan.

"Kenchana sendiri pasti akan setuju dan rela dirinya ditukarkan dengan anaknya.. dan selepas itu.. aku akan membelah dada Kenchana itu!" Hilaian ketawa Ratu Manikmaya yang membingitkan telinga itu menyebabkan burung gagak yang bertenggek itu terbang meninggalkan sang satu. Sang gagak sendiri tidak sanggup untuk terus bertahan bagi mendengar suara ketawa Ratu Manikmaya.

Gunung Yong Yap

Ketumbukan pimpinan Betara akhirnya masuk ke wilayah kekuasaan Ratu Manikmaya. Setelah menyelusuri jalan yang panjang, mereka pun tiba di sebuah perkampungan salah satu suku puak disitu. Perkampungan itu terlihat porak poranda. Terdapat beberapa buah rumah yang sudah musnah dan penduduknya tidaklah begitu ramai. Penduduk di perkampungan itu kelihatan sengat terkejut dan ketakutan dengan kehadiran pasukan Betara. Jumlah pasukan yang sangat ramai sedang berjalan memasuki perkampungan mereka yang sudah terjajah oleh Ratu Manikmaya.

"Siapa kalian semua? Apa tujuan kalian datang ke sini?" Salah seorang dari penduduk disitu melontarkan pertanyaan.

"Kalian ini.. corak dan pemakaian kalian sama seperti Tupak. Dia juga salah seorang dari kalian?" Betara menyoal kembali orang tersebut. Dia masih mengingati lelaki yang pernah membantu mereka pada lima belas tahun dahulu. Ciri-ciri khas yang ada pada puak tersebut sama seperti Tupak. Walaupun pakaian kebanyakan puak terlihat sama, namun mereka mampu membezakan di antara satu sama lain melalui ciri khas setiap puak seperti lambang, tanda atau corak lukisan pada senjata, tubuh atau wajah mereka.

"Tupak? Kamu kenal dengan Tupak? Ya.. Dia salah seorang dari kami dahulu.. tapi sudah lima belas tahun dia menghilangkan diri. Bagaimana kamu mengenali Tupak?"

"Oh.. jadi benarlah Tupak itu orang kalian.."

"Ya.. Tapi dia sudah meninggalkan kampung sejak lima belas tahun lalu.. kalau kalian ingin membuat perhitungan dengannya, dia tiada disini.. Kalian juga tolong jangan membalas kesalahan Tupak ke atas kami." Penduduk kampung itu merayu agar pasukan Betara tidak menyerang mereka.

"Tidak. Bukan begitu maksudku. Tupak sebenarnya sudah banyak membantu kami. Kami masih ada d isini pun kerana jasa dia."

"Apakah kalian tahu dimana dia sekarang?" Lelaki dari perkampungan itu bertanya.

"Sebenarnya.. Tupak sudah meninggal dunia pada lima belas tahun yang lalu.." Bikas pula mencelah perbualan Betara dan penduduk kampung tersebut.

"Apa? Dia sudah meninggal..?"

"Ya.. Tupak mendatangi kami di Gunung Chamah untuk menyampaikan khabar tentang Ratu Manikmaya. Dia meminta bantuan kami untuk membebaskan puaknya dari cengkaman ratu itu." Sambung Betara.

"Tupak.. rupanya kau menghilang demi kami.."

"Ya.. Tupak adalah pahlawan yang berani. Walaupun mati, tapi dia berjaya juga mencederakan Ratu Manikmaya ketika itu." Bikas tersenyum dan bercerita tentang kehebatan Tupak bagi membuat puak kepada lelaki tersebut merasa bangga dengan orang mereka itu.

"Dia.. cederakan ratu?" Penduduk perkampungan yang mendengar kehebatan Tupak itu terus merasa kagum dengan pahlawan mereka itu.

"Kami bahkan langsung tidak mampu cederakan raksasa korbu.. apatah lagi untuk menyentuh Ratu Manikmaya.. tapi Tupak.." Salah seorang penduduk itu mula menangis. Kemudian beberapa orang lain turut mengalirkan air mata mereka. Mereka langsung tidak menyangka keberanian dan kehebatan Tupak untuk berlawan demi puak mereka. Walaupun Ratu Manikmaya masih hidup, tetapi selama sepuluh tahun selepas pertempuran dulu, penduduk di situ sudah tidak diancam oleh Ratu Manikmaya. Hal itu kerana Sang Ratu sendiri sudah mengalami kecederaan parah manakala raksasa korbunya juga habis dibasmi oleh Puak Saga dan Naga Purba Raya. Cuma lima tahun kebelakangan ini Ratu Manikmaya menghantar kembali raksasa korbu ke perkampungan jajahannya untuk disediakan makanan buat mereka.

"Jadi, apa tujuan kedatangan kalian ke sini?"

"Sebenarnya kami sedang menuju ke Gunung Korbu untuk menyerang Ratu Manikmaya." Betara berterus terang.

"Menyerang Gunung Korbu? Apa kalian sudah gila? walaupun kalian seramai ini, mustahil untuk kalian menentang para raksasa korbu itu."

"Lima belas tahun dahulu kami pernah bertempur dengan mereka bersama-sama dengan Tupak. Tak mustahil kami boleh menang lagi." Teraju pula mencelah.

"Tapi..tapi.." Lelaki tersebut tidak mampu meneruskan kata-katanya. Mereka tahu jika Ratu Manikmaya itu menuju ke Gunung Chamah untuk menyerang Puak Saga di sana. Namun mereka langsung tidak tahu Puak Saga telah menentang Ratu Manikmaya dan mengalahkan pasukan raksasa korbu. Sedangkan semenjak Ratu Manikmaya muncul, tiada satu puak pun yang mampu menghadapi gerombolan makhluk raksasa yang mengerikan itu. Puak Saga rupanya telah mengalahkan Ratu Manikmaya ketika itu. Jadi, itulah alasan  kenapa Ratu Manikmaya menghilang selama sepuluh tahun selepas menuju ke Gunung Chamah. Puak di perkampungan tersebut langsung tidak menyangka kehebatan Puak Saga.

"Kami cuma melalui kawasan ini untuk menuju ke Gunung Korbu. Ratu Manikmaya telah menculik anak perempuanku. Jika kalian ingin bebas dari cengkaman Ratu Manikmaya, kalian juga boleh bersama kami untuk menggempur Gunung Korbu." Betara mula bersuara dengan tegas.

"Hmm.. sejak lima tahun lalu, Ratu Manikmaya telah mengarahkan kami untuk menghantar pelbagai jenis makanan dan minuman untuk mereka di Gunung Korbu pada setiap bulan. Jika kami gagal untuk memberi mereka makanan yang mereka sukai, pasti mereka akan menyerang perkampungan kami. Kalian lihatlah rumah kami yang sudah dimusnahkan itu.. itu adalah angkara raksasa korbu yang mengamuk apabila kami tidak memenuhi kehendak Ratu Manikmaya.. malah setiap kali mereka datang, pasti akan ada dikalangan kami yang akan dibunuh oleh raksasa korbu itu."

"Kalau begitu, ayuhlah kalian bersama kami.. bebaskan puak kalian dari cengkaman Ratu Manikmaya.. Apa kalian mahu keturunan kalian terus menjadi hamba kepadanya?  Atau kalian berjuang walaupun mati demi kebebasan anak cucu kalian nanti?" Betara cuba memujuk penduduk disitu untuk menyertai pasukannya bagi menghapuskan pasukan raksasa Ratu Manikmaya.

"Tupak juga sudah mempercayai kalian dan berjuang bersama kalian.. maka sekarang kami juga akan meneruskan perjuangan dia,. Kami tidak akan sia-siakan kematian Tupak. Kami akan membebaskan anak cucu kami dari diperhambakan.."

Share this novel

DHIA AMIRA.
2024-02-17 15:45:59 

hrap rmaila yg singgh ...

DHIA AMIRA.
2024-02-17 15:45:43 

layan pulak bcaanyaaa

DHIA AMIRA.
2024-02-17 15:45:33 

nex


NovelPlus Premium

The best ads free experience