10 tahun kemudian...
SEEKOR anak pelanduk sedang merayau di dalam hutan. Sambil berjalan, pelanduk kecil itu menghidu-hidu ke arah tanah. Sedang ia leka berjalan, tiba-tiba sebelah kaki belakangnya tersangkut dan tertarik ke atas. Anak pelanduk itu kini tergantung apabila masuk ke perangkap yang telah dipasang oleh seseorang. Ia menjerit ketakutan dan meronta-ronta untuk melepaskan diri namun usahanya itu tidak membuahkan hasil. Seketika kemudian muncul seorang budak lelaki mendekati pelanduk yang sudah terkena jebakan itu.
Anak muda itu tersenyum melihat pelanduk yang terkial-kial ingin melepaskan diri. Tanpa berlengah, dia memegang tubuh kecil pelanduk itu dan menggengam kaki haiwan itu untuk mengelakkan pelanduk tersebut dari terus meronta-ronta. Setelah pelanduk itu gagal meronta, budak lelaki itu kemudian melepaskan ikatan yang terjerut dikaki haiwan kecil itu. Dengan gembira anak itu berlari sambil menggendong pelanduk itu dipangkuannya.
Setelah sampai diperkarangan perkampungan Bunut Naga, lelaki muda itu menjerit memanggil seseorang.
"Melur! Melur! tengok ni.. Aku dah dapat pelanduk."
Seorang budak perempuan memalingkan wajahnya ke arah anak lelaki yang memanggil namanya. Budak perempuan yang sebaya dengan anak lelaki tersebut terlihat sedang menggenggam sejambak bunga ditangan. Dia segera mencampakkan jambakan bunga di tangannya dan berlari menuju ke arah budak lelaki yang memanggilnya itu.
"Kau tangkap sendiri pelanduk ini, Pekan?" Budak perempuan bernama Melur itu bertanya sambil tersengih. Matanya bersinar memandang ke arah pelanduk yang berada di tangan budak lelaki yang dia panggil Pekan itu.
"Mestilah Aku tangkap sendiri. Aku kan pemburu yang handal." Pekan bangga dengan dirinya sendiri.
"Comelnya pelanduk ni. Masih kecil dia ni. Jahat kau pisahkan dia dari ibunya."
"Mana la Aku tahu dia ada ibu ke tidak. Aku pasang jerat dan dia yang masuk ke jerat aku itu."
'Bagi aku pegang dia." Melur meminta dari Pekan dan Pekan yang tidak keberatan terus memberikan pelanduk itu kepada Melur. Setelah anak pelanduk itu bertukar tangan, Melur memeluk erat pelanduk tersebut sambil mencium kepala haiwan kecil itu berkali-kali.
"Ayuh kita sembelih pelanduk ni. Nanti minta ibu masakkan. Boleh kita makan sama-sama." Pekan memberikan saran.
"Eh..Janganlah.. Pelanduk ni comel la. Biar la kita bela dia." Melur membantah.
"Comel apa pula.. Pelanduk semua pun macam tu muka mereka."
"Ahh.. tak kira, Aku nak bela je pelanduk ni. Tak boleh sembelih dia."
"Aku yang tangkap pelanduk ni.. Aku nak sembelih la.."
"Tak boleh!" Melur memuncungkan mulutnya dan membalikkan badannya menyorokkan pelanduk dalam pelukannya itu dari pandangan Pekan.
"Pelanduk tu Aku punya la.."
"Sekarang dah jadi Aku punya." Melur tetap berkeras.
"Kenapa kamu berdua ni? Bergaduh je siang malam.." Tiba-tiba Kenchana muncul.
"Pekan nak bunuh anak pelanduk ni. Mana boleh bunuh pelanduk comel ni. Dia masih kecil lagi, kan Ibu?" Melur cuba mendapat ihsan dari Kenchana.
"Eh, pelanduk tu Pekan yang tangkap. Pekan nak sembelih dia buat makan." Pekan pula menjawab.
"Sudahlah Pekan.. beralah la dengan adikmu. Pelanduk tu masih kecil lagi. Masih anak lagi. Tunggu sampai dia besar dulu baru kita sembelih." Kenchana memberi saran.
"Tapi Ibu.." Pekan masih tidak puas hati.
"Dah la.. Nanti kita makan rusa yang pakcik Bikas dah tangkap. Lagi banyak dagingnya." Kenchana cuba memujuk Pekan.
"Wah.. Hari ni dapat makan rusa lagi." Pekan bersorak gembira. Seketika kemudian Mastika pula muncul disitu. Wanita yang tidak lokek dengan senyuman itu menghampiri mereka bertiga sambil memegang talam yang tidak berisi. Sepertinya Mastika baru selesai memberi hidangan kepada bapanya, Ruwai Damar.
"Pekan.. dari tadi Nenek cari kamu. Tok Yang ada hal nak sampaikan padamu. Pergilah jumpa Tok Yang." Mastika menyampaikan pesannya.
"Baiklah Nenek.." Lalu Pekan segera berlari meninggalkan mereka yang berada di situ. Kenchana dan Mastika tersenyum melihat telatah Pekan itu. Kemudian Kenchana mengusap kepala Melur yang berdiri didepannya.
"Kamu nak buat apa dengan anak pelanduk tu Melur?" Kenchana bertanya kepada Melur.
"Melur nak bela dia. Nanti dia akan jadi jinak macam Suri dan besar macam Suri.."
"Suri tu Rusa la sayang. Pelanduk ni kecil aja.. takkan jadi besar macam Suri.." Kenchana tertawa mendengar jawapan Melur itu malah Mastika juga turut tertawa sama.
"Tapi dia boleh kawan juga dengan Suri kan?"
"Ya.. nanti Ibu minta Suri berkawan dengan dia.. Apa nama dia?"
"Hmm... nama dia.. emm.. entahlah.. Ibu bagi la nama pada dia.."
"Hmm.. apa kata kita namakan dia Suja?" Mastika bersuara memberikan saran.
"Suja? Baiklah nenek.. Suja nanti akan berkawan dengan Suri.." Melur gembira dengan nama yang diberikan oleh Mastika kepada anak pelanduknya itu.
"Sudah beberapa minggu Ibu tak nampak kelibat Suri.." Mastika tiba-tiba mengutarakan hal Suri kepada Kenchana.
"Dia mencari makan ditempat jauh agaknya.. Dia sering saja begitu.."
"Harap-harap dia selamat.. Ibu risau dengan pemburu dari perkampungan lain.. Suri itu pula mudah menonjol kerana warnanya cerah." Mastika menyampaikan kerisauannya.
"Ya Ibu.. Kenchana juga selalu risau kalau dia pergi terlalu jauh. Orang kita sememangnya sudah mengenal Suri. Tapi risau juga kalau dia dilihat oleh pemburu lain." Selepas berkata, Kenchana tiba-tiba terdiam dan terlihat merenung jauh. Fikirannya seolah sudah jauh menerawang. Tanpa disangka-sangka, air mata Kenchana tiba-tiba menitis. Mastika yang melihat keadaan Kenchana itu menjadi bingung. Apakah yang difikirkan oleh Kenchana sehingga menitiskan air mata sebegitu? Tak mungkin hanya kerana memikirkan tentang Suri si rusa putih itu, menyebabkan Kenchana menangis. Padahal Suri sudah sering hilang dalam beberapa hari bahkan berminggu-minggu sebelum muncul kembali. Kenchana sudah teramat biasa dengan pemergian Suri sebegitu. Tapi kenapa Kenchana menangis sekarang apabila bercakap soal Suri.
"Kenchana.. kenapa kamu menangis, sayang?" Mastika lembut menegur Kenchana.
"Ah.. tiada apa Ibu.." Kenchana menyeka air matanya yang berlinang.
"Kenchana cuma teringatkan Betara.. Kali pertama kami bertemu.. Betara datang menyelamatkan Kenchana dan Suri yang hampir dibunuh oleh pemburu.." Kenchana tersenyum kelat mengenangkan takdir pertemuannya dengan Betara. Lelaki penyelamatnya itu kemudian menjadi suaminya dan mereka saling jatuh cinta. Namun jodoh mereka tidak bertahan lama. Lelaki yang dicintainya itu akhirnya terkorban kerana ingin menyelamatkan dirinya dari buruan Ratu Manikmaya. Sehingga sekarang Kenchana tidak tahu siapakah Ratu Manikmaya dan kenapa wanita itu memburunya. Walaupun kecewa dengan kehilangan Betara, namun perasaannya itu sedikit terubat apabila dia melahirkan zuriat dari suaminya itu. Walaupun sudah sepuluh tahun berlalu, namun tidak sekelumit pun perasaan cintanya kepada Betara terpudar.
"Sudahlah Kenchana.. usah dikenang hal yang sudah berlalu. Sekarang kamu sudah ada Pekan dan Melur. Jagalah zuriat Betara itu sebaiknya." Mastika cuba memujuk menantunya itu. Mastika dan Kenchana kemudian masing-masing melihat ke arah Melur yang sedang mencium anak pelanduk didakapannya. Pekan pula yang pergi menemui moyangnya sudah hilang dari pandangan mata. Melur dan Pekan adalah pasangan anak kembar dari Betara dan Kenchana. Sepuluh tahun dulu, kelahiran mereka disambut dengan gembira oleh seluruh penduduk di Perkampungan Bunut Naga. Kelahiran pasangan kembar yang jarang berlaku apatah lagi kembarnya pula berbeza jantina itu dianggap daulat Punti Kenchana. Beberapa orang dahulunya yang pernah melihat kesaktian Kenchana lebih meyakini kehebatan daulat Sang Punti. Malah yang lebih mengembirakan mereka adalah kelahiran anak lelaki dari zuriat Betara yang bakal menjadi Punta mereka suatu hari nanti.
Sementara itu, di gazebo, Ruwai Damar sedang menyambung tafakurnya setelah selesai menghabiskan air dan buah-buahan yang dihidang oleh anaknya, Mastika. Pekan yang baru tiba di hadapan gazebo melangkahkan kakinya untuk menginjak lantai yang sedikit lebih tinggi dari aras tanah. Pekan berjalan perlahan mendekati Ruwai Damar. Moyangnya yang menyedari kehadiran Pekan melalui bunyi derapan tapak kaki anak itu terus membuka matanya yang dipejam selama bertafakur tadi.
"Nenek kata, Tok Yang ada perkara yang hendak beritahu Pekan.." Pekan memulakan bicara.
"Ya.. Ke sinilah Pekan.." Ruwai Damar meminta cicitnya itu duduk disebelahnya dengan menepuk lantai disitu.
"Ada apa Tok Yang? Apa yang Pekan boleh bantu?"
"Begini Pekan.. Kamu sudah pun besar. Nanti suatu hari, Kamu akan menjadi lelaki yang hebat dan gagah.. Jadi Tok Yang nak kamu ikut pasukan pemburu dan belajar menjadi pemburu mulai sekarang. Seorang lelaki mesti pandai berburu.. kerana sebagai lelaki, kita kena sediakan segala keperluan dan makan minum untuk penduduk kita." Ruwai Damar menyatakan hasratnya kepada Pekan.
"Pekan dah boleh berburu?" Pekan seolahnya gembira dengan perkhabaran dari moyangnya itu.
"Ya.. Kamu dah boleh berburu.. Tapi belajar dulu.. Ikut pasukan pemburu.. Jangan terlalu gopoh untuk terus memburu.. Pemburu mesti tenang.. "
"Baiklah Tok Yang.."
"Kamu juga kena belajar berlawan.. Ingat, tugas lelaki juga untuk melindungi keluarga dan puak kita dari sebarang ancaman. Jadi kamu kena pandai berlawan dan bertempur." Ruwai Damar memberi ingatan lagi kepada Pekan.
"Ya Tok Yang.. Pekan faham.." Pekan mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum.
"Nanti Tok Yang sampaikan kepada Bikas untuk membawamu dan mengajarkan mu berburu."
"Baiklah..nanti Pekan ikut berburu.." Pekan yang teruja itu terus bangun berdiri dan berlari meninggalkan Ruwai Damar.
"Eh.. nanti dulu.. Tok Yang belum habis bercakap lagi.." Ruwai Damar memanggil Pekan untuk kembali. Namun cicitnya itu seakan tidak mendengar panggilan Ruwai Damar dan terus berlari tanpa berpaling. Ruwai Damar hanya mampu menggelengkan kepala apabila menyaksikan ulah cicit lelakinya itu. Ruwai Damar kemudian tersenyum simpul memandang kearah Pekan yang sudah semakin menjauh meninggalkannya itu. Anak yang terlihat gembira itu langsung melompat tinggi dari lantai gazebo untuk turun ke tanah. Apabila kakinya menyentuh tanah, dia meneruskan lariannya meninggalkan kawasan gazebo tersebut.
"Nakalnya sama seperti Betara sewaktu kecil.."
Pekan yang berlari kearah Kenchana, Mastika dan Melur yang sedang bermain dengan pelanduknya dari jauh menjerit memanggil kembarnya itu.
"Melur.. Tok Yang dah bagi aku pergi berburu bersama pasukan pemburu.." Pekan yang teruja dengan perkhabaran dari moyangnya sebentar tadi melompat sambil mengangkat tangannya ke atas.
"Betul ke Pekan? wahh.. nanti kau bawa pulang rusa ya.." Melur turut bersama gembira dengan khabar yang disampaikan oleh kembarnya itu.
"Kau nak rusa je?"
" Ah.. Aku nak bagi rusa tu berkawan dengan Suri."
Kenchana dan Mastika langsung ketawa mendengar celoteh Melur itu. Dari tadi tak habis-habis anak kecil itu ingin berikan kawan kepada Suri, rusa putih yang menjadi teman Kenchana sejak dari kecil itu.
"Laa.. Aku berburu untuk buat makan la.. buat apa bagi kawan kat Suri."
"Kesian la Suri, dia tiada kawan.."
"Kawan Suri ramai la binatang kt hutan tu.. Kita pun kawan Suri.. dah ramai pun kawan Suri.."
"Suri tu rusa.. mesti la nak juga berkawan dengan rusa macam dia juga.."
"Ye lah... Nanti Aku bawa pulang rusa banyak-banyak.. Semua kita bagi kawan dengan Suri.." Pekan mula menyindir Melur.
"Kalau semua kawan dengan Suri, kita nak makan apa?" Kenchana pula mengusik anak-anaknya.
"Kalau lapar kita sembelih je seekor demi seekor." Pekan memberi saran.
"Semua dah kita sembelih nanti tinggal Suri seekor je. Tiada habis kawan dia." Mastika pula mencelah.
Kenchana, Pekan dan Mastika tertawa dengan usikan mereka kepada Melur. Hanya Melur yang memuncungkan mulutnya sambil membelai pelanduk di pangkuannya.
Share this novel