Perkampungan Nirma
PENGHULU Jalit meletakkan Melur yang berlumuran darah di mukanya itu ke atas sebuah katil. Melur mengalami pendarahan yang teruk dikepalanya setelah terhantuk di batu selepas di lemparkan oleh Ratu Manikmaya ke arah ayahnya tadi. Semasa Naga Purba Raya mula muncul dan memakan Ratu Manikmaya yang berubah menjadi burung gagak, Penghulu Jalit segera menghampiri Melur yang sudah pengsan.
Kerana melihat kepala cucunya itu sudah pecah dan berlumuran darah, malah wajah Melur juga melecur teruk kerana terkena api dari Betara, Penghulu Jalit buntu untuk menyelamatkan cucunya itu. Oleh kerana keadaan di medan pertempuran masih huru-hara dengan Betara yang sedang menyerang Ulong, Penghulu Jalit mengambil keputusan untuk membawa Melur kembali ke Perkampungan Nirma di alam bunian bagi merawat cucunya itu secepat mungkin.
Dukun di arahkan oleh Penghulu Jalit untuk merawat Melur dengan segera. Dia tidak mahu cucunya itu kehilangan nyawanya. Sewaktu pertempuran di puncak Gunung Korbu tadi, Pekan dilihatnya sudah mati dengan tragis dipukul oleh raksasa korbu. Perlakuan sadis ke atas Pekan benar-benar menyedihkan sehingga menyebabkan Betara mengamuk dan hilang kewarasan. Kini Penghulu Jalit tidak mahu kehilangan Melur yang satu-satunya cucunya sekarang. Pendeta Manik juga menghampiri Penghulu Jalit yang sedang menemani Melur di saat itu.
"Kenapa dengan anak ini Jalit?" Pendeta Manik yang belum mengenali Melur bertanya.
"Ini adalah cucuku.. Anaknya Kenchana.. Sudahlah abangnya tadi sudah mati dikerjakan oleh raksasa korbu.. Sekarang cuma tinggal Melur ini saja satu-satunya cucuku.."
"Sungguh parah sekali keadaannya.." Pendeta Manik bersimpati.
"Semoga dia masih sempat diselamatkan.." Penghulu Jalit mula menitiskan air mata kerana tidak tahan melihat kecederaan cucunya ketika itu.
"Bagaimana keadaan disana Jalit?"
"Ramai dikalangan kami terkorban dan sudah hampir kalah.. Namun ketika anak lelakinya terbunuh, Betara mula mengamuk dan hilang kewarasannya. Dirinya berubah dan menyerupai seekor naga. Api dari tubuhnya membakar apa sahaja yang berada disekeliling. Kekuatan naganya sungguh dahsyat. Semasa mengamuk, dia mampu membunuh setiap ekor raksasa korbu cuma dengan sepenumbuk sahaja.."
"Lalu apa yang terjadi?" Pendeta Manik agak terkejut dengan apa yang diceritakan oleh Penghulu Jalit kepadanya.
"Betara saat itu sudah tidak mengenal siapa kawan dan lawan. Siapa sahaja yang mendekat pasti akan dihapuskannya.. Dalam beberapa detik, kesemua raksasa korbu berjaya dihapuskannya. Ramai diantara kami pula bertempiaran melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa dari amukan Betara. Selepas sedar akan kekalahannya, Bunda Banang cuba melarikan diri tetapi akhirnya dia ditelan oleh Naga Purba Raya yang muncul secara tiba-tiba.."
"Naga Purba muncul lagi?"
"Ya.. walaupun musuh semua berjaya dihabisi, namun keadaan masih juga huru hara kerana Betara masih tidak sedarkan diri. Dia menyerang Naga Purba juga.. Aku.. Aku yang tidak mampu melihat Melur terus terbiar dengan kecederaannya itu segera membawanya kemari.."
"Jadi kau tidak tahu bagaimana perlawanan antara Betara dengan Naga Purba?"
"Tidak.. Tapi aku yakin Betara bukan lawan kepada ayahnya itu."
"Maksudmu?"
"Serangan dari Betara yang sedang mengamuk itu berjaya dielak dengan mudah oleh Ulong. Si naga itu begitu tenang semasa berhadapan dengan anaknya yang sedang menggila itu. Jadi aku yakin Naga Purba Raya itu mampu menghentikan amukan Betara."
"Kenchana pula bagaimana?"
"Kenchana kami tinggalkan dia di kubu pertahanan, di Gunung Gayong, bersebelahan Gunung Korbu."
"Jadi Kenchana belum tahu anak lelakinya sudah terbunuh? Hmm.."
"Aku fikir begitulah.. Namun Aku tidak tahu bagaimana penerimaan Kenchana nanti jika tahu anak lelakinya sudah tiada.. Oleh kerana itulah aku akan berusaha menyelamatkan anak perempuannya ini.. Setidaknya dia masih mempunyai salah seorang dari anaknya. Tapi jika Melur ini juga kehilangan nyawanya... Kenchana.. Kenchana.. dia.." Penghulu Jalit tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Hatinya terlalu sebak memikirkan nasib malang anak tunggalnya itu. Sejak dari lahir sehingga dewasa, nasib malang terus menimpa Kenchana.
"Penghulu.." Tiba-tiba dukun yang merawat Melur mencelah diantara perbualan Penghulu Jalit dan Pendeta Manik.
"Kenapa? Adakah kau sudah berjaya menyelamatkan cucuku?"
"Tidak Penghulu.. Sekarang aku cuma mampu menghentikan pendarahan dikepalanya itu sahaja. Tetapi kecederaannya itu terlihat sangat parah.. Otaknya sekarang sudah lumpuh. Jadi dia sekarang hanyalah ibarat mayat hidup dan hanya menanti masa untuk kehilangan nyawanya.." Dukun itu berterus terang dengan keadaan Melur sekarang. Hal perubatan yang melibatkan nyawa seseorang, dukun itu tidak akan berani untuk menyembunyikan hal sedemikian.
"Apa maksudmu? Jadi cucuku itu akan mati juga?"
"Maafkan aku Penghulu.. Aku sudah buat yang terbaik untuk gadis itu.."
Sejurus mendengar pengakuan dukun tersebut, Penghulu Jalit terus rebah ke lantai. Kakinya dirasakan lemah longlai dan dia sudah tidak mempunyai kekuatan untuk terus berdiri. Air mata mencurah-curah membasahi pipi pemimpin kaum bunian tersebut. Penghulu Jalit tidak sanggup kehilangan cucunya itu. Hatinya kini terasa pedih seperti di siat-siat dengan pisau yang tajam. Hidupnya terasa sudah tiada ertinya lagi. Penghulu Jalit terus menerus menyalahkan dirinya dan menganggap dirinya sudah tidak layak untuk terus hidup. Dunianya kini terasa gelap. Tidak semena-mena, badan Penghulu Jalit rebah ke tanah.
"Jalit!" Pendeta Manik cuba menyambut dan menarik Penghulu Jalit yang sudah rebah. Pendeta tua itu segera memanggil beberapa orang lelaki untuk membantunya mengangkat tubuh Penghulu Jalit. Tiga orang lelaki segera muncul dan mengangkat penghulu mereka. Mereka membaringkan pemimpin mereka itu di atas katil, bersebelahan katil Melur yang sedang terbaring.
Tidak lama kemudian, Penghulu Jalit mulai tenang selepas direhatkan. Penghulu Jalit bangkit dari pembaringannya perlahan-lahan sambil menyeka air matanya. Mata tua lelaki itu sayu memandang ke arah Melur yang berada dipembaringan pada katil sebelahnya. Pendeta Manik hanya memerhatikan kelakuan Penghulu Jalit yang terlihat sedang termenung dan berfikir panjang. Setelah seketika, Pendeta Manik berjalan menghampiri Penghulu perkampungan Nirma itu.
"Jalit..."
"Pendeta.. Aku fikir, bagaimana pun caranya, Aku perlu menyelamatkan nyawa cucuku ini."
"Apa maksudmu Jalit?" Pendeta Manik mulai terasa tidak senang dihatinya setelah mendengar ucapan Penghulu Jalit itu.
"Cucuku ini masih terlalu muda.. Dan anakku, Kenchana pasti sangat memerlukan anaknya ini.. Jadi aku sudah putuskan, aku akan berganti nyawa untuk cucuku ini."
"Jangan bertindak bodoh Jalit! Kau itu penghulu, pemimpin kaum kita!"
"Tapi cuma ini sahaja caranya untuk aku kembalikan kebahagiaan anakku. Sejak dia lahir, Aku sudah memisahkan dia dari kehidupan yang sepatutnya. Dari kecil Kenchana sudah kehilangan Mulya.. Dia membesar sendirian dihutan belantara.. Itu semua terjadi kerana keputusanku.. Sekarang, aku ingin menebus segala dosaku pada Kenchana dengan mengembalikan anaknya ini. Biarlah nyawaku yang menjadi galang ganti untuk kehidupan cucuku dan kebahagiaan anakku itu."
"Jangan bertindak sebarangan Jalit.. Kau itu penghulu kaum kita. Kaum kita masih memerlukanmu."
"Sudahlah kau menghalangiku Pendeta. Aku sudah nekad dengan keputusanku ini." Penghulu Jalit kemudian berdiri dari katilnya dan berjalan menuju ke arah Melur. Wajah Melur yang penuh dengan kesan luka dan melecur itu ditatap sayu oleh Penghulu Jalit. Penghulu Jalit kemudiannya mengangkat tangannya dan menghalakan telapak tangannya ke arah Melur yang masih tidak sedarkan diri dan hampir mati itu.
Tiba-tiba muncul satu bayangan hitam melilit di tangan Penghulu Jalit dan bayang hitam itu menarik tangan Penghulu Jalit ke belakang. Bayang hitam itu seterusnya melilit seluruh badan Penghulu Jalit dan kedua belah tangannya. Itu adalah perbuatan Pendeta Manik yang cuba menghalang Penghulu Jalit dari mengorbankan dirinya kepada Melur. Penghulu Jalit ditarik kebelakang dan kembali terduduk dibucu katil tempat dia berbaring tadi. Pendeta Manik turut duduk dikatil tersebut disamping Penghulu Jalit. Pendeta tua itu kemudian memandang ke arah Penghulu Jalit sambil tersenyum.
"Tenanglah Jalit. Jika kau benar-benar ingin melakukan pemindahan nyawa untuk menyelamatkan cucumu itu, maka biarlah aku yang mengambil tempatnya.."
"Kau jangan masuk campur pendeta!" Penghulu Jalit mulai geram dengan tindakan Pendeta Manik.
"Kau itu pemimpin kaum kita Jalit. Kaum kita masih memerlukan kepimpinanmu. Jika ada yang perlu berkorban nyawa, biarlah aku yang menjadi orangnya. Aku sudah pun tua Jalit. Kalau terus hidup pun, umurkan takkan bertahan lama. Setidaknya biarlah nyawaku ini mampu menghidupkan orang lain lebih lama. Berkhidmat kepada penghuluku adalah satu kebanggaan buatku."
"Tidak Pendeta.. Jangan kau buat begitu.. Jangan!!" Penghulu Jalit cuba meronta untuk melepaskan diri dari lilitan bayang hitam yang membelenggu pergerakannya. Dia ingin menghalang Pendeta Manik dari mengorbankan nyawa demi cucunya namun Penghulu Jalit sudah terlambat. Dia sudah tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang pendeta tua itu.
Sejurus kemudian, Pendeta Manik memejamkan matanya dan mengarahkan telapak tangannya ke arah Melur. Selepas beberapa detik, Pendeta Manik kembali membuka matanya dan memandang Penghulu Jalit dengan wajah yang tersenyum.
"Selamat tinggal Jalit.."
"Pendetaaa!!"
Share this novel
ya????
bab ini sedih ... nexxx