Gunung Chamah
HUTAN belantara yang tebal menghijau dihiasi bunyi siulan unggas yang menenangkan. Di kawasan pergunungan yang tinggi, cahaya mentari segan silu menyentuh permukaan tanah yang berbumbungkan dedaunan tebal dari pohon-pohon yang tinggi dan berlapis-lapis. kelihatan seorang wanita berambut ikal panjang yang berpakaian gaun sutera serba putih sedang berjalan meredah celah-celah pepohonan. Kaki mulusnya tanpa alas, berkaki ayam memijak dedaunan kering yang memenuhi permukaan tanah. Walaupun berjalan sendirian, namun wajahnya tidak memaparkan reaksi keletihan. Seolahnya dia sedang gembira meredah hutan itu berseorangan sambil menikmati keindahan alam. Sudah berbelas tahun hidup sendirian di hutan, Kenchana sudah terbiasa dengan suasana rimba. Temannya dari kecil cumalah haiwan dan pokok-pokok sahaja.
"Suri.." Kenchana bersuara lembut sepertinya memanggil nama seseorang.
"Suri..dimana kau?" panggilannya itu diulangi berkali-kali.
Langkah kakinya perlahan-lahan melangkah merentasi semak samun dan barisan pokok besar. Seketika kemudian, Kenchana tiba di kawasan sungai. Matanya melihat seekor rusa berwarna putih sedang meminum air di tebing sungai tersebut.
"Di sini pun kau ya Suri." Kenchana bersuara lagi sambil kakinya melangkah menuju ke arah rusa putih tersebut. Ternyata yang dicarinya dari tadi adalah rusa berwarna putih tersebut. Rusa putih itu berpaling ke arah wanita yang memanggil namanya itu. Saat rusa yang bernama Suri itu mengangkat kepalanya dari permukaan air sungai, tiba-tiba satu anak panah meluncur laju dan tertancap ke tanah sepertinya anak panah tersebut telah tersasar dari tengkuk rusa tersebut. Kenchana dan Suri terkejut besar. Rusa bernama Suri itu berundur kebelakang beberapa langkah kerana terkejut dengan anak panah yang tertancap di depannya tetapi tanpa disangka, pergerakannya itu sekali lagi menyelamatkan nyawanya. Saat Suri berundur beberapa tapak, satu lagi anak panah telah meluncur tersasar dari tenggorokannya.
"Lari Suri!!" pekik Kenchana sambil berlari dan rusa putih tersebut turut lari bersama, kembali ke arah hutan yang bertentangan dari arah datangnya anak panah.
"Tak guna." terdengar suara seorang lelaki yang muncul dari celahan semak tidak jauh dari tebing sungai. Kelihatan dua orang lelaki yang memegang busur panah keluar dari tempat persembunyian mereka dan dengan segera mengejar Kenchana dan Suri si rusa putih yang sudah lari ke dalam celahan pokok.
Kenchana semakin cemas. kakinya melangkah laju sambil sesekali kepalanya berpaling ke arah belakang untuk melihat pemburu yang mengejar mereka. Rusa putih yang berlari lebih laju sudah meninggalkan Kenchana di belakangnya. Tiba-tiba kaki wanita itu tersadung di akar pokok dan dirinya jatuh tersungkur ke tanah. Rusa putih yang lari di depannya juga menghentikan langkah apabila menyedari wanita yang dikenalinya itu rebah. Dalam menahan kesakitan di kakinya, Kenchana memandang ke arah rusa putih yang berada di depannya.
"Lari Suri!! Cepat lari !!" Kenchana masih mengarahkan rusa tersebut menyelamatkan diri. Dia tahu pemburu itu cuma mahukan haiwan albino yang langka itu sahaja, bukan dirinya. Rusa itu mengangkat kedua kaki depannya dan memandang ke arah wanita itu. Kemudian rusa itu meneruskan larian sepertinya memahami permintaan wanita itu. Kenchana tersenyum apabila melihat rusa albino yang dinamakan Suri itu lari menyelamatkan diri sambil dahinya berkerut menahan kesakitan dikaki. Beberapa saat kemudian, dua orang pemburu tadi tiba di hadapan wanita yang sudah rebah itu sambil meleretkan senyuman. Mereka menghentikan larian dan mula berjalan perlahan mendekati buruan mereka yang sudah lemah terduduk di tanah.
"Kerana kau sudah melepaskan buruan kami, sekarang kau yang akan menjadi gantinya." Salah seorang dari pemburu tersebut menghalakan jari telunjuknya kepada Kenchana sambil ketawa.
"Tapi, siapa kau? aneh sekali pakaianmu." kata seorang lagi pemburu yang kehairanan melihat perempuan di hadapan mereka itu. Wanita yang berpakaian gaun putih itu tersangat asing bagi mereka yang cuma biasa bercawat dari dedaunan.
"Ya. Pakaiannya aneh sekali. Jelas dia bukan dari puak di kawasan sekitar. Tapi apa yang dia buat ditengah hutan ini bersendirian?" Sahut sahabatnya lagi.
Pelbagai persoalan mula muncul dibenak mereka. Dari mana datangnya perempuan ini. Malah kecantikan wanita yang bergaun putih, berambut ikal panjang itu mula mempesonakan mereka. Kulitnya putih kemerahan dan bersih. Sangat berbeza dari mereka sebagai orang asli yang mendiami kawasan pergunungan hutan tersebut. Tiada ciri-ciri pada diri perempuan tersebut yang menunjukkan dia dari mana-mana puak orang asli di situ. Kini mata dua orang pemburu tersebut membuntang luas. Nafsu berahi mula membuak-buak dalam diri mereka untuk menodai perempuan di hadapan mereka sekarang kerana tergoda oleh kecantikan luar biasa yang tak pernah disaksikan mereka.
Kenchana yang sudah rebah dan kesakitan itu cuma mampu mengundurkan punggungnya ke belakang beberapa kali. Ketakutan sudah menguasai dirinya. Kenchana sedar dirinya sekarang dalam bahaya tapi dia sudah tak mampu untuk berbuat apa-apa melainkan cuba berundur sahaja perlahan-lahan. Hatinya tak putus-putus berdoa agar dirinya tidak diapa-apakan pemburu tersebut.
Salah seorang dari pemburu sudah pun berdiri tepat di hadapan Kenchana. Wanita berpakaian putih itu cuma mampu menjerit meminta pertolongan dan minta jangan diapa-apakan dirinya kepada pemburu tersebut.
“Itu.. rusa putih itu kembali berlari ke arah sini!” Salah seorang pemburu itu menunjukkan ke arah rusa yang sedang menerpa ke arah mereka. Rusa albino itu terlihat seakan marah dan tidak ingin mendiamkan diri apatah lagi meninggalkan Kenchana apabila menyedari wanita itu akan di apa-apakan.
“Kau uruskan rusa itu. Dia sudah mahu menyerah diri kepada kita. Biar aku uruskan perempuan ini dahulu.” Pemburu yang mendekati Kenchana memberi arahan kepada sahabatnya. Pemburu seorang lagi dengan pantas mengambil anak panah dari belakang badannya dan diletakkan di busur. Kenchana pula semakin kuat tangisan dan rayuannya, memohon untuk tidak di apa-apakan dirinya.
Tanpa mengendahkan rayuan dari wanita yang rupawan itu, pemburu tersebut menghulurkan tangannya untuk memegang tangan Kenchana untuk menghentikan pergerakan wanita itu. Namun sebelum sempat tangannya mencapai tangan kenchana, tiba-tiba tangannya terputus. Darah merah pekat terpercik ke muka Kenchana. Rusa putih yang sedang berlari menerpa ke arah mereka juga menghentikan langkahnya dengan tiba-tiba. Pemburu yang sedang memegang busur panah juga segera berpaling melihat ke arah rakannya, seraya membatalkan pelepasan anak panah ke arah rusa putih di hadapannya.
Mata Kenchana terbeliak luas. Kemudian muncul satu kaki memberi tendangan ke arah pemburu yang terputus tangannya itu sehingga membuatkan pemburu tersebut tercampak jauh. Sebuah teriakkan kuat terluah dari mulut pemburu yang menahan kesakitan akibat kehilangan tangannya. Kenchana sempat melihat satu sosok tubuh berdiri membelakanginya. Namun penglihatannya mulai kabur. Kenchana pun pengsan akibat mengalami kejutan tanpa mengetahui siapa yang datang menyelamatkannya.
Pemburu seorang lagi segera melepaskan serangan anak panah di tangannya ke arah pendatang tersebut. Namun anak panah yang meluncur laju itu dengan mudah dapat dielakkannya. Pemburu segera mencampakkan busur di tangannya dan segera mengeluarkan senjata tajam yang tersisip di pinggangnya. Pendatang itu bukan orang biasa. Pergerakannya sungguh tangkas. Pemburu perlu berhati-hati untuk berdepan dengan lelaki yang baru hadir di depannya itu.
"Siapa kau?" soal pemburu yang siap siaga dengan pisau di tangannya kepada lelaki yang baru sahaja muncul dan merosakkan rancangan mereka.
"Ini kawasan aku. Sepatutnya aku yang bertanyakan soalan itu kepada kau." Lelaki yang baru tiba itu bersuara keras sambil tangan kanannya memegang sebilah senjata tajam yang telah memotong tangan pemburu tadi.
Pemburu tersebut mengetap bibirnya. Dia sedar mereka sudah masuk ke kawasan bukan milik puak mereka. Matanya melirik melihat temannya yang masih berguling, meraung menahan kesakitan selepas tangannya dipotong dan dirinya ditendang sehingga melambung. Kemudian matanya kembali melihat sosok yang sudah menyakiti temannya. Lelaki itu masih berdiri gagah di hadapannya. Dari gaya dan pergerakannya tadi, lelaki tersebut pasti bukan calang-calang orangnya.
Namun Pemburu tersebut tidak mahu berdiam diri menanggung malu dari lelaki yang sudah mengganggu rencana mereka. Mangsa buruan mereka tidak berjaya disentuh, malah rusa putih tadi juga masih tidak terluka sedikit pun. Pandangan pemburu tidak berkedip terhadap lelaki yang menyerang mereka. Dia sudah melupakan rusa putih yang cuba dipanahnya tadi. Dengan berbekalkan keberanian, pemburu tersebut cuba melangkah kedepan untuk menyerang lelaki pengganggu itu. Namun kemampuan mereka berbeza jauh. Dengan satu tendangan di dada sahaja, pemburu itu sudah terpelanting ke belakang. Terbaring menahan kesakitan. Satu tendangan keras itu dirasa hampir meragut nyawanya.
Seketika kemudian, pemburu itu bangkit dari baringnya dan menuju ke arah temannya yang sudah longlai setelah kehilangan banyak darah akibat tangan terpotong. Mahu atau tidak, mereka terpaksa tinggalkan tempat itu. Jika masih mahu melawan, pemburu itu sedar, hanya nyawa mereka yang akan jadi taruhan. Tersalah perhitungan, nyawa mereka boleh melayang. Demi menyelamatkan nyawa, mereka terpaksa pergi dengan menanggung malu apabila dikalahkan dengan mudah. Sambil memapah temannya, pemburu itu perlahan-lahan meninggalkan kawasan tersebut. baru beberapa tapak berjalan, pemburu itu berpaling ke arah belakang, melihat ke arah lelaki yang menyerang mereka dan wanita buruan mereka tadi yang sudah pengsan.
"Siapa namamu?" pemburu itu masih bertanyakan identiti lelaki yang menyerang mereka itu.
"Aku Betara.. dari puak Saga yang menjaga kawasan ini." Lantang suara lelaki yang menyelamatkan wanita dari dinodai itu.
"Betara.. Ciss!" Pemburu itu mendengus kencang dengan penuh dendam. Dia kemudian membawa temannya yang kehilangan tangan itu berlalu pergi dari kawasan tersebut.
Setelah dua orang pemburu itu hilang dari pandangan, barulah Betara mengalihkan pandangannya kepada wanita yang sudah pengsan di belakangnya. Senjata di tangannya kemudian disimpan kedalam sarung yang tersemat di pinggangnya. Kali ini, Betara juga seakan pelik dengan wanita berpakaian putih yang pengsan di hadapannya itu. Kulitnya putih mulus. Pakaiannya terlihat aneh, tidak seperti mana-mana puak yang tinggal di dalam hutan kawasan sekitar. Tadi dia bergegas ke kawasan tersebut setelah mendengar jeritan meminta tolong dari wanita itu.
Segala persoalan tentang asal-usul wanita itu yang bermain di mindanya disingkirkan. Sekarang Betara hanya berfikir, dia perlu menolong wanita tersebut. Kaki wanita itu kelihatan sudah bengkak. Betara tanpa berfikir panjang, terus mengangkat wanita itu ke pangkuannya. Dia perlu membawa wanita itu ke perkampungannya untuk dirawat secepat mungkin. Betara menjadi lebih aneh terhadap wanita itu kerana baunya sangat harum. Bau yang sangat menggoda jiwa dan belum pernah dihidu bau wangi seperti itu. Adakah wanita ini bidadari atau pari-pari? Bentara masih tertanya-tanya sambil kakinya melangkah laju dan kedua tangannya gagah menggendong wanita misteri yang sedang pengsan itu.
Setelah berjalan beberapa puluh langkah, Betara menghentikan kakinya. Matanya tajam memandang ke kawasan sekitar. Telinganya dipasang dengan fokus. Dia yakin dirinya di ekori. Beberapa saat kemudian, dia meneruskan langkah apabila tidak dapat mengesan kehadiran entiti yang mengikutinya. Setelah melangkah tidak berapa jauh, Betara menghentikan lagi langkahnya dan segera melihat ke arah punca yang dia yakini ada sesuatu yang sedang mengekori langkahnya.
Dari jauh, dia terlihat ada seekor rusa putih yang sedang memerhatikannya. Setelah bertentangan tatapan beberapa saat, Betara yakin rusa albino itu ada kaitan dengan wanita yang digendongnya ketika itu. Betara cuma meleretkan sebuah senyuman kemudian meneruskan langkah kakinya sambil menggendong wanita pengsan dipangkuannya itu. Rusa putih itu juga perlahan-lahan mengikuti arah perjalanan Betara.
Share this novel
menarik cerita ni... dah start bibit cinta tu. takyah tunggu lama2 la Betara oii..