MENTARI di ufuk barat hampir tenggelam ditelan bumi, menandakan waktu senja kian melabuhkan tirainya. Langit yang kemerahan terlihat semakin kelam akibat kegelapan yang mula menyelubungi ruang alam. Perkampungan Bunut Naga pula mula di nyalakan api jamung bagi menyediakan cahaya yang akan menyinari kehidupan waktu malam kepada penduduk di sana. Kenchana kembali diserang keresahan. Dia masih mencari-cari kelibat Betara namun kecewa. Sejak dari tadi dirinya mundar-mandir di sekeliling permukiman Puak Saga itu. Punta Damar yang sedang duduk di anjung meyedari tingkah laku Kenchana dan memerhatikan gadis tersebut. Tidak ingin melihat gadis muda itu terus bertingkah aneh seperti itu, Punta Damar langsung memanggil Kenchana apabila gadis itu melintas di depannya.
"Kenchana, datang ke sini nak." Punta Damar memulakan bicara.
"Kenapa Punta?"
"Sepatutnya aku yang bertanya, kenapa denganmu? Dari tadi, kau asyik ke sana sini. Dirimu terlihat keresahan."
"Kenchana... ah.. Betara, kenapa dia masih belum pulang?"
"Jadi kamu resah kerana Betara tiada disini?"
"Bu..bukan begitu. Kenchana khawatir sesuatu berlaku padanya. Sampai sekarang dia masih belum pulang." Kenchana tergagap-gagap.
"Jangan kamu khawatir. Betara itu pahlawan yang handal. Dia ketua kepada pasukan pemburu. Malah kalau terjadi apa-apa, pasukan pemburu pasti akan membantu. Mereka bergerak dalam kumpulan."
"Tapi sekarang sudah malam. Kenapa mereka masih tidak pulang?"
"Itu perkara biasa Kenchana. Mungkin mereka berburu di kawasan yang jauh atau lambat mendapat hasil buruan. Pemburu tidak akan pulang dengan tangan kosong."
Kenchana kematian kata-kata. Dia sangat khawatir jika mimpinya siang tadi menjadi kenyataan. Mimpi itu sangat menakutkan. Wajah ngeri raksasa yang menyerang Betara di dalam mimpinya terbayang kembali di fikiran Kenchana. Kenchana yang hanyut dalam pemikirannya langsung tidak menyedari Mastika yang hadir di sebelahnya.
"Kenchana, kenapa sayang?" Mastika menyapa lembut sambil memegang bahu Kenchana.
"Oh, ibu."
"Dari siang tadi, kau masih memikirkan keadaan Betara?" Tidak sukar bagi Mastika menduga perasaan dan pemikiran gadis polos di depannya itu. Kenchana hanya diam membisu. Matanya dialihkan dan dia hanya memandang ke arah depan perkampungan yang menjadi laluan keluar dan masuk penduduk di perkampungan di sana. Mastika menggelengkan kepalanya beberapa kali apabila melihat aksi Kenchana tersebut.
"Janganlah terlalu memikirkan mimpi mu itu sayang. Itukan cuma mimpi." Mastika memujuk lembut untuk menenangkan Kenchana.
"Tapi..." Kenchana kehilangan kata-kata untuk melanjutkan ayatnya.
"Mana ada raksasa sebegitu di dunia ini." Mastika ingin meyakinkan Kenchana bahawa mimpi gadis itu hanyalah permainan tidur dan apa yang dilihat oleh Kenchana di dalam mimpinya itu tidak akan menjadi kenyataan.
"Raksasa yang menakutkan, hanyalah Naga Purba Raya Dirgantara.." Punta Damar tiba-tiba mencelah. Kenchana dan Mastika tersentak dengan kata-kata Punta Damar itu. Kedua mereka berpaling dan melihat wajah lelaki tua itu.
"Naga Purba..?" Perlahan suara Kenchana terpacul dari mulutnya.
Mastika kemudiannya berjalan perlahan-lahan dan melabuhkan punggungnya di anjung. Dia duduk bersebelahan dengan ayahnya, Punta Damar. Punta Damar hanya melihat ke arah anak perempuannya itu yang sedang menundukkan mukanya.
"Bagaimana rupa naga itu? Kalian pernah melihatnya?" Kenchana kembali bertanya.
"Kami cuma pernah melihatnya dari jauh dalam kegelapan malam. Tiada sesiapa pun mampu mendekatinya." Luah Punta Damar.
"Kenapa tidak mampu mendekat? Bagaimana rupanya?" Kenchana menjadi tidak sabar untuk tahu.
"Sesiapa pun pasti akan mati kalau mendekat. Api hembusan si naga itu akan membunuh sesiapa sahaja." Punta Damar menjawab sambil ketawa. Jawapannya itu terdengar seperti berseloroh. Kenchana terpegun mendengar cerita dari pemimpin tua itu.
"Badannya seperti ular gergasi yang sangat besar. Matanya merah menyala dan suaranya seperti guruh yang berdentum.." Punta Damar melanjutkan dengan kepalanya sedikit mendongak ke atas. Lelaki itu diam sejenak sebelum meneruskan kata-katanya.
"Kisah mengenai Naga Purba Raya itu terdengar ibarat dongeng bagi mereka yang belum pernah melihatnya. Namun bagi puak Saga, kami sudah menyaksikan sendiri kengerian dan kehebatan Naga Purba itu."
Tiba-tiba suasana menjadi riuh. Kenchana segera memalingkan mukanya ke arah keriuhan suara penduduk ketika itu. Punta Damar pula tidak menunjukkan apa-apa reaksi dan Mastika yang duduk di sebelahnya hanya melihat ke arah Kenchana. Punta Damar dan Mastika tidak mempedulikan keriuhan seperti itu kerana mereka tahu, pasukan pemburu pasti sudah pulang dengan membawa hasil yang lumayan. Dari kejauhan, kelibat Betara dan pasukan pemburu muncul pada pandangan mata Kenchana. Kenchana yang tidak mampu mengawal dirinya terus berlari ke arah Betara. Dia sangat merisaukan lelaki itu sekian lama. Mastika hanya tersenyum melihat ulah Kenchana ketika itu. Punta Damar pula melihat tongkat di pegangan tangannya. Dia kemudiannya berbicara dengan Mastika.
"Gadis itu.. mungkin sudah suka kepada Betara."
"Tidak Ayah.. Dia bukan suka dengan Betara." Mastika membalas ucapan Punta Damar. Lelaki tua itu melirik matanya ke arah anak perempuannya yang sedang duduk di sebelahnya itu.
"Mastika yakin, Dia sudah jatuh cinta dengan Betara." Mastika tersenyum sambil menampakkan giginya kepada Punta Damar.
"Hmm... anak muda.." Punta Damar kembali melihat dan membelek-belek tongkatnya.
Kenchana yang tadinya berlari, menghentikan langkahnya tepat di hadapan Betara. Betara rasa pelik dengan tindakan Kenchana itu. Wajah gadis itu terpamer riak kerisauan.
"Betara.. kamu tak apa-apa?"
"Iya..Aku tak apa-apa. Kenapa denganmu Kenchana? Bagaimana kesihatanmu? Kau sudah pulih dan merasa baik kembali?"
"Aku...ah.. Kenchana.. hmm.. baguslah kalau begitu. Ya.. Kenchana sudah sihat dan baik-baik saja." Kenchana tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Tutur katanya berterabur. Saat ini, kerisauan mula hilang dari hatinya. Hatinya tiba-tiba berubah menjadi gembira dan teruja. Namun Kenchana semakin bingung. Kenapakah perasaannya boleh berubah dalam sekelip mata setelah melihat Betara yang sudah berada di depan matanya.
"Tapi kenapa kalian lewat pulang hari ini?" Kenchana ingin melanjutkan perbualannya dengan Betara.
"Oh, itu kerana kami mengejar buruan yang besar. Gagah sekali seladang ini. Berhempas pulas kami nak rebahkan dia." Betara menunjukkan seekor seladang besar yang sudah mati dan diikat pada kayu dan diusung oleh beberapa orang pemburu yang berada di belakang Betara.
Melihat sahaja seladang yang sudah mati itu, Kenchana menjadi tidak keruan. Wajahnya tiba-tiba berubah menjadi pucat. Rupa seladang itu sangat mirip dengan kepala raksasa yang menyerang Betara.
"Tidak!!" Kenchana tiba-tiba menjerit dan langkah kakinya berundur beberapa tapak ke belakang sebelum punggungnya rebah dan jatuh ke bumi.
Mastika yang mendengar jeritan Kenchana segera berlari ke arah anak angkatnya itu. Betara juga mendekati Kenchana yang rebah di hadapannya. Betara menundukkan badannya kemudian duduk mencangkung di hadapan Kenchana.
"Kenapa Kenchana?" Betara memegang kedua bahu Kenchana dengan kedua belah tangannya. Kenchana yang terlihat seperti ketakutan hanya terdiam dan air matanya kemudian bergenang keluar dari kelopak matanya. Tangan kanannya diangkat dan jarinya telunjuknya terketar-ketar dihalakan ke arah seladang yang sudah mati dan diusung oleh pasukan pemburu itu. Betara yang kebingungan hanya melihat ke arah seladang yang menjadi hasil buruannya hari itu.
"Apa yang menakutkanmu Kenchana?" Betara mengulangi pertanyaannya.
"Itu.. raksasa.. yang menyerangmu.." Suara kenchana perlahan dan tersekat-sekat.
"Raksasa? Itu seladang. Dia tidak menyerangku malah akulah yang menyerangnya dan membunuhnya. Kenapa denganmu ini Kenchana?" Betara menjadi semakin pelik dengan reaksi Kenchana itu. Mastika yang tiba disitu terus mendekati Kenchana. Tangannya lembut menolak tangan Betara yang masih memegang bahu Kenchana ketika itu. Kemudian Mastika memeluk Kenchana dengan erat. Dia ingin anak angkatnya itu bertenang. Mastika tahu peranannya ketika itu. Cuma dia yang mampu menenangkan Kenchana yang sudah keresahan dari siang tadi. Betara pula kembali berdiri dengan kebingungan. Dia tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Kenchana ketika ini.
"Kenapa Kenchana?" Mastika berbisik lembut di telinga Kenchana.
"Itu..itulah raksasa yang menyerang Betara tadi.."
"Jangan terbawa-bawa oleh mimpimu sayang. Itukan cuma seladang yang sudah di buru oleh Betara dan pasukannya. Itu bukan raksasa."
Akhirnya pelukan dan penjelasan Mastika itu berjaya menenangkan Kenchana. Tangisan Kenchana turut berhenti. Perlahan-lahan Mastika berdiri dan memegang kedua belah bahu Kenchana, menyokong gadis itu untuk turut berdiri bersama. Mata Kenchana masih tertancap ke arah kepala Seladang yang sudah mati itu.
"Kamu tak apa-apa Betara? Apa kamu terluka?" Kenchana menyoal Betara. Mastika yang berdiri di sebelah Kenchana mengerdipkan mata dan sedikit menganggukkan kepalanya kepada Betara sebagai isyarat kepada Betara untuk melayani dan menjawab pertanyaan Kenchana. Betara yang memahami isyarat dari ibunya itu tidak banyak menyoal lagi dan langsung sahaja menjawab pertanyaan Kenchana.
"Iya. Aku tak apa-apa. Aku tidak terluka sedikit pun Kenchana." Betara menjawab soalan Kenchana itu dengan penuh kebingungan. Padahal dari semalam, Betaralah yang merisaukan keadaan Kenchana. Namun hari ni, tiba-tiba Kenchana yang baru pulih dari kelumpuhan itu merisaukan diri Betara. Betara yang tidak memahami situasi yang berlaku kepada Kenchana hanya menggaru-garu kepalanya walaupun kepalanya itu tidak gatal.
"Apa binatang itu tidak menyerangmu?" Kenchana menunjukkan ke arah seladang yang mati itu.
"Dia meronta ketika terjerat oleh kami. Dia cuba menyerang balas namun dia bukan tandingan kami."
Mata Kenchana kembali berkaca. Dia bersyukur Betara selamat dan tidak terluka. Mata Kenchana masih menatap kepala seladang yang sudah mati itu. Dari rupa dan tanduk haiwan itu, terlihat sama dengan makhluk yang muncul dalam mimpinya tadi. Walaupun emosinya sudah tenang, namun fikiran Kenchana masih melayang mengingatkan mimpinya itu. Dia yakin mimpinya itu adalah satu petanda, namun dia tidak dapat menafsirkan mimpinya itu. Di sudut hatinya, Kenchana yakin makhluk raksasa yang dilihat dalam mimpinya itu wujud.
"Ayuh, kita bakar seladang ini untuk santapan kita malam ini." Suara Betara memecah kesunyian. Ajakan Betara itu kemudian diiringi oleh laungan gembira dari penduduk perkampungan Bunut Naga itu. Beberapa orang lelaki terlihat mengambil alih kayu yang mengikat seladang yang dipikul oleh kumpulan pemburu. Seladang itu diangkat tinggi sambil mereka bersorak gembira dan menyanyi riang. Mastika pula terus menuntun Kenchana untuk pergi dan bersurai dari tempat tersebut. Betara hanya memerhatikan Kenchana yang membuntuti ibunya itu pergi dari situ.
"Cinta adalah anugerah terindah kepada orang yang terpilih sahaja. Jika sudah mendapat anugerah itu, jangan di sia-siakan.." Kata-kata Mastika semalam kembali bermain difikiran Betara pada saat itu.
"Anugerah terindah.." Betara tersenyum sendiri tatkala menyebut ayat tersebut. Pandangannya masih terpaku lurus ke arah Kenchana.
Share this novel