Bab 17

Fantasy Completed 11833

BETARA sedang bersendirian di anjung gazebo. Fikirannya sedang memikirkan Kenchana yang sedang dirawat oleh Mastika dan beberapa orang dukun di kediaman Kenchana. Setelah pulang ke perkampungan Bunut Naga, Betara segera membawa Kenchana ke rumah yang dibina untuk gadis itu. Badan Kenchana yang lumpuh akibat perbuatan Salak masih belum kembali pulih. Perubatan perlu diberikan segera kepada gadis itu untuk memulihkannya dan mengelakkan kemudaratan yang lebih teruk kepada kesihatan tubuh badannya. 

Betara yang khawatir dengan keadaan Kenchana hanya mampu menyerahkan urusan perubatan kepada para dukun dan ibunya, Mastika. Betara masih menyalahkan dirinya sendiri di atas kejadian yang berlaku tadi. Kerana dia membawa Kenchana ke Perkampungan Bunut Naga dan membiarkan gadis itu berkeliaran tanpa pengawasan telah menyebabkan kecelakaan kepada Kenchana. 

Ketika sedang memikirkan kejadian yang menimpa Kenchana, Betara memejamkan matanya. Dia sangat kesal dengan perbuatan Salak yang sanggup membunuh Limbat kerana hasutan nafsu. Betara juga merasa sangat bersalah kerana terpaksa menamatkan riwayat Salak yang sudah berkhianat kepada puaknya sendiri. 

Fikirnya, Limbat yang telah terkorban harus dimakamkan sebagai pahlawan Puak Saga kerana telah berjuang menegakkan kebenaran dan mempertahankan kesucian Kenchana yang sudahpun menjadi sebahagian dari Puak Saga. Kenchana seharusnya dilindungi oleh puak mereka tetapi Salak pula mengkhianati adat dan kepercayaan mereka. Betara bersumpah, selepas kejadian ini, dia akan menjaga Kenchana sebaik mungkin agar kejadian sama tidak berulang lagi. Dia tidak ingin Kenchana terus menjadi mangsa manusia yang bertuhankan nafsu mereka.

Wajah putih dan mulus Kenchana muncul di fikiran Betara. Kenchana sedang tersenyum dan mendekati Betara. Gadis itu tanpa segan menyentuh dada Betara dengan kedua tangannya. 

"Betara.. Tolong jaga Kenchana.." Kenchana berbisik lembut. Betara lantas mengangkat tangannya dan memegang kedua belah bahu Kenchana. 

"Ya.. Aku berjanji akan menjagamu sehingga hujung nyawaku.." Betara ingin menyakinkan Kenchana.

"Cintailah aku sepenuh hatimu.." Mata Kenchana bersinar berkaca, memohon sebuah pengharapan dari Betara.

"Tapi aku..." Betara tidak menghabiskan kata-katanya. Kenchana yang terlihat seolah kecewa segera menolak dada Betara dan mengalihkan pandangannya. Gadis itu ingin berlalu pergi meninggalkan Betara. Namun Betara dengan pantas menyambar pergelangan tangan Kenchana. Tangan Kenchana dipegang dengan erat sekali. Betara tidak ingin Kenchana pergi dari sisinya. 

Apabila Kenchana memalingkan semula wajahnya ke arah Betara, tiba-tiba rupa gadis itu bertukar menjadi wajah Kirana.  Betara tersentak namun masih tidak melepaskan genggamannya pada tangan gadis tersebut. Sosok Kirana mendekati Betara dan menyentuh dada Betara dengan sebelah tangannya. 

"Betara..  Aku adalah masa silammu. Lupakanlah aku.. teruskan hidupmu. Jangan fikirkan lagi orang yang sudah tiada. Gapailah cinta yang sedang menyala dihatimu. Jangan sampai api cinta itu juga padam dari hidupmu. Aku akan bahagia jika kau bahagia." Kata-kata Kirana itu menusuk hati Betara. Perlahan-lahan Kirana di depannya berubah menjadi Kenchana kembali. 

"Semarakkanlah api cintamu Betara.. Jangan biarkan api itu terpadam.." Kenchana melanjutkan kata-kata Kirana sebentar tadi. Kemudian bayangan Kenchana perlahan-lahan menjadi pudar dan menghilang. 

Betara segera membuka matanya. Dia benar-benar terpana dengan kata-kata dua orang gadis di dalam bayangan fikirannya sebentar tadi. Titisan peluh kasar mengalir dari dahi Betara. Meleleh menuruni bahagian pipi sebelum jatuh menitik di atas paha Betara yang sedang duduk bersila. Betara merasakan jantungnya sedang berdegup kencang. Badannya terasa hangat dan darah sepertinya sedang mengalir memenuhi kepalanya yang membuatkan kepalanya terasa panas dan mengembang. 

Nafasnya disedut sedalam mungkin. Betara cuba menahan udara di dalam dadanya beberapa detik sebelum dihembus keluar. Dia mengulangi perbuatannya itu beberapa kali untuk menenangkan dirinya dan menurunkan rentak degupan jantungnya agar kembali normal. Untuk kali yang terakhir, Betara melepaskan nafasnya dengan kuat dan bersuara.

"Huhh!!" Betara termenung seketika selepas menghembuskan nafasnya. 

"Apakah maksud dari semua ini?" Betara masih bertanyakan dirinya sendiri. Sebenarnya dia sangat memahami erti bayangan yang bermain di mindanya itu namun dia cuba menafikan perasaannya.  Dia tetap ingin menafikan perasaannya terhadap Kenchana untuk melestarikan keutuhan hatinya kepada Kirana. Walaupun tunangnya itu sudah tiada, Betara tetap merasakan dia tidak ingin mengkhianati janjinya kepada Kirana. 

Di saat Betara sedang berperang dengan perasaannya sendiri, Mastika muncul di hadapan anak lelakinya itu dengan tatapan tanpa sebarang ekspresi di wajahnya. Wanita itu hanya diam sambil melihat Betara yang masih tidak menyedari kehadirannya. Mastika tahu, anaknya itu sedang memikirkan sesuatu yang sedang mengganggu perasaannya. Walaupun tidak tahu dengan jelas apa yang sedang difikirkan oleh Betara, Mastika yakin hal yang difikirkan oleh Betara itu pasti berkaitan dengaan Kenchana. 

"Betara.. kenapa denganmu? Jauh benar kau mengelamun." Mastika mula menyapa anak lelakinya.

"Oh, ibu.. Tiada apa-apa."

"Kau fikirkan apa sebenarnya?" 

" Tiada apa. Cuma kepenatan ibu."

"Kau tak boleh menyembunyikan apa pun dari ibu.. Kau fikirkan tentang Kenchana?" 

"Ah.. Kenchana bagaimana? Sudah baikkah dia?" 

"Jangan ubah pertanyaanmu sayang.. Kau fikirkan tentang perasaanmu bukan?" Mastika yakin kepada nalurinya sebagai seorang ibu. 

"Ibu.. " Betara mula tersipu malu. Dia menarik lengan Mastika untuk duduk disampingnya. 

"Bagitahu saja..bagaimana keadaan Kenchana sekarang.." Betara tidak ingin membicarakan tentang soal hatinya kepada sang ibu. 

"Dia akan baik-baik saja. Sekarang dia sudah tidur selepas diberi ubat. Mungkin tidurnya akan lama sehingga seharian.. Kesan air dari daun yang melumpuhkannya itu begitu kuat sekali. Sungguh ibu tak sangka Salak tergamak berbuat begitu." Terpapar rasa kesal diwajah dan nada percakapan Mastika.

"Semua ini salah Betara.. Kalau Betara tidak membawa Kenchana ke mari, pasti dia tidak akan diperlakukan sebegitu.." Betara masih menyalahkan dirinya sendiri.

"Bukan salah Betara.. Bahkan Betara sudah banyak menolong Kenchana.. Betara yang menyelamatkan hidup Kenchana.. Selamatkan dia dari pemburu.. Selamatkan dia dari Salak." Mastika cuba memujuk anaknya yang jelas sedang gundah gulana.

"Tapi.. Betara juga yang menyebabkan dia terancam.."

"Tidak sayang.. Betara sudah menyelamatkan hidup Kenchana seluruhnya. Bayangkan kalau Betara tidak bawa Kenchana ke sini.. Bukankah lebih bahaya hidup gadis itu? hidup sendirian di hutan belantara sana.. Makan minumnya tidak terurus. Sakit demamnya tidak terjaga.. Lebih-lebih lagi jika ada orang lain yang seperti Salak menemuinya.." Mastika memberi penjelasan panjang lebar untuk membetulkan tanggapan anak lelakinya. Betara termenung mendengar kata-kata ibunya itu. Dia diam membatu, tidak mampu mematahkan hujah ibunya.

"Kenchana itu suci hati dan fikirannya. Kerana dia hanya hidup sendirian, tidak pernah belajar sifat buruk dari manusia lain. Disebabkan itu dia mudah terpedaya dan percaya kepada orang lain. Kejadian hari ini juga berlaku sebab dia terlalu percayakan Salak. Perasaan dia benar-benar tulus.."

"Kenapa dengan perasaanya?" Betara merasa pelik apabila Mastika tiba-tiba membicarakan soal perasaan Kenchana. Mastika yang sedang duduk di sebelah Betara merapatkan badannya ke Betara dan menyentuh dada anak lelakinya itu dengan tapak tangannya, tepat dibahagian jantung Betara.

"Sayang.. Hati itu sukar untuk dikawal.. Cinta dan kasih sayang adalah anugerah terindah kepada orang yang terpilih sahaja. Jika sudah mendapat anugerah itu, jangan di sia-siakan.. Kamu bukan lagi anak kecil untuk ibu ajarkan segala hal." Mastika menekan tapak tangannya ke dada Betara sambil berbicara dengan suara yang lembut. Betara terpaku apabila mendengar kata-kata ibunya. Betara yakin ibunya sangat tahu apa yang sedang tersirat dihatinya. Perlahan-lahan tangan Betara bergerak, memegang tangan Mastika. Tangan ibunya itu dikucup sebelum dia merangkul tubuh ibunya dengan erat. 

"Jangan sia-siakan hidupmu sayang. Jangan terlambat untuk bertindak. Kamu itu lelaki.." Mastika menepuk paha Betara.

"Ishh.. ibu ni.. sia-siakan hidup apa pula.." Betara terasa malu apabila ibunya berbicara tentang perasaannya yang sudah terbongkar.

"Sudahlah.. Ibu hendak pergi siapkan makanan dulu.. Kamu pergilah mandi dulu.." Mastika mencucuk jari telunjuknya ke pinggang Betara menyebabkan anak lelakinya itu terjongket dari duduknya. Sebelum berdiri, Mastika sempat mencium pipi dan dahi Betara dan mengusap kepala anak tunggalnya itu.

"Pergi mandi.. busuk.." Mastika memberi perintah sambil mengusik anaknya. Betara pula membuat memek muka sambil anak matanya memandang ke atas. Mastika yang tersenyum menepuk bahu Betara dengan geraman manja apabila melihat memek muka yang ditunjukkan Betara. Anak lelaki yang sudah berusia lapan belas tahun itu masih bersikap seperti anak kecil apabila bersama ibunya. Mastika yang terhibur dengan celoteh permata hatinya itu tidak mahu terus membuang masa, segera berjalan menuju ke arah ruangan memasak untuk menyiapkan juadah makan mereka. Betara yang masih duduk bersila di lantai gazebo hanya mengiringi pemergian ibunya dengan tatapan mata. 

"Hati itu sukar untuk dikawal.. Benar sekali ibu.." Betara mengulangi ucapan Mastika tadi. Matanya masih setia memandang ke arah ibunya yang semakin jauh melangkah meninggalkan dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience