RATU Manikmaya yang tidak sedarkan diri terkulai layu dengan tertiarap di atas tanah. Hujung jarinya masih sedikit bergerak-gerak. Walaupun sudah nazak, namun nyawa sang ratu itu masih liat. Di sebelahnya, kelihatan burung gagak hitam sedang menggeliat dan mengibas-ngibaskan sayapnya. Burung gagak itu kemudian membetulkan bulu-bulu di pelepahnya dengan menggunakan paruh. Burung itu juga turut menerima sedikit kecederaan namun tidak begitu kritikal. Selesai membetulkan bulu pelepahnya, sang gagak mengibas kembali sayapnya beberapa kali sehingga kakinya terangkat tidak memijak bumi.
Burung gagak tersebut melompat-lompat di atas tanah beberapa kali dan kemudiannya terbang pada paras yang rendah untuk seketika. Setelah mengumpulkan kembali tenaga dan yakin dia masih mampu untuk terbang, burung hitam itu kemudiannya hinggap pada dahan sebatang pokok yang rendah.
Sang gagak melihat ke arah Ratu Manikmaya yang sudah lemah tidak sedarkan diri itu. Burung yang merupakan pembantu setia Ratu Manikmaya itu mengibaskan lagi sayapnya sambil bertenggek di dahan pokok.
“Awkk..Awkk..Awkk..” Gagak hitam tersebut berteriak nyaring sambil kedua belah kakinya digerakkan bersilih ganti untuk memindahkan kedudukannya ke hujung dahan tempatnya bertenggek. Seketika kemudian sang gagak terbang kembali dan terus menempel dibelakang sang ratu, seterusnya berubah menjadi sayap yang besar. Sayap itu kemudian berkibas beberapa kali sebelum menerbangkan Ratu Manikmaya yang pengsan itu. Sayap yang lebar itu beralun tinggi rendah terbangannya membawa sang ratu. Sepertinya sayap jelmaan sang gagak itu mengerahkan sedaya upaya kekuatannya untuk menampung badan Ratu Manikmaya yang dibawanya.
Sungai Lepir
MASTIKA terikat pada sebatang kayu cuba merontakan dirinya. Suasana yang gelap itu cuma di sinari cahaya rembulan dan cahaya dari api jamung yang dipasang disekitar Mastika yang terikat itu. Mastika yang tidak mampu berbuat apa-apa hanya menangis. Kedengaran suara gempita seakan guruh berkali-kali. Mastika menjerit ketakutan dan meminta dirinya agar dilepaskan. Dari kegelapan hutan, Mastika dapat melihat dua biji mata besar yang merah menyala seperti saga. Kali ini yang terdengar hanyalah suara menderam yang sangat kuat. Sesekali Mastika dapat melihat ada cahaya dari api yang menyala-nyala dari arah hutan itu. Mastika yang ketakutan mula menjerit.
"Tidak!!"
Mastika yang baru sedar melihat dirinya yang bangkit dari pembaringan sambil kakinya masih terlunjur. Degupan jantungnya bergerak dengan cepat sekali. Nafasnya mengah, naik turun dengan kasar seolah baru lepas berlari. Pandangan matanya menangkap sosok tubuh Kenchana yang sedang berlari anak menuju ke arahnya. Kenchana yang terkejut dengan teriakan Mastika sebentar tadi segera menghampiri Ibu mertuanya itu.
"Kenapa Ibu?"
Muka Mastika dipenuhi titisan peluh dan nafasnya masih tercungap-cungap. Mastika hanya mendiamkan diri tidak menjawab pertanyaan Kenchana. Dirinya masih kelihatan bingung dan terbawa-bawa oleh mimpinya tadi.
"Ibu bermimpi buruk?" Kenchana melanjutkan soalannya.
"Ibu tidak apa-apa." Mastika menggelengkan kepalanya, cuba berdalih kepada menantunya itu.
Kenchana yang tahu ibu mertuanya itu tadinya pengsan kerana trauma dan ketakutan terus memeluk Mastika dan mencium pipi ibu mertuanya itu untuk menenangkannya. Mastika kemudian melihat ke arah kalung yang dipakainya dan segera memegang kalung dilehernya tersebut. Mastika kemudiannya menangis teresak-esak dan menyembamkan mukanya kearah Kenchana. Kenchana yang tidak tahu apa yang telah mengganggu fikiran ibu mertuanya itu hanya mengusap lembut belakang Mastika. Dua orang lelaki yang berada disitu hanya diam membatu menyaksikan keadaan tersebut.
Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara keriuhan. Rupa-rupanya beberapa puluh orang Puak Saga yang pergi berperang di Ulu Sepat telah kembali ke Sungai Lepir yang menjadi kem penempatan mereka ketika itu. Kelihatan Bikas juga ada bersama kumpulan yang pulang ke kem tersebut sambil mengusung seorang lelaki yang cedera dan menahan kesakitan. Kenchana, Mastika dan dua orang lelaki pengiring itu segera menuju ke arah Bikas.
"Bagaimana keadaan kalian? Apakah kalian berjaya mengalahkan pasukan Ratu Manikmaya itu?" Salah seorang lelaki bertanya kepada Bikas.
"Kenapa kalian ada disini?" Bikas yang terkejut dengan kehadiran mereka di Sungai Lepir saat itu tidak menjawab soalan yang diajukan malah sebaliknya dia pula yang bertanya kembali.
"Yang penting sekarang ini mengenai kalian. Bagaimana perangnya? Apakah kita berhasil?" Kenchana pula bersuara. Bikas menundukkan kepalanya dan diam seketika. Lelaki yang cedera dipangkuannya diserahkan kepada orang lain yang berada di sebelahnya. Bikas memejamkan matanya sambil menarik nafas yang dalam. Seraya menghembuskan nafas, ketua pasukan pemburu itu membuka matanya.
"Walaupun jumlah kita lebih ramai, tapi kekuatan raksasa korbu itu bukan calang-calang. Untuk mengalah seekor pun kami perlu bekerja sama beberapa orang. Namun tanpa disangka, Naga Purba Raya datang membuat kacau di medan perang. Habis semua diserang Naga Purba. Kami pula lekas melarikan diri bersembunyi. Jika tidak, kami semua pun pasti tidak akan bersisa." Bikas menyampaikan cerita yang telah berlaku. Mastika, Kenchana dan lelaki yang mendengar itu terdiam.
"Untungnya pasukan raksasa korbu semua dihabisi oleh Sang Purba Raya. Kami yang sempat bersembunyi masih ramai yang terselamat. Tapi yang terkorban dikalangan kami juga ramai." lanjut Bikas.
"Betara.. Bagaimana Betara?" Kenchana mula cemas.
"Punta.. Punta Betara.." Bikas tidak menghabiskan ucapannya. Riak wajah Bikas terus berubah apabila ditanya oleh Kenchana tentang pemimpin mereka itu. Matanya hanya memandang lantai, tidak berani untuk menatap Kenchana dan Mastika yang berada di hadapannya.
"Kenapa Bikas? Bagaimana dengan Punta Betara?" Mastika pula menekan soalan yang sama kepada Bikas.
"Aku tidak tahu.. Tadi kami cuma membawa pulang mereka yang cedera terlebih dahulu untuk dirawat. Tapi aku tidak nampak Punta Betara dimana.. Cuma.." Bikas menggantungkan lagi ayatnya. Dia tidak berani meneruskan kata-katanya.
"Cuma apa? Cuma apa Bikas?" Kenchana semakin tidak sabar dengan pertuturan Bikas yang seakan tidak mahu berterus terang itu.
"Sebelum kehadiran Naga Purba Raya, aku dari jauh melihat Punta diserang oleh Ratu Manikmaya. Dia sudah cedera parah saat itu. Tapi selepas serangan Naga Purba, kami dengan segera mengangkut orang yang masih bernyawa dan cedera untuk pulang bagi mendapat rawatan. Malangnya aku tidak nampak dimana Punta berada."
Mastika tersentak dengan khabar dari Bikas itu. Kenchana pula mengundurkan langkah kakinya ke belakang beberapa tapak sambil tangannya menutup mulut dan matanya mula berkaca. Kelopak matanya akhirnya tidak dapat lagi membendung air jernih yang bertakung dari mengalir keluar membasahi pipi Kenchana.
"Punti.. biar aku kembali ke sana untuk melihat Punta." Bikas cuba menenangkan Kenchana yang terlihat sudah tidak mampu menahan sebak.
"Tidak.. tidak!!" Kenchana menjerit sehingga mengejutkan semua orang yang berada di situ.
"Ma..maafkan aku Punti." Bikas merasa dirinya sangat bersalah ketika itu kerana tidak mengutamakan keadaan pemimpin mereka. Tanpa berfikir panjang, Kenchana terus berlari menuju ke arah Ulu Sepat yang menjadi medan perang puak Saga dan Ratu Manikmaya tadi. Kata-kata Bikas membuatkan hatinya hancur remuk.
"Punti.. Tunggu.. Keadaan disana masih belum selamat." Bikas menjadi bingung. Dia kini merasakan dirinya sangat tidak berguna kerana mengabaikan keselamatan Punta Betara dan sekarang Punti Kenchana juga pasti sangat kecewa dengannya. Selaku ketua pasukan pemburu yang dilantik oleh Punta Betara sendiri, dia sepatutnya lebih mengutamakan keselamatan pemimpinnya itu walaupun Punta Betara itu lebih hebat dan tangkas berbanding dirinya.
"Jangan biarkan Punti sendirian. Lekas ikut dia dan beri perlindungan kepadanya." Mastika segera berteriak sambil berlari mengikut arah yang dilalui oleh Kenchana. Bikas dan dua lelaki pengiring tadi segera berlari mengikuti Mastika untuk mengejar Kenchana. Mastika sudah menjangkakan keadaan itu akan berlaku apabila menerima perkhabaran tentang Betara tadi. Kenchana pasti tidak akan tinggal diam untuk menunggu suaminya itu. Mastika sangat tahu betapa besarnya cinta Kenchana terhadap Betara. Mereka berada di Sungai Lepir sekarang ini pun kerana terpaksa mengikut Kenchana yang tidak mampu menahan sabar kerana memikirkan keselamatan Betara. Cinta itu sungguh indah tetapi juga sangat menyakitkan, bisik hati Mastika.
Sedang mereka berlari, didepan mereka terlihat Kechana yang sedang berusaha untuk mendaki tebing yang sedikit tinggi.
"Itu Punti disana. Cepat bantu." Mastika memberi arahan. Namun belum sempat mereka mendekati Kenchana, Punti mereka itu terlebih dahulu sudah berjaya mendaki tebing dengan berpaut pada pokok yang ada. Bagi Bikas dan dua lelaki yang turut bersama itu sangat mudah bagi mereka untuk melepasi tebing itu. Pergerakan mereka sangat tangkas dan tebing separas dada itu tidak menjadi masalah buat mereka yang mahir berburu di hutan itu. Kemudian Bikas menghulurkan tangannya kepada Mastika untuk membantu wanita itu naik ke atas.
Ulu Sepat
SETELAH berlarian, akhirnya Kenchana, Mastika dan Bikas berserta dua lagi lelaki dari Puak Saga itu pun tiba di tempat yang menjadi medan pertempuran tadi. Masih ada beberapa orang pahlawan dari Puak Saga yang berperang tadi berada di kawasan sekitar untuk mencari mereka yang masih terselamat dan ada sebahagian dari mereka mengangkat mayat-mayat teman mereka yang sudah gugur dalam pertempuran tadi. Hampir lapan puluh orang pahlawan Puak Saga yang meninggal. Lima orang pula hilang tanpa dapat dikesan termasuklah Betara.
Walaupun sudah beberapa jam mencari keberadaan lima orang yang hilang itu, namun mereka hanya menemui dua jasad sahaja. Masih tersisa tiga orang yang gagal ditemui. Ada yang beranggapan mungkin mereka sudah menjadi santapan Naga Purba ataupun mayat mereka sudah hancur dibakar api hembusan naga tersebut. Malah ada juga yang berfikir mungkin mereka yang hilang itu sudah dimakan oleh binatang buas seperti harimau dan mayat mereka dibawa ke tempat lain untuk dilahap. Walaupun masing-masing memikirkan pelbagai andaian, namun setiap pendapat itu mereka pendamkan sahaja atau cuma diperkatakan sesama mereka sahaja. Namun mahu atau tidak, mereka terpaksa juga mencari jasad teman mereka yang hilang itu untuk disahkan kematian mereka.
Suasana sekitar yang sudah menjadi lapang akibat dibakar oleh Naga Purba sepatutnya memudahkan pencarian mereka, namun hal sebaliknya berlaku. Mereka juga mencari-cari di sekitar semak dan jurang berdekatan jika ada yang terpelanting dan terperosok sehingga terlindung dari pandangan mata orang yang mencari. Walaupun langit sudah hampir gelap, misi pencarian masih diteruskan. Tiada yang berani untuk menyarankan pencarian dihentikan apabila melihat Punti Kenchana sendiri masih mundar-mandir kesana sini mencari-cari.
Antara jasad yang mereka incarkan sekarang adalah Punta Betara, selaku pemimpin ketumbukan perang mereka dan juga pemimpin utama Puak Saga di Perkampungan Bunut Naga. Walaupun menahan kesakitan dan keletihan akibat perang tadi, beberapa orang lelaki Puak Saga juga menahan sebak apabila melihat Punti Kenchana seolah orang gila yang bergerak ke sana sini. Punti itu terlihat sasau, berlari dan terkadang berjalan perlahan sambil menangis. Punti mereka itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Punta Betara seminggu lalu namun kini kehilangan orang kesayangannya itu.
Langit sudah semakin gelap dan matahari juga semakin terbenam. Badan mereka kini kelihatan hitam akibat terpalit kayu kayan yang sudah terbakar menjadi arang disitu, sama hitamnya dengan tanah pamah yang dibakar sang Naga Purba. Beberapa orang lelaki kelihatan sudah mula membuat jamung untuk menerangi mereka apabila matahari hilang sepenuhnya nanti. Kenchana yang kelelahan dan kecewa akhirnya rebah melutut diatas tanah. Air mata yang sedari tadi tidak berhenti keluar dari matanya kini semakin lebat mencurah. Tangisan Kenchana mula memecah keheningan senja itu.
"Sudahlah Kenchana, kita rehatlah dulu. Hari sudah pun malam. Kita teruskan pencarian esok saja." Mastika menghampiri menantunya itu sambil memunjuk. Mastika sendiri sudah berkaca-kaca matanya menahan kesedihan.
"Tidak.. tidak.. Betara!!!" Kenchana mula meraung sambil terus menangis. Tiba-tiba mereka yang berada disana dikejutkan dengan suatu gegaran. Bumi yang mereka sedang pijak sekarang dirasakan bergegar kuat. Goncangan yang tidak pernah dirasakan oleh mereka selama ini di pergunungan tersebut menyebabkan semua orang cemas.
"Kenapa ni? Adakah Naga Purba Raya kembali lagi?" salah seorang lelaki tertanya-tanya sesama mereka. Sesaat kemudian semua yang berada disitu terkejut besar apabila melihat tubuh Kenchana yang sedang meraung itu mengeluarkan cahaya putih yang bersinar. Mastika yang berada disamping Kenchana turut berundur beberapa langkah ke belakang kerana terlalu terkejut dan silau dengan cahaya yang terpancar dari tubuh Kenchana. Cahaya itu menyebar menerangi seluruh kawasan yang menjadi medan pertempuran itu tadi dan memberi rasa dingin yang nyaman kepada mereka yang berada dalam lingkungan cahaya itu.
"Kenchana..." Mastika tergamam melihat keadaan menantunya itu. Hal yang mengejutkan terus berlaku apabila secara tiba-tiba, muncul banyak tunas pokok memenuhi ruang di tanah yang sudah dibakar Naga Purba Raya itu. Tunas- tunas itu kemudian terus berkembang besar dan tumbuh menjadi pokok yang terus membesar dan tinggi hanya dalam masa cuma beberapa saat sahaja. Dalam sekelip mata, keadaan di sana yang sudah menjadi lapang selepas peperangan tadi kini sudah kembali ke bentuk asalnya. Terlihat seperti hutan yang masih dara tidak terusik. Setelah pokok-pokok itu tumbuh dan membesar seperti keadaan asal, cahaya putih yang bersinar dari Kenchana juga mulai hilang.Semua orang menjadi panik dan tergamam serta tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan hal tersebut. Kejadian luar biasa yang melangkaui pemikiran dan melanggar hukum alam. Mereka langsung tidak menyangka Punti mereka itu mempunyai kesaktian sebegitu rupa.
"Ini.. ini daulat kesaktian Punti!" jerit seorang lelaki seraya menunduk sujud kepada Kenchana. Para lelaki lain pun turut bertindak melakukan hal yang sama. Selain Mastika, semua yang berada disitu menunduk sujud kepada Kenchana. Cuma Mastika seorang yang masih terpinga-pinga berdiri disitu melihat semua orang sujud kepada Kenchana. Mastika kemudian mengalihkan tatapannya kepada menantunya itu. Kenchana sudah berhenti meraung. Dirinya terlihat lemah dan sejurus kemudian Kenchana terus rebah ke bumi tidak sedarkan diri.
"Kenchana.." Mastika segera berlari mendapatkan Kenchana yang sudah pengsan. Menantunya itu dirangkul dan dipeluk erat oleh Mastika. Mastika menyapu tangannya ke muka Kenchana dan mengalihkan rambut Kenchana yang menutupi wajahnya. Pipi Kenchana diusap lembut dengan penuh kasih sayang. Mastika sungguh kasihan dengan nasib menantunya itu. Sudahlah hidup sendirian sejak dari kecil. Kini, dia baru sahaja menempuh gerbang perkahwinan, namun suaminya pula hilang di dalam perang. Namun fikiran Mastika juga tertanya dari mana datangnya kesaktian Kenchana sebentar tadi. Adakah benar itu daulat seorang Punti seperti yang dikatan lelaki tadi? Tapi selama ini Mastika sendiri tidak pernah mendengar apa-apa cerita mengenai daulat Punta atau Punti dari keturunan puak mereka. Apakah Kenchana itu memiliki kesaktian itu dari awal lagi?
Sejenak kemudian, Mastika terfikirkan Suri. Rusa putih yang menemani Kenchana sejak dari menantunya itu masih kecil. Suri juga bukan rusa biasa. Rusa itu pernah berbicara secara batin dengan Mastika suatu ketika dulu. Mastika yakin, identiti sebenar Kenchana itu pasti bukan orang biasa-biasa. Suri juga pernah mengatakan akan ada yang akan mengancam Kenchana dan sekarang ternyata orang yang ingin memburu Kenchana itu adalah Ratu Manikmaya yang juga mempunyai kuasa sakti.
"Punti Kenchana sudah pengsan. Tolong binakan tempat untuk Punti berehat. Kita rehat dan bermalam disini saja malam ini. Sudah terlalu gelap untuk kita kembali ke Sungai Lepir." Mastika memberikan arahan. Beberapa orang lelaki segera bertindak menuruti arahan Mastika tersebut. Mereka membuat alas dari daun-daun pokok untuk melapik tubuh Kenchana. Beberapa orang yang lain pula mencari dan menyusun ranting-ranting pokok untuk dijadikan tempat berteduh Punti mereka itu. Dalam masa yang sama, kedengaran suara riuh-rendah dari beberapa orang lelaki Puak Saga di situ. Mastika yang mendengar keributan itu segera menyapa untuk mengetahui hal yang diperkatakan oleh mereka.
"Kenapa? Apa yang berlaku?" Mastika bertanya.
"Kami.. kami yang cedera.. sekarang kecederaan dan sakit kami sudah hilang." Bikas menyampaikan apa yang sudah berlaku kepada diri mereka.
"Bagaimana pula kalian mampu sembuh?" Mastika masih bertanya walaupun dia sudah mampu menduga jawapannya.
"Entahlah.. semasa Punti Kenchana mengeluarkan sinar cahaya tadi, Kami merasa sangat nyaman malah luka-luka dan kesakitan kami langsung hilang." Bikas langsung menjawab pertanyaan Mastika itu. Mastika yang sudah menduga jawapan dari Bikas itu tidak menunjukkan reaksi terkejut pun. Mastika hanya menatap wajah polos menantunya yang sedang pengsan itu. Benaknya kini ditujah oleh pelbagai persoalan yang muncul bertubi-tubi. Selama ini dia sememangnya sudah mengetahui pasti ada keanehan pada diri Kenchana. Namun dia langsung tidak menduga, keanehan yang dipamerkan oleh menantunya itu sebentar tadi. Sungguh diluar batas pemikiran manusia. Sekarang sudah terbukti bahawa Kenchana itu bukan manusia biasa.
"Sayang, siapa sebenarnya dirimu.." Mastika berbisik lembut sambil tangannya mengusap kepala Kenchana.
"Kau memiliki kesaktian.. menghidupkan hutan.. dan meyembuhkan sakit.. Apakah kau sebenarnya Hati Hutan yang disebut di dalam lagenda?" Mastika melanjutkan bisikannya kepada Kenchana yang pengsan itu.
Share this novel