Hutan Gunung Chamah
SEORANG lelaki berlari meredah hutan tebal. Setelah lama berlari, dia memperlahankan langkah kakinya. Keletihan sangat jelas kelihatan pada wajahnya. Walaupun sudah kelelahan, lelaki tersebut tidak memberhentikan langkah kakinya untuk berehat walau seketika. Biarpun berjalan dengan lemah, dia tetap meneruskan perjalanannya. Namun akhirnya lelaki tersebut rebah ke bumi. Matanya terpejam, namun nafasnya jelas kedengaran tercungap-cungap. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi detapan tapak kaki beberapa orang berjalan menuju ke arahnya. Dia sudah tidak mampu untuk bangkit apatah lagi untuk melarikan diri. Terpaksa pasrah dan berserah.
"Siapa kau? Apa urusanmu masuk ke wilayah puak Saga?" terdengar satu suara lelaki.
Lelaki yang kelelahan itu cuma mampu mengangkat kepalanya dan mencelik matanya yang sudah kuyu ke arah suara yang bertanya kepadanya itu. Dia melihat seorang lelaki sedang menarik busur dan menghalakan anak panahnya ke arahnya. Lelaki yang menarik anak panah di busurnya itu adalah Bikas yang ditemani beberapa orang temannya.
"Kalian.. puak.. Saga? Aku.. perlu jumpa Betara.. Kalian dalam.. bahaya.." Suara lelaki itu terdengar sangat lemah dan tersekat-sekat. Tangan kanannya cuba diangkat dan jari telunjuknya dihalakan kepada Bikas.
"Betara? Apa maksudmu kami dalam bahaya?" Bikas inginkan kepastian.Namun lelaki tersebut sudah terlalu lemah. Kepalanya kembali menunduk tersembam ke tanah dan tangannya juga sudah tidak larat untuk diangkat. Nafasnya masih kedengaran tercungap walau semakin lemah. Seketika kemudian bunyi nafasnya hilang. Bikas segera memeriksa keadaan lelaki tersebut dan mencari denyutan nadinya.
"Dia masih bernyawa. Ayuh angkat dia. Bawa dia kembali ke perkampungan." Kedengaran suara Bikas meminta sahabatnya yang lain memberikan pertolongan.
Perkampungan Bunut Naga
LELAKI yang kelelahan itu sedar dari pengsannya. Dirinya dikelilingi oleh beberapa orang lelaki dari puak Saga termasuklah Betara. Setelah sedar dari pengsan, tenaganya terasa sedikit pulih walaupun tubuh dan kakinya masih terasa sakit akibat berlari terlalu lama meredah hutan.
"Siapa kau? Katanya kau mencariku.." Betara memulakan bicara.
"Namaku Tupak. Aku dari perkampungan di Gunung Yong Yap."
"Apa yang kau mahukan dariku?"
"Kamu Betara?"
"Hormati Punta kami. Sekarang dia adalah pemimpin puak Saga di sini." Bikas mencelah. Betara pula lekas mengangkat tapak tangannya ke arah Bikas, sebagai isyarat dia tidak keberatan jika hanya dipanggil dengan namanya oleh lelaki asing bernama Tupak itu.
"Ya.. Aku Betara." Betara melanjutkan kata-katanya.
"Maafkan aku Punta. Aku cuma mahu sampaikan khabar, kalian puak Saga sekarang dalam bahaya." Lelaki bernama Tupak itu merendahkan pandangannya dan mengakui khilafnya apabila berdepan dengan Betara yang sudah menjadi pemimpin di situ.
"Apa maksud dari kata-katamu itu?"
"Kami di Gunung Yong Yang sudah pun diserang dan menjadi jajahan taklukan Ratu Manikmaya. Ratu itu mendiami puncak Gunung Korbu. Sekarang dari Gunung Korbu, Gunung Yong Belar, Gunung Tok Nenek, Gunung Bubu dan Gunung Yong Yap sudah pun menjadi taklukan si Ratu Manikmaya."
"Jadi dia akan menyerang dan menakluk kami juga sehingga ke Gunung Chamah ini?"
"Bukan sekadar itu saja. Dia sebenarnya sedang mengincar seorang perempuan yang berkeliaran di kawasan banjaran pergunungan ini. Dia mendapat berita dari pemburu di Gunung Bubu. Katanya dia pernah bertemu seorang perempuan aneh, berpakaian putih dan berkeliaran sendirian di hutan Gunung Chamah. Namun ketika mereka ingin mendapatkan perempuan itu, mereka telah diserang olehmu, Betara dari Puak Saga."
"Kenchana...." Suara Betara kedengaran agak perlahan menyebut nama isterinya itu. Mindanya terbayang saat dia menebas lengan pemburu yang cuba menyentuh Kenchana suatu ketika dulu.
"Malah, beberapa minggu lepas, Ratu Manikmaya ada menghantar dua ekor raksasa korbunya untuk menyiasat sekitar kawasan Gunung Chamah dan dia mendapati dua ekor raksasa yang menjadi bala tenteranya itu telah mati. Dia yakin itu pasti ulah kalian dan Dia telah mengerahkan bala tenteranya dari raksasa ngeri itu untuk datang menyerang kalian."
"Raksasa Korbu?" Betara dan Bikas terperanjat apabila mendengar perihal dua ekor raksasa yang telah dibunuh oleh mereka. Masih jelas terbayang wajah ngeri dan kekuatan menakutkan dari raksasa tersebut di fikiran mereka.
"Jadi raksasa berkepala kerbau itu adalah bala tentera si Ratu itu ya?" Betara masih ingin mendapatkan kepastian.
"Ya.. raksasa korbu itu berkepala seperti kerbau. Sungguh mengerikan.”
"Benar, kamilah yang membunuh dua raksasa itu. Tapi apa kaitan Kenchana dengan si Ratu itu? Kenapa dia mencari Kenchana?"
"Oh.. Jadi benarlah perempuan itu ada bersama kalian. Namanya Kenchana ya?"
"Ya.. Perempuan itu namanya Kenchana dan dia adalah isteriku sekarang."
"Aku tidak tahu apa yang diinginkan oleh Ratu Manikmaya dari isterimu itu."
"Jadi apa maksud tujuanmu menyampaikan hal ini kepada kami?"
"Aku dengar kalian telah berjaya membunuh dua dari raksasa korbu itu. Jadi aku ingin mohon kepada kalian untuk bersiap sedia sahaja. Tolong hapuskan mereka. Kami yang telah diserang secara mengejut oleh mereka langsung tidak mampu berbuat apa-apa. Jangankan ingin membunuh mereka, hendak melukakan seekor dari raksasa itu pun tidak mampu kami lakukan. Kami tak mahu terus menjadi hamba kepada Ratu kejam itu dan tunduk kepada makhluk raksasa yang mengerikan itu. Tolonglah kami.. Bebaskan kami.." Tupak menundukkan kepalanya sambil menangis, memohon pertolongan dari Betara.
"Seramai mana raksasa korbu itu?" Betara menatap Tupak yang sedang menangis tertunduk itu. Kedua tangan Betara dikepal kuat kerana menahan geram dari kekejaman kisah Ratu Manikmaya.
"Jumlah mereka cuma beberapa puluh ekor sahaja. Lebih kurang lima puluh ekor. Tapi kekuatan mereka sangat mengerikan. Seekor pun kami tidak berdaya untuk tumpaskan."
Betara mendiamkan diri apabila mendengar jawapan dari Tupak itu. Dia sendiri telah menghadapi pertempuran dengan dua ekor raksasa korbu itu jadi dia juga tahu sekuat apa kekuatan makhluk raksasa itu. Jika pertempuran secara terus memang manusia biasa sukar menandingi kekuatan raksasa itu.
Menghadapi dua ekor sahaja sudah membuatkan Betara mengalami kecederaan parah, apatah lagi untuk menghadapi raksasa itu dengan jumlah yang jauh lebih ramai. Fikiran Betara semakin buntu. Malah yang lebih mengganggu fikirannya dikala ini, apa kaitan Kenchana dengan Ratu Manikmaya tersebut? Apa yang di inginkan oleh ratu itu dari isterinya? Betara juga tertanya-tanya siapa sebenarnya Kenchana. Bagaimana dia boleh hidup di hutan belantara itu sendirian sejak kecil bahkan Kenchana sendiri tidak tahu jawapannya apabila ditanya soalan sedemikian. Terlalu banyak persoalan yang bersarang di kepalanya sehingga membuatkan Betara melepaskan satu nafas keluhan.
"Bilakah mereka akan datang ke sini?" Betara menyoal lagi kepada Tupak.
"Mungkin dalam sehari dua lagi mereka akan sampai. Setelah tahu rancangan Ratu Manikmaya, aku terus berkejaran lari ke sini untuk mengkhabarkan kepada kalian agar sempat kalian bersiap siaga. Jika aku tidak cepat, maka kalian juga akan dihabisi dan kita semua selamanya akan menjadi hamba tawanan si Ratu Manikmaya."
"Bikas.. lekas hantarkan pasukan ke semua perkampungan puak Saga di Chamah dan Ulu Sepat. Minta para lelaki yang mampu berjuang untuk berkumpul di Sungai Lepir. Kita akan bertahan dan menyerang dari situ. Kerahkan semua perempuan dan anak-anak kecil dari Ulu Sepat untuk berpindah ke Bunut Naga dan Perkampungan lain di Chamah serta merta."
"Baiklah Punta." Bikas patuh kepada arahan Betara dan segera bergerak pergi dari situ diikuti oleh beberapa orang lelaki.
"Aku.. aku akan berjuang bersama kalian." Tupak menawarkan diri untuk menyertai pasukan perang di pihak Puak Saga.
"Sebaiknya kau berehat dulu Tupak." Betara memberi saran.
"Tidak.. biarlah aku bersama kalian. Nasib dan masa depan puakku juga bergantung kepada kalian ketika ini. Tidak mungkin aku akan berpeluk tubuh saja"
"Baiklah kalau begitu." Betara mengalah juga dengan tekad dari Tupak.
"Kamu pasti dengan keputusanmu Punta Betara?" Tiba-tiba Ruwai Damar muncul.
"Datuk... Jadi apa lagi yang harus Betara lakukan?" Betara menghampiri datuknya itu sambil membongkokkan sedikit badannya sebagai tanda hormat kepada orang tua itu.
"Hmm.. berperang besar sehingga melibatkan seluruh puak Saga dari perkampungan lain, sudah ratusan tahun tidak terjadi."
"Sebagai Ruwai, apa saran terbaik datuk?"
"Entahlah Betara. Datuk rasakan keputusan kamu itu sudah tepat pada masanya. Walaupun puak kita punya beberapa perkampungan dan perjanjian untuk saling melindungi, tapi itu jika hanya melibatkan urusan seluruh Puak Saga, bukan atas keperluan individu. Yang diinginkan oleh Ratu itu cuma kamu dan Kenchana. Tapi kedudukan kalian sebagai Punta dan Punti, itu sudah menjadi tanggungjawab ke atas seluruh puak untuk diberi perlindungan. Malah Ratu Manikmaya itu juga sememangnya berkeinginan untuk menjarah seluruh banjaran ini. Kalau kita tidak libatkan perkampungan lain untuk membantu, lambat laun seluruh kawasan ini juga akan dijajah oleh Ratu itu. Maka bergabung sekarang adalah jalan terbaik. Seperti yang dikatakan lelaki ini, satu kampung sahaja tidak akan mampu melawan gerombolan raksasa itu. Jika tidak bersatu melawan, nanti kita juga akan menerima nasib yang sama seperti mereka. Kalau seluruh puak sudah terbangsat, maka akan hancurlah seluruhnya, selamanya."
"Kalau mereka cuma inginkan Kenchana sahaja pun, pasti takkan ku serahkan." Betara mengeraskan kata-katanya.
"Ya.. Kenchana adalah sebahagian dari kita, keluarga kita." Ruwai Damar menyetujui kata-kata Betara.
"Dia adalah isteriku. Sebagai Suami aku akan pertahankan isteriku dan sebagai Punta, aku akan melindungi setiap penduduk di Bunut Naga ini termasuklah Kenchana."
"Nampaknya aku telah melantikmu menjadi Punta tepat pada masanya." Ruwai Damar tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Betara.
"Tapi.. adakah Puak Saga dari perkampungan lain akan membantu kita?" Betara menyatakan keraguannya.
"Entahlah.. itu tergantung kepada punta mereka dan kesanggupan mereka sendiri. Walaupun kita dari puak yang sama, tapi..." Ayat Ruwai Damar tergantung disitu. Lelaki tua itu menundukkan kepalanya dan menggeleng lemah beberapa kali.
Share this novel