36

Fantasy Completed 11833

BUNDA Banang akhirnya mencelikkan matanya setelah pengsan beberapa hari. Kecederaannya juga sudah hampir sembuh. Dia dirawat oleh pawang wanita yang sudah tua dan berpengalaman di Perkampungan Nirma. Selepas memakan ubat yang diberikan, Bunda Banang cuba bangkit untuk berdiri dari pembaringannya.

"Kau mahu kemana Banang?" Tegur pawang wanita itu.

"Aku mahu membuang air kecil. Tolong.. Bantu aku berjalan.." Bunda Banang meminta pertolongan setelah menyedari kakinya masih lemah untuk berdiri. Kakinya masih terasa sakit akibat luka yang diterimanya dari runtuhan puing yang menimpa. Malah otot kakinya juga kekejangan akibat terlalu lama berbaring selama pengsannya.

Pawang tua itu kemudian membantu memapah Bunda Banang yang ingin menunaikan hajatnya. Setelah selesai menyempurnakan hajatnya, Dia berjalan kembali ke arah katil yang menjadi tempat pembaringannya sejak pengsan beberapa hari lalu. Tiba-tiba Bunda Banang terpandang wajahnya di cermin. Bunda Banang sungguh terkejut apabila melihat separuh mukanya sudah melecur akibat dijilat api Naga Purba Raya. Dia yang masih tidak mempercayai pantulan bayangan dirinya di cermin cuba meraba-raba wajahnya.

"Tidak!!" Muka.. mukaku.." Bunda Banang tidak dapat menerima hakikat wajahnya sudah melecur. Jari-jemarinya masih meraba, merasai mukanya yang menggeleber. Kerana tidak sanggup melihat wajahnya yang sudah menjadi buruk, Bunda Banang pun mencapai sebiji gelas tembaga dihadapannya dan membaling ke arah cermin sehingga cermin tersebut pecah berkecai menjadi kepingan kecil.

"Tak guna kau Naga Purba! Aku akan membalas perbuatan mu ini suatu hari nanti!" Bunda Banang menjerit seperti kerasukan. Dia benar-benar tidak dapat menerima hakikat, wajahnya sudah menjadi buruk akibat melecur terkena serangan Naga Purba Raya. Bunda Banang terus menangis dan rebah ke lantai. Pawang wanita cuba mengangkat kembali Bunda Banang namun tangan tua pawang itu ditepis apabila cuba menyentuh Bunda Banang.

"Aku bersumpah.. Aku akan cincang kau Naga Purba.." Mata Bunda Banang menyorot ganas. Dendamnya kepada Naga Purba Raya kini mulai membuak-buak. Pawang wanita yang berada disisinya itu tidak berkutik dan hanya membatu melihat Bunda Banang yang sudah dirasuk amarah. Dia tidak ingin memujuk apatah lagi untuk mengganggu ibu kepada Penghulu Jalit yang sedang berperang dengan emosi itu.

Beberapa ketika kemudian, Penghulu Jalit dan Pendeta Manik datang untuk melihat keadaan Bunda Banang. Di pangkuan lengan Penghulu Jalit pula ada anaknya, Kenchana yang sedang digendong. Bunda Banang yang sedang berbaring, membuka matanya apabila menyedari kehadiran Penghulu Jalit dan Pendeta Manik di ruangan tersebut dan bangkit dari pembaringannya.

"Bagaimana keadaan Bunda?" Penghulu Jalit menyapa ibunya.

"Beginilah diriku seperti yang kau lihat.. Masih hidup lagi.." Bunda Banang membalas pertanyaan anaknya.

"Apa yang berlaku sebenarnya Banang?" Kenapa Naga Purba sampai datang ke sini dan menyerangmu?" Pendeta Manik pula bertanya dengan mimik muka yang serius.

"Manalah aku tahu.. Entah kenapa si naga celaka itu datang menyerang kami.."

"Apa yang kau lakukan sebenarnya?" Pendeta Manik masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang dia peroleh.

"Lakukan apa? Aku cuma melakukan upacara ritual untuk kaum kita sahaja.." Bunda Banang mengalihkan pandangan matanya ke arah kakinya. Dia tidak mahu melihat tatapan dari Pendeta Manik dihadapannya itu. Pendeta Manik terus menatap Bunda Banang dengan penuh curiga. Dia tahu Bunda Banang sedang berbohong tetapi dia mendiamkan diri sahaja demi menghormati Penghulu Jalis yang berdiri disebelahnya kala itu. Dia tidak mahu terlalu menekan Bunda Banang dihadapan anak lelakinya yang menjadi Penghulu di permukiman tersebut.

Seketika kemudian, pandangan mata Bunda Banang teralih kepada anak kecil dipangkuan Penghulu Jalit.

"Apakah itu anakmu Jalit?"

"Ya..Ini adalah anak ku.. cucumu juga Bunda.. Kenchana namanya.. Dwi Wulan Kenchana.." Penghulu Jalit tersenyum.

"Dwi Wulan.. Kenchana?" Jadi kau namakan anakmu sempena peristiwa dua bulan mengambang yang lepas ya?"

"Ya Bunda..sempena kelahirannya pada malam tersebut.."

"Hmm.." Mata Ratu Banang terus menatap anak di dalam dakapan Penghulu Jalit tersebut. Pendeta Manik pula terus diam dan memerhati setiap gerak-geri Bunda Banang. Pendeta tua itu dapat mengesan niat jahat pada diri Bunda Banang tapi dia memilih untuk terus mendiamkan diri. Pendeta Manik tahu Bunda Banang sudah dapat merasakan aura kesaktian pada diri Kenchana yang baru lahir itu. Dia ingin melihat, sejauh apakah yang akan dilakukan oleh Bunda Banang. Tongkat digenggaman pendeta tua itu dipegang dengan kejap. Matanya tidak berkelip memandang wanita di depannya itu.

BEBERAPA hari kemudian, seorang perempuan muda berlari dengan cemas. Dengan tergesa-gesa dia membuka pintu dan memasuki satu ruangan bilik yang sudah terisi oleh beberapa orang lelaki. Perempuan muda itu segera menghadap Penghulu Jalit yang ketika itu sedang berbicara dengan beberapa orang termasuk Pendeta Manik.

"Penghulu.. Maafkan Aku.. Aku ingin melaporkan.. anaknda Penghulu, Kenchana tiba-tiba hilang dari tempat tidurnya.." Perempuan itu menyampaikan khabar. Penghulu Jalit dan Pendeta Manik terkejut mendengar khabar tersebut.

"Bagaimana boleh terjadi? Apa yang kau lakukan? Bukankah aku suruh kamu menjaganya sepanjang waktu!" Bentak Penghulu Jalit.

"Aku tidak tahu Penghulu..Aku sudah mencarinya dimerata tempat termasuk ke Cik Puan Mulya.. Tapi tiada.."

"Anak muda, jelaskan apa sebenarnya yang berlaku.. Apa yang kau lakukan ketika anak penghulu hilang?" Pendeta Manik bertanya lembut kepada wanita berkenaan.

"Se..sebenarnya.. sebenarnya tadi.. sewaktu Aku menjaga Kenchana, mataku tiba-tiba terasa sangat berat dan mengantuk.. kemudian aku terus tidak sedarkan diri.. Apabila aku sedar kembali, Kenchana sudah tiada di situ.. Maafkan aku penghulu..."

"Tidak lain tidak bukan, ini pasti ulah si Banang.. Ayuh Jalit, kita ke rumah ibumu itu..Jangan sampai terlambat." Pendeta Manik terus membuat kesimpulan dan memberikan sarannya.

"Tapi.. kau tidak boleh menuduh.." Penghulu Jalit yang tidak sempat menghabiskan kata-katanya terus disanggah dan dipotong percakapannya oleh Pendeta Manik.

"Cepat kalau kau mahu anakmu terus hidup!"

Di rumah Bunda Banang, kelihatan wanita itu sedang menatap Kenchana yang sedang nyenyak tidur. Bunda Banang melihat pula kearah belati yang berada dipegangan tangannya.

"Sungguh tak kusangka.. rupanya kesaktian pada malam itu jatuh kepadamu.. " Bunda Banang bercakap dengan Kenchana yang sedang tidur dan tidak tahu apa-apa.

"Sekarang.. Dwi Wulan Kenchana... kau berikanlah kesaktian mu itu kepada nendamu ini.." Bunda Banang ketawa terkikik-kikik apabila membayangkan dirinya akan memiliki kesaktian dari cucunya itu. Dia juga tertawa kerana mengejek usia cucunya itu akan berakhir sebentar lagi. Baru berusia beberapa hari, namun cucunya itu akan menjadi korban untuk neneknya.

"Selamat tinggal sayang.." Bunda Banang menghayunkan belati ditangannya untuk membelah dada Kenchana. Namun belum sempat serangan Bunda Banang itu mengenai Kenchana, tangannya tiba-tiba terhenti. Bunda Banang sungguh terkejut apabila tangannya tiba-tiba terhenti dengan sendiri. Bila dia amati, rupanya lengannya sedang ditarik oleh satu bayang hitam yang melilit ditangannya ketika itu.

"Berhenti Banang.. Kau sudah gila nampaknya.." Pendeta Manik tiba-tiba muncul disitu.

"Jangan kau berani menghalangiku Manik!" Jerit Bunda Banang apabila melihat kehadiran Pendeta Manik dibelakangnya.

"Kau sudah gila! Demi memiliki kesaktian, kau sanggup membunuh cucumu.. darah dagingmu sendiri!" Bentak Pendeta Manik.

"Itu bukan urusanmu Manik.. berambus kau dari sini!" Bunda Banang cuba menyerang namun pergerakannya terbejat oleh bayang hitam yang membelitnya. Bayang itu dihasilkan oleh Pendeta Manik bagi menghalang pergerakan Bunda Banang yang sudah menggila kala itu. Bunda Banang meronta-ronta cuba untuk melepaskan diri namun gagal mengalahkan kekuatan ikatan dari Pendeta Manik.

"Baiklah..Aku mengalah.. lepaskan Aku Manik.." Bunda Banang menggugurkan belati digenggamannya. Dia cuba untuk medapatkan keyakinan Pendeta Manik supaya melepaskannya. Dia tahu dirinya yang masih belum sembuh sepenuhnya dari kecederaan beberapa hari lalu tidak mampu menandingi kekuatan pendeta tua itu. Beberapa saat kemudian, Penghulu Jalit dan beberapa orang lelaki tiba disitu. Mereka sangat terkejut dengan keadaan yang sedang berlaku didepan mata mereka.

"Tangkap Bunda Banang dan penjarakan dia.. Dia cuba untuk membunuh anak Penghulu!" Pendeta Manik memberi arahan. Beberapa orang lelaki yang baru tiba itu segera meluru ke arah Bunda Banang setelah mendengar arahan Pendeta Manik. Pendeta Manik juga sudah mula melonggarkan ikatan yang membelengu Bunda Banang. Ketika ikatan bayang hitam yang membelengunya tadi sudah terlerai, Bunda Banang segera berencana mengambil langkah untuk melarikan diri sebelum dirinya tertangkap dan dipenjara.

Bunda Banang menjerit sekuat hati dan tiba-tiba sahaja badannya berpecah dan bertukar menjadi puluhan ekor burung gagak hitam. Burung-burung gagak itu kemudian bertempiaran lari berterbangan meninggalkan tempat tersebut. Mereka yang menyaksikan kejadian tersebut terus tergamam dan tidak tahu apa yang harus dilakukan dan membiarkan sahaja burung-burung gagak itu pergi dari situ. Kenchana yang terkejut setelah mendegar jeritan Bunda Banang itu terjaga dari tidurnya dan menangis dengan kuat. Penghulu Jalit segera mendatangi anak perempuannya itu dan mengendong anaknya dengan penuh kasih sayang.

DUA hari berlalu. Ketika ini Penghulu Jalit sedang bersama beberapa orang kepercayaannya iaitu isterinya Mulya yang sedang mengendong bayi mereka, Pendeta Manik dan adik iparnya, Suri. Mereka perlu berbincang mengenai keselamatan Kenchana yang terancam nyawanya oleh neneknya sendiri.

"Jadi bagaimana menurutmu pendeta?" Penghulu Jalit bertanya kepada Pendeta Manik.

"Aku fikir kita perlu bawa anakmu itu keluar dari sini.."

"Maksudmu? bawa ke perkampungan lain?"

"Tidak.. itu lebih membahayakan anakmu nanti. Kita tidak tahu Bunda Banang bersembunyi dimana sekarang."

"Jadi.. kemana harus kita pindahkan Kenchana?"

"Aku fikir, yang terbaik adalah bawa dia ke alam sebelah.. ke alam manusia.." Pendeta Manik merenung ke arah Kenchana yang dipangku oleh Mulya.

"Apa kau gila pendeta? Bagaimana mungkin anakku akan hidup disana.. kita tidak akan mampu bertahan lama di alam manusia. Jika boleh pun, kita perlu menjelma dalam bentuk haiwan disana.. Tapi anakku yang masih bayi ini tidak mungkin mampu mengubah bentuknya.." Penghulu Jalit cuba memprotes idea gila pendeta tua itu.

"Itulah.. Tempat paling selamat adalah berada ditempat paling bahaya Jalit.. Kau tak usah khawatir.. Aku yakin anakmu yang memiliki kesaktian besar itu tidak akan terpengaruh dengan perbezaan antara alam. Dia pasti mampu hidup di dunia manusia dengan tanpa masalah.."

"Tapi apa jaminan anakku akan selamat? Bagaimana kau begitu pasti anakku ini mempunyai kesaktian yang begitu besar wahai pendeta?"

"Hmm.. Apakah kau meragui pengetahuanku Jalit? Buktinya, Bundamu sendiri pun telah cuba untuk membunuh cucunya ini.. Kenapa? Kenapa Jalit? Kerana Bunda Banang itu juga tahu anakmu ini mempunyai kesaktian setelah dia melihatnya.. Aura kesaktiannya sungguh besar sekali.."

"Tapi sakti bagaimana sekalipun, anakku itu masih bayi.. Dia tetap memerlukan penjaga yang akan merawat dan menjaga makan minumnya.." Penghulu Jalit masih mencari alasan untuk tidak melepaskan anak perempuannya itu.

"Biarlah kita ke alam sebelah sana bersama menjaga Kenchana.." Mulya pula bersuara memberikan saran.

"Tidak Mulya.. Aku adalah penghulu di Nirma ini.. Aku tidak boleh meninggalkan rakyat disini begitu sahaja."

"Benar kata Jalit.. Sebagai penghulu, Jalit perlu tetap berada disini. Jika kalian semua menghilang, Bunda Banang pasti akan dapat menghidu rancangan kita dengan lebih mudah. Jika rancangan ini kita lakukan secara diam-diam, Banang itu pasti tidak akan menyangka sama sekali kita sudah pindahkan anakmu ini ke dunia manusia." Pendeta Manik menyokong penjelasan Penghulu Jalit.

"Kita cuma perlu bawa Kenchana ke alam manusia beberapa bulan sahaja.. paling lama pun setahun.. Setahun disini, di sana anakmu itu pasti sudah tumbuh dewasa kerana perbezaan masa kita sangat ketara. Jika dia sudah dewasa dan mampu mengendalikan kesaktiannya, ketika itu kita sudah tidak perlu khawatir tentang Bunda Banang lagi. Anakmu sendiri pasti sudah jauh lebih kuat dari neneknya itu." Pendeta Manik melanjutkan pandangannya. Setelah diam seketika untuk berfikir panjang, akhirnya Penghulu Jalit membuat keputusannya.

"Baiklah.. Aku putuskan..  Mulya, adinda bawalah anak kita ke dunia manusia dan besarkanlah dia disana dengan baik. Ubahlah bentuk wujudmu sebagai haiwan untuk terus bertahan hidup disana." Penghulu Jalit memberi kata putusnya kepada Mulya. Satu keputusan yang sungguh berat untuk dia laksanakan. Bagi Penghulu Jalit sendiri, mungkin perpisahan sementara itu baginya cuma setahun disini. Tetapi isterinya Mulya akan sengsara berpuluh tahun untuk membesarkan anak mereka sendirian di alam manusia. Mulya yang memahami situasi dan dugaan berat suaminya untuk membuat keputusan tersebut hanya mengangguk sebagai akur dengan perintah suaminya itu. Demi keselamatan anak mereka, keputusan berat itu harus diterima dengan rela walau terpaksa.

"Suri.. Kau ikutlah bersama kakakmu ke sana. Jagalah keselamatan Mulya dan Kenchana dengan seluruh jiwa dan ragamu.." Penghulu Jalit memerintahkan juga Suri yang sedari tadi hanya diam mendengar perbincangan mereka.

"Baiklah Penghulu." Suri menerima perintah untuk menjaga kakak dan anak saudaranya itu dengan penuh kerelaan.

"Jangan lupa juga untuk sering kembali ke sini dan berikan aku khabar dan perkembangan kalian di sana dari semasa ke semasa." Penghulu Jalit menyambung arahannya. Suri hanya menganggukkan kepalanya sebagai bersetuju dengan akur dengan arahan tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience