40

Fantasy Completed 11833

5 tahun kemudian...

Cahaya matahari sudah mulai tersebar dipermukaan tanah, namun kehangatan tidak terasakan kerana dinginnya puncak pergunungan Chamah. Terlihat Ruwai Damar sedang bersendirian duduk bersila di gazebo yang terbuat dari buluh. Di salah satu sudut gazebo buluh tersebut, memang sudah menjadi tempat kegemaran Ruwai Damar bersendirian. Matanya terpejam rapat, menghayati tafakurnya. Dari bahagian memasak, Betara sedang berjalan keluar bersama Mastika yang membawa talam berisi buah-buahan. Setiap pagi, Mastika akan menghidangkan buah-buahan untuk ayahnya, Ruwai Damar. Orang tua itu cuma memakan buah sahaja sebagai sarapan paginya. Betara dan Mastika mendekati gazebo untuk membawa sarapan pagi itu kepada Ruwai Damar.

"Ayah.. makan dulu.." Mastika meletakkan talam berisi buah-buahan dihadapan Ruwai Damar. Mantan pemimpin itu membuka matanya perlahan-lahan. Setelah melihat Mastika, Ruwai Damar mengalihkan pula pandangannya kepada Betara yang berada dibelakang ibunya itu. Tangan Ruwai Damar perlahan-lahan bergerak dan mengambil salah satu buah yang terhidang di dalam talam kepadanya itu. Selepas terbatuk kecil beberapa kali, Ruwai Damar pun memanggil Betara untuk mendampinginya dan sejurus kemudian, dia menggigit buah yang sudah berada dipegangan tangannya.

"Aku punya firasat buruk Betara." Ruwai Damar bersuara perlahan sambil mengunyah.

"Kenapa datuk?"

"Aku tidak tahu.. Tapi aku dapat rasakan, sesuatu yang besar akan berlaku nanti kepada puak kita."

"Mungkin itu cuma perasaan ayah sahaja.." Mastika mecelah.

"Entahlah.. semoga saja itu semua permainan perasaanku semata.." Ruwai Damar kembali mengunyah sebelum dia melanjutkan pertanyaannya kepada Betara.

"Dimana Kenchana?"

"Selepas makan tadi, dia pergi bersama Suri dan Melur. Mungkin Suri ingin terus melatih Kenchana.." Betara memberikan jawapan.

"Pekan dan pasukan pemburu sudah berangkat?"

"Ya.. Baru sebentar tadi mereka berangkat."

Ruwai Damar meneruskan gigitan dan mengunyah buah didalam mulutnya. Matanya hanya memandang kearah hadapan, seolahnya dia sedang hanyut memikirkan sesuatu. Fikirannya sudah jauh melayang meninggalkan jasadnya yang sedang bersama Betara dan Mastika. Betara dan Mastika pula hanya memandang ke arah Ruwai Damar tanpa mengganggu orang tua itu sedang berfikir.

Pada waktu yang sama, dikawasan lapang berhampiran perkampungan Bunut Naga, Melur sedang memetik bunga-bunga yang sedang mekar di sekitar kawasan. Bunga yang dipetik itu sesekali diendus baunya oleh Melur untuk merasakan sensasi keharuman diindera penghiduannya. Keharuman bunga-bunga itu menjadi aroma terapi bagi minda dan memberi rasa kesegaran kepada Melur. Tidak jauh dari Melur yang sedang memetik bunga-bungaan itu, Kenchana pula sedang bersama Suri yang kini mengubah bentuk wujudnya sebagai manusia. Suri perlu kembali ke wujud aslinya memandangkan dia perlu mengajar Kenchana dalam menggunakan kesaktian yang dimiliki oleh anak saudaranya itu. Selama lima tahun ini, Suri tidak henti-henti mengajarkan Kenchana. Namun Kenchana yang tidak yakin akan kemampuannya sendiri itu begitu sukar untuk menguasai dan mengawal kuasa kesaktian miliknya. Tanpa merasa jemu, Suri terpaksa juga ajarkan Kenchana agar anak saudaranya itu tidak mensia-siakan kelebihan yang dimiliki.

"Kita rehatlah dulu.. Kenchana sudah penat." Kenchana memberi alasan untuk menghentikan sesi pembelajarannya bersama Suri.

"Baru saja latihan dimulai, kau sudah penat. Mentari pun belum naik tinggi lagi." Suri mengeluh.

"Tak usah terburu-buru.. panjang lagi masa yang kita ada." Kenchana tersengih kepada bapa saudaranya itu.

"Sudah lima tahun Kenchana.. kau masih belum mampu menukar dirimu atau membuka gerbang ke alam bunian lagi." Suri menepuk dahinya dan terus melabuhkan punggungnya ke tanah. Dia seakan kecewa dengan Kenchana yang bersikap acuh tak acuh untuk belajar mengawal kuasa saktinya. Dia tidaklah merasa marah kepada anak saudaranya itu tetapi sedikit rasa geli hati dengan sikap Kenchana yang masih keanak-anakkan. Walaupun sudah mempunyai dua orang anak yang berusia belasan tahun, namun perangai Kenchana persis sama sahaja dengan perangai anak-anaknya. Bahkan Pekan sekarang sudah pun menjadi salah seorang pemburu yang handal dari Perkampungan Bunut Naga, tetapi ibunya sebagai Punti Puak Saga pula masih suka bermain dan bersenang-lenang. Kebanyakan masa Kenchana cuma dihabiskan bersama Melur dan menemani anak perempuannya itu bermain. Kenchana sepertinya menjadi kawan kepada anak perempuannya dan mereka sering bersama untuk berkongsi cerita,bermain dan memasak.

Tanpa mereka sedari, dari celahan dedaunan pokok-pokok disitu, seekor burung gagak hitam sedang mengawasi mereka. Mata burung gagak tersebut merah menyala seperti saga, tepat memandang ke arah Kenchana yang sedang berbual-bual dengan Suri. Seketika kemudian, Kenchana memusingkan badannya dan berdiri membelakangkan dirinya dari arah gagak tersebut. Suri juga sudah berdiri dan membelakangnya Kenchana. Kali ini sang gagak merasakan peluangnya sudah hadir. Dengan pantas dia terbang dan meluru menuju tepat ke arah belakang badan Kenchana.

Namun malang bagi gagak tersebut, burung hitam itu kemudian terpelanting apabila menyentuh belakang badan Kenchana. Rupa-rupanya gagak tersebut cuba untuk menempel di belakang badan Kenchana. Namun usahanya itu tidak berjaya, mungkin kerana kesaktian yang dimiliki oleh Kenchana. Menyedari tindakannya yang telah gagal malah sudah mengejutkan Kenchana, sang gagak cuba melarikan diri. Dia khawatir dirinya akan tertangkap apabila menyedari Kenchana sudah memandang tepat kearahnya. Namun dalam percubaannya meloloskan diri itu, sang gagak terpandang pula ke arah Melur yang sedang memetik bunga. Demi tidak menjadikan usahanya sia-sia, gagak itu kemudian mengubah arah terbangannya menuju ke Melur pula.

"Melur!" Kenchana cuba memberi amaran kepada anak perempuannya itu. Suri yang mendengar jeritan Kenchana itu juga lantas berpaling dan baru menyedari apa yang sedang berlaku, Namun semuanya sudah terlambat bagi mereka. Gagak hitam itu sudah menempel di belakang Melur dan menukarkan dirinya menjadi sepasang sayap yang besar. Walaupun kelihatan sepertinya Melur memiliki sayap yang hitam dan besar, namun Melur tidak mampu mengendalikan sayap tersebut. Sayap itu cuma bergerak sendiri, di kendalikan oleh sang gagak untuk mengangkut anak perempuan Kenchana itu. Melur meronta-ronta ingin melepaskan diri apabila sayap dibelakang badannya itu mengibas-ngibas dengan sendiri dan menerbangkan dirinya. Suri pula segera berlari ke arah Melur yang terpekik meminta tolong apabila dirinya terangkat tidak menyentuh bumi. Gagak yang tidak ingin melepaskan peluang yang sudah berjaya dia dapatkan itu segera menerbangkan Melur dengan lebih tinggi dan beredar dari situ.

Misi penculikan akhirnya berjaya dilaksanakan oleh burung hitam itu walaupun berbeza mangsanya. Suri yang mengejar Melur itu segera menukarkan dirinya menjadi seekor rusa untuk berlari dengan lebih pantas. Dalam masa yang singkat, Melur yang berterbangan dan Suri yang mengikutinya langsung hilang dari pandangan mata Kenchana. Wanita itu hanya terkaku buat beberapa detik. Dia bingung dengan apa yang telah berlaku di depan matanya. Lututnya mula terasa lemah dan akhirnya Kenchana sudah tidak mampu untuk terus berdiri itu mulai rebah melutut ke bumi sambil menangis.

"Melur!!!" Kenchana berteriak memanggil nama anak perempuannya yang sudah diculik itu. Suara tangisannya semakin kencang, beriringan dengan air  mata yang laju meluncur keluar membasahi pipinya. Seketika kemudian, Betara muncul sambil berlari menuju ke arah Kenchana. Beberapa orang juga terlihat mengikuti punta mereka itu dari belakang.

"Kenchana.. Kenapa? Kenapa dengan Melur? Dimana Melur?" Betara seraya melontarkan soalan bertalu-talu. Dia cemas apabila mendegar suara jeritan Kenchana yang memanggil nama Melur sebentar tadi. Matanya juga melilau ke seluruh kawasan tersebut untuk melihat anak perempuannya namun tiada sebarang penampakan yang terlihat.

"Melur.. Dia.. Dia.. dibawa lari.. oleh seekor burung hitam.."

"Suri dimana?"

"Suri.. Mengejar Melur.." Kenchana yang teresak-esak itu tergagap untuk memberi penjelasan. Betara lantas memegang bahu Kenchana dan mengangkat tubuh isterinya yang tertunduk menghadap bumi. Betara segera memeluk wanita kesayangannya itu untuk menenangkannya dari terus menangis teresak-esak. Di fikiran Betara, dia yakin itu semua adalah perbuatan Ratu Manikmaya. Perempuan sihir itu pasti masih hidup dan akan terus mengejar Kenchana. Hatinya mula membara apabila mengingatkan wanita kejam tersebut. Sebagai seorang punta, Betara sedar dia perlu mengawal emosinya kala ini. Dia perlu berfikiran tenang dahulu untuk membuat sebarang keputusan.

"Ayuh kita pulang dulu.." Betara melepaskan pelukannya seraya memegang lengan Kenchana untuk menyokong isterinya bangkit berdiri. Perlahan-lahan mereka melangkah. Betara menuntun Kenchana dengan memegang lengan isterinya. Di dalam hati, Betara sudah menyumpah seranah kepada Ratu Manikmaya. Dia bersumpah akan mengajar ratu sihir itu habis-habisan.

KENCHANA masih tidak berhenti dari menangis. Mastika pula masih berusaha memujuk menantunya itu. Betara pula kelihatan masih berbincang dengan beberapa orang dari Puak Saga termasuklah Ruwai Damar. Mereka perlu bersiap siaga untuk menghadapi peperangan yang besar lagi selepas lima belas tahun dengan musuh yang sama. Selepas lima belas tahun, Betara bercadang untuk mengumpulkan kembali seluruh Puak Saga dari perkampungan lain untuk bersama mereka. Jika tidak mendapatkan bantuan dari perkampungan lain, Betara sedar potensi untuk mereka memerangi pasukan Ratu Manikmaya pasti tiada sama sekali.

Tidak lama kemudian, Suri yang dalam bentuk wujud manusia muncul kembali di perkampungan tersebut dalam keadaan keletihan dan tercungap-cungap nafasnya. Titisan peluh membasahi seluruh wajah dan tubuh badannya. Betara segera menghampiri Suri dengan perasaan penuh cemas.

"Bagaimana keadaanmu Suri? Dapatkah kau tahu dimana Melur?" Betara terburu-buru menyoal tanpa mempedulikan keadaan Suri yang kelelahan. Suri tidak terus menjawab pertanyaan Betara itu melainkan duduk terlebih dahulu dan mengatur pernafasannya agar kembali tenang. Salah seorang dari penduduk Puas Saga disitu menghulurkan air yang diisi didalam gelas yang terbuat dari buluh kepada Suri. Tanpa berlengah, gelas buluh itu disambut oleh Suri dan segera meminum airnya dengan lahap. Semua mata yang berada disitu cuma menatap Suri dengan penuh sabar dan diam.

"Melur.. Aku tidak dapat mengejarnya.. Aku cuma mampu mengejarnya sehingga sempadan Gunung Gerah.. Aku yakin.. Melur dibawa ke Pergunungan Korbu.. kerana disanalah Ratu Manikmaya bersemayam.. Aku yakin ini semua kerja Ratu Manikmaya.." Suri menyampaikan perkhabaran walaupun nafasnya masih tidak benar-benar teratur.

"Dari tadi, itulah yang aku fikirkan.. ini semua pasti ulah ratu sihir itu.." Betara semakin geram apabila telatahannya tadi adalah benar.

"Kumpulkan semua orang-orang kita.. termasuk dari perkampungan lain.. Ajak juga puak lain tak kira mereka musuh ataupun kawan.. Sekarang saatnya kita bersatu untuk menggempur Ratu Manikmaya di Korbu habis-habisan. Semua puak kena bersatu jika ingin dunia kita ini kekal aman.. Jika masih mementingkan diri, akhirnya semua puak pun akan musnah dibawah kekejaman Ratu Manikmaya.." Betara dengan lantang bersuara.

"Punta.. Izinkan aku kembali ke Nirma sebentar.. untuk mengajak kaum bunian.. bersama kalian.." Suri ingin melaporkan kejadian yang telah berlaku kini kepada Penghulu Jalit dan cuba meminta bantuan mereka untuk bertempur bersama menentang Ratu Manikmaya.

"Pergilah Suri.. Jangan kelamaan..kita sudah kesuntukan masa." Betara menganggukkan kepalanya, menyetujui kata-kata Suri. Mata Betara kemudian melihat kepada Keris yang tersisip dipinggangnya dan tangannya sudahpun memegang hulu keris tersebut. Keris Taming Gemala Naga pemberian ayahnya, Naga Purba Raya Dirgantara yang dikatakan sangat ampuh dan sakti. Betara sudah membayangkan untuk menusuk keris tersebut di perut Ratu Manikmaya sehingga sang ratu itu akan menyesal sampai ke akhirat kerana sudah mengganggu keluarganya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience