33

Fantasy Completed 11833

Imbas Kembali...
Perkampungan Nirma

CAHAYA suram menyirami sebuah bilik. Terlihat Suri yang wujud dalam bentuk manusia sedang berdiri. Di hadapannya, Penghulu Jalit membelakangi adik iparnya itu sambil tangannya disilangkan pada bahagian belakang badan. Terpamer gaya lagak seorang pemimpin.

"Jadi Ratu sudah tahu dimana keberadaan Kenchana.." Penghulu Jalit mengepal tangannya dengan wajahnya terlihat resah.

"Puak Saga yang dipimpin Betara sudah bersedia untuk menghadapi Ratu Manikmaya dan berperang demi melindungi Kenchana." Suri pula bersuara.

Pertemuan mereka dilakukan dibilik yang sulit dan tidak ada orang lain dibenarkan menghampiri bilik berkenaan oleh Penghulu Jalit bagi memastikan segala informasi dari Suri yang menjaga Kenchana di dunia manusia tidak di ketahui oleh sesiapa melainkan Penghulu Jalit seorang sahaja. Penghulu Jalit tidak mempercayai sesiapa pun selain adik iparnya itu sendiri dalam soal keselamatan anak perempuannya. Sedikit kesilapan mungkin akan membahayakan nyawa Kenchana. Dia khawatir jika ada dikalangan penduduk Nirma itu berkhianat dan menjadi mata-mata Ratu Manikmaya. Kalau pun tiada mata-mata, Penghulu jalit juga risau jika ada penduduk yang mengetahui maklumat mengenai Kenchana itu diculik dan dipaksa oleh Ratu Manikmaya untuk mendapatkan maklumat. Jadi sebaiknya segala perkhabaran tentang Kenchana, Penghulu Jalit seorang sahaja yang mengetahuinya.

"Apakah para manusia itu mampu melawan raksasa korbu? Kekuatan manusia itu lemah.." Penghulu Jalit tertanya-tanya seraya memalingkan tubuhnya menghadap ke arah Suri.

"Betara baru sahaja pulih dari cedera parah selepas bertempur dengan dua ekor raksasa itu. Kalau raksasa itu dalam jumlah yang ramai, aku ragu jika mereka mampu melawan.." Suri memberi pendapatnya.

"Jadi, pada pendapatmu, apakah kita harus membantu mereka Suri?"

"Aku rasa begitulah penghulu.. Jika mereka dikalahkan oleh tentera ratu, Kenchana juga pasti dalam bahaya."

"Tapi.. Apakah Aku akan terlihat mementingkan diriku sendiri? Mengarahkan penduduk kita untuk perang bersama para manusia di alam mereka. Hal ini belum pernah terjadi.. Hanya kerana ingin melindungi anak perempuanku.. Sepertinya aku salahguna jawatanku sebagai penghulu. Mengarahkan perang hanya demi seorang anak perempuan." Penghulu Jalit ragu-ragu.

"Ini bukan soal anak penghulu.. Ini soal keselamatan sejagat raya.. Jika Ratu Manikmaya berjaya dapatkan Kenchana, seluruh alam termasuk dunia kita dan dunia manusia akan menjadi neraka dibawah Ratu." Suri memberi pendapatnya dengan alasan yang munasabah.

"Hmm.." Penghulu Jalit menjadi serba salah. Sebuah hembusan berat yang terkandung keluhan terluah dari mulutnya. Suatu keputusan yang berat untuk dia laksanakan. Setelah difikirkan kembali, ada benarnya kata-kata Suri itu. Peperangan itu bukan semata untuk menyelamatkan anak perempuannya Kenchana, tapi untuk menyelamatkan seluruh alam ini dari kejahatan Ratu Manikmaya. Jika Ratu Manikmaya berjaya mendapatkan Kenchana, dia pasti akan mendapat kekuasaan yang abadi. Mereka tiada pilihan lain jika ingin menghalang Ratu Manikmaya yang kejam itu dari mendapatkan kekuatan abadi. Mereka perlu membantu para manusia dari Puak Saga itu untuk mengalahkan Ratu Manikmaya yang didukung oleh kekuatan para raksasa korbu.

"Aku akan kerahkan beberapa pahlawan dari penduduk Nirma untuk membantu mereka. Bersiaplah, kita bergerak sekarang. Di alam sebelah sana, mereka mungkin sudah mula berperang sekarang." Penghulu Jalit membuat keputusan.

"Baiklah Penghulu.." Suri menyetujui keputusan penghulunya itu.

Ulu Sepat

PENGHULU Jalit bersama beberapa puluh orang lelaki muncul berhampiran medan pertempuran diantara Puak Saga dan pasukan raksasa korbu Ratu Manikmaya. Dari jarak sejauh itu, mereka sudah mendengarkan suara hiruk pikuk dari medan peperangan.

"Bersiap sedia semua.. Kita akan membantu para manusia itu melawan raksasa korbu!" Jerit Penghulu Jalit. Para lelaki yang bersamanya termasuk Suri mengangguk menerima arahan Penghulu Jalit. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan ngauman Naga Purba Raya Dirgantara yang berdentum-dentum menggegarkan langit. Suara ngauman itu benar-benar mengejutkan mereka.

"Ke..Kenapa Si Ulong boleh muncul di sini?" Penghulu Jalit cemas. Suara ngauman sang naga itu benar-benar menggentarkan jiwanya.

"Penghulu.. macam mana sekarang?" Salah seorang lelaki bertanyakan Penghulu Jalit.

"Kita..kita teruskan.. masuk ke medan pertempuran.." Penghulu Jalit terpaksa membuat keputusan dengan pantas. Mahu atau tidak, tanpa mempedulikan kehadiran Naga Purba, matlamat mereka untuk menghentikan Ratu Manikmaya terpaksa juga diteruskan. Setelah arahan diberikan, para pahlawan dari perkampungan Nirma itu segera berlari menuju ke arah medan pertempuran.

Setibanya mereka dipinggir medan pertempuran, suasana hiruk-pikuk manusia berteriak berlari menyelamatkan diri dari serangan Naga Purba yang sedang menghembuskan api dari mulutnya. Medan pertarungan menjadi kacau-bilau. Penghulu Jalit dan pengikutnya hanya terpana dan kaku mendiamkan diri apabila menyaksikan Naga Purba Raya sedang mengganas. Mereka melihat pula Ratu Manikmaya yang sedang menahan serangan api dari Naga Purba tersebut. Dibelakang Ratu Manikmaya, terlihat Betara yang sudah cedera parah dan tidak sedarkan diri.

"Penghulu.. itu Betara.. Dia.. adakah dia sudah mati?" Suri menjerit ke arah Penghulu Jalit sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah Betara yang sedang terbaring berlumuran darah.

"Selamatkan dia dulu. Suri..Mudik.. pergi selamatkan Betara. Bawa dia kemari." Penghulu Jalit segera mengarahkan Suri dan seorang lelaki bernama Mudik untuk menyelamatkan menantunya itu. Walau apapun yang akan berlaku nanti, setidaknya Penghulu Jalit tidak mahu menantunya itu mati begitu sahaja.

Suri dan Mudik berlari pantas mendekati Betara yang sedang terbaring betul-betul di belakang Ratu Manikmaya. Mujurlah waktu itu si Ratu Manikmaya sedang sibuk menahan serangan dari Naga Purba dan tidak menyedari kehadiran mereka dari belakang. Pelindung yang dihasilkan oleh Ratu Manikmaya juga amat menguntungkan mereka ketika itu, kerana lapisan pelindung itu jugalah yang telah menahan semburan api Naga Purba dari mengenai Betara dan Suri serta Mudik yang sedang mendekat itu.

Setelah berjaya mendapatkan Betara, Suri dan Mudik segera mengangkat Betara yang sudah tidak sedarkan diri itu dan mereka bergerak kembali menuju ke arah Penghulu Jalit. Tanpa mereka sedar, Naga Purba yang sedang menyerang Ratu Manikmaya itu sedang melihat pergerakan mereka yang berlari dari belakang si Ratu. Setelah Suri dan Mudik berjaya sampai ke tempat Penghulu Jalit sambil membawa Betara, mereka meletakkan dahulu Betara yang sudah pengsan itu ke tanah.

"Ayuh, kita kembali ke Perkampungan Nirma. Jika terus berada disini pun, kita tidak akan mampu berbuat apa-apa." Penghulu Jalit lantas menghayunkan tangannya dan sebuah cahaya putih berserta kabus muncul. Cahaya putih itu melingkari sebuah pintu gerbang dan kelihatan pemandangan alam yang berbeza dari tempat mereka berada sekarang disebalik pintu gerbang tersebut. Suri dan Mudik kembali mengangkat Betara dan bergerak memasuki gerbang itu dan disusuli oleh Penghulu Jalit dan orang lain. Setelah mereka semua masuk ke sebalik gerbang tersebut, seketika kemudian pintu gerbang itu menjadi mengecil dan terus hilang dari pandangan. Di medan pertempuran ketika itu, Naga Purba pun menyemburkan api yang lebih kuat dari mulutnya ke arah Ratu Manikmaya sebelum memijak pelindung yang dibuat oleh Ratu Manikmaya sehingga pecah. Ekor sang naga itu kemudian melibas tubuh badan Ratu Manikmaya sehingga tercampak jauh. 

Perkampungan Nirma

SURI dan Mudik meletakkan Betara diatas katil. Betara yang sudah tidak sedarkan diri itu langsung tidak tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya. Pemimpin ketumbukan Puak Saga itu sudah tinggal nyawa-nyawa ikan. Tulang lengan dan rusuknya telah patah dikerjakan oleh raksasa korbu. Penghulu Jalit cemas apabila tidak dapat mengesan nafas menantunya itu. Dia segera memeriksa nadi Betara dan terasa sedikit lega walaupun denyutan nadi lelaki itu sangat lemah.

"Syukurlah dia masih bernyawa. Lekas panggilkan pawang untuk ubati lelaki ini." Penghulu Jalit memberikan arahan.

"Baiklah penghulu." Dua orang lelaki menyahut dalam waktu bersamaan dan mereka berdua segera pergi dari situ bersama.

Seketika kemudian, Pendeta Manik datang menghampiri Penghulu Jalit yang berada di sisi Betara yang pengsan. Pendeta tua itu melihat-lihat ke arah Betara yang berlumuran darah dan tidak sedarkan diri itu.

"Siapakah manusia ini? Kenapa kalian membawanya kemari?" Soal Pendeta Manik.

"Namanya Betara. Dia adalah menantuku.. Suami kepada Kenchana.." Penghulu Jalit menjawab tanpa berselindung.

"Suami Kenchana? Jadi kenapa dengannya sekarang? Kenapa dibawa kemari?"

"Dia tadinya sedang melawan tentera Ratu Manikmaya demi melindungi Kenchana.. Ketika Aku tiba disana, dia sudahpun cedera dan tidak sedarkan diri. Malah pertempuran mereka juga diganggu oleh Naga Purba Raya.. Terlihat Naga itu menyerang sesiapa sahaja yang berada disana. Ketika si Ratu itu sedang sibuk melawan Naga Purba, kami mengambil kesempatan untuk menyelamatkan dia dan membawanya kemari untuk lebih selamat."

"Naga Purba Raya? Hmm.." Pendeta Manik kemudian mendiamkan diri apabila mendengar penjelasan dari Penghulu Jalit.

Seketika kemudian, seorang perempuan yang sudah berusia mendatangi mereka. Dia adalah pawang di Perkampungan tersebut yang berperanan sebagai perawat. Perempuan itu menghampiri Betara dan memegang pergelangan tangan Betara untuk memeriksa nadinya. Kemudian pawang tersebut membuka kelopak mata Betara yang tertutup dengan jari tangannya. Setelah meneliti keadaan tubuh Betara beberapa ketika, pawang perempuan itu melepaskan satu hembusan nafas kasar.

"Dia sudah nazak dan hampir mati. Tulang lengan dan rusuknya patah. Kepalanya juga cedera.." Pawang itu menggelengkan kepalanya.

"Apakah dia tidak boleh diselamatkan?" Penghulu Jalit berubah mukanya menjadi risau.

"Tenang aja.. Dia masih boleh diselamatkan.. kerana kalian segera membawanya kesini.. Kalau lambat sedikit lagi, mungkin dia akan meninggal.." Pawang itu menyampaikan kata-katanya kepada Penghulu Jalit.

"Baguslah kalau begitu.." Penghulu Jalit menghembuskan nafas lega setelah mendengar penjelasan pawang tua tersebut. Ketika wanita tua itu baru sahaja ingin memulakan perawatan ke atas Betara, tiba-tiba satu suara kedengaran lantang menegah mereka.

"Nanti! Apa yang kalian nak lakukan itu?"

Suara itu kedengaran kasar dan garau. Suara yang sangat asing bagi masyarakat di perkampungan Nirma tersebut. Lantas mereka yang berada disitu semua berpaling untuk melihat pemilik suara berkenaan. Terlihat seorang lelaki yang berwajah bengis, berambut panjang tidak berbaju. Lelaki yang  berbadan kekar itu cuma memakai cawat yang terbuat dari daun-daun yang tebal dan dilehernya memakai kalung yang penuh dengan taring yang tersusun. Dahinya terlihat lebar dan mempunyai benjolan yang tinggi di kedua bahagian kening matanya. Sorotan matanya tajam, terlihat liar dan ganas.

"Siapa kau? Bagaimana kau dapat masuk ke perkampungan ini?" Penghulu Jalit segera bertanya kepada lelaki asing itu. Sungguh aneh sekali pada fikiran Penghulu Jalit apabila perkampungan Nirma dapat dimasuki oleh manusia asing. Perkampungan bangsa bunian itu tidak dapat dimasuki oleh manusia biasa jika tidak mendapat izin daripada Penghulu Jalit sendiri. Lelaki di hadapan mereka sekarang pastilah bukan orang sebarangan. Para lelaki yang berada disitu juga sudah siap siaga membetulkan langkah kaki mereka dan masing-masing sudah memegang senjata untuk menyerang lelaki tersebut. Mereka cuma menunggu arahan penyerangan dari Penghulu Jalit atau akan bertindak jika lelaki asing itu mula menyerang mereka terlebih dahulu.

"Aku ialah Ulong.. Naga Purba Raya Dirgantara!" Lelaki itu memperkenalkan dirinya dengan wajah menyeringai memperlihatkan gigi taringnya.

Semua orang yang berada disitu menjadi terkejut dengan pengakuan lelaki asing itu. Benarkah lelaki itu adalah Naga Purba Raya? Tetapi kenapa dia muncul dalam bentuk wujud manusia? Walaupun pengakuan lelaki tersebut seolah tidak masuk akal, namun dari gaya dan keadaannya, jelas memperlihatkan dia bukanlah manusia biasa. Penduduk Nirma disitu mula merasa gentar. Jika benar lelaki itu adalah Naga Purba Raya Dirgantara, maka mereka tidak akan mampu menyaingi lelaki tersebut.

"Jadi.. Ulong.. Apa urusanmu datang ke mari? Kami tidak pernah mengganggumu.." Pendeta Manik mula bersuara sambil menatap ke arah lelaki yang mengaku sebagai Naga Purba Raya tersebut.

"Ya.. Kalian tidak menggangguku.. Tapi kalian sudah mengambil lelaki itu.. Kenapa kalian membawanya ke sini?" Ulong menunjukkan ke arah Betara yang terlentang di atas katil.

"Dia adalah suami anakku.. Sudah menjadi kewajipanku untuk menyelamatkan menantuku. Apa urusannya denganmu." Penghulu Jalit pula menjawab.

"Oh.. Jadi kalian ingin merawat dan menyembuhkan dia?"

"Ya.. Begitulah tujuanku."

"Baiklah kalau begitu.. Aku serahkan saja dia kepada kalian." Ulong si Naga Purba sepertinya tidak berniat jahat. Semua orang yang berada disitu menjadi pelik dengan tingkah laku lelaki tersebut. Tiba-tiba Ulong mengeluarkan sebilah Keris panjang yang tersisip dari belakang badannya. Semua orang disitu menjadi terkejut kembali dan bersiap siaga jika Ulong ingin menyerang.

"Rawatlah dia sehingga sembuh. Nanti bila dia sedar, berikan dia keris ini. Jika tidak, aku akan hancurkan kalian bersama seluruh perkampungan ini dan tidak meninggalkan sedikit sisa pun." Ulong mula mengancam dan menyeringai. Semua yang berada disitu tergamam. Mereka langsung tidak memahami maksud dari perbuatan Naga Purba itu.

"Apa..Apa maksudmu? Tadi kau sendiri yang menyerang dia. Sekarang kau meminta untuk kami merawatnya dan berikan keris itu kepadanya.." Penghulu Jalit meluahkan kebingungannya terhadap Ulong.

"Hahaha.. Aku menyerang perempuan bangsat yang cuba membunuh dia tadi. Apiku tidak akan mencederakannya. Ini adalah keris yang aku tempa sendiri dari tahi bintang dan sisik naga yang dilebur menggunakan api hembusanku. Hulunya pula terbuat dari taring naga bertatahkan tujuh batu delima.. Keris itu Aku namakan sebagai Taming Gemala Naga.. Sebilah keris sakti.. Dan Aku mahu dia memiliki keris ini sebagai hadiah dariku.." Panjang lebar penjelasan dari Naga Purba Raya Dirgantara, sambil dia berjalan dan meletakkan Keris tersebut di sisi Betara yang terbaring pengsan.

"Tapi kenapa kau mahu berikan kepadanya?" Pendeta Manik pula mencelah.

"Bukan urusanmu untuk ambil tahu.. Sekarang rawatlah dia sehingga sembuh.."

Ulong kemudian berlalu pergi meninggalkan mereka. Dia berjalan masuk ke arah hutan berhampiran Perkampungan Nirma itu. Seketika kemudian, satu ngauman naga kedengaran kuat seperti guruh dan muncullah Naga Purba Raya Dirgantara dalam bentuk seperti ular raksasa yang sangat besar, terbang keluar dari hutan tersebut. Ulong Si Naga Purba Raya Dirgantara itu kemudian terbang jauh ke langit, menyelinap dicelah-celah awan dan akhirnya hilang dari pandangan mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience