Gunung Korbu
Lebih seratus ekor raksasa korbu mengawal istana Ratu Manikmaya yang terbuat dari gua di puncak Gunung Korbu. Tiga puluh ekor daripadanya menjaga diluar pintu gua dan selebihnya berada didalam gua mengawal keselamatan sang ratu. Suhu yang dingin dipuncak gunung yang tinggi itu langsung tidak mempengaruhi mereka yang berkulit tebal itu. Dalam suasana yang sunyi cuma ditemani tiupan angin, tiba-tiba salah seekor dari raksasa korbu itu berteriak.
"Owhh!! Owwhh!!"
Rupa-rupanya raksasa korbu yang sedang mengawal itu sudah mengesan kehadiran pasukan penyerang yang menghampiri istana ratu mereka. Oleh kerana segala tumbuhan di puncak gunung itu sudah mati, tanah hitam yang gersang itu memudahkan penglihatan mereka untuk mengetahui kehadiran sesiapa pun dari jauh lagi. Setelah mendengar jeritan salah seekor dari mereka, kawanan raksasa korbu yang lain turut menghampiri temannya itu dan mereka mendapati sepasukan manusia sedang menuju ke arah mereka.
Kerana kehadiran mereka sudah diketahui, pasukan penyerang tidak menunggu lagi lantas melancarkan serangan anak panah ke arah puncak gunung sambil berlari menuju ke istana musuh. Hujan ratusan anak panah itu berjaya mengenai beberapa ekor raksasa korbu tetapi serangan anak panah itu tidak mampu merebahkan makhluk sumpahan yang gagah itu. Pasukan penyerangan pertama yang diketuai Betara itu melancarkan pula tujahan kayu tajam yang dijadikan tombak. Kali ini, serangan tombak tersebut berjaya menjatuhkan beberapa ekor raksasa korbu. Sebagai pengawal yang ditugaskan untuk menjaga keamanan puncak gunung tersebut, para raksasa korbu itu juga mula berlari menerpa ke arah pasukan Betara dan pertembungan secara dekat pun mula berlaku.
Semasa para raksasa korbu dipuncak gunung itu sibuk memfokuskan serangan dari arah timur, tiba-tiba mereka dikejutkan pula dengan serangan dari arah selatan dan utara. Kerana tidak menyedari serangan yang datang, beberapa ekor raksasa korbu telah tumpas dan rebah apabila menerima hujanan anak panah dan tombak dari para penyerang di arah selatan dan utara.
Di dalam gua, Ratu Manikmaya menjadi kehairanan dengan gegak gempita yang datang dari luar istananya.
"Apa yang sudah berlaku? Kenapa bising sangat diluar sana?"
Sang gagak segera terbang mengarah keluar dari gua tersebut untuk menyelidiki apa yang telah berlaku. Sudah lebih lima belas tahun, suasana di puncak Gunung Korbu sangat sunyi kerana tiada satu hidupan pun yang berani menghampiri istana Ratu Manikmaya di situ selain pasukan tenteranya sendiri dan para manusia hamba yang akan menghantar makanan dan minuman kepada Ratu Manikmaya disana. Riuh rendah yang kedengaran pada kali ini sungguh memelikkan Ratu Manikmaya dan pasukannya. Bagi mereka, adalah mustahil jika ada manusia yang berani menentangnya dan menyerang istananya dipuncak gunung tersebut.
Setelah burung gagak itu berlegar di ruang udara puncak gunung tersebut, dia melihat ramai manusia yang datang menyerang di sekitar istana Ratu Manikmaya. Para manusia itu sedang berperang dengan para raksasa korbu. Burung gagak hitam tersebut terus meluncur, terbang kembali ke pintu gua untuk melaporkan kejadian yang sedang berlaku kepada sang ratu.
Berpuluh ekor raksasa korbu yang mengawal di dalam gua juga segera keluar untuk menghentikan pemberontakan oleh para manusia itu apabila mereka mendengar teriakan amaran dari raksasa korbu yang mengawal diluar istana gua tersebut. Dalam suasana yang kelam-kabut itu, pasukan penyerang dari arah barat pula muncul. Pasukan manusia itu turut dibantu oleh hampir seratus ekor haiwan buas seperti harimau, beruang, serigala dan sebagainya yang mana haiwan itu semua sebenarnya adalah bentuk wujud dari kaum bunian pimpinan Penghulu Jalit.
Ratu Manikmaya yang mengetahui akan serangan manusia ke istananya mula murka. Dia memerintahkan semua raksasa korbu untuk keluar melindungi istananya dan hapuskan semua manusia yang menyerang mereka. Sambil duduk di singgahsananya, mata Ratu Manikmaya menyorot ganas dan mata putihnya bertukar menjadi kemerahan. Kemarahan jelas terpancar pada riak wajahnya dikala itu.
"Pasti mereka datang untuk mendapatkan kembali anak si Kenchana itu.. Bawakan budak perempuan itu ke sini."
Di dalam istananya sekarang cuma tinggal dua ekor sahaja raksasa korbu yang berperanan sebagai pengawal kepada Ratu Manikmaya. Setelah mendapat perintah, salah seekor darinya mula bergerak untuk mendapatkan Melur yang telah diculik oleh mereka. Ratu Manikmaya berencana untuk menggunakan Melur sebagai galang ganti pertukaran kepada Kenchana nanti untuk menghentikan serangan dari manusia itu.
Gunung Gayong
SEMENTARA itu, Kenchana, Mastika dan beberapa orang lain yang berperanan sebagai perawat hanya menunggu para pahlawan dari pihak mereka pulang semula ke sana dengan membawa kemenangan. Namun debaran yang mereka rasai tidak henti-henti menyesakkan dada.
"Ibu.. bolehkah kita menang? Apakah Betara akan baik-baik saja kali ini?" Kenchana tidak dapat menahan kerisauannya.
"Berdoalah semoga kemenangan berpihak kepada kita." Mastika cuba menenangkan menantunya itu walaupun dia sendiri berasa sangat tidak nyaman untuk terus menunggu.
"Kencana tidak mahu kehilangan Betara sekali lagi. Ayuh Ibu.. kita ke sana.."
"Jangan Kenchana. Bukankah Betara sudah melarang kita untuk pergi ke sana."
"Tapi.. sampai bila kita harus menunggu di sini? Bagaimana kalau mereka tidak pulang kembali?"
"Sudah Kenchana. Tenangkan dirimu. Jangan fikir yang bukan-bukan." Mastika memegang tangan Kenchana dengan erat sekali. Mastika sendiri tidak tahu bagaimana lagi untuk menenangkan Kenchana disaat itu bahkan dia sendiri pun merasai kebimbangan jika pihak mereka mengalami kekalahan. Malah yang pasti, korban jiwa pasti akan banyak berlaku tidak kira mereka akan menang atau kalah. Yang mampu dia lakukan kini hanyalah berharap agar korban nyawa tidak terjadi kepada Betara ataupun cucunya Pekan dan Melur. Kenchana kemudiannya memeluk Mastika dan menyembamkan mukanya ke pangkuan ibu mertuanya itu. Badan Kenchana turun naik menahan sedu sedan tangisan. Mastika melepaskan tangan Kenchana yang di genggamnya. Sambil mengusap kepala Kenchana, tangan Mastika tersentuh dengan kalung yang dipakai pada lehernya. Dia segera memegang dan melihat kalung dilehernya. Kalung itu adalah pemberian Ulong, Naga Purba Raya Dirgantara kepadanya dahulu. Dia tidak pernah menanggalkan kalung itu kerana takut dengan ancaman Ulong yang tidak membenarkan dia untuk membuang kalung tersebut.
"Jika kau memerlukan aku, serulah namaku.. Kalung itu adalah penghubung diantara kau dan aku.."
Mastika tersentak. Kata-kata Ulong kepadanya dahulu kini terngiang-ngiang ditelinganya. Dadanya terasa berdebar kencang dengan tiba-tiba. Mastika menarik nafas dengan dalam sebelum menghembuskannya kembali. Matanya terpaku menatap kalungan di tangannya. Mastika kemudian memejamkan matanya.
"Ulong..Naga Purba Raya Dirgantara yang perkasa.. Yang menjaga semangat gunung ganang, bantulah aku..Jika benar diriku adalah milikmu, hadirlah.." Mastika melafazkan permintaan dengan menyeru nama Ulong. Kenchana yang mendengar permintaan Mastika itu segera menghentikan tangisannya dan mengangkat mukanya menatap ke arah wajah Mastika. Kenchana terpempan dengan ayat yang didengarinya itu terluah dari mulut Mastika.
Gunung Korbu
KEMBALI ke situasi di medan pertempuran di puncak gunung. Selama peperangan berlangsung sehingga sekarang, terlihat kedua-dua pasukan sudah kehilangan separuh kekuatan tentera masing-masing. Raksasa korbu sudah kehilangan separuh dari jumlah mereka, begitu juga dengan ketumbukan yang dipimpin oleh Betara. Walaupun kekuatan pasukan kelihatan agak seimbang namun korban dari pihak manusia sepuluh kali ganda lebih ramai berbanding raksasa korbu. Jika keadaan ini berlanjutan, tidak mustahil pihak manusia akan mengalami kekalahan. Malah semakin lama, kekuatan individu setiap manusia juga semakin terkuras dan melemah. Jauh berbeza dengan para raksasa korbu dimana setiap ekor dari mereka masih kelihatan bertenaga dan penuh semangat.
Betara yang menyedari pihak pasukannya semakin melemah jika perlawanan sebegitu diteruskan mula mengerahkan segala kudratnya untuk membunuh secepat mungkin setiap dari raksasa korbu yang dihadapinya. Keris Taming Gemala Naga mula dihunuskan dan Betara semakin rakus menyerang mangsanya. Walaupun sudah berjaya membunuh beberapa ekor raksasa korbu sepanjang pertempuran itu, Betara masih tidak merasakan kelelahan seperti orang lain. Hal tersebut juga terfikirkan oleh Betara. Dia sendiri merasakan kekuatannya masih belum menyusut, tidak seperti biasanya. Fikirnya, hal itu mungkin terjadi kerana perbuatan Sang Ukong yang mencucuk saraf Betara sepertimana kata kera sakti tersebut, dia membuka saraf Betara yang masih terkunci.
Kerana leka dengan fikirannya disaat sedang bertempur, akhirnya Betara menerima pukulan dari belakang badannya sehingga menyebabkan lelaki itu tercampak dan tersembam menyembah bumi. Namun Betara masih mampu bangkit setelah menerima pukulan kuat dari raksasa korbu. Kini kemarahan semakin menguasai dirinya.
"Arghhhh!!" Betara meluahkan kemarahannya dengan sebuah jeritan kuat. Di saat itu, api mula muncul kembali di keris yang digenggamnya sama seperti ketika dia melawan Sang Ukong. Beberapa orang yang terperasan dan menyaksikan api dari keris ditangan Betara itu mula menjadi takjub dan terpegun. Ramai yang masih sedang sibuk bertempur menghadapi raksasa korbu ketika itu tidak melihat keajaiban dari Betara. Betara mula menyerang kembali dan api dari keris tersebut menyambar-nyambar musuhnya.
Serangan dari Betara terlihat sangat menakutkan. Setiap kali kerisnya menikam mangsa, walaupun keris tersebut sudah dicabut dari tubuh mangsa namun api yang marak akan terus membakar mangsanya dari bekas luka tikaman tersebut sehingga mangsanya itu hangus terbakar. Beberapa ekor raksasa korbu yang menyaksikan api yang marak menyala dari Betara cuba berundur. Mereka tahu bahananya jika terkena api yang panas itu. Oleh kerana itu, raksasa korbu akan mengelak untuk masuk rapat dengan Betara. Mereka hanya menyerang dari jarak yang dianggarkan mampu dicapai oleh senjata mereka sahaja bagi menyerang Betara. Namun serangan dari raksasa korbu berjaya dielak dengan mudah oleh Betara. Walaupun bertenaga kuat, tetapi pergerakan raksasa korbu sedikit lambat berbanding manusia yang tangkas seperti Betara.
Tiba-tiba muncul cahaya hijau yang menghala ke arah Betara dengan sangat laju namun cahaya itu berjaya juga dielakkan oleh Betara. Itu adalah serangan dari Ratu Manikmaya. Betara sangat tahu serangan itu kerana lima belas tahun dahulu dia pernah menyaksikan dan pernah terkena sendiri serangan dari Ratu Manikmaya tersebut. Cahaya hijau itu pasti akan melumpuhkan mereka jika serangan tersebut mengenai sasarannya.
"Cukup! Berhenti kalian semua!" Ratu Manikmaya menjerit dengan kuat. Wanita sihir itu mendepangkan kedua belah tangannya, seraya kepulan asap hitam keluar dari badannya dan menyebar ke seluruh kawasan di puncak gunung tersebut. Tanah di puncak gunung itu sedikit bergegar dan mengejutkan semua pihak.
Share this novel
next
wah laju ok ok ... tnggu...
nex ... sskli bca fantasi bes jugk ...