BURUNG berkicau dengan riang. Suasana hutan yang sangat sunyi itu cuma dihiasi oleh suara nyanyian unggas yang bersahut-sahutan. Seekor rusa sedang meredah hutan belantara dengan bersemangat sekali. Itu adalah Suri, rusa putih yang menjadi peneman kepada Kenchana. Ia berlari dengan melalui denai yang sedia ada di hutan tersebut. Tiba-tiba Suri jatuh tersungkur. Ia meronta-ronta akibat kesakitan. Apabila dia bangkit kembali, Suri tidak mampu untuk menggerakkan langkahnya. Kakinya terbejat dan tidak mampu untuk terus membuka langkah kakinya. Rupa-rupanya salah satu kaki belakang Suri sudah terkena jerat.
Rusa berwarna putih itu berkali-kali cuba melepaskan diri namun terus gagal menjayakan hasratnya. Suri kemudiannya menatap ke arah jerat yang sudah membelenggu kakinya dari terus melangkah. Ia sepertinya sedang memikirkan sesuatu untuk melepaskan dirinya. Namun sebelum sempat Suri bertindak, tiba-tiba beberapa orang lelaki pun muncul di hadapannya. Mereka sudah bersedia dengan parang di tangan mereka dan ada juga yang sudah menarik anak panah di busurnya. Kini Suri mulai cemas. Nyawanya sekarang sudah ibarat telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja boleh melayang.
"Nanti! Kau rupanya.." Salah seorang lelaki mengangkat tangannya supaya teman-temannya tidak meneruskan serangan mereka. Lelaki itu adalah Bikas, salah seorang dari pasukan pemburu Puak Saga.
"Ini adalah rusa putih yang bermain di sekeliling permukiman kita. Betara sudah melarang kita mengapa-apakan rusa ini." Bikas memberi penjelasan. Dia cuba mendekati Suri, namun rusa putih itu terus meronta-ronta untuk melepaskan diri.
"Tenang..tenang.. Aku tidak akan apa-apakan kau.." Bikas cuba berbicara kepada rusa putih tersebut supaya haiwan albino itu diam dan menenangkan dirinya. Dia cuma berhasrat untuk melepaskan ikatan jerat di kaki Suri, namun sukar untuk berbuat sedemikian kerana Suri masih lagi meronta-ronta. Kemudian seorang lagi lelaki tiba di tempat tersebut.
"Kenapa ini?... Suri?" Suara Betara kedengaran. Lelaki yang baru tiba itu adalah Betara. Dia segera mendekati teman-temannya yang sedang berburu apabila mendengar suara Bikas yang bersusah payah untuk menenangkan Suri. Sekarang baru Betara faham apa yang ingin dilakukan oleh Bikas terhadap buruan mereka. Dia juga sangat terkejut apabila melihat Suri yang menjadi teman kepada Kenchana pula yang terkena jerat yang dipasang oleh mereka. Betara segera mendekati Suri yang sedang cemas dan kesakitan akibat terjatuh tadi.
"Suri.. tenang.. biar aku bukakan ikatan di kakimu itu." Betara menghulurkan tapak tangannya ke arah kepala Suri. Haiwan itu segera diam apabila melihat Betara berada di hadapannya. Setelah Suri mendiamkan diri, Betara pun mula menggosok-gosokkan kepala haiwan tersebut. Betara sedar, dia perlu menghilangkan dahulu rasa gemuruh dan cemas yang dialami Suri. Rusa putih itu pasti sangat ketakutan setelah terkena jerat mereka tadi. Tangan Betara dilarutkan ke bawah dagu Suri, menyebabkan rusa tersebut memejamkan matanya. Tenang diperlakukan sebegitu.
"Sini, biar aku lepaskan jerat dikakimu." Betara perlahan-lahan bergerak menuju ke arah kaki belakang Suri. Suri pula hanya mendiamkan diri. Dirinya sudah mempercayai Betara yang dikenalinya itu. Dia percaya penyelamat kepada Kenchana itu akan menyelamatkan dirinya pula kali ini. Lagipula, dia sudah tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa mempercayai lelaki di hadapannya itu. Namun Suri yakin, keterpaksaannya itu ada asasnya. Beberapa detik kemudian, Betara, menepuk belakang badan Suri.
"Dah.. pergilah. Hati-hati lain kali.." Betara menyuruh Suri pergi dari kawasan tersebut. Jerat yang membelenggu kaki Suri tadi sudah pun dibuka semula oleh Betara. Suri kemudiannya berpaling melihat ke arah Betara. Setelah menganggukkan kepalanya, Suri segera berlari, meneruskan perjalanannya yang tergendala tadi. Betara dan rakan-rakannya hanya melihat rusa berwarna putih itu pergi meninggalkan mereka. Ketika sedang melihat Suri yang semakin menjauh dari pandangannya, Betara terfikir, bagaimana haiwan itu membesarkan Kenchana selama ini.
"Kenchana.." Nama itu tiba-tiba muncul difikiran Betara.
SEBALIK belahan hutan yang lain, Kenchana sedang berjalan bersama Salak untuk mencari cendawan. Perjalanan kali ini lebih jauh berbanding tempat Kenchana memetik cendawan dengan Mastika tadi. Di pertengahan jalan, Kenchana sudah mula keletihan.
"Jauh lagi ke tempatnya?" Kenchana sedikit tidak bermaya.
"Depan tu sikit saja lagi.. Tahan lah.." Salak mengarahkan jari telunjuknya ke arah hadapan.Kenchana pula berpaling ke arah belakang. Kawasan sekitarnya dipandang dengan penuh perhatian.
"Kenapa Kenchana?" Salak yang hairan dengan kelakuan Kenchana.
"Aku rasa.. kita.. sepertinya diekori.."
Mendengar kata-kata Kenchana itu, Salak pula cuba memperhatikan kawasan sekeliling mereka. Tangannya memegang hulu parang yang masih tersisip di pinggangnya. Sekadar berjaga-jaga jika ada serangan yang mendekati dirinya dan Kenchana. Satu persatu pokok di lihat dan setiap belukar di tenungnya. Mencari-cari jika ada yang bersembunyi. Setelah memastikan semuanya selamat, Salak melepaskan pegangan di hulu parangnya.
"Tidak ada apa-apalah di belakang kita. Mungkin perasaanmu sahaja." Salak cuba membantah kata-kata Kenchana sebentar tadi.
"Mungkin juga aku kepenatan.. kerana itu ada perasaan sebegitu." Kenchana menyeka peluh dibawah dagunya.
"Ayuh kita teruskan perjalanan.. sudah tidak jauh dari sini." Salak tidak ingin terus membuang masa disitu.
"Baiklah.. ayuh kita teruskan." Kenchana bersemangat kembali. Mereka pun mula berjalan kembali, menuju ke tempat yang dimaksudkan oleh Salak. Kenchana pula sanggup menahan keletihan demi mendapatkan cendawan yang disukai oleh Betara. Dia ingin semua orang dapat memakan cendawan yang dikutipnya itu nanti. Cendawan yang dikutipnya bersama Mastika cuma cukup untuk dimakan oleh belasan orang sahaja. Setelah Kenchana dan Salak semakin menjauh, di belakang mereka terlihat Limbat sedang bersembunyi disebalik sebatang pokok yang besar. Lelaki itu sedang mengintip Salak dan Kenchana yang sedang berjalan beriringan itu dari celah pokok kayu. Tangannya menggenggam dengan erat sambil memperhatikan mereka dari jauh."
Setelah lama menempuh perjalanan, akhirnya, mereka tiba di kawasan yang dimaksudkan oleh Salak. Mata Kenchana membulat dan berkaca apabila melihat jumlah cendawan yang tumbuh dengan sangat banyak di kawasan tersebut. Sungguh indah pemandangan yang dilihat oleh Kenchana sekarang. Dia ibarat sedang berada di syurga cendawan. Kenchana kemudian terduduk kerana keletihan. Namun hatinya sedang girang dan gembira kerana dapat melihat cendawan yang begitu banyak. Sambil duduk di tanah, Kenchana tidak melepaskan peluang untuk terus memetik cendawan tersebut. Beberapa cendawan di tarik dari tanah dan di hentak beberapa kali sepertimana yang diajarkan oleh Mastika kepadanya. Nafasnya masih mengah dan tekaknya kekeringan. Tapi Kenchana tidak membawa sebarang bekalan air.
"Kamu mahu minum Kenchana? Nah airnya." Salak menghulurkan tukil berisi air kepada Kenchana. Tabung yang terbuat daripada buluh itu sememangnya digunakan untuk mengisi air dan dibawa sebagai bekalan jika berpetualang atau berjalan jauh. Tukil yang dihulurkan oleh Salak disambut oleh Kenchana.
"Kau minumlah dahulu. Aku mahu pergi membuang hajat kecil sebentar." Salak menyatakan hajatnya. Kenchana yang membuka penutup bekas itu mencium aroma aneh dari air yang terisi di dalam tukil tersebut.
"Air apa ini? baunya aneh.." Kenchana mula mengomel.
"Itu air herba untuk pulihkan tenaga dengan cepat. Kami sentiasa membawa air ini jika keluar berburu atau berjalan jauh untuk mendapatkan kembali tenaga dengan cepat." Salak memberikan penjelasan. Dia kemudiannya terus pergi meninggalkan Kenchana. Salak masuk ke kawasan semak samun kerana katanya ingin membuang hajat. Kenchana yang keletihan segera meminum air yang dibekalkan oleh Salak itu. Dia sangat berharap tenaganya akan cepat pulih dan dia akan memetik cendawan disitu dengan cepat untuk memenuhi bakul yang dibawa olehnya. Setelah meminum beberapa teguk air herba yang diberikan oleh Salak, nafas Kenchana yang tadinya mengah kini sudah kembali normal. Rentak degupan jantungnya juga sudah menjadi normal. Kenchana melihat ke sekeliling kawasan yang dipenuhi cendawan. Hatinya menjadi riang dan dia mula menyambung memetik cendawan disitu satu persatu.
Dari celahan semak-samun, Limbat hanya mengintip dari jarak yang agak jauh. Dia memerhatikan Kenchana yang sedang memetik cendawan dan menghentakkan cendawan di atas tanah. Tidak lama kemudian, matanya beralih pula ke arah Salak yang baru muncul dari semak menuju ke arah Kenchana. Limbat hanya diam membatu, langsung tidak bergerak. Risau jika pergerakannya nanti akan menangkap perhatian Kenchana dan Salak. Beberapa ekor pacat mula memanjat ke kakinya, namun dibiarkan sahaja oleh Limbat. Bagi orang yang tinggal di hutan belantara, hal sebegitu cumalah perkara biasa. Sesekali, seekor demi seekor pacat yang menempel di kakinya dibuang perlahan-lahan. Sebenarnya Limbat juga sedikit mengutuk dirinya kerana tadi dia terlupa melumurkan sejenis daun dikakinya yang dapat menghalau pacat-pacat tersebut.
Kenchana yang sedang memetik cendawan tiba-tiba merasakan kepalanya pening. Tangannya terasa seperti kehilangan tenaga dan tidak mampu untuk menarik cendawan yang tumbuh di tanah. Kakinya juga sudah tidak mampu untuk menampung dirinya berdiri. Akhirnya Kenchana rebah ke tanah. Pandangan matanya hanya mampu melihat tubuhnya yang tiba-tiba longlai dan tidak mampu digerakkan.
"Kenchana.. kau kenapa?" Salak berlari mendapatkan Kenchana. Salak kemudiannya mengangkat badan Kenchana dan mengalihkannya ke kawasan tanah yang lebih rata berbanding tempat Kenchana rebah. Kenchana hanya mampu melihat. matanya hanya menyaksikan Salak menggendong dirinya dan meletakkannya ke tanah kembali.
"Kenapa tubuhku tiba-tiba tidak mampu bergerak?" Soalan itu hanya terbit di hati Kenchana. Mulutnya cuba digerakkan namun dia tidak mampu mengeluarkan sepatah perkataan pun. Salak pula meletakkan telapak tangannya di dahi Kenchana beberapa detik. Kemudian tapak tangannya itu menampar lembut pipi Kenchana beberapa kali.
"Kenchana? Kau tidak apa-apa? Kenapa denganmu?" Salak mempamerkan riak wajah yang cemas. Kenchana sendiri bingung dan tidak tahu apa yang telah terjadi kepada dirinya. Pandangannya hanya menatap Salak di depannya. Di dalam hatinya, Kenchana berharap agar Salak dapat membantu memulihkan kembali dirinya. Namun Kenchana tiba-tiba terkejut apabila riak wajah Salak berubah. Lelaki di hadapannya itu kini mengukir senyuman. Kenchana mula menjadi cemas. Kini dia sedar, apa yang sudah terjadi kepada dirinya sekarang adalah perbuatan Salak. Kenchana langsung terfikirkan air herba yang diminum olehnya tadi. Air pemberian Salak itu berbau aneh. Kini Kenchana yakin air itu bukan air herba untuk memulihkan tenaganya.
"Aku sudah tidak sabar untuk memilikimu Kenchana.." Salak tiba-tiba mengusap pipi Kenchana. Rambut gadis itu yang menutupi wajahnya beberapa helai ditolak ketepi oleh Salak bagi dia melihat wajah Kenchana dengan lebih jelas.
"Sekarang kau akan jadi milikku.. Tubuhmu yang wangi ini sungguh memikat sekali.." Salak merapatkan hidungnya ke leher Kenchana. Bau badan gadis itu dihidu dengan dalam oleh Salak yang sudah hilang kewarasan. Lelaki itu sudah hanyut dibuai oleh nafsu serakahnya. Dia mula mencium Kenchana di bahagian dada dan perut gadis itu. Kenchana yang sudah lumpuh tidak mampu berbuat apa-apa selain berdoa di hatinya agar diselamatkan. Air mata mula mengalir keluar dari kelopak matanya. Kenchana tidak mahu dirinya diapa-apakan oleh Salak yang sudah dirasuk oleh syaitan itu.
"Arghh.." Salak berteriak. Rupa-rupanya belakang badannya telah dipukul oleh sebatang kayu. Kayu sebesar lengan itu kemudian melayang sekali lagi ke lengan Salak yang mengakibatkan Salak terpelanting dan berguling beberapa kali. Terlihat Limbat sedang berdiri di hadapan Kenchana yang sudah lumpuh itu. Limbat sedang memegang kemas sebatang kayu yang digunakan olehnya untuk memukul Salak sebentar tadi.
"Tak guna kau Limbat.." Salak mengerang kesakitan sambil menyumpah seranah kepada temannya itu.
"Kau yang tidak berguna Salak! Sanggup kau berbuat begini kepada Kenchana. Dia sekarang adalah sebahagian dari kita, Puak Saga. Kita sepatutnya melindungi dia.. Tapi kau tergamak buat begini kepada Kenchana." Limbat pula memaki Salak dengan penuh emosi.
"Aku cuma mahu memiliki dia." Salak masih ingin membela dirinya.
"Bukan begini caranya. Kalau kau benar-benar inginkan dia, dapatkanlah dia mengikut adat kita. Dia di bawah perlindungan Punta Damar. Mintalah dari Punta untuk kahwini dia.."
"Ikut adat? minta dari Punta? Kau buta ke Limbat? Kau tidak lihat betapa mesra Kenchana dan Betara? Sudah pasti Punta sendiri pun menyedarinya dan akan kahwinkan Kenchana dengan Betara! Apa pun, Betara itu cucunya. Pastilah dia akan lebihkan cucunya itu!"
"Kalau Kenchana sendiri pun sudah sukakan Betara, maka itu hak dia. Jadi kau tidak boleh memaksa Kenchana untuk menerimamu Salak."
"Semuanya membela Betara.. Mentang-mentang dia itu cucu Punta Damar dan kononnya akan menjadi Punta seterusnya.. Padahal Betara sendiri anak luar nikah! Dia tiada ayah!"
"Celaka kau Salak! Rupanya kau menaruh dendam kepada Betara.
"Ya.. Aku bencikan Betara. Semua orang sukakan dia kerana dia anak Mastika, cucu Punta Damar!"
"Kau silap Salak.. Orang bukan sukakan Betara kerana dia cucu Punta tetapi kerana keperibadian dia sendiri."
"Keperibadian konon.. puiihh" Salak yang sudah bangkit berdiri meludah ke tanah.
"Kau lihatlah beza kau dengan Betara, Salak! Dia pernah menyelamatkan Kenchana dari menjadi mangsa pemburu.. Tapi kau? Kau pula yang ingin mengapa-apakan Kenchana yang sepatutnya kau lindungi!"
"Jangan cuba mengajar aku Limbat!" Salak menjerit kegeraman. Hatinya kini mula membara apabila Limbat membandingkan dirinya dengan Betara. Seraya itu juga Salak berlari, menerkam ke arah Limbat.
"Aku tidak akan membiarkan kau apa-apakan Kenchana!" Limbat membuka langkah bersiap siaga sambil memegang kemas kayu di tangannya. Apabila Salak semakin mendekat, Limbat terus menghayunkan kayu digenggamannya. Hayunan kayu yang kuat itu berjaya dielak oleh Salak. Pukulan pertamanya gagal, maka Limbat menghayunkan sekali lagi kayu di tangannya dari arah bertentangan dari pukulan pertama. Namun kaki Salak dengan cepat menendang tangan Limbat yang sedang menggenggam kayu tersebut.
Kayu digenggaman Limbat terlepas dan terlontar jauh. Sebuah tumbukan dari Salak pantas mengenai telinga kanan Limbat yang membuatkan Limbat terundur kebelakang beberapa langkah. Limbat segera menghunus parang dari pinggangnya. Bersedia untuk terus beradu dengan Salak yang dari dahulu merupakan sahabat baiknya.
"Kau bukan tandinganku Limbat. Lebih baik kau mengalah sebelum kau aku apa-apakan." Salak memberi amaran.
"Aku akan menghentikan kau dari berbuat salah Salak.. Sedarkah kau, kesalahanmu ke atas Kenchana sekarang sangat berat.. Lebih baik kau berhenti. Aku tidak ingin nanti kau dihukum Salak.. " Limbat terus mengingatkan sahabatnya itu.
"Kau pulanglah Limbat. Anggap sahaja ini semua tidak pernah berlaku.. Tinggalkan aku dengan Kenchana di sini."
"Kau masih tidak sedar Salak? Aku akan tetap pertahankan Kenchana dari di apa-apakan olehmu Salak!"
"Kalau begitu, kau adalah musuhku.. Aku akan menghabisi kau sekarang!" Salak semakin geram dengan Limbat. Amarahnya kini semakin memuncak. Kerana sudah membiarkan dirinya ditunggangi oleh nafsu, Salak kini sudah tidak memikirkan kesan dan akibat dari perbuatannya. Di fikirannya sekarang, dia cuma ingin menodai Kenchana dan sesiapa yang menghalanginya akan dia tamatkan riwayat mereka termasuklah sahabat baiknya sendiri, Limbat. Sebentar tadi dia sudah memberi pilihan kepada Limbat untuk tidak menghiraukan tindakannya kepada Kenchana tetapi sahabatnya itu tetap ingkar.
"Mampuslah kau Limbat!" Salak menjerit sambil menerpa ke arah Limbat.
"Aku rela mati demi mempertahankan Kenchana! Demi adat! Demi maruah! Demi Kaumku! Akan aku perangi pengkhianat sepertimu Salak!"
Maka pertarungan diantara mereka mula menjadi semakin sengit. Parang mereka beberapa kali saling bertemu dan menghasilkan percikan api. Tetakan demi tetakan dan tikaman demi tikaman, masing-masing berjaya mengelak dan menahan serangan lawan mereka. Beberapa tendangan dari Salak berjaya mengenai Limbat dan begitu juga sebaliknya. Limbat juga berjaya memberi beberapa tendangan kepada Salak. Sekian lama pertarungan berlangsung, kedua mereka sudah mula kelelahan.
Kenchana yang sudah lumpuh hanya mampu melihat sahaja pertarungan nyawa diantara dua sahabat dari Puak Saga tersebut. Fikiran Kenchana tiba-tiba terbayang saat dimana dua orang pemburu cuba mendekatinya dahulu. Hal yang sama berulang lagi. Ketika itu, Betara tiba-tiba muncul untuk menyelamatkannya. Tetapi kini, Limbat pula yang muncul untuk mempertahankan dirinya. Namun Limbat yang sedikit lebih gempal berbanding Salak dilihat lebih kelelahan. Walaupun pertarungan mereka masih setara, namun Salak terlihat lebih mendominasi perlawanan dengan gerakan yang lebih lincah dan pukulan dan tendangan yang lebih banyak mengenai lawannya. Kenchana yang tidak mampu menggerakkan walau sebatang jarinya mula memejam mata. Hatinya terdetik satu nama.
"Betara.. Tolong.."
"Arghhh!!" Jeritan suara Limbat kedengaran. Kenchana segera membuka matanya kembali. Sepertinya pertarungan sudah pun berakhir dan pemenangnya adalah Salak. Salak kelihatan sedang menikam perut Limbat berkali-kali dengan parang di tangannya. Darah tidak berhenti keluar memancut dari perut Limbat yang sudah terpecahkan. Salak memegang sebelah bahu Limbat untuk membuatkan Limbat tetap berdiri walaupun sudah terluka parah. Parang di tangan Limbat sudah pun jatuh ke tanah. Nyawa Limbat kini sudah hampir ke penghujungnya. Dengan mengukir sebuah senyuman, Salak segera menghayunkan mata parangnya ke arah leher Limbat. Darah yang memercik keluar dari tubuh badan Limbat membasahi seluruh wajah dan tubuh Salak. Tanah juga sudah bertukar warna menjadi merah akibat dipenuhi oleh darah yang mengalir. Akhirnya tubuh Limbat jatuh ke tanah dan menggelupur seperti haiwan yang disembelih.
Salak yang sudah dirasuki syaitan itu kemudian ketawa apabila melihat sahabat baiknya mati di tangannya sendiri. Hanya demi kerana menurutkan tuntutan nafsu serakahnya, Salak kehilangan akal warasnya dan sanggup mengambil nyawa manusia yang tidak bersalah. Tangannya menyeka darah Limbat yang membasahi tubuhnya. Salak kemudian mengambil beberapa helai daun dari ranting yang dipatahkannya dan dilumurkan ke seluruh wajah, badan dan lengannya untuk mengelap darah sahabatnya itu.
Tidak lama kemudian, Salak memandang ke arah jasad Limbat yang sudah tidak bernyawa di depannya. Dengan tanpa perasaan kemanusiaan, Salak menyepak mayat yang pernah menjadi sahabatnya. Air liur kemudian diludahi oleh Salak ke arah jasad Limbat dengan penuh rasa kebencian. Setelah itu, syaitan yang bertopengkan jasad manusia itu mengalihkan pandangannya kepada Kenchana yang masih terbaring kelumpuhan.
Air mata Kenchana bercucuran tidak dapat menahan kesedihan dan ketakutan apabila menyaksikan Limbat dibunuh oleh Salak sebentar tadi. Salak yang tersenyum mula menapakkan langkah kakinya menuju ke arah Kenchana. Hawa nafsunya semakin membara untuk menodai gadis yang sedang lumpuh di hadapannya.
Kecantikan Kenchana benar-benar sudah membuat Salak menjadi gila. Apatah lagi bau badan gadis itu yang semerbak wangi menambahkan gelora nafsunya yang dipacu oleh syaitan. Setelah berdiri di hadapan Kenchana, Salak segera menundukkan badannya dan menindih badan Kenchana yang sedang terbaring. Kenchana yang langsung tidak mampu menggerakkan tubuh badannya hanya memejamkan matanya apabila Salak merapatkan bibirnya ke leher gadis tersebut.
"Hari ini, kau akan menjadi milikku.. Kenchana.." Salak mencium pipi Kenchana dengan ganas sekali.
'Ahh..harum sekali bau tubuhmu.." Salak memejamkan matanya sambil menikmati aroma tubuh Kenchana.
Share this novel