46

Fantasy Completed 11833

Gunung Gayong

Setelah menempuhi perjalan yang jauh, pasukan yang diketuai Betara akhirnya tiba di Gunung Gayong yang bersebelahan dengan Gunung Korbu. Mereka telah sampai ke sebuah tapak perkampungan yang terlihat seperti sudah musnah dan ditinggalkan.  Melihatkan keadaan perkampungan tinggal itu, Betara dan yang lainnya yakin, di situ pernah menjadi perkampungan satu suku puak sebelumnya dan mungkin puak mereka sudah dibinasakan oleh Ratu Manikmaya suatu ketika dahulu.

Yang lebih anehnya, walaupun tapak bekas perkampungan itu sudah lama ditinggalkan dan tidak didiami, namun tumbuh-tumbuhan tidak tumbuh disekitar kawasan tersebut. Beberapa batang pohon besar juga mati mereput dan menjadi kehitaman, malah tanah pamah dikawasan sekitar juga turut menjadi hitam. Kejadian ini amat memelikkan sekali bagi mereka semua yang merupakan penghuni asli di hutan belantara.

"Kawasan ini sudah terkena sumpahan.." Betara memberikan pendapatnya. Pekan, Kenchana dan Mastika yang berada disebelah Betara hanya menatap kepada Betara selepas melihat kawasan sekitar. 

"Hati-hati semua.. Ini pasti kesan sihir dari Ratu Manikmaya.." Bikas pula menyampaikan pesannya kepada semua yang berada disitu. 

"Punta! lihat disana." Salah seorang lelaki bersuara memanggil Betara dan menunjukkan kearah puncak Gunung Korbu yang terlihat dari sana. Semua yang berada disitu menjadi terkejut apabila melihat puncak Gunung Korbu itu. Sekelilingnya terlihat hitam dan langsung tiada tumbuhan yang hidup disana. Hampir separuh Gunung Korbu itu menjadi hitam dari puncaknya. Yang ada hanyalah batu-batuan yang juga sudah menjadi hitam dan batang-batang pokok besar yang sudah mati yang turut sama menjadi warna hitam. Suasana yang amat menyeramkan bagi sesiapa sahaja yang melihatnya.

"Pasti disanalah si Ratu itu berada!" Betara menggumam geram. Tiba-tiba semua yang berada disitu merasa nyaman walaupun sedetik tadi perasaan mereka diselubungi rasa takut dan seram. Mereka yang berada disitu terkejut apabila menyedari satu cahaya putih yang bersinar disebelah Betara. Betara sendiri turut terkejut dengan silau cahaya disebelahnya itu. Rupa-rupanya cahaya itu datangnya dari badan Kenchana. Kenchana sedang memejam rapat matanya sambil kedua tapak tangannya dipertemukan. Kemudian Kenchana membengkokkan lututkan serta membongkokkan badannya ke arah tanah. Setelah menunduk ke bawah, Kenchana seraya meletakkan telapak tangannya sebelah kanan menyentuh ke tanah yang mati dan hitam disitu. 

Semua orang yang menyaksikan kejadian itu terpegun termasuklah Betara dan anaknya Pekan. Cuma dalam masa beberapa saat sahaja, tanah di kawasan tersebut kembali menjadi subur dan tumbuh-tumbuhan segera tumbuh dengan pantas. Pohon-pohon besar juga kembali hidup dan mengeluarkan daun yang lebat . Kenchana pun kembali bangkit berdiri dan tersenyum memandang ke arah Betara yang masih tergamam dengan kesaktian milik isterinya itu.

"Jadi, benarlah Kenchana yang merawatku ketika cedera melawan Sang Ukong kan?" Betara kini yakin dengan apa yang telah berlaku kepadanya ketika itu adalah perbuatan Kenchana.  Pada waktu itu, Betara tidak sempat menghabiskan pertanyaan kepada Kenchana kerana waspada pada serangan dari Sang Ukong. Dia juga tidak menyedari bantuan Kenchana kepadanya ketika itu kerana sedang meronta menahan kesakitan.

"Kenchana sudah boleh mengawal sedikit.. cuma masih tidak mampu untuk buka gerbang ke alam bunian dan bertukar menjadi haiwan macam orang bunian yang lain.."Kenchana tersipu-sipu untuk mengakui kemampuannya yang sudah dia belajar selama lima tahun kebelakangan ini.

"Daulat Punti Kenchana!" Sejurus kemudian, selain beberapa orang dari kaum bunian, Betara, Pekan dan Mastika, orang lain semuanya melututkan diri mereka ke bumi dan membongkokkan badan mereka kepada Kenchana. Mereka percaya Kenchana adalah Punti yang mempunyai daulat dan kesaktian luar biasa malah Puak Saga dari Bunut Naga sangat bangga dengan kemampuan Punti mereka itu.

Kaum bunian, Betara dan Pekan pula terpinga-pinga kerana tindakan semua orang di situ. Hanya Mastika yang pernah menyaksikan kejadian yang sama pada lima belas tahun dahulu dan sudah mengetahui tentang hal kesaktian Kenchana itu bersikap selamba walaupun sedikit terkejut tadi apabila melihat Kenchana mengeluarkan kesaktian buat kesekian kalinya secara tiba-tiba. Mastika kemudiannya memegang lengan Kenchana dengan lembut dan tersenyum kepada menantunya itu.

"Jadi selama ini kau sorokkan juga kebolehanmu dariku ya Kenchana." Suri pula menegur Kenchana sambil tersenyum.

"Bahkan Suri yang mengajarkan Kenchana untuk mengawal kuasa itu pun masih tidak tahu?" Betara menepuk dahinya apabila mengetahui hal tersebut. Kenchana pula hanya ketawa apabila dia berjaya melihat wajah terkejut mereka yang baru melihat kesaktian yang dia miliki. Selama berlatih, Kenchana sengaja menyembunyikan kemampuan yang dia sudah mampu kawal itu dari pengetahuan orang lain. Dari awal dia sudah merencanakan untuk mengejutkan semua orang apabila tiba waktunya untuk dia menggunakan kesaktiannya itu.

"Aku fikir ini adalah perkampungan terdekat dengan Gunung Korbu. Memandangkan disini sudah tiada penduduknya, Aku rasa disini adalah tempat terbaik untuk kita jadikan kubu pertahanan kita. Dengarkan aku baik-baik! Kita akan mulakan serangan kita dari sini. Para wanita dan pasukan perawat akan tinggal sahaja disini. Jangan mendekati Gunung Korbu sehingga kami kembali." Betara menguatkan suaranya agar didegari oleh semua orang. 

"Persiapkan senjata dan diri kalian masing-masing. Sebentar lagi kita akan menggempur Gunung Korbu dimana Ratu Manikmaya bersemayam!" Betara melanjutkan kata-katanya. Semua orang yang berada disitu menganggukkan kepala mereka sebagai memahami arahan pemimpin mereka itu. Beberapa orang mula membersihkan kawasan sekitar dan rumah-rumah yang sudah lama ditinggalkan di situ. Mereka akan menjadikan rumah-rumah tinggal itu sebagai tempat mereka beristirehat. Rumah-rumah yang mengalami kerosakan yang sedikit juga dibaik pulih semula. Mereka mengambil beberapa bahagian dari rumah yang sudah musnah teruk untuk digunakan bagi membaiki kerosakan rumah yang masih mampu dibaik pulih. Tidak lama kemudian, dua orang lelaki dari pasukan mereka mendatangi Betara.

"Punta, kami tadinya meninjau kawasan sekitar dan kami dapati ada dua ekor raksasa korbu sedang menuju ke sini, menghampiri kita." Lelaki itu menyampaikan laporan.

"Ayuh kita habisi mereka. Jangan sampai mereka berjaya melaporkan kehadiran kita kepada Ratu Manikmaya." Betara bergegas mengajak beberapa orang dikalangan mereka menuju ke arah yang dikatakan.

Terlihat dua ekor raksasa korbu sedang berjalan beriringan. Mereka sedang berjalan menuju ke arah perkampungan dimana ketumbukan Betara sedang berkumpul. Suara keriuhan dan pokok-pokok yang tiba-tiba tumbuh kembali dikawasan tersebut telah menarik perhatian raksasa korbu tersebut untuk pergi melakukan pemantauan. Dua raksasa yang terlihat gagah itu tidak menyedari gerak-geri mereka sedang diperhatikan oleh Betara dan beberapa orang yang bersamanya. 

Tiba-tiba beberapa anak panah menghujani dua ekor raksasa korbu tersebut. Baru sahaja terkejut dan kesakitan akibat tujahan anak panah yang tidak dijangkakan itu, kedua raksasa korbu yang ingin meraung itu tidak sempat lagi mengeluarkan suara mereka, malah kerongkongan mereka masing-masing sudahpun ditembusi oleh tombak yang dilancarkan oleh pasukan Betara. Tanpa berlengah, Betara dan beberapa orang lelaki muncul dari persembunyian mereka dan memberi tendangan keras kepada kedua ekor raksasa korbu tersebut sehingga mangsa mereka itu rebah ke bumi. Betara dan rakannya yang lain tidak mahu membuang masa segera menikam badan raksasa korbu itu beberapa kali sebelum melayangkan parang ditangan mereka ke arah leher raksasa korbu untuk disembelih. Maka selesailah tugas mereka untuk menghabisi dua ekor raksasa korbu itu tanpa sebarang masalah. 

"Jom kita bakar raksasa ini.. pasti sedap rasanya."  Salah seorang dari mereka memberi saran.

"Mereka itu aslinya kerbau. Cuma telah disumpah oleh Ratu Manikmaya. Makanlah makhluk sumpahan itu kalau kau mahu. Nanti dirimu pula yang akan dijangkiti sumpahan." Betara berseloroh sambil ketawa.

"Tidak mengapalah kalau begitu. Aku masih kenyang lagi." Mereka yang berada disitu ketawa bersama-sama. Di saat melawan para raksasa, pasukan pemburu itu masih mampu bergurau senda. 

"Ayuh kembali ke perkampungan sana.. kita perlu segera bergerak ke Gunung Korbu." Betara memberi arahan.

Setelah segala persiapan sudah selesai, Betara memecahkan pasukan mereka kepada empat pasukan utama. Keempat pasukan itu akan mengelilingi Gunung Korbu dari bawah dan menyerang puncak gunung tersebut dimana Ratu Manikmaya berada pada waktu yang sama dari setiap arah. Strategi pengepungan itu difikirkan cara terbaik oleh Betara bagi menggempur puncak Gunung Korbu memandangkan sebahagian gunung tersebut dari puncaknya, kawasannya sudah menjadi agak lapang dan kehitaman kerana sihir Ratu Manikmaya. Tiada satu tumbuhan pun yang hidup di puncak Gunung Korbu. Jika mereka datang menyerang dari satu arah, kehadiran mereka pasti akan terlihat lebih awal oleh pasukan raksasa korbu yang mengawal puncak gunung tersebut. Oleh kerana itu, serangan dari pelbagai arah perlu dilakukan agar musuh menjadi kelam-kabut kerana tidak menjangkakan kehadiran mereka.

Share this novel

DHIA AMIRA.
2024-02-18 09:40:24 

nex


NovelPlus Premium

The best ads free experience