Perkampungan Bunut Naga
LAPAN bulan berlalu selepas pertarungan Puak Saga dan raksasa korbu di Ulu Sepat. Suasana di Perkampungan Bunut Naga kelihatan damai namun masih diselubungi kedukaan kerana kehilangan Punta Betara. Kini Ruwai Damar terpaksa mengambil alih semula peranan sebagai pemimpin Puak Saga di perkampungan tersebut kerana ketiadaan Punta. Di sudut gazebo, kelihatan Ruwai Damar sedang bertafakur sendirian. Mastika pula berjalan menghampiri bapanya itu sambil membawa talam berisi buah-buahan dan air.
"Ayah, makan dulu.."
"Mastika.." Ruwai Damar membuka matanya yang sedari tadi terpejam.
"Ya Ayah.."
"Dimana Kenchana?"
"Entahlah.. Mas dari tadi di dapur. Tak nampak pula kelibat Kenchana. Mungkin dia pergi ke kuburan lagi."
"Hmm.. Jangan biarkan dia kemana-mana sendirian. Setidaknya biar ada pengiring yang bersamanya untuk menjaga keselamatan Kenchana."
"Baiklah."
"Mas.. sebaiknya kau sendiri yang bersamanya. Kenchana masih perlukan sokongan untuk menjaga emosinya. Tiada orang lain yang lebih sesuai dan memahami dia selain dirimu."
"Ya Ayah." Mastika patuh arahan dari bapanya itu.
"Jaka.. ke sini sebentar." Ruwai Damar memanggil seorang lelaki yang berdiri di hadapan gazebo.
"Ya Ruwai." Lelaki bernama Jaka itu segera menghampiri Ruwai Damar dan Mastika setelah dipanggil oleh pemimpin itu.
"Mulai sekarang aku tugaskan kau untuk menjaga Punti Kenchana. Ikut dia kemana saja dia pergi. Jangan sesekali tinggalkan dia bersendirian. Jaga keselamatan Punti sebagaimana menjaga nyawamu sendiri." Ruwai Damar memberi arahan.
"Baiklah Ruwai."
"Jika perlu, bawalah seorang lagi untuk bersamamu menjaga keselamatan Punti." Ruwai Damar melanjutkan percakapannya.
"Baik Ruwai. Aku akan menjaga Punti Kenchana dengan nyawaku sendiri sebagai taruhan."
"Apa pun yang terjadi, kita kena pastikan zuriat Punta Betara sentiasa dalam keadaan selamat. Lebih-lebih lagi Punti sekarang sudah sarat dan hampir bersalin." lanjut Ruwai Damar. Mastika dan Jaka mengangguk sebagai isyarat memahami dan setuju dengan pandangan Ruwai Damar tersebut.
TIDAK jauh dari belakang perkampungan, di kawasan tanah perkuburan, Kenchana sedang menatap sebuah pusara yang tidak berjasad. Sebuah pusara dibina di barisan perkuburan para punta Puak Saga yang terletak sedikit berasingan dengan kubur yang lain. Setelah gagal menemui jasad Betara setelah beberapa bulan misi pencarian dilakukan, Puak Saga berpendapat Punta mereka itu sudah mati dan mayatnya mungkin sudah hancur dibakar oleh Naga Purba atau mungkin juga dimakan oleh haiwan buas dihutan belantara.
Dengan saksi yang melihat keadaan Betara yang sudah parah dan nazak diperlakukan oleh Ratu Manikmaya dan raksasa korbu, ditambah dengan serangan membuta tuli dari Naga Purba Raya Dirgantara yang menyemburkan apinya, maka mustahil Punta Betara masih mampu untuk hidup. Ditambah lagi jasadnya tidak ditemui, maka semakin yakinlah mereka dengan kematian Punta Betara. Bahkan jika Punta mereka itu masih hidup, Dia pasti sudah pulang semula ke Perkampungan Bunut Naga. Setelah mencari dan menunggu selama beberapa bulan, akhirnya Ruwai Damar sendiri memutuskan untuk mengisytiharkan kematian Punta Betara. Sebuah pusara tanpa jasad dibina oleh mereka sebagai tanda peringatan kepada Punta Betara.
Sejak dari itu, Kenchana setiap hari akan ke pusara tidak berjasad itu untuk meratapi kehilangan suaminya. Namun dalam kesedihan Kenchana itu, terselit juga rasa gembira setelah mengetahui Kenchana sudahpun mengandungkan anak dari benih Punta Betara. Usia perkahwinan mereka yang cuma berusia seminggu itu tidak sia-sia kerana Kenchana bakal melahirkan bakal Punta yang dibawa didalam rahimnya itu. Di hadapan pusara tidak berjasad itu, Kenchana yang berwajah muram menatap makam yang dianggap milik Betara sambil menitiskan air matanya.
"Sayang.. Kenchana rindu untuk melihat wajahmu." Kenchana berbicara sambil memegang batu yang menjadi tanda kuburan suaminya.
"Kenapa tinggalkan Kenchana sendirian begini.. kenapa?" Kenchana tidak dapat menahan kesedihan sehingga merebahkan badannya dan memeluk pusara peringatan untuk Betara itu. Tangisannya teresak-esak dan sungguh memilukan. Seketika kemudian, esakan tangisannya mereda. Kenchana mengusap-usap pusara itu dengan tangannya.
"Sayang.. Kenchana berjanji akan menjaga zuriatmu ini dengan sebaik mungkin. Semoga saja anak kita ini akan menjadi Punta yang gagah dan berani seperti ayahnya." Bibir Kenchana mengukir senyuman yang beriringan dengan air mata yang masih mencurah dan menitik ke tanah kubur itu. Kenchana seperti orang yang tidak waras apabila sentiasa bercakap sendirian malah emosi serta tingkah lakunya yang sentiasa akan berubah-ubah dalam sekelip mata.
"Benarkah kau sudah mati? Dimana dirimu sebenarnya, sayang? Kembalilah kepadaku Betara.." Tangisan Kenchana kembali kencang. Tangan kananya menggenggam tanah di pusara tersebut. Badannya yang tertiarap ke tanah, turun naik menahan sedu sedan tangisan. Begitulah rutin Kenchana setiap hari. Dia banyak menghabiskan masanya di tanah perkuburan tersebut sambil bercakap sendirian. Terkadang dia menangis, terkadang pula tersenyum dan tertawa. Segala perasaannya diluahkan pada pusara tidak berjasad tersebut.
"Kenchana..." Tiba-tiba Mastika muncul dan memegang bahu Kenchana yang sedang menangis teresak-esak.
"Ibu..?" Kenchana memalingkan mukanya, melihat keberadaan Mastika dibelakangnya itu.
"Sudahlah Kenchana.. pasrahlah dengan takdir. Tiada gunanya kau terus menangis begini. Kau menangis air mata darah sekalipun, Betara tidak akan kembali." Mastika cuba memujuk menantunya itu.
"Tapi.. kita tidak tahu jika Betara benar-benar sudah mati. Mungkin saja dia masih hidup." Kenchana masih berharap.
"Kalau dia masih hidup, sepatutnya dia sudah pulang kembali sayang. Sekarang sudah lapan bulan lamanya..." Giliran Mastika pula yang menitiskan air mata. Mana mungkin seorang ibu tidak merasa sedih setelah kehilangan anak tunggalnya. Ditambah pula terpaksa melihat keadaan menantunya yang terlihat seperti orang sasau, kepiluan hati Mastika tidak tertahankan.
Mastika dan Kenchana saling berpelukan menahan kesedihan yang sama. Betara adalah lelaki yang paling disayangi dalam hidup mereka berdua dan kini lelaki itu telah pergi selamanya dari mereka. Walaupun masing-masing menangis tetapi Mastika yang lebih tabah dan matang mampu mengawal tangisannya, tidak teresak kencang seperti Kenchana. Keadaan itu berlangsung selama beberapa minit. Jaka yang berdiri berhampiran mereka cuma memerhati ibu mertua dan menantu itu menangis sambil menahan sebaknya. Jaka sendiri turut merasa sedih kerana kehilangan Punta Betara, namun lelaki yang ditugaskan mengawasi keselamatan Puntinya itu masih mampu menahan sebaknya.
Setelah beberapa ketika, mereka sudah mulai tenang dan mampu mengawal perasaan. Kenchana dan Mastika duduk bersebelahan di atas batang pokok sebesar satu pemeluk yang sudah tumbang di pinggir tanah perkuburan tersebut. Jaka pula berdiri beberapa puluh kaki, tidak jauh dari mereka. Jaka tahu tanggungjawabnya hanya untuk memastikan keselamatan Kenchana tapi dia tidak akan terlalu dekat untuk mendengar perbualan Kenchana bersama Mastika.
"Kenchana, jaga dirimu baik-baik nak. Kamu sekarang berbadan dua, menanggung zuriat dari Betara. Anak itu nanti yang akan menjadi pemimpin puak kita." Mastika memegang lembut tangan Kenchana. Setelah diam seketika, Kenchana baru mula bersuara.
"Ibu, jika anak ini nanti perempuan bagaimana? Bolehkah dia menjadi Punta?" Kenchana meluahkan persoalan yang bermain difikirannya.
"Hmm.. kalau ikutkan adat, jika punta tiada anak lelaki, maka suami anak perempuan itulah yang akan menjadi punta. Kemudian anak lelaki mereka pula yang akan menggantikan ayahnya. Sama seperti Betara. Cuma Betara yang tiada ayah, terus menggantikan datuknya."
"Kenchana tahu ibu akan sedih dan tidak mahu menjawab tentang ayah Betara. Tapi maafkan Kenchana.. Kenapa Ibu tidak berkahwin lagi dengan lelaki lain? Bukankah nanti Ibu akan dapat melahirkan anak lelaki lagi untuk menjadi Punta?" Kenchana terus meluahkan persoalan yang bermain difikirannya. Mastika tertawa kecil mendengar apabila pertanyaan dan saranan Kenchana itu. Kemudian Mastika diam seketika sambil merenung ke tanah.
"Apakah Kenchana akan berkahwin lagi?" Mastika menyoal kembali tanpa menjawab soalan Kenchana terlebih dahulu.
"Tidak. Hati Kenchana hanya untuk Betara seorang saja." Kenchana menggelengkan kepalanya.
"Hmm..jadi kerana itu juga Ibu tidak kahwin lagi? Kerana masih cintakan ayah Betara?" Kenchana melanjutkan bicaranya. Mastika menarik tangan Kenchana yang dipegang dan diletakkan di atas pahanya dan tangannya yang sebelah lagi menepuk-nepuk lembut tangan Kenchana itu sambil bibirnya mengukir senyuman hambar.
"Tidak.. bukan begitu.." Ringkas jawapan Mastika.
"Jadi kerana sebab lain?"
"Iya sayang.. Ibu tak boleh berkahwin dengan sesiapa pun.. "
"Kenapa Ibu?"
"Sebenarnya... Ibu.. Ibu sudah menjadi.. korban persembahan.." Suara Mastika tersekat-sekat untuk menjawab.
"Korban persembahan?" Kenchana semakin bingung dengan penjelasan Mastika.
"Nantilah Ibu ceritakan lain kali."
"Tapi..." Kenchana menjadi penasaran.
"Korban persembahan adalah pengorbanan yang dilakukan untuk menyelamatkan kampung. Mengikut adat, korban akan diserahkan kepada semangat gunung untuk tenangkan kemarahan para dewa dengan menggunakan darah korban persembahan.. Tapi ibu terselamat setelah menjadi korban.. Jadi.. ibu yang sudah di korbankan ini adalah milik semangat gunung.. Ibu tidak boleh berkahwin atau menjadi milik sesiapa lagi..." Mastika mulai menitiskan air mata lagi selepas memberi penjelasan yang panjang.
Kenchana yang tidak sanggup melihat Ibu mertuanya itu terus menangis segera memeluk Mastika. Kini kekesalan menerjah ke hatinya. Sungguh kesal dengan dirinya yang terlalu ingin tahu sehingga membuat ibu mertuanya kembali menangis. Sungguh dia tidak menyangka, kehidupan Mastika juga sungguh mencabar dan memilukan. Kenchana merasakan kesukaran hidupnya yang selama ini bersendirian dari kecil itu tidak setanding dengan kerasnya ujian yang dilalui oleh Mastika. Sebelum ini Kenchana langsung tidak mengetahui pengorbanan yang dihadapi oleh Mastika demi puak mereka dengan mempertaruhkan nyawa dan seluruh kehidupannya.
Tidak lama kemudian, waktu senja pun hampir tiba. Matahari kelihatan mulai terbenam di ufuk barat. Kenchana bangkit berdiri, mengangkat punggungnya dari batang kayu yang tumbang itu. Mastika kemudiannya turut sama berdiri dan diperhatikan oleh Jaka yang setia membatu sejak dari tadi. Kenchana menggerakkan langkah kakinya menuju ke arah tebing jurang di puncak gunung chamah tersebut. Mastika dan Jaka pula masih berdiri ditempat mereka sambil memerhatikan Kenchana. Sambil menikmati pemandangan indah matahari terbenam dari puncak gunung itu, Kenchana memegang perutnya yang sudahpun sarat dan membesar.
"Betara.. benihmu di kandungan Kenchana ini akan menjadi bukti dan kenangan cinta kita. Sungguh.. Aku sayang padamu.." Kenchana tersenyum lebar. Matanya bercahaya menatap langit merah yang sedang mengiringi mentari yang sudah separuh ditelan bumi. Angin senja pula meniupkan rambut panjang gadis itu sehingga beralun-alun berterbangan.
Di hujung pinggir tanah perkuburan itu, tanpa mereka sedar, di celahan semak samun dan pepohon hutan, ada sepasang mata sedang memerhatikan mereka. Yang sedang memerhatikan mereka itu adalah Suri, rusa putih yang selama ini menemani Kenchana sejak dari kecil. Namun, rusa itu sudah jarang bersama Kenchana sejak Kenchana bergabung bersama Puak Saga di Perkampungan Bunut Naga. Walaupun begitu, rusa putih itu masih setia memerhatikan Kenchana dari celah-celah semak belukar disekitar permukiman Puak Saga itu.
Share this novel