Bab 14

Fantasy Completed 11833

SURI mengangguk-anggukan kepalanya. Kenchana dengan senang hati menggosok kepala rusa berwarna putih itu. Mastika di sebelahnya hanya memerhatikan tindakan Kenchana. Tidak lama kemudian, Betara dan beberapa orang dari pasukan pemburu melintasi mereka. Betara dan pasukan pemburu baru ingin keluar melaksanakan tugas mereka pada hari tersebut.

"Ibu, Betara berangkat dulu." Betara menyapa Mastika sambil berjalan melalui kawasan tersebut.

"Ya. Jaga dirimu baik-baik." Mastika memberi pesanan kepada anak lelakinya itu.

"Itu bakul untuk apa? Ibu nak cari apa?" Betara menunjukkan ke arah bakul tanpa isi yang dibimbit oleh Mastika.

"Ibu hendak cari cendawan hari ini."

"Wah, sedapnya.. Baiklah, hari ini Betara akan pulang awal untuk makan cendawan." 

"Hmm..iyalah." Mastika tersenyum dengan karenah anaknya.

"Ayuh, kita bergerak cepat. Nanti kita pulang awal." Betara memberi arahan kepada kumpulannya.

"Hati-hati Betara." Kenchana sedikit menguatkan suaranya apabila melihat Betara mula melajukan langkah kakinya meninggalkan mereka. Betara segera memalingkan mukanya memandang ke arah Kenchana yang sedang membelai rusa putih. Betara hanya tersenyum lebar apabila memandang gadis itu sebelum mengalihkan semula pandangannya ke hadapan dan meneruskan perjalanannya.

"Ibu ingin mencari cendawan?" Kenchana mula menyoal Mastika.

"Ya.. Ibu nak masakkan cendawan kegemaran Betara hari ini."

"Kegemaran Betara?" Kenchana berbisik kepada dirinya sendiri.

"Dimana ibu nak cari cendawan tu?" Kenchana seolah berminat untuk memetik cendawan bersama ibu angkatnya itu.

" Tidak jauh. Di depan sana sahaja.." Mastika menunjukkan ke satu arah di hutan tersebut.

"Ayuhlah kita pergi. Kenchana pun mahu tolong ibu." Kenchana mendekati Mastika dan menuntun tangan ibu angkatnya itu menuju ke arah yang ditunjukkan oleh Mastika sebentar tadi. Mastika hanya mengikut kehendak Kenchana tanpa sebarang pertanyaan.

"Ayuh Suri.. kita mencari cendawan." Kenchana turut mengajak Suri. Rusa putih itu kemudiannya mengangguk dan mengangkat rendah kaki depannya sebelum mula berjalan mengikuti Kenchana dan Mastika. 

Setelah berjalan agak jauh dari perkampungan, Mastika menunjukkan kepada Kenchana gugusan cendawan yang tumbuh di atas tanah. Mereka kini sudah tiba di kawasan yang dimaksudkan oleh Mastika.

"Nah.. itulah cendawan yang ibu nak petik hari ini." 

"Wah, banyaknya cendawan di sini." Kenchana begitu teruja apabila melihat kawasan sekitar itu dipenuhi cendawan yang tumbuh secara bertompokan. Mastika mula merendahkan badannya dan memetik beberapa ketul cendawan sebelum dimasukkan kedalam bakul yang dibimbitnya. Kenchana yang melihat tindakan Mastika itu segera meniru cara ibu angkatnya itu. Cendawan ditarik perlahan-lahan dari tanah. 

"Tengok ni.." Kenchana menunjukkan hasil cendawan pertama yang dikutipnya kepada Mastika dan Suri. Mastika tersenyum memandang Kenchana yang sedang gembira. Suri juga menginjak-injak kakinya ke tanah, menandakan dia sedang meraikan kegembiraan Kenchana.

"Kita kutip semua cendawan ini ibu?" 

"Ya, ambillah semuanya.. Bukannya banyak ni kalau sudah di masak. Nanti cendawan-cendawan tu akan tumbuh kembali. Tapi pastikan Kenchana buat begini apabila mengambil cendawan." Mastika mengetuk-ngetuk cendawan yang dipetiknya beberapa kali ke tanah.

"Kenapa perlu buat begitu?"

"Supaya benih yang ada di cendawan ini jatuh kembali ke tanah. Benih tu nanti akan tumbuh kembali menjadi cendawan yang baru." Mastika memberi penerangan.

"Oh, baiklah ibu." Kenchana segera memahami kata-kata Mastika. Tangannya terus memetik cendawan berikutnya dengan penuh keseronokan. Beberapa cendawan yang dipegang di tangannya di masukkan pula ke dalam bakul yang dibawa oleh Mastika. 

Setelah mengutip semua cendawan yang tumbuh di sekitar kawasan tersebut, Kenchana melihat ke arah bakul yang sudah terisi dengan cendawan yang dikutipnya bersama Mastika. Walaupun sudah dikutip semua cendawan yang ada, isi di dalam bakul tersebut tidak mencecah separuh bahagian pun. Kenchana sedikit kecewa apabila melihat hasil kutipannya. Dia membayangkan untuk mengutip cendawan sehingga memenuhi bakul tersebut.

"Ini sahaja ibu? sedikit betul. Mana cukup untuk dimakan oleh semua orang." 

"Kan tadi Ibu sudah bagitahu.. Semua cendawan tu sedikit sahaja.. Ini kalau dimasak nanti, akan jadi lebih sedikit. Cendawannya akan kecut apabila dimasak." Mastika memberi penjelasan.

"Sudahlah, dah habis semua pun kita kutip. Ayuh kita pulang." Mastika ingin mencapai bakul yang diletakkan di atas tanah, namun Kenchana lebih pantas mencapai bakul tersebut. 

"Biar Kenchana aja yang bawa." 

Mastika hanya menguntumkan senyuman seraya memegang tangan Kenchana. Mastika pun memimpin Kenchana untuk bergerak kembali menuju ke Perkampungan Bunut Naga. Suri yang berdiri disitu juga mula mengikuti jejak langkah mereka. 

"Hmm..Betara benar-benar sukakan malai bunga yang Kenchana berikan kepadanya." Mastika membuka bicara tentang anak lelakinya kepada Kenchana.

"Be..betul ke ibu?" Kenchana menjadi girang dan sangat gembira.

"Ya.. malam tadi dia asyik melihat malai bunga itu dan memuji Kenchana."

"Puji Kenchana?"

"Katanya, Kenchana pandai hasilkan malai bunga yang cantik, padahal baru sahaja belajar."

"Apalagi katanya?" Kenchana semakin ingin tahu.

"Tiada.. Betara kurang bercakap. Tapi dia cuma memuji malai bunga itu cantik dan Kenchana pandai menggubahnya." Mastika melihat ke arah Kenchana yang cuma diam setelah mendengar kata-katanya itu. Kenchana cuma mengetap bibir bawahnya sambil tersenyum kelat.

"Dia juga ada kata, Kenchana mengingatkan dirinya kepada Kirana.." Mastika masih memandang ke arah Kenchana. Mendengar kata-kata Mastika, Kenchana seakan tersentak dan segera memandang wajah ibu angkatnya itu.

"Kenapa begitu?" Kenchana mula merasakan debaran di dadanya. Mastika pula mengukir senyuman sambil menatap Kenchana.

"Hati itu sukar untuk dikawal.. Cinta dan Perasaan untuk berkasih sayang itu satu anugerah terindah kepada orang yang terpilih. Jika sudah mendapat anugerah itu, pergunakanlah sebaiknya. Jangan sia-siakan." Mastika mengucapkan kata-kata yang membingungkan Kenchana. Kenchana mula menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Ibu angkatnya itu sering mengucapkan kalimat yang sukar untuk dimengertikan. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya. Oleh itu, Kenchana memutuskan untuk tidak meneruskan pembicaraannya. Mastika yang sedar Kenchana sedang kebingungan itu cuma menepuk tangan Kenchana yang sedang dituntun olehnya.

Setelah sampai di muka perkampungan Bunut Naga, Suri yang mengekori Kenchana dan Mastika akhirnya menghentikan langkah kakinya. Kenchana segera berpaling ke arah rusa putih yang menemaninya sejak dari tadi. Suri hanya mengangkat kedua kaki depannya dan mengarahkan kepalanya ke arah hutan. Kemudian rusa itu terus berlari menuju ke arah hutan.

"Jaga diri.. Hati-hati ya Suri." Kenchana sempat menjerit kepada rusa albino tersebut, namun Suri yang sudah memulakan langkah lariannya sudah tidak berpaling ke arah Kenchana dan hanya meneruskan lariannya menuju ke arah hutan.

"Kemana pula Suri pergi?" Mastika tertanya-tanya.

"Mungkin dia pergi mencari makan tu ibu.. Biarkan aja dia.." Kenchana dan Mastika meneruskan langkahan mereka memasuki pekarangan perkampungan Bunut Naga.

Setelah memasuki pekarangan perkampungan, mereka kini berjalan di hadapan gazebo. Mastika mengalihkan pandangannya ke arah gazebo dan melihat bapanya ada sedang duduk di sana. Mastika lantas menghentikan langkah kakinya dan Kenchana turut berhenti mengikuti perbuatan Mastika.

"Ibu ingin berjumpa Punta dahulu.. Kenchana pergilah simpan cendawan ini dahulu di rumah ibu. Letakkan saja di atas meja." 

"Baiklah ibu.." 

Mastika segera berjalan menuju ke arah gazebo dan melangkah kakinya memijak lantai tempat tersebut untuk menemui Punta Damar yang sedang duduk di sana. Manakala Kenchana pula menyambung perjalanannya menuju ke arah rumah Mastika yang bersebelahan dengan rumahnya. Sedang sahaja Kenchana menghampiri rumah kediaman Mastika, Salak yang muncul secara tiba-tiba menegur Kenchana.

"Apa yang kau bawakan itu Kenchana?" 

"Oh, tadi aku mengutip cendawan dengan ibu.." Kenchana menunjukkan cendawan yang terisi di dalam bakul bimbitannya.

"Wah, cendawan ini sedap." 

"Aku tidak pernah memakannya. Nanti aku akan cuba." 

"Tapi sebanyak ini sahaja yang kau dapat?" 

"Ya.. sudah tiada lagi cendawan disana. Semua sudah ku ambil tapi cuma dapat sebanyak ini sahaja." 

"Aku tahu dimana adanya cendawan ini dengan jumlah yang sangat banyak."

"Benarkah?" Dimana?" Kenchana mula teruja apabila mendengar kata-kata Salak.

"Ada di sebelah sana.. Kalau petik cendawan disitu, aku yakin bakulmu ini akan diisi dengan penuh."

"Bolehkah kau membawaku ke sana Salak?" Kenchana masih tidak puas dengan hasil cendawannya tadi. Dia ingin mengutip lebih banyak lagi cendawan lebih-lebih lagi apabila dia mengetahui cendawan itu adalah makanan kegemaran Betara. Di fikirannya, Kenchana ingin Betara gembira dengan memakan cendawan hasil yang dipetik olehnya.

"Malas lah aku.." Salak langsung menolak permintaan Kenchana.

"Tolonglah aku Salak.. Tunjukkan aku tempatnya." Kenchana masih cuba memujuk. Setelah diam seketika, Salak akhirnya menghembuskan satu nafas kasar.

"Hmm..baiklah.." Salak terpaksa bersetuju dengan permintaan Kenchana memandangkan gadis itu sudah seakan memaksa.

"Kalau begitu, kau tunggu sebentar. Aku ingin meletakkan cendawan ini dahulu. Nanti aku ambilkan bakul yang lain untuk dibawa." 

"Ya lah.. cepatlah sikit." Salak sekali lagi menghela nafas keluhan. Wajahnya terpamer riak kepasrahan yang terpaksa.

Kenchana segera membuka pintu rumah Mastika dan meletakkan bakul yang berisi cendawan di atas meja. Gadis itu kemudiannya terus keluar dari situ dan menutup semula pintu. Kenchana bergegas pula menuju ke arah kediamannya yang bersebelahan dengan rumah ibu angkatnya itu. Setelah masuk ke dalam rumahnya, seketika kemudian Kenchana keluar kembali dengan membawa bakul kosong di tangannya. Setelah pintu rumahnya ditutup, Kenchana segera mengajak Salak menuju ke tempat yang diperkatakan lelaki tersebut. Kenchana yang berjalan beriringan dengan Salak semakin menjauh dari pekarangan perkampungan Bunut Naga. Di belakang mereka, terlihat kelibat seorang lelaki yang berdiri di luar pekarangan perkampungan sambil memerhatikan mereka berdua. Lelaki itu adalah Limbat, teman kepada Salak. Matanya terus menatap Salak dan Kenchana yang semakin jauh berjalan meninggalkan perkampungan untuk mencari cendawan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience