Ulu SepatÂ
PUAK Saga dari seluruh perkampungan berkumpul kembali di tempat yang menjadi medan pertempuran besar mereka pada lima belas tahun dahulu. Beberapa orang dari kaum bunian turut bersama mereka untuk menghadapi Ratu Manikmaya. Jika dahulu misi mereka adalah untuk menyekat kemaraan Ratu Manikmaya dari menyerang Perkampungan Bunut Naga, tetapi sekarang mereka kembali berkumpul untuk menggempur sarang Ratu Manikmaya di Gunung Korbu habis-habisan serta menyelamatkan anak perempuan Punta Betara.Â
Betara yakin dalam masa lima belas tahun ini, Ratu Manikmaya telah mengumpulkan bala tentera yang lebih ramai berbanding dahulu. Oleh kerana itu, dia berusaha untuk mengumpulkan lebih ramai sekutu dalam menghadapi pertempuran kali ini. Dalam pertempuran kali ini, mereka juga membawa bersama beberapa orang wanita yang akan bertugas sebagai perawat selepas pertempuran dimulai nanti memandangkan jarak yang akan mereka tempuh sekarang sangat jauh dari perkampungan mereka.Â
"Perjalanan kita kali ini agak panjang. Jadi di pertengahan jalan, kita akan mengajak semua puak yang ada untuk bergabung bersama kita demi menghapuskan Ratu Manikmaya dan pasukan raksasanya. Sekarang kita bergerak dahulu menuju ke Gunung Bieh ,Gunung Gerah dan Gunung Bilah. Kemudian kita terus ke Gunung Kuar dan seterusnya Gunung Yong Yap. Di sana, sudah menjadi daerah naungan Ratu Manikmaya. " Betara menyampaikan rancangannya kepada seluruh orang yang berkumpul di sana.Â
"Untuk mempercepatkan pergerakan kita, Aku sarankan kita berpecah kepada tiga kelompok. Satunya bergerak ke Gunung Bieh, satu lagi ke Gunung Gerah dan kelompok satu lagi ke Gunung Bilah. Ajak semua puak yang kalian temui disana untuk bersama kita.. Nanti teruskan perjalanan kalian dan kita akan berkumpul kembali di Gunung Kuar. Kita akan satukan semua puak yang ada diseluruh banjaran pergunungan ini menjadi satu bangsa yang besar. Banjaran pergunungan ini adalah milik kita! Menjadi titian kepada seluruh bangsa kita semua untuk bergerak bebas! Menjadi titi untuk kita mencari makan! Bukan untuk Ratu Manikmaya bedebah itu! Ayuh semua.. Kita bergerak di atas banjaran titiwangsa kita ini dan bebaskan titian kita dari Ratu Sihir itu!!" Kata-kata Betara yang penuh bersemangat menyuntik keberanian dan semangat juang setiap orang.
"Merdekakan banjaran titian wangsa kita!" Jerit salah seorang dari mereka. Semua yang berada disitu pun terus mengangkat tangan mereka sambil bersorak dengan suara yang kuat.
Seketika kemudian, Betara membahagikan mereka kepada tiga kumpulan setelah perbincangan diadakan. Masing-masing kumpulan diberi arah tujuan mereka tersendiri sepertimana yang diperkatakan awal oleh Betara sebelum ini. Misi mereka sekarang adalah mengumpulkan seramai mungkin seluruh puak yang ada di banjaran pergunungan tersebut sebelum mereka bertemu kembali untuk penggempuran Gunung Korbu dimulakan. Selepas pembahagian kumpulan, mereka pun mula bergerak bersama sebelum nantinya akan berpecah ke destinasi masing-masing yang telah dipersetujui.
Gunung Bilah
SETELAH setengah hari perjalanan, pasukan yang diketuai oleh Betara akhirnya mendatangi perkampungan satu puak yang bergelar Puak Paroi. Melihatkan ketumbukan yang lebih dari seratus orang mendatangi mereka, penduduk Puak Paroi disitu agak terkejut dan kegerunan. Keriuhan mula bergelora di dalam kawasan perkampungan. Ketumbukan Puak Saga hanya menunggu penduduk dari perkampungan tersebut dipinggiran perkampungan. Hanya Betara dan Bikas sahaja yang memasuki perkarangan kampung untuk menyampaikan hajat kedatangan mereka ke sana. Sungguhpun Betara tidak mempunyai niat buruk dan hanya ingin meminta untuk bergabung, namun sambutan Puak Paroi disitu agak dingin menyambut kehadiran Betara. Beberapa orang lelaki terlihat mengiringi seorang lelaki yang lebih berusia menuju ke arah Betara yang mendatangi kampung mereka.
"Hajat apa kalian mendatangi kami?" Tok Batin Puak Paroi yang bernama Sentul menginginkan jawapan kepada kedatangan Puak Saga ke perkampungan mereka.Â
"Aku adalah Punta Betara dari Puak Saga. Kami dari Gunung Chamah datang kemari cuma ingin mengajak kalian untuk bergabung bersama kami memerangi Ratu Manikmaya." Betara berterus-terang.Â
"Ratu Manikmaya? Ratu penguasa di Gunung Korbu itu?"Â
"Ya.. Kami ingin menggempur Ratu Manikmaya di Gunung Korbu.. Apa kalian akan bersama kami?"
"Aku dengar, bala tenteranya dari pasukan raksasa berkepala kerbau.. Apa kalian sengaja ingin menempah maut dengan menentangnya?"
"Anakku telah di bawa lari olehnya.. Mahu atau tidak, kami akan tetap menentang dia. Setahuku, Ratu Manikmaya sudah menakluk sehingga ke Gunung Yong Yap.. jika terus dibiarkan, tak mustahil dia akan melanjutkan penaklukannya sehingga ke sini.. Apa kalian ingin puak kalian dibinasakan atau menjadi hamba kepadanya?"Â
Mendengar kata-kata Betara itu, Tok Batin Puak Paroi itu terdiam. Apa yang diperkatakan oleh Betara itu ada benarnya. Sehingga sekarang, penduduk asli dari pergunungan Yong Belar sehingga Gunung Yong Yap sudah dikuasai oleh Ratu Manikmaya dan menjadi hambanya. Malahan ada puak yang menerima nasib lebih buruk apabila dihapuskan terus oleh Ratu Manikmaya sehingga tidak mensisakan seorang bayi pun bagi puak yang menentang dirinya. Jika Puak Paroi tidak mengambil langkah awal dengan bergabung dengan Puak Saga pimpinan Betara sekarang, tidak mustahil suatu hari nanti Puak Paroi akan menerima nasib yang sama dengan penduduk di Yong Belar dan yang lainnya. Jika melawan sendirian, tiada satu puak pun yang pernah mengalahkan Ratu Manikmaya. Tetapi Tok Batin itu masih meragui kemampuan Puak Saga pimpinan Betara itu mampu mengalahkan Ratu Manikmaya. Jika mereka bergabung sekalipun, apakah jaminan bahawa pasukan gabungan mereka nanti akan berjaya mengalahkan Ratu Manikmaya yang di sokong oleh para raksasa itu. Jika gabungan mereka kalah, maka perjuangan mereka nanti adalah sia-sia dan ibarat membunuh diri atau mati katak sahaja.
"Apakah kau yakin akan berjaya memerangi Ratu Manikmaya?"
"Kerana itu kami perlukan kalian untuk memperkuatkan lagi pasukan. Jika cuma kami, itu sememangnya mustahil.."
"Bergurau apakah ini? cuma dengan seramai ini kalian ingin melawan para raksasa?"Â
"Pasukan kami masih ada yang lain.. Ini cuma sebahagian.. Kami terpaksa pecahkan dulu pasukan kami untuk mengumpulkan orang dari puak lain seperti kalian.." Betara cuba meyakinkan Tok Batin Sentul.
"Hmm.. Baiklah.. kami akan bergabung dengan kalian tapi dengan satu syarat.."Â
"Syarat? Apakah syaratnya?"
"Berikan seorang pahlawan terkuat dari kalian untuk berlawan dengan salah seorang pahlawan kami. Jika pihak kalian menang, kami akan bergabung bersama kalian.. Aku ingin lihat bukti kekuatan kalian dahulu. Sejauh mana kekuatan kalian yang mahu mencabar ratu raksasa korbu itu.." Tok Batin Sentul sepertinya memperkecilkan kebolehan pahlawan Puak Saga.
"Baiklah. Aku terima syaratnya. Aku akan jadi wakil dari puak ku. Keluarkanlah pahlawan terkuatmu." Betara menyahut cabaran.
"Tapi Punta.. Kau itu pemimpin kami. Biar aku saja yang berlawan." Bikas cuba menawarkan dirinya.
"Diam Bikas. Aku mahu perlawanan ini ditamatkan secepat mungkin." Betara bersuara keras. Bikas langsung terdiam apabila mendengar nada keras dari Betara itu. Jarang sekali Betara bernada seperti itu. Bikas segera menyedari betapa serius Betara disaat ini. Dia segera patuh dengan mendiamkan diri.
"Baiklah. Kalau begitu kau akan ku beri lawan dengan pahlawan terhadal kami iaitu anakku, Jelai." Tok Batin Sentul ingin perlawanan dimulai.
Jelai, pahlawan dari Puak Paroi pun memunculkan diri dihadapan Betara. Orang lain disekeliling mereka segera berundur beberapa langkah bagi memberi ruang untuk dua orang pahlawan itu memulakan pencak mereka. Jelai yang mempunyai ketinggian sedikit melebihi Betara itu tersenyum sinis memandang ke arah lawannya. Seketika kemudian, satu layangan kaki dilakukan oleh Jelai bagi memulakan pertarungan. Betara cuma menggerakkan badannya sedikit kebelakang untuk mengelakkan serangan mudah tersebut seraya melakukan satu tendangan balas ke arah lawannya. Tendangan Betara berjaya juga ditepis oleh Jelai menggunakan tangannya.
Jelai yang tidak menunggu lama terus melakukan satu lompatan ke arah Betara sambil tangannya melayangkan satu tumbukan ke arah leher Betara. Tumbukan itu juga mampu ditepis oleh Betara dan Betara membalas kembali satu tumbukan sauk menuju ke dagu Jelai. Jelai cuba menggelakkan serangan Betara itu dan dia bernasib baik apabila tumbukan itu tersasar tetapi masih juga mengenai pipinya. Namun malang bagi Jelai apabila tangan yang melakukan tumbukan itu berada dibelakang kepalanya dan Betara terus mengambil peluang untuk memaut leher Jelai dari belakang dan menarik kepala lawannya itu. Satu tendangan menggunakan lutut dari Betara tepat mengenai perut Jelai. Dalam masa yang sama, Jelai juga sempat melepaskan satu tumbukan dan mengenai dada Betara. Kedua mereka masing-masing terundur ke belakang selepas menerima serangan lawan.Â
Jelai yang menanggung kesakitan yang lebih teruk itu mula hilang kesabaran dan menerpa kembali ke arah Betara dengan melakukan tendangan dengan melompat. Betara yang dapat melihat kelemahan lawannya yang terdedah itu memberanikan diri menerpa kembali dan memasukkan lengannya ke kelangkang Jelai. Betara menggunakan kekuatan sebelah lengannya untuk mengangkat Jelai lebih tinggi sebelum menghempaskan lawannya itu ke tanah. Serangan mematikan itu membuatkan Jelai mengalami kesakitan sehingga tidak mampu untuk meneruskan lagi perlawanan mereka. Betara membuat satu lagi tendangan ke arah muka Jelai namun menghentikan kakinya dari mengenai muka lawannya itu. Tapak kaki Betara hanya berjarak beberapa inci dari muka pahlawan Puak Paroi itu. Betara kemudiannya melepaskan kaki Jelai yang masih berada ditangannya setelah menyedari lawannya itu sudah tidak mampu meneruskan perlawanan.
Akhirnya perlawanan mereka cuma tamat dalam masa beberapa saat sahaja dengan Betara menguasai perlawanan penuh bergaya. Betara kemudian membongkokkan badannya, menghulurkan tangan kepada Jelai yang sedang berbaring menahan kesakitan. Jelai juga menghulurkan tangannya dan Betara segera mencapai tangan Jelai itu dan menarik tangan lawannya itu untuk membantu Jelai berdiri semula. Betara menggosok-gosok belakang badan Jelai untuk mengurangkan kesakitan anak Tok Batin itu sebelum melihat ke arah Tok Batin sambil tersenyum.
"Baiklah.. Kalau begitu kami akan bersama kalian menyerang Gunung Korbu.." Tok Batin Sentul bersuara perlahan. Seakan kecewa dengan kekalahan mudah anaknya kepada Betara. Padahal anaknya itu adalah pahlawan terhandal puak mereka. Namun perkiraannya, anaknya itu melakukan sedikit kesilapan langkah dalam perlawanan tadi sehingga Betara berjaya mengambil kesempatan dan mudah mengalahkannya. Walaupun agak tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan dan berniat untuk melanjutkan lagi perlawanan lain, namun Tok Batin Sentul sedar dia harus berpegang pada janjinya tadi dan tidak menambah syarat baru kepada Betara.
"Sediakan makanan untuk para tetamu kita.. Hari ini sudah semakin gelap.. Kalian bermalamlah di sini. Pagi esok kita akan bergerak.." Tok Batin Sentul memberi arahan.
"Tidak usah kalian bersusah payah untuk kami. Bukan hajat kami untuk menyusahkan kalian di sini.. Kami akan bermalam disekitar ini saja.." Betara berdiplomasi dengan merendahkan diri.
"Mulai saat ini, kalian adalah sekutu kami dan sebahagian dari kami.. Mana mungkin kami akan membiarkan keluarga kami tidur tidak berbumbung di kawasan kami.." Pemimpin Puak Paroi itu terlihat seperti sudah menyukai Betara dan mulai bersikap lunak terhadapnya. Betara hanya tersenyum sebagai menyambut baik pelawaan Tok Batin Sentul.
Share this novel
jgn mudah putus asa ...truskan plahan2 ... syg bab dh byk ... no wonderlah ...so keep it up
best bca xsedar dh byk bab ...dek ralit ... ptg2 xde apa nk buat
klu rajin cuba follow mitch rock di fb dia pun pnulis fantasi jugak