Perkampungan Bunut Naga
BADAN Kenchana terenjut-enjut ketika melangkah. Kakinya di atur setapak demi setapak, melangkah perlahan sambil ditemani Mastika disampingnya. Mereka melintasi beberapa orang lelaki yang sedang berbual. Mata Kenchana pula asyik memerhatikan beberapa orang kanak-kanak yang sedang bermain dengan girang. Kenchana hanya tersenyum memandang sekumpulan kanak-kanak tersebut. Betapa gembiranya kanak-kanak itu semua. Berbeza sekali dengan Kenchana di zaman dia membesar seperti mereka. Entah kenapa, kegembiraan kanak-kanak itu turut dirasakan oleh Kenchana.
Mastika tiba-tiba memegang lengan Kenchana. Sekarang mereka menghentikan langkah kaki mereka di hadapan sebuah gazebo. Dihujung pentas gazebo tersebut, terlihat seorang lelaki yang sedang duduk membelakangi mereka. Rambutnya mencecah bahu dan pakaiannya berbeza berbanding orang lain di permukiman tersebut. Pakaiannya bukan dari dedaun kering tetapi dari terbuat dari kulit haiwan. Malah badannya juga turut tertutup dengan pakaian, tidak seperti lelaki lain.
Mata Kenchana tepat memandang ke arah sosok tersebut. Ingatannya kembali ke waktu dia hampir pengsan. Tidak salah lagi, itulah sosok tubuh yang berdiri di hadapannya waktu itu.
"Betara.." Suara lembut Mastika memanggil nama anak lelakinya.
"Ya ibu.." Betara memalingkan wajah dan badannya apabila dipanggil oleh ibunya. Betara lantas berdiri dan berjalan menghampiri Mastika sambil matanya menatap Kenchana yang berdiri disisi ibunya itu. Tatapan mata Betara dan Kenchana saling bertemu, kemudian mereka saling menundukkan pandangan masing-masing apabila menyedari pandangan mereka saling bertatapan. Perasaan malu tiba-tiba menerjah ke hati Kenchana. Inilah kali pertama dia bertatapan mata dengan lelaki. Jantungnya mula berdebar kencang. Tanpa disangka, wajah putihnya itu berubah menjadi kemerahan.
"Kamu sudah sedar ya.." Betara menegur Kenchana dengan sopan. Kenchana hanya mengangguk tetapi matanya masih segan untuk menatap lelaki di hadapannya itu.
"Namanya Kenchana. Syukurlah Betara dah selamatkan dia dan bawa dia ke sini." Mastika memperkenalkan Kenchana kepada Betara.
"Terima kasih kerana dah selamatkan Kenchana." Kenchana tidak lupa untuk menyampaikan hasratnya kepada lelaki yang sudah menyelamatkannya itu. Matanya masih memandang lantai.
"Kamu sakit? kenapa wajahmu kemerahan?" Betara menjadi pelik dengan perubahan pada wajah Kenchana.
"Eh.. tidak.. Kenchana baik-baik saja.. cuma kaki sahaja yang masih sakit." Kenchana tiba-tiba panik dan menggelengkan kepalanya.
Mastika yang berdiri disamping Kenchana memerhatikan tingkah gadis muda tersebut. Dia menyedari gadis tersebut pasti sangat pemalu apatah lagi dia selama ini membesar seorang diri. Pastilah Kenchana kekok dan tidak pernah bertemu dengan orang lelaki. Ibu itu hanya tersenyum. Telapak tangannya ditemukan dengan telapak tangan Kenchana dan jari jemarinya memaut dicelah-celah jari Kenchana sementara tangannya sebelah lagi menggosok-gosok lengan kenchana. Mastika tahu Kenchana gugup dan cuba menenangkan anak gadis tersebut.
"Kakinya masih bengkak?" Betara menyoal lagi sambil matanya memandang ke arah kaki Kenchana yang berbalut dengan daun.
"Rasanya sudah elok. cuma masih lagi terasa sakit." Kenchana menjawab sambil masih tersipu.
"Kalau begitu, rehatlah dulu disini. Nanti Aku hantarkan kamu kembali ke perkampunganmu setelah pulih."
"Kenchana akan tinggal disini saja mulai sekarang. Sekarang dia akan menjadi sebahagian dari kita." Mastika memberi penjelasan.
"Eh.. Tapi bagaimana..." Betara terkejut dengan penjelasan ibunya. Dia ingin bertanya dengan lebih lanjut mengenai keputusan ibunya itu tetapi belum sempat dia bertanya, Ibunya terus menyanggah.
"Dah.. nanti Ibu beritahu kisahnya. Mulai sekarang Kenchana sudah menjadi anak angkat Ibu dan akan tinggal disini." Mastika mematikan kata-kata.
"Terserah aja Ibu. Kalau itu baik untuk Ibu dan baik untuk Kenchana, Betara ikutkan saja." Betara patuh dengan kehendak ibunya itu.
"Tapi macam mana dengan datuk? Ibu dah bagitau datuk?" Sambung betara lagi.
"Nantilah Ibu bagitau datuk." Mastika membalas pertanyaan anaknya.
"Betara hendak pergi berjumpa datuk sebentar."
"Ya, pergilah. Tapi jangan bagitahu lagi tentang hal ini kepada datuk. Biar Ibu sendiri yang bagitau." Mastika memberi pesanan kepada Betara. Dia tidak mahu orang tuanya itu salah faham jika mendengar hal Kenchana dari orang lain. Adalah lebih baik dirinya sendiri yang menyampaikan kehendaknya itu kepada ayahnya.
Betara pun mula berjalan meninggalkan Kenchana dan Ibunya dengan sebuah senyuman kepada gadis yang baru dikenalinya itu. Kenchana pula masih tersipu-sipu kemaluan. Hujung matanya mencuri pandang ke arah Betara. Degupan jantungnya masih berdebar laju. Dia tidak tahu kenapa dirinya akan merasakan seperti itu. Setelah Betara meninggalkan mereka beberapa puluh langkah, Kenchana memalingkan mukanya untuk melihat sosok tubuh lelaki yang pernah menyelamatkannya itu. Mastika pula hanya memerhatikan tingkah laku Kenchana itu sambil tersenyum simpul. Fikirnya, anak lelakinya itu telah menarik minat gadis muda tersebut.
"Betara itu.. kenapa penampilannya lain dari orang lain? Adakah dia ketua disini?" Kenchana mula bertanya kepada Mastika tentang anak lelaki wanita itu.
"Lebih kurang begitulah. Sekarang dia kepala pasukan pemburu. Penghulu di Perkampungan Bunut Naga ini adalah datuknya. Nanti Betaralah yang akan menggantikan datuknya suatu hari nanti."
"Oh, begitu. Bagaimana dengan ayahnya?"
Tiba-tiba sahaja wajah Mastika berubah, sepertinya soalan dari Kenchana itu mengejutkannya. Mastika hanya terdiam. Seketika kemudian, air mata mula bergenang dimatanya. Mastika bergerak ke arah gazebo perlahan-lahan dan duduk disitu. Kenchana yang melihat perubahan ibu angkatnya itu terpinga-pinga. Dia yakin pertanyaan tadi sudah memberi kejutan dan membuka luka lama dihati Mastika. Lalu Kenchana menghampiri Mastika dengan langkah yang terenjutnya.
"Ibu.. Kenchana minta maaf kalau pertanyaan Kenchana itu menyakiti hati Ibu. Kalau hal itu menyakitkan, tak perlulah Ibu jelaskan."
Mastika menyeka air matanya. Bibirnya kembali mengukir senyuman dan beberapa kali menggelengkan kepalanya. Walaupun hatinya sebentar tadi terluka, tapi dia tidak menyalahkan Kenchana yang tidak tahu apa-apa. Kenchana pula hanya merenung jauh menatap wajah Mastika. Dia yakin ayah Betara iaitu suami Mastika sudah tiada. Kejadian itu pasti berat untuk Mastika terima. Kenchana cuba memahami perasaan kehilangan itu, sepertimana dirinya kehilangan ibu tercintanya suatu masa dahulu.
"Tak perlu Kenchana minta maaf. Kenchana tak berbuat salah apa pun. Tentang ayahnya Betara, nantilah Ibu ceritakan." Mastika yang masih terduduk di lantai gazebo sedikit mendongakkan kepalanya, menatap ke arah Kenchana yang berdiri di hadapannya. Mata wanita itu masih berkaca walaupun senyuman sudah terukir di wajahnya.
"Oh, ya.. Kenchana nak berjumpa dengan Suri dulu. Mungkinkah dia masih ada di sekitar ini?" Kenchana mengubah topik perbualan. Dia tidak ingin suasana canggung itu berlanjutan lagi. Tambahan lagi, dia sememangnya memikirkan keadaan rusa albino itu sejak tersedar dari pengsan tadi. Mata Kenchana mula memandang-mandang ke seluruh kawasan sekitar, cuba mencari-cari kelibat rusa putih tersebut.
"Entahlah. Mungkin dia masih berada di sekitar kawasan ini. marilah kita mencarinya." Mastika bangkit dari duduknya. Tangannya memegang lengan Kenchana, cuba memimpin gadis muda itu untuk berjalan ke kawasan sekitar. Mereka kemudian berjalan seiringan, menuju ke hujung perkampungan tersebut yang dikelilingi hutan.
Setelah berjalan beberapa puluh meter, mereka pun tiba di hujung perkampungan. Kenchana dan Mastika memandang-mandang ke kawasan hutan, mencari kelibat rusa putih.
"Suri.. dimana kau Suri???" Kenchana melaungkan nama yang diberikan kepada rusa putih tersebut. Nama itu diulang beberapa kali sambil mata Kenchana melilau ke sekeliling kawasan hutan tersebut. Seketika kemudian, telinga Kenchana dan Mastika menangkap bunyi derapan kaki yang berlari dan memijak daun-daun kering. Bunyi derapan kaki itu semakin lama, semakin jelas menghampiri mereka. Dari celahan pokok, muncul seekor rusa putih yang mula memperlahankan langkah lariannya. Rusa putih tersebut berjalan menuju ke arah Kenchana.
"Suri!!!" Kenchana menjerit menyebut nama rusa kesayangannya itu. Alangkah gembiranya Kenchana dapat melihat Suri masih sihat dan selamat dari pemburu. Mastika pula hanya menatap Kenchana dan rusa putih yang baru muncul itu berselang-seli. Apabila rusa putih itu menghampiri mereka, rusa tersebut menghulurkan kepalanya kepada Kenchana. Kenchana secara spontan terus menggosok-gosok kepala haiwan albino tersebut.
"Kau tidak apa-apa Suri?"
Suri si rusa putih hanya mengangguk-anggukkan kepalanya seperti dia memahami kata-kata Kenchana. Mastika hanya memerhatikan Kenchana dan Suri. Hatinya tertanya-tanya, bagaimanakah Kenchana menemui Suri dan berteman dengan haiwan langka tersebut. Untuk menemui rusa langka berwarna putih di dalam hutan tebal itu bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi untuk berteman dengan mereka. Siapakah sebenarnya Kenchana itu. Malah pakaiannya sahaja sudah menunjukkan suatu keanehan. Pakaian sebegitu bukanlah pakaian lazim bagi penduduk di hutan belantara.
"Ibu, inilah Suri.. Suri ini adalah ibu angkatku. Mulai sekarang Aku akan tinggal disini bersama ibu." Kenchana saling memperkenalkan Mastika dan Suri. Suri dan Mastika saling bertatapan mata. Rusa itu merenung lama ke arah Mastika.
"Aku tahu kau orang baik. Tolong jaga Kenchana dengan sebaik mungkin." Satu suara terdengar sedang berbisik di cuping telinga Mastika. Wanita itu terkejut alang-kepalang.
"Kau..kau..apakah kau yang bercakap denganku?" Mastika menyoal Suri. Kenchana pula terpinga-pinga mendengar persoalan Mastika tersebut. Hanya dia yang bercakap dari tadi tapi kenapa Ibu angkatnya itu menyoal si rusa yang tak mampu bercakap.
"Aku bercakap dengan mu dari batin. Kenchana tidak mampu mendengar kata-kataku sekarang." Suara itu terdengar membisik lagi kepada Mastika. Mastika terlopong mulutnya. Tiada lagi kata-kata yang mampu dia ucapkan. Hal ini sungguh diluar kebiasaan. Dia mendengar dengan jelas suara itu. Bagaimana pula Kenchana tidak mendengarnya? Apakah maksudnya bercakap dari batin? Mastika benar-benar tidak percaya situasi sekarang.
"Tolong jaga Kenchana. Aku juga akan tetap bersama kalian disini untuk memastikan keselamatannya." sambung suara itu lagi. Mastika mulai percaya, itu adalah suara rusa putih di hadapannya sekarang. Dia mengangguk kepada Suri sebagai tanda memahami permintaan rusa itu. Mastika tidak ingin bersuara lagi kerana tidak mahu Kenchana menjadi pelik jika dia bercakap seorang diri.
"Nanti suatu hari, jika ada yang ingin menyakiti Kenchana, Aku harap kalian akan bantu dan mempertahankan Kenchana. Bolehkah Kau berjanji padaku?" Suara Suri terngiang lagi ditelinga Mastika. Mastika mula tertanya-tanya, akan ada orang yang ingin menyakiti Kenchana? Siapa dan kenapa Kenchana ingin disakiti? Kerana tak mampu bercakap dengan Suri, Mastika mengangkat tangannya dan menggosok-gosok kepala Suri.
"Baiklah." Mastika hanya mengucapkan sepatah perkataan sebagai balasan dari pertanyaan Suri itu. Kenchana pula semakin pelik dengan ulah Ibu angkatnya itu.
Mastika hanya tersenyum kepada Kenchana sambil tangannya masih menggosok kepala Suri. Dalam fikirannya sekarang mulai tertanya, Siapa Kenchana sebenarnya. Bagaimana rusa putih itu mengatakan akan ada yang akan menyakiti Kenchana. Siapa orang itu? Sedangkan Kenchana memberitahunya, seumur hidupnya dia hanya mengenali ibunya yang sudah meninggal dan Suri si rusa putih itu sahaja.
Share this novel