49

Fantasy Completed 12090

Akhirnya pasukan raksasa korbu telah dihapuskan sepenuhnya oleh Betara. Ratu Manikmaya yang cuba menyelamatkan diri juga tidak berjaya apabila sang ratu itu dimakan pula oleh Ulong, Si Naga Purba Raya Dirgantara. Riwayat sang ratu yang kejam itu berakhir dengan menjadi santapan kepada naga yang dia sangat bencikan sejak sekian lama dahulu.

Pada waktu itu juga, Kenchana dan Mastika tiba-tiba turut muncul di medan pertempuran itu. Mereka tergamam apabila melihat Betara yang sudah dipenuhi sisik diseluruh badannya dan api membuar-buar menyala dari seluruh tubuh badan lelaki itu. Di hadapan Betara pula terlihat Ulong yang sudah berubah wujudnya kepada bentuk manusia selepas dia menelan Ratu Manikmaya sebentar tadi. Naga Purba Raya Dirgantara itu hanya tersenyum memandang Betara yang sudah hilang kendali terhadap dirinya sendiri.

“Bagus anakku.. Kau semakin mencapai kekuatan sebenarmu! Hahaha.” Ulong tertawa melihat perubahan Betara. Betara pula terus menyerang Ulong secara membabi buta. Namun setiap serangan dari Betara berjaya dielak dengan mudah oleh sang naga lagenda itu.

“Betara! Cukup, hentikan nak!” Mastika menjerit memanggil anak lelakinya itu. Namun Betara yang sudah kehilangan kesedarannya langsung tidak mempedulikan segala panggilan kepadanya. Sekarang dia cuma fokus untuk menyerang Ulong yang berada di depannya sahaja. Naga Purba Raya itu pula terlihat masih tertawa tidak berhenti sambil mengelak serangan dari Betara. Setelah beberapa kali mengelak, akhirnya Ulong melepaskan satu tendangan kepada Betara dan mengakibatkan anaknya itu tercampak jauh dan berguling-guling di tanah. Betara yang segera bangkit berdiri terus meluru kembali ke arah Ulong untuk meneruskan serangannya. Untuk kesekian kalinya serangan Betara masih gagal mengenai satu pun tubuh badan mangsanya. Serangan bertali arus dari Betara hanya terus d elak oleh Ulong sambil ketawa.

“Kau perlu mengawal kemarahanmu nak! Kemarahan adalah sumber kekuatan, tetapi kau harus belajar bagaimana untuk mengawalnya. Jangan terus biarkan kemarahan yang mengawal dirimu.” Ulong sempat menyampaikan kata-katanya kepada Betara yang sudah hilang kewarasannya itu sambil mengelak-elak serangan dari anak lelakinya.

‘Baiklah, cukup setakat ini sahaja.” Ulong merasakan masa untuk dia melayan Betara yang sedang mengamuk sudah mencapai batas waktunya. Sekarang dia memilih untuk menamatkan dengan segera serangan bertali arus dari Betara itu. Tikaman dari Betara berjaya di elak oleh Ulong dan seraya Naga Purba itu menempis dan menahan tangan Betara yang sedang menggenggam kemas hulu Keris Taming Gemala Naga. Satu tumbukan pula dilepaskan oleh Ulong, tepat mengenai perut Betara sehingga menyebabkan Betara memuntahkan darah.Tangan yang melepaskan tumbukan itu ditarik semula oleh Ulong dan seterusnya tangannya itu menepuk kepala Betara dengan kuat sebelum mencengkam pula kepala anaknya itu. Cengkaman Ulong di kepalanya menyebabkan Betara mulai melemah dan tertunduk menatap bumi. Api yang menyelubungi seluruh badan Betara mulai mengecil dan berkurangan. Terlihat sepertinya Ulong sedang menyedut dan memakan api dari tubuh Betara tersebut.

“Hahhh!!” Ulong kemudiannya menyergah dengan kuat seraya menolak kepala Betara sehingga pemimpin Puak Saga itu tercampak ke belakang dan terus pengsan. Api dan sisik pada tubuhnya terus menghilang perlahan-lahan dan Keris Taming Gemala Naga juga mula terlepas dari genggaman tangan Betara.

Tidak jauh dari Ulong yang masih berdiri gagah itu, Kenchana pula sedang berlari ke arah Pekan yang baru dia temui. Kenchana menangis kencang apabila melihat keadaan anak lelakinya itu. Kepala dan dadanya pecah manakala matanya terbeliak luas. Darah hangat penuh membasahi muka dan tubuh Pekan.

“Pekan.. Bangun nak.. Ibu ada di sini.. Bangunlah Pekan..” Kenchana memegang lengan Pekan yang sudah tidak bernyawa itu. Terketar-ketar tangannya apabila melihat keadaan Pekan. Hancur luluh hati seorang ibu setelah melihat kesan perbuatan sadis ke atas anaknya.

“Ibu akan pulihkan.. Ibu pulihkan Pekan..” Kenchana melihat tangannya yang sudah dipenuhi darah Pekan masih terketar-ketar. Kemudian Kenchana menarik nafas yang dalam untuk menenangkan dirinya. Sejurus kemudian cahaya putih mula keluar dari badan Kenchana. Kenchana berencana untuk memulihkan keadaan Pekan yang teruk itu. Beberapa detik kemudian, langsung tiada perubahan pada diri Pekan yang sudah tidak bernafas itu. Melihat tiada perubahan yang berlaku, Kenchana sekali lagi mengulangi perawatan kepada jasad anaknya itu. Percubaan Kenchana masih gagal.

Mastika yang berada dibelakang Kenchana hanya berdiri kaku melihat tindakan menantunya itu. Selepas tiga kali percubaan Kenchana gagal, wanita itu mula meraung dengan kuat sambil memeluk jasad anaknya yang sudah terkulai itu. Kali ini cahaya dari badan Kenchana bersinar lebih kuat dan menyilaukan mata. Tanah pamah yang kehitaman dikawasan tersebut mulai menjadi subur kembali dan bumi mula bergegar bahkan gegaran kali ini lebih kuat berbanding peristiwa yang berlaku pada lima belas tahun dahulu. Semua orang yang berada di Gunung Korbu memejamkan mata mereka kerana tidak tahan dengan silau cahaya yang merebak ke serata alam. Rumput-rumput dan tumbuhan menjalar mula tumbuh kembali di kawasan tersebut. Tunas-tunas pokok juga mula muncul dari tanah dan terus membesar dengan cepat. Kini kawasan gersang yang kehitaman kerana sihir Ratu Manikmaya mula menjadi subur dan kehijauan kembali.

Disebabkan kehabisan tenaga, Kenchana akhirnya pengsan sambil memeluk jasad Pekan. Mastika yang berdiri dibelakang Kenchana mula membuka mata dan terkejut apabila melihat perubahan pada diri cucunya yang tadi sudah tidak bernyawa. Segala luka di badan cucunya itu kelihatan sudah hilang sama sekali malah yang lebih mengejutkan Mastika adalah perubahan pada diri Pekan. Kulit Pekan terlihat berubah menjadi seperti kulit pokok yang kasar dan menggerutu. Dada Pekan juga terlihat bergerak-gerak, berombak naik dan turun seperti kelelahan bernafas walaupun anak muda itu masih tidak sedarkan diri.

“Kesaktian apakah ini?” Ulong yang baru mencelikkan matanya melihat ke arah Kenchana yang sudah pengsan. Naga Purba Raya itu sungguh terkejut apabila melihat kawasan puncak gunung yang tadinya kegersangan kehitaman kini sudah menjadi hijau dipenuhi dengan pelbagai jenis tumbuhan. Pohon-pohon besar juga boleh tumbuh dalam sekelip mata. Ulong kemudiannya berjalan mendekati Mastika yang sudahpun memangku Kenchana yang pengsan di ribanya. Manakala Betara pula sudah mula sedarkan diri. Orang lain yang berdiri agak jauh dari situ kerana lari dari Betara yang mengamuk tadi masih tidak berani mendekatkan diri. Mereka cuma memerhatikan perilaku  Punta Betara dan anak beranaknya itu dari kejauhan. Betara mulai bangkit berdiri perlahan-lahan dan memerhatikan Ulong yang mendekati ibunya yang sedang memangku Kenchana.

“Sekarang, kau ikutlah denganku..” Ulong mula berbicara kepada Mastika. Mastika hanya memandang ke arah Ulong yang berdiri dihadapannya tanpa berkata sepatah perkataan pun. Mastika meletakkan Kenchana yang diribanya perlahan-lahan ke tanah sebelum bangkit berdiri. Kemudian Mastika mengalihkan pandangannya kepada Betara.

“Betara, jagalah Kenchana dan Pekan.. Ibu harus pergi sekarang.” 

Betara kemudian mengambil kerisnya dan menyarungkan kembali Keris Taming Gemala Naga itu  ke sarung yang tersisip dipinggangnya. Dia terus berjalan menuju ke arah Mastika sambil mengerlingkan pandangannya kepada Ulong yang berdiri disamping ibunya. Mastika kemudiannya meletakkan tapak tangannya ke dada bidang milik Naga Purba Raya itu dengan lembut.

“Aku adalah milikmu.. Bawalah aku kemana saja bersamamu..”  

Ulong tersenyum apabila mendengar ucapan Mastika itu. Dia lantas merangkul pinggang Mastika dan memeluk erat wanita itu didakapannya. Betara yang baru mendekati ibu dan ayahnya itu hanya diam membisu melihat orang tuanya berpelukan. Betara tahu, kini ibunya akan pergi meninggalkan mereka untuk hidup bersama dengan ayahnya itu. Dia sedar, dirinya tidak akan mampu menghalang pemergian ibunya. Ibunya adalah milik Naga Purba Raya Dirgantara setelah menjadi korban persembahan kepada naga tersebut. Malah ibunya sendiri sudah membuat keputusan untuk mengikuti ayahnya itu, maka Betara tiada hak untuk menghalang.

"Jaga dirimu dan anak isterimu baik-baik. Ibu sayang kalian semua." Mastika menitiskan air mata apabila mengucapkan kata-kata terakhirnya kepada Betara.

"Jaga diri ibu juga." Betara sekadar tersenyum hambar. Matanya berselang seli melirik ke arah wajah Mastika dan Ulong.

"Ingat anakku.. Kemarahan itu sumber kekuatan. Tapi belajarlah mengawal kemarahanmu. Jangan biarkan kemarahan yang mengawalmu." Ulong mengulangi nasihatnya tadi kepada Betara. Naga Purba Raya itu tahu tadi Betara tidak mendengarkan kata-katanya kerana hilang kesedaran akibat kemarahan. Jadi dia mengulangi nasihatnya itu kepada Betara yang sudah waras sekarang. Betara yang mendengar kata-kata ayahnya itu terpempan. Dia tidak tahu bagaimana untuk membalas kata-kata tersebut.

Ulong yang tidak mahu membuang masa terus berlari ke arah jurang sambil membawa Mastika yang dipeluknya dengan erat. Tanpa teragak-agak, Ulong melompat dari tebing yang tinggi di puncak gunung tersebut dan mula jatuh ke bawah jurang. Betara agak terkejut dan hampir menjerit melihat perbuatan Ulong itu namun belum sempat Betara bersuara, tiba-tiba seekor naga muncul dari jurang tersebut dan terbang melepasi tebing sambil memegang Mastika pada kakinya.

Semua orang termasuk Betara hanya menyaksikan dengan bisu pemergian ibunya bersama Naga Purba Raya Dirgantara yang terbang semakin menjauh di atas langit dan menghilang di celahan awan yang tinggi. Beberapa detik kemudian, Betara kembali melihat ke arah Kenchana yang tidak sedarkan diri dan anak mereka, Pekan yang kulitnya sudah berubah seolah menjadi kulit pokok. 

“Pekan…” Betara bersuara perlahan menyebut nama anak lelakinya itu. Dia baru sedar anak lelakinya itu sudah berubah fizikalnya. Anaknya yang tadi sudah mati akibat diserang raksasa korbu terlihat bernafas kembali tanpa sebarang kecederaan. Seketika kemudian Betara tersentak setelah mengingati sesuatu.

“Melur! Di mana Melur?” Betara baru teringat akan anak kembarnya yang satu lagi. Tadinya Melur berada disamping Ratu Manikmaya yang telah menculiknya. Tetapi sekarang Betara tidak melihat kelibat anak perempuannya itu. Betara sendiri tidak tahu, tadi dirinya sendiri yang hampir membunuh anak perempuannya itu. Namun yang bermain di fikirannya sekarang, dimanakah Melur?

Share this novel

DHIA AMIRA.
2024-02-19 18:51:11 

btw fantasi ni mmg mknn awak

DHIA AMIRA.
2024-02-19 18:50:39 

bab naga terbg tu spontan terimagine

DHIA AMIRA.
2024-02-19 18:50:08 

nexxx


NovelPlus Premium

The best ads free experience