Perkampungan Bunut Naga
BIKAS memasuki pekarangan perkampungan dengan memangku Betara yang tidak sedarkan diri. Langkah kakinya terlihat longlai namun digagahi jua demi menyelamatkan nyawa Betara dan menyampaikan berita yang berlaku sebentar tadi kepada penduduk di perkampungan. Warga penduduk menjadi riuh apabila melihat keadaan Bikas yang sedang membawa Betara di pangkuannya itu. Beberapa orang lelaki segera mengambil alih tugas Bikas dengan memangku Betara. Betara segera dibawa ke gazebo dan diletakkan disitu. Bikas juga duduk untuk menghilangkan lelah dan menenangkan dirinya. Semua orang yang melihat kepulangan Bikas itu segera berkerumun di depan gazebo.
"Punta.. panggil Punta.." terdengar suara dari salah seorang lelaki.
"Dukun.. bawa dukun cepat! Betara dalam bahaya!" terdengar suara yang lain pula.
"Betara!!" Tiba-tiba Mastika muncul dicelah kerumunan dan segera menghampiri Betara yang terbaring tidak sedarkan diri itu.
"Kenapa Betara? Apa yang sudah terjadi? Bikas.. Apa dah terjadi dengan Betara?" Mastika memeluk anak lelakinya yang pengsan sambil meminta penjelasan dari Bikas. Air mata seorang ibu sudah tidak dapat dibendung lagi dari takungan ruang matanya apabila melihat keadaan anak tunggalnya itu. Perasaan Mastika sungguh cemas dan ketenangan yang selama ini terpamer pada diri Mastika sudah hilang tatkala ini.
"Betara! Kenapa? Apa yang terjadi?" Giliran Kenchana pula yang bertanya setelah tiba-tiba muncul. Kenchana yang tidak dapat menahan diri, dengan kalut segera naik ke anjung gazebo dan duduk di bahagian kepala Betara, bersebelahan Mastika. Kenchana menyapu rambut panjang Betara yang menutupi wajah lelaki tersebut. Kenchana yang tidak dapat menahan sebaknya segera melepaskan aliran air jernih dari matanya apabila melihat muka Betara penuh berlumuran darah. Tersedu sedan Kenchana yang tidak mampu menenangkan dirinya.
"Beri laluan kepada Punta!" terdengar suara jeritan seorang lelaki. Kemudian Punta Damar pula muncul di situ dan berjalan mendekati Betara dan Bikas.
"Apa yang sudah berlaku Bikas?" Punta Damar bersuara tenang.
"Kami diserang.." Bikas menjawab ringkas. Dari tadi dia mendapat soalan yang sama dari beberapa orang. Namun dia masih tidak memberikan sebarang kata. Kini keadaannya sudah semakin tenang dan Bikas sudah mampu menjawab soalan dari Punta Damar.
"Siapa yang menyerang? Berapa ramai mereka? Sampai mampu menjadikan Betara sebegini rupa." Punta Damar seolah geram. Fikirnya ada puak yang telah mengisytiharkan perang dengan puak Saga.
"Raksasa.. kami diserang oleh raksasa..."
"Raksasa? Naga Purba?"
"Bukan.. dua ekor raksasa yang aneh. Berbadan seperti manusia tapi berkepala kerbau." Suasana menjadi riuh. Penjelasan Bikas seolah tidak masuk akal. Namun Kenchana yang mendengar penjelasan Bikas itu segera berubah riak wajahnya. Kenchana memegang tangan Mastika yang duduk di sebelahnya. Pegangan tangannya digoncangkan beberapa kali sehingga membuatkan Mastika memandang ke arah Kenchana.
"Itu..Itulah Makhluk yang Kenchana nampak semalam."Kenchana terjerit.
Mata Mastika yang masih digenangi air mata itu tiba-tiba terbeliak. Ingatannya kembali kepada kisah Kenchana semalam. Namun mimpi Kenchana itu dia cuma anggap sekadar mimpi permainan tidur semata. Langsung tidak menyangka mimpi anak angkatnya itu menjadi kenyataan. Kenchana kemudian menangis dengan lebih kencang dan menundukkan kepalanya. Perlahan-lahan kepala Betara diangkat oleh Kenchana dan dia meletakkan kepala lelaki itu di pahanya. Sambil teresak-esak, Kenchana mengusap kepala Betara. Sungguh benar fikiran Mastika kepadanya. Kenchana sangat naif sehingga tidak mampu untuk menyembunyikan perasaannya.
"Cuma dua ekor? Jadi bagaimana dengan raksasa itu?" Punta Damar kembali menyoal Bikas. Walaupun ceritanya tidak masuk dek akal namun Punta Damar tahu Bikas tidak berbohong dan mereka-reka cerita.
"Kami berjaya hapuskan kedua mereka.."
"Siapa lagi bersama kalian?"
"Kumpulan kami cuma bertiga. Aku, Betara dan Lungga."
"Dimana Lungga?"
Bikas diam sebentar. Dia tidak tahu bagaimana untuk menceritakan nasib sahabatnya itu. Dia melihat sekeliling antara kerumunan warga disitu. Akhirnya dia melihat seorang perempuan. Perempuan itu adalah Niah, adik perempuan Lungga. Lungga cuma mempunyai adik perempuan dan ibunya sahaja dalam keluarganya. Bikas terasa berat hati dan tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan nasib Lungga agar tidak memberi kesedihan kepada Niah dan ibunya. Namun sekarang Bikas tiada pilihan lain. Mahu atau tidak dia terpaksa menceritakan apa yang sudah terjadi.
"Lungga... sudah tiada.. Dia terkorban."
Mendengar khabar tersebut, Niah terus terduduk dan menangis. Beberapa orang wanita disampingnya cuba menenangkan gadis itu. Bikas yang menyesal kerana tidak mampu menyelamatkan Lungga cuma mampu menundukkan kepalanya sambil memejamkan mata. Sebagai seorang pemimpin, Punta Damar masih bersikap tenang walaupun khabar tersebut mengejutkannya dan meremukkan hatinya.
"Dimana mayatnya?"
"Aku tak mampu membawanya pulang. Jadi aku tanamkan dulu Lungga bagi mengelakkan mayatnya dimakan haiwan. Aku terpaksa bergegas membawa pulang Betara dulu."
"Baiklah kalau begitu. Nanti kita bawa pulang mayatnya untuk upacara pengkebumian yang sempurna." Punta Damar pun mengalihkan pandangannya ke arah Betara. Keadaan cucunya itu terlihat parah. Belum pernah lagi Betara mengalami keadaan sebegitu.
"Bawa Betara ke rumah. Panggil segera dukun untuk merawatnya." Arah Punta Damar. Beberapa orang lelaki kemudian menghampiri Betara yang terbaring. Mastika dan Kenchana mengalihkan kedudukan mereka untuk memberi ruang kepada lelaki-lelaki terbabit untuk mengangkat Betara. Kenchana dan Mastika cuma mampu saling berpelukan dan menangis sambil melihat Betara diangkat untuk dibawa ke rumahnya.
Punta Damar kemudian terduduk di anjung gazebo sambil merenung ke arah Bikas. Pemimpin puak Saga itu kemudiannya menghembuskan sebuah nafas berat. Pandangan matanya beralih pula ke arah Mastika dan Kenchana yang sedang menangis teresak-esak sambil berpelukan. Pada fikiran Punta Damar, makhluk raksasa itu pasti ada kawanan mereka. Tidak mungkin mereka cuma berdua seperti yang diceritakan oleh Bikas. Lebih merisaukan lelaki tua itu, sedangkan dua ekor dari raksasa itu sahaja sudah mampu membuat diri Betara cedera separah itu, bagaimana pula jika ada lebih ramai makhluk begitu untuk mereka hadapi nanti. Punta Damar merasa buntu. Dia tidak ingin membayangkan lagi tentang haiwan raksasa yang diceritakan oleh Bikas itu.
DUA hari berlalu. Upacara pengebumian Lungga baru sahaja selesai dilaksanakan oleh Puak Saga. Setelah kejadian kelmarin, Bikas membawa sekumpulan lelaki untuk membawa kembali mayat Lungga ke perkampungan Bunut Naga. Mayat Lungga disemadikan mengikut upacara pengkebumian puak Saga dan dikuburkan kembali di kawasan perkuburan puak Saga. Suasana sedih masih menyelubungi Perkampungan Bunut Naga yang berkabung. Kematian Lungga masih ditangisi oleh seluruh warga lebih-lebih lagi ahli keluarga Lungga sendiri.
Dimasa yang sama, Kenchana pula masih setia menunggu disamping Betara yang masih tidak sedarkan diri. Sepanjang dua hari, Kenchana tidak meninggalkan Betara sendirian. Gadis itu sendiri secara sukarela ingin membantu dukun merawat Betara dan menjaga Betara. Air matanya tidak berhenti dari membasahi kelopak mata setiap kali melihat keadaan Betara yang tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Ketika ini, Mastika memasuki ruangan bilik yang menempatkan Betara dan kenchana itu. Kepala Mastika di geleng lemah beberapa kali apabila melihat keadaan Kenchana yang tidak keruan itu.
"Kenchana, kenapa kamu masih tidak makan?" Mastika memulakan bicara.
"Kenchana tidak lapar."
"Jangan begitu sayang. Sudah dua hari kamu tidak makan apa-apa. Nanti kamu pula yang jatuh sakit."
Kenchana hanya mendiamkan diri. Matanya hanya ditatap pada wajah Betara yang masih belum sedar.
"Ibu, bilakah Betara akan sedar?"
"Entahlah Kenchana. Tapi dukun sudah beritahukan? Keadaan Betara tidak berbahaya. Nanti sedarlah dia."
"Tapi.. sampai bila.." Kenchana mula menangis lagi.
"Sayang.. Sekarang, jaga dulu kesihatan Kenchana. Kalau Kenchana sakit, siapa pula yang akan menjaga Betara nanti." Mastika cuba memberi umpan untuk memujuk gadis naif itu.
"Tapi.. ah.."
Mastika tersenyum apabila melihat telatah Kenchana ketika itu. Dia tahu umpannya sudah mengena. Kenchana pasti akan mendengar nasihatnya untuk makan nanti. Lumrah orang di lamun cinta yang tidak memikirkan keadaan diri sendiri dan rela mengorbankan diri demi orang yang dicintai.
"Kenchana kena makan dulu. Biar sentiasa sihat untuk menjaga Betara. Kalau Betara sedar nanti, dia pun pasti gembira kalau tengok Kenchana yang menjaga dia. Tapi kalau Kenchana sakit, pasti Betara jadi sedih." Mastika terus memberikan kata-kata umpanannya. Mastika tahu, Kenchana yang berjiwa polos itu pasti akan termakan dengan kata-katanya. Sikap Kenchana itu tidak ubah seperti anak kecil. Setelah mendengar kata-kata Mastika itu, Kenchana segera menyeka air matanya. Senyuman pun terukir di wajah Kenchana. Mastika sungguh gembira apabila melihat ucapannya tadi membuahkan hasil. Selama dua hari dia tidak melihat Kenchana tersenyum tetapi kini senyuman itu kembali di bibir gadis berkulit putih gebu itu. Kenchana kemudian beralih menuju ke arah meja yang sudah disediakan makanan untuknya oleh Mastika. Perlahan-lahan mulut Kenchana mengunyah buah-buahan yang tersedia di situ.
"Sungguh besar cintamu kepada Betara." Mastika melurutkan tangannya ke rambut Kenchana yang panjang mengurai.
"Ah.. Bukan begitu ibu.." Kenchana cuba menafikan kata-kata Mastika.
"Sayang.. Jangan menafikan perasaanmu. Ibu tahu, Kenchana sangat cintakan Betara."
"Ibu.. Kenchana cuma.. risaukan.. Betara. Tapi bukan..emmm.." Wajah Kenchana merona kemerahan. Mendengar kata-kata Kenchana yang gagap itu membuatkan Mastika ketawa. Kenchana sememangnya tidak pandai berbohong dan tidak mampu menyembunyikan perasaannya.
"Sayang.. masih ingatkah kata ibu dulu? Hati itu sukar untuk dikawal.. Cinta dan perasaan untuk berkasih sayang itu anugerah terindah kepada orang yang terpilih sahaja. Jika mendapat anugerah tersebut, jangan sia-siakan.." Mastika mengulangi ayatnya beberapa hari yang lepas kepada Kenchana. Kenchana terdiam sejenak apabila memikirkan maksud ayat Mastika itu.
"Hati kita, tiada sesiapa yang boleh paksa. Kita ingin sayang dan cinta kepada sesiapa pun, itu hak kita. Kadang kala, kita sendiri tidak meminta tapi hati kita menginginkannya. Bukan semua orang mendapat peluang untuk merasai kenikmatan cinta. Bukan semua orang dapat merasai disayangi. Bukan semua orang mendapat rasa ingin menyayangi. Ketika kita diberi peluang dan masa, pergunakanlah peluang itu sebaik mungkin. Gapailah cinta itu.. Rasakanlah betapa indahnya bila bercinta.. Jangan tunggu sampai peluang untuk mencapai bahagia itu hilang dan pergi dari hidup kita.. Kerana peluang kedua belum tentu akan ada.." Panjang lebar Mastika menjelaskan kepada Kenchana. Kenchana pula termenung seolah hanyut dalam lamunannya.
"Jika Kenchana cintakan Betara, katakanlah.. luahkan isi hatimu.." Mastika membelai lembut kepala Kenchana. Kenchana mula memandang tepat ke mata Mastika.
"Apakah Betara juga cintakan Kenchana?"
"Ibu fikir, Betara juga sama seperti Kenchana.."
"Be.. Benarkah ibu?" Kenchana tiba-tiba menjadi teruja. wajahnya menjadi merah padam setelah mendengar kata-kata Mastika.
"Tapi.. Bukankah Betara cintakan Kirana?" Kenchana kembali sugul apabila mengingatkan gadis yang pernah bercinta dan bertunang dengan Betara suatu masa dahulu.
"Sayang.. Kirana sudah tiada.. Dia adalah masa lepas bagi Betara. Kenchana jadilah masa depan Betara." Mastika cuba memberi harapan kepada Kenchana. Wanita itu tahu, anak lelakinya itu juga menyimpan perasaan yang sama seperti Kenchana. Tetapi perasaannya berbolak-balik kerana kenangan bersama Kirana. Disebabkan itu, Mastika mahu Kenchana meyakinkan perasaan Betara. Dia sangat berharap Kenchana membantu Betara keluar dari kepompong masa silamnya.
"Kenchana menjadi masa depan Betara?" Gadis muda itu sedikit teruja mendengar kalimat tersebut.
"Arghh" Tiba-tiba terdengar suara Betara mengerang perlahan. Mastika dan Kenchana segera berpaling ke arah Betara dan bergerak menuju ke tempat Betara sedang berbaring. Betara terlihat sudah membuka matanya. Namun pergerakannya masih terbatas. Dia masih tidak mampu menggerakkan badannya akibat kesakitan. Betara hanya mampu melihat badannya yang berbalut dedaunan herba dan masih terlihat kesan-kesan lebam dari celahan daun itu di badan dan tangannya.
"Betara, kamu sedar juga akhirnya.." Kenchana tidak mampu menahan dirinya terus memeluk Betara dan kembali menangis teresak-esak. Mastika pula mengusap-usap kepala anak lelakinya itu sambil menahan senyumnya setelah melihat Kenchana yang tidak mampu mengawal dirinya sehingga langsung memeluk anak lelakinya itu.
"Apa yang sudah berlaku?" Betara masih mamai dan bingung dengan keadaan dirinya. Dia agak terkejut dengan tindakan Kenchana yang sedang memeluk tubuhnya namun dibiarkan sahaja gadis itu. Betara kemudian mengusap kepala Kenchana yang dibenamkan ke dadanya. Dadanya yang masih cedera terasa sedikit kesakitan apabila Kenchana meletakkan kepalanya disitu namun dia membiarkan sahaja Kenchana mendampinginya. Walaupun sakit, Betara sanggup menahannya demi merasakan saat bahagia dipeluk oleh Kenchana. Jari-jemari Betara yang mengusap kepala Kenchana menyentuh kalungan kepala yang dipakai di kepala gadis itu. Betara hanya diam melihat ke arah Kenchana. Kalung hadiah dari Betara itu sentiasa ada di kepala Kenchana. Betara gembira melihat hadiah pemberiannya dihargai oleh Kenchana. Setelah seketika mengelamun, Betara mula terfikir keadaan dirinya.
"Ah.. raksasa itu..." Betara baru mendapat kembali ingatannya saat menghadapi raksasa korbu. Keganasan makhluk itu terbayang-bayang diruang matanya.
"Tenang dulu Betara. Kamu sudah tidak apa-apa sekarang." Mastika cuba menenangkan Betara. Dia tahu anak lelakinya itu masih kebingungan selepas sedar dari pengsannya.
"Apa yang terjadi? Macam mana Lungga dan Bikas?"
"Nanti Ibu ceritakan.. Kamu rehatlah dulu. Jangan bergerak lagi."
"Lungga... dia.." Betara cuba mengingati kejadian lepas namun ingatannya masih terbatas.
"Apakah aku bermimpi?" Betara melontarkan soalan kepada dirinya sendiri. Ingatannya yang terbatas menyebabkan dia meragui apa yang bermain difikirannya. Tetapi apabila melihat keadaan dirinya yang cedera, dia perlahan-lahan meyakini apa yang bermain difikirannya itu. Betara cuba menenangkan dirinya apabila melihat Mastika dan Kenchana yang mendampingi dirinya. Dia tahu sekarang dia berada di bilik rumahnya dan pasti tiada ancaman yang berbahaya. Betara kemudiannya menarik nafas panjang. Matanya hanya tertumpu ke atas menghadap siling, melihat satu pandangan yang kosong.
Share this novel