Bab 5

Fantasy Completed 11833

BETARA kelihatan sedang asyik melayan beberapa orang kanak-kanak. Dia mengangkat dan melambung kanak-kanak ke atas dan menyambut mereka secara bergilir-gilir. Adakala Betara menggeletek mereka di perut, telinga dan ketiak. Kegembiraan jelas terpampang dari ketawa hilai mereka. Tidak jauh dari tempat Betara sedang bermain dengan kumpulan kanak-kanak itu, kelihatan Kenchana sedang memerhatikan mereka.

Kenchana tersenyum sendirian apabila melihat kanak-kanak sedang bermain dengan gembira. Sungguh bahagia jika dapat bermain bersama sebegitu. Sesekali Kenchana melihat juga ke arah sekumpulan wanita yang bersama dengannya sekarang di kawasan khas untuk memasak bagi kaum Saga di Perkampungan itu. Mereka sedang memasak pelbagai jenis makanan untuk jamuan malam nanti.

Malam ini, Puak Saga akan mengadakan pesta dan jamuan bagi menyambut kehadiran Kenchana bersama puak mereka. Kenchana terasa bagai di dalam mimpi. Dirinya langsung tidak menyangka akan disambut dan dirai sedemikian rupa. Pemimpin Puak Saga di Perkampungan Bunut Naga itu, Punta Damar telah mengarahkan penduduknya mengadakan pesta bagi meraikan kehadiran Kenchana. 

Punta adalah gelaran bagi Pemimpin Puak Saga. Jawatan yang disandang secara turun-temurun dari generasi ke generasi. Pemimpin sekarang adalah Ayah kepada Mastika dan datuk kepada Betara. Jadi Betara adalah bakal pengganti datuknya nanti untuk menyandang gelaran Punta. Kenchana tidak tahu soal ayah kepada Betara kerana Mastika sepertinya akan berduka jika ditanyakan hal itu kepadanya. Jadi Kenchana terpaksa memendam rasa penasarannya itu. 

Sambil memerhatikan para wanita sedang memasak, Kenchana pula hanya duduk di anjung buluh di sudut ruangan itu bersama beberapa kanak-kanak perempuan yang sedang bermain. Terasa agak canggung sekali bagi Kenchana. Tadinya dia cuba untuk bersama membantu para wanita itu memasak walaupun dia tidak tahu apa-apa, tetapi dilarang oleh mereka. Kerana itu adalah pesta untuk meraikan Kenchana, jadi Kenchana dilarang dari berbuat apa-apa. Dia cuma disuruh duduk bersahaja dan tidak melakukan apa-apa pekerjaan walaupun kakinya yang sakit sudah sembuh. 

Seketika kemudian, datang seorang anak kecil mendekati Kenchana. Anak berusia hampir enam tahun itu memegang baju Kenchana tanpa sedikitpun rasa takut. Kenchana hanya memerhatikan tindakan anak kecil tersebut.

"Kenapa pakaian Kakak lain?.. cantiknya.." Anak kecil itu menegur.

"Ah.. pakaian ini kawan kakak yang bagi."Kenchana tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan mengenai pakaiannya itu. Dia sendiri tidak tahu dari mana Suri mendapatkan pakaian itu. Tiba-tiba sahaja, pakaian itu ada di gua tempat dia tinggal selama ini. Pada fikirannya, pastilah Suri yang membawanya memandangkan makan minum Kenchana selama ini pun dibawakan oleh Suri. Tapi dia tidak mampu mendapatkan apa-apa jawapan tentang bermacam soalan dari Suri untuk kepastian memandangkan rusa berwarna putih itu tidak mampu bercakap sepertinya. 

Anak kecil itu tanpa kekok atau segan silu terus duduk dipangkuan Kenchana. Kenchana sedikit terkejut dengan tindakan anak itu namun membiarkan sahaja anak itu dipangkuannya. Tiba-tiba fikiran Kenchana teringatkan ibunya. Sewaktu kecil, Kenchana masih ingat, dia juga sering berperilaku seperti anak kecil itu. Dia suka duduk dipangkuan ibunya. Sungguh nyaman berada di riba dan dipeluk oleh sang ibu. 

"Nama adik siapa?" Kenchana bertanya sambil menggosok kepala anak kecil itu. Dia mahu berikan rasa kenyamanan seorang ibu kepada anak itu.

"Puspa." Ringkas jawab anak itu sambil tangannya memintal-mintal hujung rambut Kenchana yang panjang mengurai. Kenchana hanya tersenyum melihat ulah anak kecil bernama Puspa itu. Tiba-tiba Kenchana mendengar suara batuk dari sebelah. 

Apabila dia memalingkan mukanya untuk melihat, Kenchana mendapati seorang lelaki yang agak berumur berdiri di tepi anjung tempat dia melabuhkan punggung. Lelaki itu adalah pemimpin di permukiman Bunut Naga tersebut iaitu Punta Damar. Kenchana segera mengalihkan punggungnya untuk membetulkan kedudukannya menghadap Punta Damar sambil memeluk anak kecil di pangkuannya dan menundukkan kepalanya dengan satu anggukan kepala sebagai tanda menghormati orang tua tersebut.Punta Damar yang melihat Kenchana mulai mesra dengan penduduk disitu cuma tersenyum. 

"Apakah kamu nyaman berada disini?" Punta Damar bersuara, melontarkan satu soalan sebagai sapaan kepada Kenchana.

"Ah..iya.. Kenchana suka. Orang di sini semua baik-baik." Kenchana menggosok tangannya di kepala Puspa sambil matanya melihat ke arah anak kecil dipangkuannya itu dengan perasaan kasih sayang.

"Punta.. duduk sini." 

Beberapa orang anak kecil memanggil sambil menarik tangan Punta Damar untuk duduk di anjung tersebut bersama mereka. Punta Damar tersenyum sambil melabuhkan punggungnya di anjung sebagai menuruti permintaan anak-anak di situ. Dua tiga orang anak kecil mula berebut untuk memeluk dan merangkul leher pemimpin tua itu. Punta Damar hanya tertawa apabila diperlakukan begitu walaupun badannya terhuyung-hayang apabila anak-anak itu saling tolak- menolak. Kenchana tersenyum lebar melihat telatah anak-anak kecil yang begitu suka dengan pemimpin utama mereka itu.

"Hei.. Jangan buat Punta begitu." Tiba-tiba terdengar jeritan seorang wanita. Salah seorang dari wanita yang sedang memasak di kawasan dapur itu menegur anak-anak itu yang mana pada fikirannya anak-anak kecil itu langsung tidak menghormati lelaki tua yang menjadi pemimpin utama mereka disitu. 

"Biarlah mereka Tirta. Nama pun anak kecil." Punta Damar tersenyum. Wanita bernama Tirta itu akur dengan kata-kata Punta Damar dan menyambung tugas memasaknya.  Lelaki tua itu sangat bertoleransi dan penuh kasih sayang. Dia menyayangi penduduk puak Saga itu seperti mereka semua adalah anak-anak dan cucunya sendiri. Wajar sahaja Punta Damar sangat dihormati oleh penduduknya kerana kepintaran dan kasih sayangnya. Punta Damar langsung tidak membezakan penduduknya dan mereka juga tahu pengorbanan Punta Damar suatu ketika dahulu demi menyelamatkan puaknya. Jasa pemimpin itu akan terus diingati oleh seluruh puak Saga buat selamanya. 

Punta Damar kemudian merenung ke arah Kenchana. Wanita itu kelihatannya sudah tidak kekok untuk bersosial dengan penduduk disitu. Senyuman masih melekat di bibir Punta Damar sambil melihat Kenchana yang memicit hidung anak yang bernama Puspa dipangkuannya. Kenchana terlihat sangat gembira. Anak-anak kecil yang lain pula mengerumuni Kenchana dan bermain-main dengan rambut gadis itu. Punta Damar yang sudah mengetahui kisah Kenchana dari Mastika terus memerhatikan Kenchana. Mata orang tua itu sesekali dialihkan kepada para wanita yang sedang memasak di situ. Sesuatu bermain difikiran Punta Damar sehingga dia sekarang tidak mendengar suara ketawa anak-anak dan para wanita yang sedang sibuk memasak disitu. Entah apa yang sedang difikirkan orang tua itu. 

WAKTU malam pun tiba. Suasana di Perkampungan Bunut Naga itu sungguh cerah dan hingar-bingar. Seluruh penduduknya berkumpul di hadapan sebuah gazebo sambil menyalakan unggun api di tengah-tengah kawasan lapang dan mereka mengelilingi unggun api tersebut. Sekeliling kampung pula dipasang jamung api bagi menerangi seluruh kawasan. Mereka terlihat sungguh gembira sambil menyanyikan beberapa buah lagu. Kenchana juga terlihat sangat bahagia apabila turut bergelak ketawa di samping Mastika disisinya. Di sekeliling unggun api tempat mereka berkumpul itu juga ditempatkan banyak talam yang berisi pelbagai jenis makanan.

Kenchana sungguh bahagia di saat ini. Dirinya disambut dengan penuh meriah berserta dengan pesta yang gilang gemilang begitu. Ketika sedang asyik ketawa, Kenchana terperasan Betara sedang berjalan menghampirinya yang ketika itu sedang duduk disamping Mastika. Betara berdiri tepat di hadapan Kenchana sambil tersenyum. Tangannya sedang memegang sesuatu berbentuk gelungan seperti cincin yang besar. Kenchana hanya kaku, tidak tahu apa yang akan dilakukan Betara. 

Betara kemudian menarik tangan Kenchana untuk mendorong gadis itu berdiri. Kenchana hanya menuruti tindakan dari Betara dengan bingung dan berdiri bertentangan wajah dengan Betara. Kemudian Betara pun memakaikan kalungan gelung yang dipegang di tangannya tadi ke kepala Kenchana. Kenchana sedikit merasa tersipu dan wajahnya yang putih merona kemerahan.

"Selamat datang ke Perkampungan Bunut Naga. Semoga berbahagia menjadi sebahagian dari puak Saga."

Ucapan dari Betara itu membuatkan hati Kenchana menjadi girang dan berbunga-bunga. Kenchana kemudian membetulkan kalung yang dipakaikan oleh Betara di kepalanya. Berdasarkan sentuhan jarinya pada kalung kepala itu, Kenchana tahu kalung itu terbuat dari kayu. 

"Apakah ini' Kenchana bertanya sambil tangannya masih memegang gelungan kalung di kepala dengan tangannya.

"Itu adalah serat pohon cenuai yang dipintal. Pohon yang menyemai perasaan kasih sayang. Semoga dengannya, Kenchana akan sentiasa hidup bahagia dan penuh kasih sayang disini." Betara memberi penjelasan.

Kebahagiaan semakin mekar dihati Kenchana. Mukanya semakin kemerahan setelah mendengar kata-kata Betara itu. Mastika hanya tersenyum memerhatikan anak lelakinya dan anak angkatnya itu. Dia yakin Betara akan menjadi Pemimpin puak Saga yang hebat suatu hari nanti menggantikan datuknya. Di sudut hatinya juga dia mahukan Kenchana mendapat kehidupan yang bahagia di perkampungan tersebut. Kisah hidup Kenchana yang menyedihkan sangat meruntun hatinya dan dia tidak mahu Kenchana merasakan kesunyian lagi. Mastika pun berdiri di samping Kenchana. di tangannya terdapat talam yang dilapik daun pisang dan berisi makanan berupa daging kijang yang dimasak.

"Kenchana, buka mulutmu." Mastika menyuapkan secebis daging ke mulut Kenchana.

"Wah, sedapnya.." Kenchana sangat tertarik dengan rasa daging yang disuap oleh Ibu angkatnya itu. 

"Ini adalah daging kijang sendeng. Masakan khas puak Saga." Mastika memberi penjelasan mengenai makanan yang dikecap oleh Kenchana.

"Semoga Kenchana akan sentiasa berbahagia bersama kami." Sambung Mastika lagi dengan menguntumkan senyuman. Kenchana yang terharu terus memeluk Mastika sambil air mata bahagia meleleh keluar dari celah kelopak matanya yang terpejam.

Di anjung gazebo, Punta Damar duduk bersila sambil melihat anak cucunya. Dia bangga dengan anak dan cucunya yang sudi memberikan perlindungan kepada Kenchana, seorang gadis tanpa puak yang berkeliaran sendirian di kawasan hutan lindungan puak Saga. Baginya, Betara sudah mengambil tindakan sewajarnya dengan membawa gadis malang itu ke permukiman mereka. Di hutan kawasan mereka, puak Saga akan memberikan perlindungan kepada seluruh kehidupan, bukan sahaja tumbuh-tumbuhan, bahkan haiwan dan manusia sekalipun. 

Puak Saga tidak akan membenarkan apa jenis kejahatan pun berkuasa di situ. Cuma yang menjadi tanda tanya di fikiran Punta Damar, siapakah sebenarnya Kenchana. Siapa orang tua gadis itu? Pasti sahaja dia mempunyai orang tua yang berasal dari mana-mana puak di hutan belantara itu. Tapi pakaiannya sangat aneh dan tidak melambangkan Kenchana berasal dari mana-mana puak. Apapun baginya, sekarang Kenchana sudah menjadi sebahagian dari puak Saga dibawah perlindungannya. Maka mulai saat ini, Dia dan seluruh puak Saga akan memberi perlindungan kepada Kenchana seperti melindungi ahli keluarga sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience