"PEKAN.." Betara memanggil anak lelakinya setelah usai makan pagi. Pekan yang baru ingin beredar untuk bergabung dengan pasukan pemburu yang diketuai oleh Bikas berpatah semula apabila namanya dipanggil. Dengan langkah terkocoh-kocoh, Pekan menuju ke arah Betara. Anak muda itu sedang bersemangat untuk menyertai pasukan pemburu.
"Ya Ayah.."
"Pekan mahu kemana?" Betara bertanya kepada anak sulungnya itu.
"Pekan nak pergi berburu dengan pakcik Bikas. Tokyang sudah beri Pekan ikut pasukan pemburu." Pekan tersengih sambil menggaru kepalanya.
"Oh.. Baguslah kalau begitu. Sudah sepatutnya kamu mula belajar berburu ketika usia sebegini. Kelmarin pun, Pekan sendiri yang pasang jeratkan?"
"Iya Ayah. Pekan dah tahu pasang jerat. Sekarang Pekan nak belajar cara berburu pula dari pakcik Bikas." Pekan mengulangi hasratnya kepada Betara. Seraya itu juga Melur muncul dari belakang Betara dan merapati ayahnya itu.
"Kau belajar dari ayah la Pekan.. Ibu cakap, ayah pun handal berburu.. kan ayah?" Melur mencelah. Betara hanya tersenyum mendengar kata-kata anak perempuannya.
"Tapi ayah kan punta. Ayah sibuk dengan urusan kampung la.. Mana boleh berburu dah." Pekan sepertinya mengerti tanggungjawab ayahnya.
"Betul tu. Ayah sibuk sekarang. Tidak sempat untuk berburu seperti dulu. Pergilah ikut pakcik Bikas." Betara mengiyakan kata-kata Pekan. Kenchana yang baru mendekati tiga beranak itu tersenyum sambil memegang bahu Betara. Kenchana gembira apabila melihat keluarganya yang sudah lengkap sekarang. Kembalinya Betara seakan menyinari semula kehidupannya bersama anak kembar mereka.
"Pekan pergi dulu ya.." Pekan cuba meninggalkan mereka untuk pergi bergabung dengan pasukan pemburu.
"Nanti dulu.." Betara menahan Pekan yang cuba pergi.
"Kenapa ayah?" Pekan masih tertanya tujuan ayahnya itu menahannya. Betara segera mencabut parang yang tersemat di pinggangnya. Parang berserta sarung kayu yang terukir ditangannya dihulurkan kepada Pekan. Pekan tanpa banyak bertanya hanya menyambut pemberian ayahnya. Ukiran di sarung kayu itu ditilik oleh Pekan. Dia terpukau dengan seni pada parang tersebut.
"Pemburu perlukan senjata. Ambillah parang ayah itu. Tapi berhati-hati menggunakannya." Betara memberikan pesanan.
"Baiklah ayah. Terima kasih untuk parang ini." Pekan terlihat benar-benar gembira. Dia sangat menghargai pemberian ayahnya itu.
"Sebagai pemburu, sentiasalah bersedia dan waspada.. Bila-bila masa sahaja, mangsa atau pemangsa akan mendatangi kita." Betara sempat menitipkan kata-kata nasihat kepada anak terunanya. Pekan yang mengangguk segera pergi untuk berkumpul bersama pasukan pemburu yang diketuai oleh Bikas. Larian penuh semangat dari anak muda itu diiringi dengan tatapan mata oleh Betara, Kenchana dan Melur.
"Bersemangat sekali Pekan untuk menjadi pemburu." Betara merasa bangga dengan anak lelakinya itu.
"Pekan sudah pandai menjerat haiwan. Dia selalu bawa pulang pelanduk, ayam, burung..Nanti dia pasti menjadi pemburu yang hebat." Melur memuji abang kembarnya kepada Betara. Kenchana mengusap kepala anak perempuannya. Di hatinya, dia sangat bersyukur kerana anak-anaknya sudah mendapat kembali ayah mereka. Pekan dan Melur terlihat gembira dan mulai rapat dengan ayah yang mereka baru kenali itu.
"Pekan hebat berburu.. Melur pula hebat buat apa?" Betara menundukkan badannya seraya memeluk anak perempuannya itu. Pipi Melur dikucup berkali-kali oleh Betara. Tiba-tiba Melur menjerit tertawa apabila pinggangnya digeletek oleh Betara. Melur yang meronta kemudiannya di dukung oleh Betara menggunakan sebelah tangannya. Betara masih meneruskan ciumannya kepada Melur sehingga merimaskan anak itu.
"Nanti Pekan balik berburu, Melur yang akan masakkan.. Masak sedap-sedap." Betara memicit hidung Melur. Kenchana pula menepuk bahu Betara yang sedang mengusik anak perempuan mereka itu. Kemudian Melur diletakkan kembali ke bawah untuk anak itu berdiri sendiri. Tapak tangan si ayah mengusap lembut kepala Melur. Betara sendiri seakan masih tidak percaya yang dia sudah memiliki dua orang anak yang sudah berusia sepuluh tahun. Perbezaan masa di dunia ini dengan perkampungan Nirma di alam bunian sedikit sebanyak membuatkan Betara kesal. Jika dia tahu perbezaan masa sebegitu, dari awal lagi dia akan meminta untuk dipulangkan dan di rawat di perkampungan Bunut Naga sahaja. Dia benar-benar rasa bersalah kerana membiarkan Kenchana seorang diri membesarkan anak-anak mereka selama sepuluh tahun. Tempoh masa selama itu pastinya tersangat lama buat Kenchana. Namun Betara juga tetap bersyukur kerana dia masih lagi hidup dan mampu untuk melihat anak-anaknya membesar dan kembali bersama Kenchana.
"Melur nak pergi main dengan kawan-kawan dulu di sana." Melur menunjukkan ke arah sekumpulan kanak-kanak sedang bermain.
" Pergilah sayang.. hati-hati.." Kenchana membiarkan Melur untuk pergi. Gadis kecil itu dengan segera berlari meninggalkan ibu dan bapanya. Kenchana mula merangkul lengan Betara sambil menyaksikan anak perempuan mereka yang berlalu dari situ. Kedua mereka tersenyum melihat telatah Melur. Seketika kemudian, Mastika berjalan melintasi pasangan suami isteri tersebut. Wanita itu terlihat lenggang-lenggok sambil membimbit bakul rotan ditangannya.
"Ibu mahu kemana?" Betara segera menyapa ibunya itu. Kenchana pula segera melepaskan rangkulan tangannya di lengan Betara. Kini Kenchana sudah mula merasa segan untuk bermesraan dengan Betara di depan orang lain lebih-lebih lagi orang tua mereka itu. Mungkin kerana usianya yang sudah semakin menginjak, Kenchana kini juga semakin matang lebih-lebih lagi dia sekarang sudah mempunyai anak. Sifat keanak-anakkannya yang polos dulu semakin terhakis.
"Ibu mahu memetik bunga di belakang sana." Mastika berhenti melangkah seketika untuk menjawab pertanyaan Betara.
"Ayuh, Kenchana temankan." Kenchana segera menuju ke arah Mastika. Mastika hanya tersenyum menerima keputusan menantunya itu untuk menemani memetik bunga.
"Betara mahu selesaikan beberapa urusan dahulu. Kalian pergilah." Betara juga mula melangkah meninggalkan kawasan tersebut. Dia harus pergi ke gazebo untuk menguruskan beberapa hal berkaitan pengurusan kampung. Sebagai punta di Bunut Naga, Betara benar-benar rasa bersalah kepada datuknya, Ruwai Damar yang terpaksa mengambil alih pengurusan puak mereka selama sepuluh tahun ketiadaannya. Kini dia mahu orang tua itu berehat sahaja.
BUNGA yang dipetik oleh Mastika dan Kenchana sudah memenuhi bakul. Mereka berdua terlihat gembira apabila meluangkan masa bersama di taman yang dipenuhi bunga tersebut. Sejak sepuluh tahun lalu, mereka tidak pernah memetik bunga bersama. Kenchana langsung tidak ingin berada di kawasan tersebut sejak kehilangan Betara. Tempat yang menjadi kenangan manis buat Kenchana dan Betara itu cuma akan mengungkit kedukaan buat Kenchana. Kenchana tidak mahu kenangan lama terus mengusik jiwanya. Demi membesarkan anak-anaknya, Kenchana terpaksa meminggirkan kedukaan hatinya walaupun memori indahnya bersama Betara tidak terkuras sedikit pun. Namun setelah suaminya itu kembali, hati Kenchana kembali mekar seperti kembangnya bunga-bunga di sana.
Kenchana dan Mastika meletakkan punggung mereka di hamparan batu besar di kawasan tersebut. Sambil duduk, Kenchana mengibarkan rambutnya yang panjang mengurai ke belakang, melepasi bahunya. Mastika pula membelek-belek bunga di dalam bakul yang penuh terisi.
"Ayuh, kita buatkan malai bunga." Mastika mengajak menantunya.
"Eh, entah Kenchana masih boleh buat atau tidak. Kenchana sudah lupa caranya." Kenchana tertawa kecil. Dia tidak yakin jika masih mampu untuk membuat kalungan bunga yang pernah dibuatnya suatu ketika dahulu.
"Senang saja kan untuk buat. masakan sudah lupa.. Sini, ikut ibu."
"Sudah sepuluh tahun berlalu.. Kenchana sudah lama tidak buat malai bunga.." Kenchana terimbau kembali saat dia membuat malai bunga untuk Betara dahulu. Sekarang dia berniat untuk hasilkan lagi malai bunga untuk suaminya itu. Dia ingin mengalungkan malai bunga itu di leher Betara sempena sekembalinya Betara di Perkampungan Bunut Naga. Lebih tepat lagi, kembalinya Betara di dalam hidupnya. Tangan Kenchana mula mencapai beberapa kuntum bunga dari bakul. Matanya asyik memerhatikan Mastika menyimpulkan jambakan bunga-bunga. Kenchana yang cepat belajar segera mengikuti perbuatan ibu mertuanya itu. Jambakan bunga mula diikat dan dijalin membentuk gugusan.
Seketika kemudian, Mastika berhenti dari meneruskan pekerjaannya. Kalungan bunga yang masih belum siap di tangannya diletakkan di atas hamparan batu yang menjadi alas duduk mereka. Mastika terdiam seketika. perutnya terasa memulas. Dia harus pergi untuk menunaikan hajat dengan segera. Mastika lantas bangkit berdiri dari duduknya. Tindakannya itu sedikit mengejutkan Kenchana yang sedang menjalinkan bunga membentuk gugusan.
"Kenapa ibu? Ibu mahu kemana?"
"Ibu harus pergi sebentar. Perut ibu tidak selesa. Rasa memulas. Kenchana duduklah dulu. Nanti ibu kembali." Mastika menyampaikan hasratnya kepada Mastika. Kenchana yang memahami maksud ibu mertuanya itu hanya terangguk-angguk kecil. Kemudiannya, Mastika segera berlalu dari situ, meninggalkan Kenchana sendirian. Kenchana yang melihat ibunya itu pergi, meneruskan kembali pekerjaannya menyiapkan kalungan bunga. Sesekali, kalungan bunga yang belum siap dengan sempurna itu di tilik oleh Kenchana. Dia ingin memastikan kombinasi warna bunga-bunga yang disusun terlihat cantik.
Akhirnya, malai bunga yang dihasilkan oleh Kenchana siap dengan sempurna. Walaupun agak ringkas, tetapi Kenchana tetap berpuas hati dengan hasil tangannya itu. Kenchana perlahan-lahan berdiri. Kakinya terasa lenguh kerana agak lama duduk bersimpuh di atas batu untuk menyiapkan malai bunga. Setelah berdiri dengan stabil, Kenchana mengambil malai bunga buatannya itu dan berjalan menuju ke arah pinggiran tebing. Kenchana tersenyum sambil berdiri di pinggir tebing yang tinggi itu. Fikirannya menerawang jauh. Mengingati kembali saat indah di tempat tersebut. Di tempat dia berdiri sekarang, di situlah menjadi tempat dia meluahkan cintanya kepada Betara. Pokok bunga di sana menjadi saksi bisu di saat Betara melamar Kenchana untuk dijadikan isteri. Kenchana memejamkan matanya. Kini fikirannya mengingati ciuman pertamanya bersama Betara. Itu adalah kenangan paling indah dalam hidupnya.
Sedang asyik melayan fikirannya, tiba-tiba Kenchana terkejut apabila pinggangnya dirangkul dari belakang. Kenchana segera membuka matanya dan langsung mengetahui pendatang yang memeluknya itu adalah Betara walaupun Kenchana masih tidak melihat suaminya itu. Pelukan dari belakang itu sangat dikenali oleh Kenchana. Kenchana segera memegang lengan Betara dan mendongakkan kepalanya untuk menyandarkan kepalanya di dada suaminya itu.
"Sayang.." Suara perlahan Betara tertangkap oleh cuping telinga Kenchana. Kenchana memejamkan kembali matanya apabila dia merasakan kehangatan bibir Betara menyentuh lehernya. Sudah sepuluh tahun dia mendambakan belaian sebegitu dari suaminya itu. Dada Kenchana mula berombak. Nafasnya naik turun, sukar untuk dikawal. Pada fikiran Kenchana, hanya Betara sahaja yang mampu menyihir dirinya menjadi tidak keruan sebegitu. Kenchana kemudiannya menarik lengan Betara untuk meleraikan rangkulan lelaki itu dipinggangnya. Seraya wanita itu berpaling dan menatap wajah Betara sambil bertentangan mata.
"Sayang, Kenchana ada hadiah untukmu." Kenchana segera memakaikan malai bunga buatannya ke leher Betara. Betara pula menundukkan sedikit kepalanya untuk memudahkan isterinya menyarungkan kalungan bunga tersebut.
"Cantik sekali malai bungamu ini." Betara bijak memuji isterinya. Kenchana yang merasa tersanjung dan dihargai dengan pujian dari Betara segera memeluk suaminya itu dan merapatkan bibir mereka diantara satu sama lain. Mereka berdua hanyut di asmaraloka dengan ditemani tiupan angin lembut yang menyapa.
Tiba-tiba mereka mendengar suara seseorang. Mastika yang kembali ke sana berdehem dengan batuk yang sengaja dibuat-buat. Betara dan Kenchana segera melepaskan pelukan mereka dan tersipu-sipu melihat ke arah Mastika yang sedang tersenyum dan menggelengkan kepala.
Sang ibu hanya menundukkan pandangannya, berpura seolah tidak melihat aksi anak dan menantunya tadi. Betara dan Kenchana saling menjelingkan pandangan mereka ke arah satu sama lain sambil keduanya perlahan-lahan berjalan menuju ke arah Mastika yang baru melabuhkan punggung di atas hamparan batu.
Share this novel