Perkampungan Nirma
SEBUAH bilik yang terlihat suram dan cuma diterangi oleh cahaya dari pelita, kelihatan Penghulu Jalit sedang berhadapan dengan seorang lelaki. Mereka sedang membicarakan suatu hal yang sulit. Oleh kerana itu, tidak dibenarkan sesiapa pun mendekati bilik itu dengan arahan Penghulu Jalit. Setelah beberapa ketika, Penghulu Jalit kemudiannya mengalihkan pandangan badannya membelakangi lelaki tersebut.
"Jadi bagaimana dengan Kenchana sekarang?" Suara Penghulu Jalit terdengar sangat tegas walaupun nadanya perlahan.
"Dia telah diselamatkan oleh seorang lelaki dari puak asli Saga."
"Puak Saga?"
"Ya.. dan lelaki itu sudah membawa Kenchana ke perkampungannya."
"Apa itu akan baik-baik saja bagi Kenchana?"
"Sepertinya mereka itu orang baik-baik. Mereka sudah merawat dan menjaga Kenchana dengan baik. Malah mereka sepertinya sudah menerima Kenchana menjadi sebahagian dari puak mereka."
"Benarkah begitu? Jadi Kenchana tidak lagi hidup sendirian sekarang.."
"Ya.. sepertinya itulah yang terbaik bagi Kenchana sekarang. Sekurangnya ada manusia lain yang sanggup menjaga dan bersahabat dengannya.
"Kenchana...." Suara Penghulu Jalit tersekat disitu.
Penghulu Jalit memejamkan matanya dengan rapat sambil mengetap bibirnya kemas. Tiba-tiba titisan air jernih keluar meleleh dari matanya yang tertutup itu. Perasaan sedih dan hiba menyerang hati Penghulu Jalit.
"Maafkan kanda Mulya.. kanda tidak mampu menunaikan tanggungjawab." Penghulu Jalit mengepal kedua belah tangannya.
"Penghulu..." Lelaki itu bersuara perlahan kerana agak takut untuk menegur pemimpin itu. Penghulu Jalit kemudian menarik nafas panjang dan menahan nafasnya beberapa saat sebelum dihembuskan kembali. Setelah berjaya mententeramkan perasaannya, Penghulu Jalit berpaling semula ke arah lelaki yang sedang bersamanya itu.
"Bagaimana dengan Ratu? Adakah dia sudah muncul?"
"Kurang pasti Penghulu. Buat masa sekarang aku masih tidak melihat apa-apa tanda kehadiran Ratu disana."
"Berhati-hatilah. Aku yakin dia sudah ada disana."
"Baiklah Penghulu."
"Aku hanya mampu berharap padamu. Teruskan pengawasan ke atas Kenchana. Perhatikan setiap saat kemana pun dia pergi."
"Serahkan padaku. Akan Aku pertaruhkan nyawaku sendiri." Lelaki itu mengangguk sambil menyatakan kesanggupannya untuk meneruskan bakti kepada pemimpin di hadapannya itu. Penghulu Jalit memandang lelaki di hadapannya dengan pandangan kosong. Fikirannya jauh melayang, memikirkan sesuatu yang hanya dia sahaja ketahui.
Perkampungan Bunut Naga
KENCHANA sedang mengikat bunga-bunga yang digenggamnya. Bunga-bunga itu disusun mengikut warna dan saiz untuk menghasilkan karangan bunga yang cantik dan menarik. Dia sendirian membuat malai bunga di ruangan kediamannya. Baru sahaja menyiapkan satu karangan bunga, Kenchana mengangkat malai bunga hasil tangannya itu untuk melihat kecantikan bunga tersebut. Kenchana tersenyum simpul sendirian. Matanya dialihkan ke arah bakul yang masih terisi separuh lagi bunga-bungaan. Fikirnya, bunga-bunga itu nanti masih cukup untuk hasilkan satu lagi karangan malai bunga. Baru sahaja Kenchana ingin meletakkan malai bunga di tangannya, dia dikejutkan dengan bunyi ketukan pada pintu kediamannya.
"Kenchana, ayuh kita makan." Suara Mastika kedengaran dari sebalik pintu.
"Baik Ibu." Kenchana lantas berdiri sambil memegang malai bunga di tangannya. Dia mula menapak menuju ke arah pintu dan segera membuka pintu kediamannya. Mastika yang berdiri di luar tersenyum memandang Kenchana.
"Wah, dah siap malai bungamu?" Mastika melihat malai bunga di tangan Kenchana.
"Ya. baru siap satu. Kenchana fikir, bunganya masih cukup untuk buatkan satu lagi malai bunga."
"Ayuh kita makan dulu. Simpanlah malai bunga tu dulu."
"Ini Kenchana mahu berikan kepada Punta." Wajah Kenchana berseri-seri sambil menunjukkan malai bunga buatan tangannya kepada Mastika.
"Baguslah kalau begitu. Ayuh kita pergi."
Kenchana segera menutup pintu rumahnya dan berjalan membuntuti Mastika. Mereka berjalan menuju ke gazebo untuk makan malam. Kala itu, senja sudah mula melabuhkan tirainya. Beberapa jamung juga sudah terpasang di pekarangan perkampungan.
Sesampainya mereka di gazebo, beberapa orang kelihatan sudah mula menjamu selera. Kebanyakan dari penduduk Puak Saga itu makan di dibawah hadapan gazebo. Cuma beberapa orang sahaja dari mereka yang akan menikmati juadah mereka di atas lantai gazebo. Di hujung sekali, adalah tempat untuk Punta Damar.
Mastika dan Kenchana melangkah naik ke lantai gazebo dengan berhati-hati dan menuju ke arah Punta Damar. Kenchana yang juga anak angkat Mastika diberi kedudukan istimewa sebagai ahli keluarga Punta untuk makan bersama di atas gazebo. di hadapan Punta Damar, Kenchana segera mendekati pemimpin Puak Saga itu dan langsung menyarungkan malai bunga di tangannya ke leher Punta Damar untuk dijadikan kalung oleh pemimpin disitu.
"Cantik sekali. Kamu karangkan sendiri malai bunga ini Kenchana?" Puji Punta Damar.
"Ya. Kenchana buatkan khas untuk Punta." Kenchana tersipu menerima pujian dari Punta Damar.
"Sekali ajar sahaja, Kenchana sudah pandai buat. Cantik pula." Mastika turut memuji anak angkatnya.
"Ibu yang pandai mengajar. Senang untuk Kenchana ikut." Kenchana membalas pujian Mastika. Namun Kenchana benar-benar maksudkan kata-katanya itu, bukan cuma sekadar untuk mengambil hati ibu angkatnya. Jika bukan kerana Mastika yang mengajarinya cara membuat malai bunga siang tadi, pasti dia tidak akan tahu cara membuatnya.
Mastika yang sudah mula menjamah makanan di depannya mempelawa Kenchana untuk duduk di sebelahnya dengan isyarat menepuk lantai di sebelahnya kepada Kenchana. Mastika terpandang ke arah depan gazebo dan melihat kepada seseorang yang baru tiba.
"Kenchana, boleh tolong ibu, hantarkan makanan ini kepada Tirta di depan sana." Mastika memegang talam yang berisi makanan kepada Kenchana sambil menunjukkan ke arah depan gazebo. Sepasang suami isteri dan anak kecil mereka baru tiba dan sedang duduk di hujung hadapan gazebo tersebut.
"Baik ibu." Kenchana segera patuh dan menyambut talam yang dihulurkan oleh Mastika kepadanya. Dengan penuh hati-hati Kenchana berjalan sambil membawa talam yang berisi makanan itu ke arah depan gazebo. Setelah sampai di depan gazebo, Kenchana segera duduk dan meletakkan talam tersebut kepada Tirta yang dikatakan oleh Mastika sebentar tadi. Kaki Kenchana betul-betul di hujung lantai gazebo. Jadi dia sangat berhati-hati semasa menempatkan dirinya disitu. Selesai menghidangkan makanan tersebut, Kenchana segera berdiri dan ingin terus pergi mendapatkan Mastika kembali. Namun tanpa disengajakan, Kenchana tiba-tiba tersadung kakinya sendiri dan jatuh terlentang dari gazebo. Jika terjatuh ke atas tanah dari gazebo tersebut pasti sangat menyakitkan. Tetapi Kenchana yang memejamkan matanya saat terjatuh, langsung tidak merasa sakit. Disebabkan pelik, Kenchana segera membuka matanya. Rupa-rupanya dia sedang di dukung oleh Betara. Saat dia terjatuh dari gazebo, kebetulan Betara baru tiba di situ dan segera menyambut Kenchana yang terjatuh ke arahnya.
"Be..tara?" Kenchana bersyukur dia tidak terlentang jatuh ke tanah. Tetapi sekarang wajahnya merona kemerahan kerana malu berada dipangkuan Betara. Apabila Kenchana perasan, rupa-rupanya tangannya entah bila masanya sudah merangkul leher Betara yang sedang menggendong dirinya. Rasa malunya kini terasa makin menebal.
"Letakkan Kenchana ke bawah.." Perlahan suara Kenchana berbisik kepada Betara. Namun Betara yang tidak mengendahkan permintaan Kenchana itu hanya tersenyum sambil melangkah naik ke lantai gazebo dan berjalan menuju ke arah Mastika dan Punta Damar sambil menggendong Kenchana di pangkuannya.
"Turunkan Kenchana." Kenchana mula geram dengan sikap Betara. Dia terasa sangat malu apabila semua mata disitu memandang Betara yang menggendong dirinya. Kenchana yang sudah merah padam mukanya menepuk dada sasa Betara dengan tangan kirinya. Tetapi tangan kanannya sendiri masih juga merangkul leher Betara.
"Malulah.. Turunkan Kenchana." Kenchana mengulangi permintaannya sambil berbisik dan mula menyorokkan pandangan wajahnya ke arah dada Betara apabila menyedari banyak mata yang sedang memandang ke arahnya.
"Tapi ini tidak semalu jika dirimu jatuh ke tanah." Betara sengaja mengusik Kenchana. Kenchana yang semakin geram cuba menggerakkan dirinya agar lolos dari gendongan Betara. Kakinya di hayun untuk turun memijak lantai. Namun tanpa disangka, perbuatannya itu menyebabkan Betara kehilangan keseimbangan dan kali ini Betara pula yang tersadung kakinya sambil sedang menggendong Kenchana di pangkuannya.
Ketika terjatuh, otak Betara segera berfikir, jika mereka jatuh ke lantai bersama, pasti Kenchana yang akan jatuh terlebih dahulu dan dirinya nanti akan menimpa Kenchana. Oleh kerana tidak mahu Kenchana kesakitan akibat jatuh, Betara segera memusingkan badannya ke arah bawah dan menghayunkan tangannya yang sedang memangku Kenchana ke arah atas.
"Bamm!!" Akhirnya mereka berdua jatuh di belakang Mastika yang sedang mengunyah makanan.
"Hishh, budak ni. Berjalan mata letak dimana?" Mastika geram sambil menampar kaki Betara yang berada di belakang badannya. Mastika tidak memandang pun Betara dan Kenchana yang rebah di belakangnya. Dia cuma melihat kaki Betara yang masih kelihatan dari pandangan sisinya.
Di belakang Mastika, Kenchana pula dalam posisi sedang menindih badan Betara yang terbaring. Dahinya sedikit terasa sakit apabila terhantuk dengan dahi Betara semasa mereka jatuh. Apabila Kenchana mengangkat kepalanya, baru dia dapat melihat, wajah Betara secara rapat. Sebentar tadi pipi mereka bersentuhan. Kenchana hanya terdiam saat menatap mata Betara. Dadanya rapat menekan dada Betara yang bidang. Ini kali pertama bagi Kenchana, dia bersentuhan serapat itu dengan lelaki. Hidungnya dapat menghidu nafas Betara. Satu perasaan aneh sedang muncul di dalam hati Kenchana tetapi dia sendiri tidak tahu, apakah perasaan itu. Fikirannya terasa kosong dan dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan sekarang.
"Kenchana.. bangunlah dari badanku.." Betara berbisik lembut. Bisikan Betara itu tiba-tiba menyedarkan Kenchana dari lamunannya.
"Maaf.. Maafkan Kenchana.." Kenchana segera bangkit dan menundukkan mukanya. Tadi dia malu kepada semua orang disitu dan sangat geram kepada Betara yang mengusiknya tetapi kini dia terasa sangat malu dengan Betara pula. Kenchana segera duduk di sebelah kiri Mastika dan merapatkan mukanya ke lengan ibu angkatnya itu. Mastika sedar yang Kenchana sekarang merasa sangat malu kerana ulah Betara tadi segera mencubit paha Betara yang masih terbaring di belakangnya. Kenchana pula tersenyum kecil sambil mengetap bibirnya menahan malu apabila melihat tindakan Mastika yang mencubit Betara.
"Sakitlah Ibu.." Betara merungut sambil bangkit dan kembali duduk di sebelah kanan Mastika.
“Dah besar pun, tapi perangai masih macam budak-budak.” Mastika yang masih geram terhadap anak lelakinya itu mencubit sekali lagi di perut Betara. Betara pula menolak tangan ibunya dari terus mencubit sambil ketawa kecil.
Di hadapan Betara pula duduknya Punta Damar yang sedang menjamu selera sambil berdehem beberapa kali. Pemimpin Puak Saga itu hanya melihat beberapa kali ke arah Betara tetapi tidak menunjukkan apa-apa reaksi, seolahnya tidak melihat apa yang berlaku sebentar tadi di antara cucu lelakinya itu dengan Kenchana.Orang tua itu sudah masak dengan perangai cucunya itu. Walaupun tidak bercakap banyak, namun Betara agak nakal dan suka mengusik orang. Walaupun tutur katanya sopan terhadap orang yang lebih tua, namun tindakan nakalnya tetap tidak mengira sesiapa. Tindakannya mengusik Kenchana dengan menggendong gadis itu di hadapan orang tua apatah lagi ketika sedang makan itu tidak sepatutnya dilakukan. Tetapi, itulah perangai Betara.
Punta Damar melepaskan satu hembusan kasar setelah melihat Mastika. Dia tahu Mastika merasa malu dengan tindakan Betara di hadapan orang ramai sebentar tadi. Namun bagi Betara, semua penduduk di perkampungan Bunut Naga itu sudah dianggapnya seperti saudaranya sendiri. Dia tidak membezakan di antara sesiapa pun dikalangan mereka. Kerana semuanya dianggap seperti saudara dan adik beradik, maka Betara langsung tidak merasa segan dengan sesiapa.
Share this novel