GENAP seminggu Kenchana berada di Perkampungan Bunut Naga bersama kelompok puak Saga di sini. Hatinya kini berbunga-bunga kerana setiap hari dapat berbual dan bergurau senda dengan manusia sejak kehilangan ibunya dulu.
Sebuah rumah kecil seperti bilik telah dibina daripada buluh oleh puak Saga kepada Kenchana bagi memudahkan urusan harian gadis itu di ruangan peribadi. Suatu kebahagiaan yang tidak pernah dia mimpikan, mendapat tempat tinggal yang selesa dan keluarga yang penyayang. Mastika juga menjadi tempat dia meluah segala perasaan dan tempat dia merasakan kembali kasih sayang seorang ibu. Mastika melayannya tidak ubah seperti anak kandungnya sendiri.
Cuma kadang-kala dia agak pelik dengan penampilan orang lelaki di situ. Tubuh badan mereka berbeza dengan tubuh wanita. Perbuatan dan pergerakan mereka juga lebih kasar dan keras. Malah yang lebih aneh bagi Kenchana, ada sebahagian lelaki memiliki bulu yang panjang diwajahnya lebih tepat lagi di bawah hidung dan di dagu mereka. Tapi dia tidak pernah melihat seorang wanita pun yang mempunyai bulu sedemikian di wajah mereka.
Wajar sahaja Kenchana berfikiran sebegitu kerana seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat manusia lain selain ibunya apatah lagi melihat kaum lelaki. Namun hal tersebut agak aneh bagi Kenchana yang tidak pernah tahu mengenainya. Kenchana pernah juga bertanyakan hal tersebut kepada Mastika, namun ibu angkatnya itu hanya tertawa dan cuma menjawab hal itu adalah perkara biasa.
Bagi Kenchana, kaum lelaki itu penuh misteri dan hal yang aneh lebih-lebih lagi Betara. Ketua pemburu puak Saga itu jarang berbicara dengan Kenchana. Cuma sering tersenyum apabila bertemu. Mungkin terikut tabiat ibunya, Mastika yang tidak pernah lekang senyuman di bibirnya.
Mungkin kerana penampilan dan keperibadiannya, Kenchana menjadi tertarik untuk sentiasa melihat Betara. Begitulah fikirnya. Betara itu sangat dihormati penduduk disitu dan lelaki itu juga sangat menghormati orang lain. Kanak-kanak juga sering bermain dan bergurau dengan lelaki yang bakal menjadi ketua puak disitu. Walaupun berbadan tegap dan sasa, lelaki yang menjadi ketua pemburu itu sangat penyayang. Tutur katanya lembut tapi sangat tegas apabila memberi arahan sama persis datuknya Punta Damar.
Kenchana yang sedang memikirkan kebahagiaan yang dia kecapi seminggu ini di gazebo. Dia bersendirian duduk di pelantar buluh di situ sambil menikmati pemandangan di perkampungan Bunut Naga sambil memerhatikan telatah penduduk di sana lebih-lebih lagi kanak-kanak yang sedang bergembira bermain kejar-kejaran. Matanya kemudian melihat ke arah seorang lelaki yang sedang berjalan menuju ke arah gazebo di mana Kenchana sedang duduk sekarang. Lelaki itu tersenyum apabila menghampiri Kenchana dan Kenchana juga membalas senyumannya.
"Apakah kau gembira berada di sini?" Lelaki itu mula menyapa dan menghentikan langkahnya di hadapan Kenchana.
"Ya. Aku suka. Perkampungan ini bagus sekali. Orang-orang di sini juga semuanya baik." Kenchana menolak rambutnya yang terjurai ke belakang telinga.
"Baguslah kalau begitu."
"Maafkan aku. Siapa namamu?" Kenchana masih belum mengenali lelaki yang mendatanginya itu. Dia cuma pernah melihat wajah lelaki tersebut beberapa kali selama ini tetapi belum pernah bertegur sapa. Ini adalah kali pertama mereka berbual.
"Namaku Salak. Selamat berkenalan."
"Namaku Kenchana."
"Semua orang disini sudah mengenalimu Kenchana." Salak tertawa apabila Kenchana memperkenalkan dirinya. Padahal seluruh penduduk disitu sudah mengenalinya yang merupakan pendatang baru di perkampungan tersebut. Kenchana hanya tersipu sambil tersenyum dan menggosok belakang lehernya. Kenchana sedikit merasa malu apabila dikatakan semua orang mengenalinya namun dia hanya mengenali beberapa orang sahaja di kalangan Puak Saga di situ. Salak kemudian meletakkan punggungnya di lantai gazebo, duduk di sebelah Kenchana.
"Dari mana sebenarnya asalmu? Dimana keluarga dan puakmu Kenchana? Mustahil kau tiada keluarga." Salak bertanya dengan suara yang lembut.
"Aku tak tahu. Aku sendirian sejak ibuku meninggal ketika aku masih kecil. Aku cuma ada Suri, si rusa putih itu sahaja yang menemaniku."
"Aneh sekali.."
Kenchana menundukkan pandangan wajahnya. Sejak datang ke perkampungan ini, sudah beberapa orang bertanyakan dia soalan yang sama. Kenchana sendiri tidak mampu menjawab soalan mereka itu. Dia sendiri tidak tahu dari mana asal-usulnya. Selama ini, dia sendiri tertanya-tanya tentang identiti dirinya sendiri. Namun apabila ditanya oleh orang lain soalan sebegitu, Kenchana merasakan satu beban yang bermain di benaknya.
"Pakaianmu juga aneh. Itu bukan pakaian puak di sekitar kawasan pergunungan ini." Salak melanjutkan kata-kata. Setelah melihat wajah Kenchana yang bertukar menjadi sugul, Salak tahu kata-katanya tadi telah mengguris perasaan Kenchana. Dia sedar, dia perlu mengubah topik perbualan untuk menceriakan kembali suasana hati Kenchana di kala itu.
"Tapi, pakaian itu sesuai untukmu. Kau terlihat sangat cantik dengan pakaian putih sebegitu." Salak cuba memuji. Namun pujian itu sebenarnya ikhlas dari Salak. Kecantikan kenchana tidak dapat disanggah oleh sesiapa pun. Rambutnya ikal, panjang mengurai. Kulitnya putih bersih sehingga menampakkan urat-urat halus di pipi dan leher gadis tersebut. Badannya tertutup penuh dengan gaun berwarna putih. Tidak terdedah sama sekali seperti wanita lain yang cuma memakai anyaman dedaunan untuk menutup dada dan selangkangan mereka. Tidak ada satu kudis atau parut pun di tubuh badan wanita tersebut.
"Aku fikir kau itu bidadari dari kayangan. Sungguh cantik sekali." Salak terus memuji Kenchana. Kenchana yang mendengar perkataan dari mulut Salak itu merasakan hatinya mekar berbunga. Kenchana tidak tahu kenapa dia rasa sangat gembira apabila dikatakan sebegitu. Mungkin itu adalah lumrah seorang wanita yang suka mendengar puji-pujian.
"Salak. Di sini rupanya kau. Tak habis lagi menggoda perempuan?" Tiba-tiba satu suara lelaki menegur Salak.
"Kau rupanya Limbat." Salak yang terkejut disapa terus berpaling melihat orang yang memanggil namanya.
"Namaku Limbat." Limbat menghulurkan tangannya kepada Kenchana untuk bersalam. Namun Kenchana hanya mengangguk dan menundukkan pandangan wajahnya ke lantai, tidak menyambut tangan Limbat. Limbat yang sedar salamnya tidak bersambut terus menjatuhkan tangannya sambil mulutnya mengukirs senyuman hambar. Tanpa mengatakan apa-apa, Limbat terus duduk di samping Kenchana, menjadikan Kenchana sekarang diapit ditengah oleh Limbat dan Salak.
"Maaf, aku perlu pergi sekarang." Kenchana meminta diri dan terus bangkit berdiri. Kenchana sebenarnya tidak selesa apabila di apit oleh dua orang lelaki di kiri dan kanannya. Kenchana yang sudah terbiasa bersendirian tidak gemar untuk terlalu bersosial. Kenchana terus berlalu pergi dari gazebo, meninggalkan Salak dan Limbat.
"Kau ini kacau daun betullah Limbat." Salak menolak bahu Limbat.
"Kau tak usah jadi ulat bulu naik daun la Salak." Limbat ketawa kepada sahabatnya itu.
"Tapi.. Dia benar-benar cantik." Salak mengunci pandangannya kepada Kenchana yang semakin kejauhan berlalu pergi.
"Nanti dia akan jadi isteri aku. Kau tak usah berangan la Salak."
"Tapi dia nanti akan melahirkan anak-anakku." Salak pula membalas ejekan Limbat. Pandangannya masih melihat ke arah Kenchana dari belakang.
"Baunya harum betul. Seperti bunga melur. Buat aku geram saja." Limbat yang turut memerhatikan Kenchana sambil mengetap bibirnya. Sepertinya kecantikan gadis itu sudah merasuk nafsu lelaki mereka.
Kenchana yang berlalu pergi tadinya mendatangi Mastika yang baru keluar dari pintu rumahnya. Mastika yang menyedari kehadiran Kenchana terus melontarkan senyuman kepada anak angkatnya itu.
"Kenchana dari mana?"
"Tidak dari mana-mana. Kenchana bosan."
"Kalau begitu, ayuh ikut Ibu."
"Ibu mahu kemana?"
"Ada la.. Ayuh." Mastika menuntun tangan Kenchana untuk mengikutinya.
Kenchana hanya patuh mengikuti Ibu angkatnya itu. Mereka berjalan menuju ke arah belakang perkampungan, dimana kawasan tersebut terlihat lapang dan di sekelilingnya dipenuhi oleh pelbagai jenis pokok bunga. Pemandangan yang sangat indah itu benar-benar memukau Kenchana. Apabila sampai di kawasan tersebut, aroma wangian dari bunga-bunga yang sedang mekar disitu membuatkan udara disitu terasa lebih segar dan menyenangkan. Kenchana beberapa kali menarik nafas panjang, menyedut udara yang menjadi terapi jiwa dengan bau-bauan yang manis dan harum.
"Ini bunga apa?" Kenchana memegang hujung ranting yang lebat berbunga putih sambil merapatkan hidungnya ke bunga tersebut untuk menghidu baunya.
"Itu bunga melur. Harumkan baunya?" Mastika tersenyum melihat Kenchana yang sedang tertarik dengan bunga-bunga di kawasan tersebut.
"Ya. Harum sekali."
"Baunya seakan sama macam Kenchana." Mastika tertawa kecil.
"Bau Kenchana?" Kenchana kebingungan dengan kata-kata Ibu angkatnya itu.
"Mungkin kamu tidak perasan dengan bau badanmu sendiri. Tapi sungguh aneh. Ibu pun tertanya-tanya kenapa badan Kenchana berbau harum seperti bunga melur." Mastika tidak berselindung dan berterus-terang dengan Kenchana. Kenchana hanya mendiamkan diri. Dia sebenarnya masih tidak memahami maksud Mastika walaupun kata-kata ibu angkatnya itu jelas untuk difahami.
"Ayuh, bantu ibu petik bunga-bunga ini." Mastika memetik bunga-bunga disitu satu persatu. Kenchana turut mengikut tingkah laku ibu angkatnya itu apabila diminta berbuat demikian. Bunga yang memenuhi telapak tangannya, kemudian diisi ke dalam bakul yang dibimbit oleh Mastika.
Pelbagai jenis bunga yang ada disitu dipetik oleh mereka berdua untuk memenuhi bakul. Kenchana yang hanya ikut memetik bunga tersebut langsung tidak tahu tujuan mereka berbuat demikian, namun aktiviti tersebut sungguh menyenangkan hatinya. Setelah bakul penuh terisi dengan bunga yang berbagai warna, Mastika mengajak Kenchana untuk duduk di atas sebuah hamparan batu yang besar di kawasan tersebut. Bakul yang dipenuhi bunga-bungaan itu diletakkan oleh Mastika.
"Untuk apa mengutip bunga sebanyak ini ibu?" Kenchana melontarkan pertanyaan yang menjadi persoalan dibenaknya sejak dari tadi.
"Ibu nak buat malai bunga."
"Malai bunga? apa tu?"
"Malai bunga tu, karangan bunga. Semua bunga-bunga ni, kita ikat dan satukan untuk dijadikan kalung."
"Buat kalung bunga?"
"Ya. Mari kita buat. Ibu ajarkan." Mastika membelek-belek kumpulan bunga di dalam bakul dan mengeluarkan beberapa kuntum bunga yang dipilihnya. Mastika kemudian menyusun dan menyatukan bunga-bunga tersebut sebelum diikat. Kenchana yang melihat perbuatan Mastika itu cuba untuk meniru. Selepas beberapa ketika, gugusan bunga yang diikat itu menjadi karangan bunga yang berwarna-warni dengan pelbagai jenis bunga. Mastika mengangkat karangan bunga yang dihasilkannya itu menggunakan kedua belah tangannya.
"Nah. Sudah siap pun malai bunga ibu. Cantikkan?" Mastika menunjukkan hasil karangan bunganya kepada Kenchana.
"Besarnya ibu punya. Kenapa Kenchana buat jadi kecil." Kenchana tertawa setelah melihat hasil yang dibuat olehnya lebih kecil berbanding hasil buatan Mastika.
"Begitu pun dah elok. Dah cantik pun."
"Tapi tak boleh dibuat kalung. Tak muat la ibu." Kenchana cuba meletakkan karangan bunga buatannya di kepalanya sendiri. Kalungan bunga itu tersangkut di kepalanya dan tidak muat untuk di sangkut di lehernya. Apabila ingin melepaskan karangan bunga di kepalanya itu, Kenchana tanpa sengaja turut menarik kalungan yang tersedia dipakai di kepalanya. Kalungan yang dipakai di kepalanya itu adalah pemberian dari Betara semasa malam pesta sambutan Kenchana ke Perkampungan Bunut Naga seminggu yang lalu. Sejak dipakaikan kalungan tersebut oleh Betara, Kenchana sama sekali tidak pernah menanggalkan kalungan di kepalanya itu.
"Ah.. kalung kepala dari Betara.." Kenchana segera memakai kembali kalung dari serat pohon cenuai itu di kepalanya. Mastika hanya diam memerhatikan Kenchana. Dari tindakan Kenchana, Mastika sedar anak angkatnya itu sangat menghargai hadiah pemberian dari Betara.
"Malai bunga Kenchana itu boleh saja dipakai di kepala. Cantik juga kalau berada di kepala. Sini, Ibu pakaikan malai bunga ini kepada Kenchana." Mastika memakaikan karangan bunga yang dibuatnya tadi ke leher Kenchana.
"Ini untuk Kenchana? wah.. cantiknya." Kenchana sangat teruja dan gembira apabila dipakaikan malai bunga oleh ibu angkatnya.
"Cantikkan? Sangat sesuai dengan Kenchana." Mastika tersenyum.
"Ah, Kenchana punya, ini Kenchana beri pada Ibu." Kenchana pula meletakkan malai bunga buatannya di kepala Mastika.
"Terima kasih sayang." Mastika menghadiahkan satu ciuman di pipi Kenchana. Kenchana yang semakin gembira dengan ciuman dari ibu angkatnya itu tersenyum lebar sambil menggenggam kedua belah tangan Mastika.
"Malai bunga ni, selalunya kita akan pakaikan kepada orang yang kita hormat,kita sanjung dan orang yang kita sayang." Mastika memberi penjelasan.
"Ayuh kita kumpul lagi bunga-bunga." Kenchana semakin teruja.
"Untuk apa lagi?"
"Kenchana nak buat lagi malai bunga ni."
"Ya lah.. " Mastika merasa senang apabila melihat Kenchana yang sedang teruja dan gembira. Dia kemudiannya berdiri perlahan-lahan dari duduknya. Setelah Mastika berdiri, Kenchana sudah pun membawa bakul rotan menuju ke arah pokok-pokok bunga di tepian kawasan lapang tersebut. Mastika membetulkan kedudukan malai bunga di kepalanya sambil tersenyum memandang Kenchana yang sedang kegirangan. Kemudian Mastika terus membuka langkah kakinya menuju ke arah Kenchana yang sudah pun memetik bunga.
Share this novel