MASTIKA menundukkan pandangan wajahnya. Kenchana pula menyeka air mata yang sudah bergenang di kelopak matanya.
"Di sinilah tempat Betara mengamuk. Cuma batu ini sahaja yang tersisa." Mastika menepuk hamparan batu yang menjadi tempat dia dan Kenchana sedang duduk sekarang.
"Di sini?" Kenchana melihat ke sekeliling kawasan tersebut.
"Dulu batu ini adalah bongkahan batu yang besar dan tinggi. Banyak lagi batu sebegini di kawasan ini asalnya. Tapi semua dihancurkan oleh Betara. Hanya batu ini sahaja yang dihancurkan bahagian atasnya."
"Bagaimana dengan Kirana?"
"Selepas dua hari pengsan, baru Betara sedar. Setelah dia menceritakan apa yang berlaku, baru kami pergi mencari Kirana. Mayatnya dibawa kembali dan di makamkan di tanah perkuburan sebelah sana." Mastika menunjukkan jarinya ke arah tanah perkuburan yang tidak dapat dilihat dari tempat mereka berada sekarang.
"Sejak dari itu, Betara menjadi kurang berbicara. Dia lebih banyak menghabiskan masanya bersendirian." Mastika menyambung ceritanya.
"Dan.. bunga-bunga ini pula?" Kenchana bertanya lagi.
"Bunga-bunga itu semua ditanam oleh Betara. Selepas beberapa bulan kejadian tersebut, Betara yang keluar berburu mengutip pelbagai jenis pokok bunga yang dia temui dan dibawa balik untuk ditanam di sini. Dia ingin menjadikan impian Kirana dulu sebagai kenyataan. Sekarang, selepas lima tahun, kawasan ini menjadi cantik, penuh dengan bunga-bunga, sama seperti keinginan Kirana."
"Jadi.. Betara itu asalnya bukan seorang yang kurang bercakap?"Â
"Ya.. Betara dulu asalnya seorang yang ceria, banyak bercakap dan nakal." Mastika tersenyum. Setelah diam seketika, Mastika melanjutkan kata-katanya.
"Ibu perasan, Betara sudah semakin kembali seperti dulu sedikit demi sedikit."
"Maksud ibu?"Â
"Sejak Kenchana datang ke sini, Betara sudah sedikit sebanyak mula bercakap dan bergaul.. Bermain dengan anak-anak kecil.. Nakalnya juga sudah kembali..semakin menjadi-jadi.. Seperti dia gendong Kenchana semalam.."Â
Kenchana yang terpempan lantas menundukkan wajahnya kerana merasa malu dengan kata-kata Mastika. Dia benar-benar tidak menyangka Betara akan bertindak sebegitu di hadapan orang tua dan orang ramai. Walaupun geram dengan tindakan Betara tersebut, namun Kenchana sendiri sebenarnya merasa senang dan bahagia diperlakukan begitu oleh Betara. Entah kenapa dirinya harus merasa bahagia, Kenchana sendiri pun tidak tahu alasannya.
"Tolong ibu.. Tolong kembalikan Betara yang dahulu.. Ibu percaya hanya Kenchana yang mampu kembalikan Betara." Mastika meletak tapak tangannya di pipi Kenchana dan mengelus lembut pipi gadis tersebut.
"Ke..kenapa Kenchana?" Kenchana kebingungan.
TIDAK jauh dari mereka, di hutan pinggiran Perkampungan Bunut Naga, Betara sedang menatap sebatang pokok di hadapannya. Terlihat dua kesan tetakan pada batang pokok tersebut. Itu adalah bekas tetakan yang dibuat oleh Betara. Kesan tetakan itu sekarang hanya separas hidung Betara dan satu lagi hanya separas dada. Kelihatannya, Betara sudah tumbuh lebih tinggi sejak lima tahun lalu. Betara mengusap kesan bekas tetakan di batang pokok yang menandakan ketinggian Kirana dahulu. Tidak lama kemudian, dia mendongakkan kepalanya memandang ke atas. Pokok tersebut juga sudah semakin membesar dan tinggi. Daunnya juga terlihat lebih lebat berbanding dulu.
"Kirana.. sayangku kepadamu juga akan menjadi lebih tinggi seperti pokok ini.." Betara berbicara perlahan.
Tiba-tiba telinga Betara menangkap suatu bunyi pergerakan. Matanya segera dialihkan ke arah punca bunyi tersebut. Dia masih mencari-cari pendatang yang tak terlihat oleh matanya. Betara yakin seseorang sedang bersembunyi di sebalik pepohonan dan semak-samun disitu. Tangannya segera mencapai hulu parang dan menghunus parangnya sebagai tanda berjaga-jaga.
"Siapa itu?" Tunjukkan dirimu."Â
Selepas Betara memberi arahan, semak tinggi di hadapannya bergerak-gerak dan muncullah seekor rusa berwarna putih. Rusa itu memandang tepat ke arah Betara yang sudah bersiap-siaga dengan parangnya.
"Kau rupanya, Suri." Betara membuka langkah kakinya, berjalan menuju ke arah Suri, rusa yang menjadi teman Kenchana. Betara juga menyarungkan kembali parang ke sarung yang tersemat di pinggangnya.
"Sudah beberapa hari kau menghilang. Bukankah di sekitar kawasan ini juga ada makananmu? Kenapa perlu mencari makan di tempat yang jauh?" Betara memegang kepala Suri. Rusa itu terlihat sangat jinak. Betara merasa agak hairan, bagaimana seekor rusa yang berwarna putih dan sangat sukar untuk ditemui itu begitu jinak dan menemani Kenchana. Tapi semasa kali pertama bertemu Kenchana dan Suri, Betara sendiri melihat mereka takut kepada manusia dan melarikan diri dari pemburu yang mengejar mereka. Suri juga tidak berani menghampiri Betara ketika Betara menggendong Kenchana untuk dibawa pulang ke Perkampungan Bunut Naga. Rusa putih itu hanya mengikuti jejak Betara dari jauh. Sepertinya haiwan itu dapat mengenal orang yang akan menyakiti dirinya dan Kenchana serta membezakan orang yang cuba membantu mereka.
"Siapakah Kenchana sebenarnya?" Betara bertanya kepada Suri.
Rusa putih itu hanya merenung ke arah Betara. Langsung tidak bergerak atau menunjukkan sebarang reaksi. Betara beralih kedudukannya, berjalan ke bahagian sisi Suri. Badan rusa putih itu digosoknya. Bulu haiwan itu memenuhi celah-celah jari Betara. Bulu yang halus itu terasa kasar dan keras, melekat kemas di badan haiwan albino tersebut. Berkali-kali badan Suri di usap oleh Betara. Betara memerhatikan bulu yang putih dan bersih milik Suri. Terasa sedikit keanehan pada haiwan tersebut. Walaupun tinggal di hutan belantara, bulunya tetap bersih bersinar. Langsung tiada bekas kotoran. Tubuhnya juga tidak berbau seperti kebiasaan haiwan.
"Rajin betul kau mandi, bersihkan tubuhmu ya Suri?" Betara menepuk-nepuk badan Suri. Suri kemudiannya menggerakkan kepalanya. Tanduk besar miliknya hampir mengenai Betara yang berdiri di sisinya.Â
"Hati-hati. Tandukmu hampir mengenaiku." Betara memegang tanduk besar milik Suri. Tanduk itu kemudiannya digosok-gosok oleh Betara dengan agak kuat. Selepas melepaskan tanduk rusa putih itu, Betara mengelus pula kepala haiwan albino tersebut.
"Kalau kau mahu berteduh, masuklah ke pekarangan kampung. Aku akan pastikan kau tidak akan diapa-apakan." Betara terus bercakap dengan rusa putih di hadapannya walaupun dari tadi dia langsung tidak mendapat sebarang jawapan dari pertanyaannya. Suri kemudiannya mula bergerak dan meninggalkan Betara perlahan-lahan. Betara hanya memerhatikan haiwan langka di hadapannya itu. Baru berjalan beberapa langkah, Suri pun menghentikan langkahnya dan memakan dedaunan yang ada di situ.Â
"Makanlah apa yang ada di sini. Aku ingin kembali ke perkampungan dahulu. Jumpa lagi Suri." Betara pula berjalan untuk kembali ke perkampungan Bunut Naga. Baru sahaja menapak beberapa langkah, tiba-tiba satu suara kedengaran.
"Tolong jaga Kenchana baik-baik. Jangan buat dia bersedih."Â
"Betara segera memalingkan wajahnya apabila mendengar suara tersebut. Mencari-cari gerangan pemilik suara. Namun tiada sesiapa yang terlihat di depannya selain Suri, si rusa putih yang sedang mengunyah daun-daun yang menjadi santapannya.Â
"Siapa yang bercakap?" Betara masih mencari-cari di sekeliling kawasan tersebut.
"Tolong.. berikan Kenchana kebahagiaan.. Jaga keselamatannya.." Suara tersebut masih kedengaran oleh Betara.Â
"Siapa itu?" Betara masih mencari.
"Suri, apakah itu suaramu?" Betara cuba bertanya kepada rusa berwarna putih itu walaupun dia tahu, tidak mungkin rusa itu yang sedang bercakap dengannya. Suri hanya memandang kepada Betara sambil mulutnya masih mengunyah dedaunan. Seketika kemudian, Suri mengalihkan pandangannya dan berjalan, berlalu pergi dari kawasan tersebut. Betara pula masih terpinga-pinga dan mencari-cari seseorang yang telah berbicara kepadanya sebentar tadi. Tidak lama kemudian, Betara memejamkan matanya dan memicit kepalanya
"Mungkin aku terlalu penat barangkali.. Sehingga mendengar suara yang tidak wujud.." Betara sedikit mengeluh.
"Tapi.. kenapa harus Kenchana? Adakah aku terlalu memikirkan Kenchana? Kenapa?" Betara terus bermonolog.
"Apakah aku sudah sukakan Kenchana?" Setelah diam beberapa detik, Betara mendongakkan kepalanya ke arah pucuk pokok yang ditetaknya lima tahun dahulu.Â
"Kirana.. mampukah aku terus pertahankan cintaku padamu?"
Betara terus menatap pucuk pokok di hadapannya. Sinar matahari terlihat dari celah-celah daun yang merimbun. Kelihatan juga dua ekor burung sedang berkicau riang di dahan pokok tersebut. Sepertinya dua ekor burung tersebut sedang bermadu kasih. Melompat dan menyanyi riang di atas dahan pokok yang tinggi. Sesekali, keduanya terbang dan hinggap di dahan yang lain pula.
Share this novel
ada sorg lg author llki pun fntasi nm dia iqmal ... ada msa bole singgh ke np dia jugk ... cuma dia pun lm sepi
xpela hrap awak bole mnarik pmbca ... sy pun ada share di fb sya hati hutan.
kna reject sbb unsur kn