BETARA menjadi geram kembali setelah mendengar kata-kata Sang Ukong. Kera itu benar-benar keterlaluan bicara dan tingkah-lakunya.
"Kurang ajar kera celaka!"Â
"Cis, manusia lemah.. Jangan kau berani menggertakku.. Aku adalah kera sakti dari kayangan!" Sang Ukong berubah riak wajahnya menjadi masam mencuka. Kera sakti itu kemudian perlahan-lahan menghalakan tongkat kayu di tangannya ke arah Betara.
"Memanjanglah tongkat sakti!" Tiba-tiba tongkat kayu di tangan Sang Ukong menjadi panjang dan dengan pantas mengenai perut Betara. Tongkat yang berubah menjadi panjang dengan sangat cepat itu langsung tidak diduga oleh Betara sehingga pemimpin Puak Saga itu tidak sempat mengelakkannya. Rasa senak yang amat menyakitkan di perutnya menyebabkan Betara terundur beberapa langkah ke belakang. Sejurus itu juga tongkat yang memanjang tadinya kini memendek kembali.Â
"Tak guna.." sarut suara Betara yang keluar dari halkumnya.
"Hihihi.. lemah sekali.." Sang Ukong mentertawakan Betara sambil bertitar terlompat-lompat.
"Lemah..lemah..lemah.."Â
"Arghhh!!!" Betara kembali mengamuk apabila disindir sebagai lemah oleh seekor kera. Api mula menyala kembali di mata Keris Taming Gemala Naga miliknya. Mata Betara sudah merah menyala seperti saga dan mula menyorot ganas. Barisan giginya yang terkancing rapat kini terlihat seperti ada taring yang tumbuh.
"Hihihi..si lemah ini sudah mengamuk.." Sindiran dari Sang Ukong masih tidak berhenti. Kera itu sengaja memancing kemarahan Betara.
"Baiklah, kalau kau dapat kalahkan aku, aku akan kembalikan perempuan itu.. setuju?" Kera sakti itu masih tersengih-sengih memberi tawaran kepada Betara. Betara yang terlihat seolah sudah hilang kewarasannya langsung tidak menunjukkan reaksi selain ingin menghabisi kera di hadapannya itu.
Betara mula berlari ke arah Sang Ukong sambil menggenggam kemas keris di tangannya. Sang Ukong pula begitu tenang sambil mencabut beberapa helai bulu di kepalanya. Bulu yang berada di tangannya itu kemudian ditiup lalu bulu-bulu itu bertukar menjadi beberapa ekor kera yang mirip sekali dengan Sang Ukong. Itu adalah kesaktian Sang Ukong yang dapat menjelmakan klon dirinya sendiri dari bulu miliknya. Kini di hadapan Betara, terdapat lima ekor Sang Ukong.
Kera sakti itu sungguh gemar bermain-main dan memperlecehkan lawannya. Kelima-lima ekor Sang Ukong itu terlompat-lompat disekeliling Betara yang ingin menyerangnya. Raja kera itu masih tidak melakukan sebarang serangan ke atas Betara melainkan cuma mengelak-elak serangan lawannya sambil ketawa terbahak-bahak.
Selepas beberapa kali serangan, akhirnya Betara yang sudah dirasuk amarah itu berjaya menikam salah seekor dari Sang Ukong. Klon Sang Ukong yang merupakan bayangan itu pun menghilang selepas diserang dan kini masih berbaki empat Sang Ukong yang mana tiga daripadanya adalah jelmaan bayangan dan cuma satu sahaja badan yang asli. Â
Betara semakin mengamuk dan api dari serangannya semakin marak membakar semula sekitar kawasan tersebut. Tiba-tiba salah seekor dari Sang Ukong itu terjerit-jerit. Rupa-rupanya ekornya sudah terbakar setelah terkena api. Sang Ukong segera meniup-niup api yang menyala di hujung ekornya itu dengan bersemangat sekali. Itu adalah diri asli Sang Ukong.
Sifat nakal dan humor jelas terlihat pada kera sakti itu walaupun tingkah lakunya sangat menyakitkan hati. Bahkan semasa berdepan dengan Betara yang sedang mengamuk pun dia masih mampu untuk bermain-main sambil ketawa. Betara kemudiannya memekik dengan kuat dan api mula menyebar ke seluruh badannya. Kini seluruh badan Betara diselubungi oleh api yang marak. Api itu seolah-olah melindungi Betara dan akan membakar apa sahaja yang berada berdekatan dengannya. Mungkin itu adalah kesaktian dan kemampuan yang dimiliki oleh Betara sebagai keturunan dari naga.Â
Setelah api semakin marak, serangan Betara menjadi semakin ganas. Dalam beberapa detik sahaja, ketiga klon bayangan Sang Ukong menjadi hilang kerana disentuh oleh api yang menyambar dari Betara itu. Kini yang tertinggal hanyalah Sang Ukong yang asli sahaja. Namun kera itu dilihat masih santai dan tidak khawatir dengan serangan Betara yang menggila itu.Â
"Betara!" Tiba-tiba suara Kenchana kedengaran. Rupa-rupanya Kenchana sudah sedar dari pengsannya dan masih terikat di atas dahan pokok yang tinggi tadi. Betara yang sudah hilang kewarasan itu langsung tidak mendengarkan jeritan Kenchana yang memanggil namanya. Sang Ukong yang melihat keadaan tersebut menggaru-garu kepalanya sambil mengelak serangan dari Betara. Betara kini hanya melihat Sang Ukong sahaja dimatanya dan dia harus menghapuskan kera sakti itu secepat mungkin. kewarasan akalnya sudah diselaputi oleh amarah yang bermaharajalela dihati.
"Tolong! Kenapa Betara?" Kenchana menangis apabila melihat Betara yang diselubungi api di seluruh jasadnya itu. Pada fikiran Kenchana pada saat itu, Betara sudah dibakar dan pasti akan mati sebentar lagi. Kenchana tidak menyedari bahawa api itu sebenarnya dihasilkan oleh Betara sendiri.
"Kau begitu bersungguh-sungguh ingin melawan ku ya? Sang Ukong mentapa tajam ke arah Betara. Betara yang sudah hilang kewarasannya merenung ke arah kera sakti tersebut tanpa mengeluarkan sepatah kata pun.
"Kalau begitu, apa kata kita pindah tempat saja.." Sang Ukong mula memutarkan tongkat kayu ditangannya dengan laju. Sejurus kemudian, sang kera sakti itu pun menghentak tongkat kayu di tangannya ke tanah dengan keras. Sekelip mata Betara dan Sang Ukong berpindah tempat dengan tiba-tiba. Betara terpempan apabila melihat suasana sekitarnya telah berubah menjadi satu gurun berbatuan. Hutan dan kera-kera di sekeliling mereka sebentar tadi tiba-tiba hilang termasuklah Kenchana. Kini yang tinggal hanyalah mereka berdua yang sedang berdiri di satu kawasan yang penuh dengan ketulan batu yang tinggi dan besar.
"Ayuh, kita mulai pertarungan!" Pekik Sang Ukong sambil bertitar. Betara yang tidak menunggu lama, langsung menerpa ke arah kera tersebut dengan penuh semangat. Keris Taming Gemala Naga ditangannya diacungkan ke arah Sang Ukong. Namun serangan sebegitu amat mudah sekali untuk di elakkan oleh Kera sakti tersebut. Sang Ukong kemudian melompat ke atas sebuah batu yang besar seraya memusingkan tongkat ditangannya. Kera itu cuma tersenyum sinis melihat ke arah Betara.
Betara dengan penuh geram menghayunkan tangannya ke arah batu besar yang menjadi tempat Sang Ukong berdiri. Dengan serangan yang disertai api yang menyambar dari lengannya, batu besar itu segera hancur. Kekuatan Betara yang mampu menghancurkan batu besar dengan satu pukulan itu jelas telah jauh mengatasi kemampuan manusia biasa. Sang Ukong yang menyedari dirinya akan jatuh ke bawah dan bakal diserang disaat dirinya hilang keseimbangan segera melompat ke udara. Manakala Betara yang melihat tindakan Sang Ukong tersebut mula memasang kekuda dan bersedia untuk menyerang kera itu apabila lawannya jatuh seketika nanti.
"Awan Guling!!" Sang Ukong menjerit. Tiba-tiba satu gumpalan awan yang terlihat seperti kapas, terbang dari langit dan menuju ke arah Sang Ukong. Raja Kera itu kemudian memijak dan berdiri di atas gumpalan awan tersebut. Walaupun kesedarannya hilang, namun Betara tetap berasa takjub apabila melihat kera sakti itu berdiri di atas gumpalan awan yang sedang terapung di langit. Sang Ukong tidak berhenti menunjukkan kesaktian miliknya satu demi satu. Kera sakti itu kemudian tertawa melihat riak wajah Betara yang sedang kebingungan.
Perasaan geram kembali menerjah ke hati Betara. Suara ketawa Sang Ukong benar-benar membingitkan telinga dan menyakitkan hatinya. Betara kemudian melompat dengan sepenuh tenaga ke arah langit. Dia tersangat ingin menghapuskan kera yang menjengkelkan itu. Lompatan Betara yang penuh tenaga itu mengeluarkan api dan kelihatan seolah api dari kaki lelaki itu menolak badan Betara untuk melonjakkan lagi dirinya ke atas udara. Lagak Betara tidak ubah seperti seekor naga yang sedang terbang di udara dan bersedia untuk menerkam mangsanya.
Sang Ukong yang tidak ingin terus menunggu langsung terjun dari awan ajaib yang menjadi tempatnya berdiri. Tongkat di tangannya segera dihayun ke arah Betara untuk menyerang lelaki tersebut. Malang bagi Sang Ukong, serangannya itu dielak dengan mudah oleh Betara malah lelaki itu menendang tongkat yang dituju ke arahnya seraya menjadikan tongkat tersebut sebagai tempatnya untuk berpijak, lantas mata keris ditangannya di arahkan ke arah perut Sang Ukong. Kera sakti itu agak kelam kabut namun tetap bernasib baik apabila berjaya mengelak dari mata keris milik lawannya menembusi perutnya. Sang Ukong kemudian membalik kuang badannya ke belakang seraya menendang dada Betara.
Betara kemudian terus jatuh ke tanah dari aras yang agak tinggi manakala Sang Ukong pula di sambut oleh awan ajaib yang di panggilnya dengan gelaran awan guling. Raja Kera itu kemudian melompat turun ke tanah dengan bergaya sekali. Setelah mendaratkan kakinya ke tanah, Sang Ukong memusingkan lagi tongkat di tangannya dengan laju. Kera itu kemudian menggaru-garu badannya dan berjaya mendapatkan seekor kutu. Kutu yang dikutip dari celahan bulu badannya itu kemudian di makan pula sang kera tersebut. Dia sepertinya mengabaikan Betara yang sedang berdiri menatapnya.
Betara tanpa membuang masa melakukan lagi serangan ke arah lawan yang sedang memperkecilkannya itu. Tikaman demi tikaman, serangan demi serangan dilakukan oleh Betara. Namun serangan bertali arusnya itu langsung tidak mengenai sasaran dan berjaya dielak dengan mudah oleh Sang Ukong.
"Argghh!!" Betara menjerit dengan kuat. Dia semakin geram dengan ulah Sang Ukong yang hanya mengelak serangannya. Tiba-tiba api dari badan Betara semakin marak dan menyambar ke arah Sang Ukong dengan pantas. Sang Ukong kemudian berdecit nyaring apabila mendapati bulu di badannya menjadi hangus apabila disambar api dari Betara. Kera itu menepuk-nepuk badannya agar bulu badannya tidak terus dimakan oleh api dari anak naga itu. Kemudian, Sang Ukong baru perasan, batuan yang berbukit dikawasan tersebut sudah banyak yang hancur dan diratakan oleh Betara.
"Hmm.. dia ni bukan manusia biasa.. badannya penuh dengan aura dan kekuatan naga.." bisik hati Sang Ukong.
"Siapa sebenarnya kau wahai manusia?" Sang Ukong mula bertanya kepada Betara. Namun lelaki yang menjadi lawannya itu langsung tidak memberikan jawapan. Betara terlihat masih bersemangat untuk terus menghabisi nyawa Sang Ukong. Walaupun tidak berjaya menyerang Sang Ukong, namun Betara tetap menyerang batu batuan di kawasan sekitar sehingga hancur lebur.
"Hmm.. sepertinya kau tidak suka berada di tempat ini.." Sang Ukong kemudian berdiri tegak. Dia hanya diam menatap Betara yang berjarak beberapa kaki di hadapannya. Betara tanpa berlengah segera menerpa lagi ke arah lawannya. Kali ini Sang Ukong bertingkah aneh. Dia langsung tidak mengelak dari serangan Betara. Betara yang sedang bernafsu untuk merampas nyawa lawannya itu segera menikam ke arah badan Sang Ukong. Tikaman Betara akhirnya menembusi badan Sang Ukong. Betara kemudian tersentak. Walaupun keris Betara menembusi badannya, namun langsung tiada sebarang reaksi pada wajah Sang Ukong.
Share this novel
done read