52

Fantasy Completed 11833

TANGISAN Kenchana masih berlanjutan walau sudah lebih dari seminggu kelibat Pekan tidak terlihat. Dia baru sahaja menerima berita tentang keadaan Melur yang masih hidup dan sedang berada di Perkampungan Nirma, namun Pekan pula yang menghilangkan diri dari keluarga mereka. Kenchana terkilan kerana dia belum sempat menyampaikan khabar keadaan Melur kepada Pekan. Kenchana turut menyalahkan dirinya sendiri kerana menyebabkan keadaan Pekan berubah. Dia tahu anak lelakinya itu malu dengan keadaan fizikalnya sekarang. Pekan pasti tidak sanggup untuk berhadapan dengan orang lain memandangkan wajahnya yang terlihat seperti sebatang pohon yang bergerak. Fikir Kenchana, Pekan pastilah menyalahkan dirinya kerana telah mengubah bentuk wujud anak lelakinya itu. Oleh kerana itulah Pekan melarikan diri dan menjauh darinya.

Dalam sedih memikirkan Pekan yang menghilang, Kenchana juga masih galau dan bersedih dengan sikap Melur yang masih belum ingin pulang. Entah kenapa anak gadisnya itu bersikap sedemikian. Kenchana gagal memikirkan alasan anaknya itu. Kenchana benar-benar merasa terasing dan sendirian.  Mastika juga sudah tiada untuk dia meluahkan perasaan. Selama ini, Ibu mertuanya itulah yang menjadi tempat dia meluah dan berkongsi perasaan. Betara pula sibuk dengan urusannya sebagai punta di permukiman mereka. Jika ada masa luang, barulah suaminya itu akan bersama dan menemani Kenchana. Dia tidak menyalahkan Betara. Kenchana tahu, suaminya itu sudah melakukan hal yang terbaik demi dirinya dan seluruh puak mereka.

Suatu hari, selesai sahaja sarapan pagi, Kenchana sendirian duduk di anjung ruangan memasak. Sejak ketiadaan Mastika, Kenchana sudah tawar hati untuk membantu mengemas ruangan tersebut. Dahulu dia sentiasa berbual dan bergurau dengan ibu mertuanya itu ketika memasak atau mengemas ruangan memasak tersebut. Kini, Kenchana hanya melihat sahaja ruangan itu di kemas oleh beberapa orang wanita lain. Sambil melihat, Kenchana termenung sendirian. Fikirannya mengelamun jauh.

“Ibu..” Tiba-tiba suara Melur tertangkap pada pendengaran Kenchana.

“Melur..? Melur..? Di mana dirimu sayang?” Kenchana melihat-lihat ke seluruh kawasan sekitarnya namun dia langsung tidak melihat kehadiran kelibat anak perempuannya itu. Kenchana mula berfikir dia terlalu memikirkan anak perempuannya itu sehingga berkhayal mendengarkan suara Melur. Dia benar-benar merindukan panggilan dari anak gadisnya itu. Namun seketika kemudian, suara Melur kedengaran lagi di telinga Kenchana.

“Ibu.. Melur masih di alam ghaib.. Melur ingin berjumpa ibu..”

“Hadirlah sayang.. Ibu juga sangat rindu ingin melihat Melur..” Kenchana mula menangis. Sekarang dia yakin, dirinya tidak sedang berkhayal. Suara manja yang dia rindukan itu benar-benar jelas kedengaran di telinganya.

“Ibu datanglah ke pohon bunut dihujung kampung. Melur tunggu ibu disana.” 

Tanpa berlengah, Kenchana pun segera bangkit dari duduknya dan bergegas berlari menuju ke arah tempat yang diperkatakan oleh suara anaknya itu. Kerana terlalu gopoh berlari, Kenchana beberapa kali melanggar orang yang lalu lalang di sekitar pekarangan kampung. Beberapa orang penduduk yang melihat perilaku Kenchana itu merasa pelik. Wanita itu terlihat berlari secara semberono dan kelam kabut menuju ke pinggir perkampungan. Sesampainya dia di pohon bunut yang besar di luar perkarangan kampung, Kenchana melilau mencari kehadiran Melur ke sana sini. Tiba-tiba Melur pun muncul di sebalik pohon bunut yang besar itu. 

“Ibu..” Melur memanggil Kenchana.

“Melur.. Anak ibu..” Kenchana segera menerpa dan memeluk anak perempuannya. Kerinduannya selama tiga bulan itu terubat akhirnya. Kenchana sudah tidak mampu menahan air matanya dari terus mengalir dengan laju. Wajah Melur di cium berkali-kali oleh sang ibu bagi meluahkan kerinduannya.

“Melur rindukan ibu..” Melur merangkul pinggang Kenchana dan memeluk erat ibunya itu.

“Kasihan anak ibu..” Kenchana mengelus pipi Melur yang melecur dan berbekas parut luka. 

“Melur malu untuk kembali.. Melur tidak mahu orang melihat wajah Melur yang sudah hodoh ini.” Melur mula menangis kencang.

“Jangan berkata begitu sayang.. Jangan tinggalkan ibu lagi. Cukuplah abangmu sahaja yang melarikan diri dari ibu. Ibu tidak sanggup kehilangan anak-anak ibu..Apakah kalian sudah tidak sayang pada ibu?” Tersedu sedan Kenchana meluahkan kesedihannya.

“Melur sayang ibu.. tapi.. Pekan melarikan diri? Pekan masih hidup?” Melur mulai tertanya-tanya. Padahal sebelum ini, Melur sendiri melihat abang kembarnya itu sudah meninggal dunia akibat dipukul oleh raksasa korbu. Dada dan kepala Pekan jelas terlihat sudah pecah. Mustahil Pekan masih mampu untuk hidup dalam keadaan sebegitu. Malah tiada sesiapa pun, termasuklah Suri yang sudi memberitahunya sebelum ini bahawa abangnya itu masih hidup.

“Ya sayang.. Pekan masih hidup.. Tapi dirinya sudah berubah.. Dia malu kerana dirinya sekarang tidak sama seperti dahulu. Jadi dia melarikan diri dari kampung dan meninggalkan kami. Ibu benar-benar susah hati memikirkan keadaan kalian berdua.” Kenchana bercerita sambil tersedu-sedan menahan tangis. Melur hanya mendiamkan diri apabila Kenchana menceritakan kisah yang berlaku kepada kembarnya itu. Melur sangat memahami perasaan Pekan kerana dirinya sendiri merasakan perasaan yang sama ketika itu. Wajahnya kini sudah jelik dan tidak secantik dahulu, jadi dia sangat malu jika ada orang yang melihat atau menatap wajahnya. 

“Ayuhlah Melur, kita pulang ke rumah.”

“Tidak Ibu.. Melur sudah tidak boleh sentiasa bersama Ibu lagi..” Suara Melur terdengar kendur. Kenchana menjadi terkejut dengan ucapan anak perempuannya itu. 

“Kenapa Melur? Melur dah tak sayangkan ibu lagi? Melur pun ingin meninggalkan ibu juga?” Kenchana teresak-esak menangis sambil menahan sebak dari kata-kata Melur.

“Bukan begitu maksud Melur... Sebenarnya, Melur masih hidup sekarang pun kerana diberikan nyawa oleh Pendeta Manik di Perkampungan Nirma sana. Dia menukarkan nyawanya kepada Melur untuk selamatkan Melur. Jadi Datuk mengatakan, kerana nyawa Melur adalah milik Pendeta Manik, maka Melur sekarang juga sudah menjadi sebahagian dari kaum bunian. Melur kena tinggal di alam bunian untuk terus bertahan hidup sama seperti mereka. Melur tidak mampu untuk hadir ke alam ini dalam masa yang lama.”

“Kenapa ini harus terjadi kepada anak-anakku..” Kenchana menutup mukanya menggunakan kedua tapak tangannya. Terasa hiba disaat meratapi nasib yang menimpa anak-anaknya.

“Ibu janganlah sedih. Melur akan sentiasa datang ke sini untuk menemui Ibu. Di sana juga ada Datuk Jalit yang akan menjaga Melur. Jadi Ibu tak usah risau ya..” 

“Baiklah kalau begitu.. Tapi janji dengan ibu, Melur akan datang setiap hari berjumpa dengan Ibu.” Kenchana mengesat air matanya, kemudian terus memegang kedua belah pipi Melur dengan kedua tapak tangannya sambil tersenyum kelat. Walau apapun yang telah berlaku, Kenchana tetap bersyukur kerana anaknya masih selamat dan hidup dengan sihat. 

“Sehari di sini sekejap saja di alam sebelah sana Ibu..beberapa detik saja. Letih la Melur kalau nak kena datang di sini setiap hari.” Melur mengomel kepada ibunya sambil tersengih. Kenchana juga tertawa dengan kata-kata anaknya itu, seraya memeluk erat Melur didakapannya. Dahi Melur dicium oleh Kenchana berkali-kali sebagai tanda kasih dan rindu seorang ibu terhadap anaknya. Melur yang merasa nyaman dalam kehangatan pelukan ibunya itu memejamkan matanya sambil tersenyum.

KEESOKAN harinya, Melur kembali menunggu Kenchana di tempat yang sama. Dia yang duduk di atas dahan pokok bunut yang besar itu,  menggoyangkan kakinya sambil menggumamkan irama lagu. Melur terlihat gembira apabila mengenakan pakaian yang diberikan oleh datuknya, Penghulu Jalit. Pakaian berwarna putih itu terlihat sama seperti gaun yang selalu di pakai oleh ibunya dan para penduduk di Perkampungan Nirma. Ketika sedang asyik menunggu ibunya, Melur tidak perasan ada seseorang dari Puak Saga di perkampungan Bunut Naga itu sedang melihatnya. Lelaki yang melihat Melur dari jauh itu merasa gembira kerana anak Punta mereka itu sudah kembali ke perkampungan mereka. Setelah lelaki itu mendekati Melur, dia seraya memanggil gadis yang sedang leka di atas dahan pokok bunut tersebut.

"Melur! Kau buat apa di atas sana? Kau Melur kan? Anak Punti.." Lelaki itu sedikit melaungkan suaranya memanggil Melur. Anak yang membesar di Perkampungan Bunut Naga itu amat dikenali oleh lelaki tersebut walau cuma dilihat dari jauh. Melur yang lupa wajahnya sudah menjadi hodoh itu langsung berpaling ke arah lelaki yang memanggil namanya itu. Namun lelaki itu yang tidak tahu keadaan Melur sekarang begitu terkejut apabila melihat perempuan yang berpaling ke arahnya itu memiliki wajah yang jelik, berparut dan melecur.

“Anak... Punti.. Anak!!  Punti.. Anak..!!” Lelaki itu menjerit sambil berlari memasuki perkarangan kampung setelah melihat wajah Melur yang menakutkan.

“Punti anak?” Beberapa orang lain menjadi pelik dengan kata-kata lelaki tersebut. Mereka langsung tidak memahami maksud kata-kata lelaki tersebut.

“Apa yang puntianak?” soal salah seorang lelaki yang lain. Lelaki yang melihat Melur tadi segera menunjukkan ke arah Melur yang sedang duduk di atas dahan pohon bunut.

“Melur.. Anak Punti..”

Melur merasa sangat malu apabila lelaki itu terkejut kerana melihat wajahnya yang jelik. Kerana tidak ingin wajahnya yang hodoh itu terus dilihat orang, Melur terus menghilangkan diri dan kembali ke alam ghaib. Dia tidak mahu dirinya di tertawakan atau wajahnya itu terus menakutkan orang. Namun tindakan Melur yang menghilang dari pandangan secara tiba-tiba itu menyebabkan beberapa lelaki di situ semakin terkejut dan ketakutan. Mereka terus tertanya-tanya, bagaimana anak punti itu boleh menghilangkan dirinya sekelip mata dan menjadi ghaib dari pandangan mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience