AWAL pagi keesokan harinya, Betara dan ketumbukannya termasuklah beberapa puluh orang lelaki dari Puak Paroi memulakan perjalanan mereka. Arah tujuan mereka kini menuju ke Gunung Kuar, tempat dimana menjadi titik pertemuan seterusnya diantara mereka bersama dua pasukan yang lain. Di pertengahan jalan, salah satu pasukan lain berjaya mengejar dan menemui pasukan Betara. Kedua pasukan berjaya bersatu semula sebelum sempat tiba di tempat yang dijanjikan mereka sebelum ini.
Bergerak dalam pasukan yang besar dengan jumlah beratus-ratus orang, menjadikan pergerakan mereka sedikit perlahan. Ditambah lagi dengan kehadiran beberapa belas orang perempuan yang akan bertugas untuk menyediakan makan minum dan bersedia sebagai perawat membuatkan langkah kaki mereka lebih singkat. Setelah berjalan separuh perjalanan, mereka akhirnya berhenti untuk berehat menghilangkan lelah sambil mengisi perut. Kelihatan Betara duduk bersama anak lelaki dan isterinya selain Mastika, Penghulu Jalit dan Suri. Selepas makan, mereka berbual-bual dahulu sesama mereka sebelum memulakan kembali perjalanan mereka. Kenchana pula terlihat mendekati Betara sambil membisikkan sesuatu.
“Temani Kenchana sebentar.. Kenchana hendak buang air kecil.”
“Minta sahaja Pekan temankan..” Betara terpaksa menolak permintaan Kenchana kerana dia sedang membincangkan sesuatu bersama Penghulu Jalit dan Suri.
“Pekan, temani Ibu sebentar.” Betara memberikan arahan kepada anak lelakinya itu. Pekan hanya menganggukkan kepala, patuh kepada arahan bapanya. Kemudian Pekan segera berdiri dan pergi dari kerumunan ramai itu bersama Kenchana. Setelah berjalan agak jauh dari pandangan orang, Kenchana dan Pekan tiba di satu kawasan yang agak gelap. Setelah diamati, kawasan itu agak aneh sekali. Pohon-pohon besar memenuhi ruang tersebut dan menyebabkan denai disitu menjadi gelap kerana terlindung dengan dedaunan rimbun dari pohon yang bercantum. Jika diperhatikan, kawasan itu seolah kelihatan seperti terowong. Denai yang menjadi laluan utama disitu dilitupi oleh terowong yang terbuat dari pohon-pohon yang merimbun. Kenchana merasakan disitu menjadi tempat yang sesuai untuk dia membuang hajatnya kerana benar-benar terlindung. Pekan menghentikan langkahnya untuk memberi ruang peribadi kepada Ibunya. Kenchana pula terus masuk berselindung disebalik belukar.
“Ibu sudah selesai?” Pekan bertanya kepada ibunya.
“Nantilah sekejap.” Kenchana kembali memberikan jawapan kepada pertanyaan anak lelakinya tadi.
“Ibu sudah selesai.. ayuhlah pergi..” Kenchana pun berjalan menuju ke arah Pekan yang sedang menunggunya. Pekan yang sedari tadi berdiri disitu, membelakangi Ibunya yang membuang air kecil disebalik semak. Dia cuma menunggu ibunya itu kembali mendekati dirinya tanpa menoleh ke arah Kenchana. Baru beberapa langkah Kenchana berjalan menuju ke arah Pekan, namun tiba-tiba langkahnya terhenti. Kenchana sungguh terkejut apabila beberapa puluh ekor kera mengelilingi dirinya dan menyekat pergerakannya. Kerana tidak tahan dan bimbang diserang oleh kera-kera tersebut, Kenchana terus menjerit meminta pertolongan.
“Tolong!! Pergi kalian dari sini!”
Pekan segera berpaling ke arah Ibunya. Pekan terus terkejut dan tergamam apabila melihat Ibunya sedang ditarik oleh beberapa ekor kera. Pekan cuba untuk mengejar dan menyelamatkan ibunya itu namun baru beberapa langkah dia menuju ke arah Kenchana, beberapa ekor kera yang lain menghalang Pekan dengan menendang dan menerkam ke arah Pekan.
“Ibu!!” Pekan berteriak memanggil Ibunya yang dibawa lari oleh sekumpulan kera didalam terowong yang gelap, terbina dari pohon-pohon yang bercantum itu.
Beberapa saat kemudian, Betara dan beberapa orang lain bergegas muncul disitu kerana mendengar jeritan Kenchana dan Pekan tadi.
“Kenapa? Kenapa Pekan? Ibumu dimana?” Betara mendekati Pekan sambil melihat beberapa ekor kera yang melarikan diri memasuki terowong gelap dihadapan mereka.
“Ibu.. dibawa lari oleh kera-kera itu..” Pekan menunjukkan kearah kera yang semakin menghilang dari pandangan kerana kegelapan di terowong pepohonan tersebut.
“Tak guna.. Semua orang tunggu disini dan jangan sesiapa pun masuk kesana! Tunggu sehingga Aku kembali.” Betara memberikan arahannya kepada semua orang seraya dia pun berlari memasuki terowong yang gelap itu.
Di dalam terowong yang gelap itu, suasana sekitar cuma terlihat berbalam-balam. Lebih memelikkan, semakin dalam Betara memasuki ruang terowong yang gelap itu, semakin tebal pula kabus yang menyelubungi persekitaran. Pandangan Betara tidak mampu melihat dengan jelas disekeliling kawasan tersebut dek kerana kekurangan cahaya dan juga disebabkan oleh kehadiran kabus yang tebal tersebut. Sesekali cuping telinga Betara dapat menangkap bunyi ketawa yang berselang-seli.
"Siapa kalian?" Betara menjerit bertanyakan soalan kepada suara ketawa tersebut. Namun tiada sebarang jawapan yang dia terima melainkan suara ketawa yang berterusan kedengaran secara tenggelam dan timbul sejak dari tadi.
"Kenapa kalian membawa lari isteriku? Apa kalian itu pengikut Ratu Manikmaya?" Betara mula hilang kesabaran dan meninggikan suaranya. Namun hilaian ketawa itu juga semakin kuat kedengaran seolah memerli pertanyaan Betara.
"Bangsat! Aku akan hapuskan kalian semua, pengikut Ratu Manikmaya!" Betara menjerit dengan penuh kemarahan. Amarahnya kini memuncak apabila dipermainkan oleh suara-suara ketawa tersebut.
"Ratu Manikmaya? Tak guna.. Kau fikir aku siapa untuk tunduk dan menjadi pengikut kepada perempuan yang lemah itu!" Satu suara mula kedengaran, menjawab persoalan Betara tadi. Disebabkan oleh lantunan suara yang bergema dan pandangan mata yang terhad, Betara tidak mampu mengesan dari mana arah punca suara itu.
"Jadi kau bukan pengikut Ratu Manikmaya? Tapi kenapa kau membawa isteriku?"
"Perempuan itu bukan lagi isterimu.. Dia akan menjadi isteriku.. hihihihi."
"Bangsat kau! Tunjukkan dirimu jika berani. Dasar pengecut!" Betara mencabar pemilik suara berkenaan.
"Pengikutku semua.. serang manusia itu!" Terdengar suara itu memberikan arahan. Betara juga mula memperkukuhkan langkah kuda-kuda kakinya dan tangannya juga sudah sedia menggenggam erat sebilah parang untuk menyerang. Sejurus selepas itu, bunyi ketawa pun hilang dan mula digantikan dengan bunyi kera-kera yang mencicit. Bunyi itu membuktikan bilangan mereka itu banyak sekali dan berada di sekeliling Betara, mengepung lelaki tersebut. Kemudian Betara diserang bertubi-tubi dari setiap arah oleh banyak sekali penyerang di sekelilingnya. Betara yang tidak mampu melihat keberadaan musuhnya hanya mampu menghayun parangnya secara membuta-tuli untuk menyerang namun gerakannya itu hanyalah sia-sia kerana tiada satupun serangannya berjaya mengenai musuh.
Walaupun serangan yang diterimanya tidaklah dari tenaga yang kuat, tapi kesakitan mulai dirasakan Betara apabila terus-menerus menerima pukulan. Betara cuba menenangkan dirinya seketika walaupun dirinya masih menerima serangan bertali arus. Matanya dipejam dan cuba menangkap salah satu bunyi serangan yang menuju ke arahnya. Setelah merasa yakin dengan kedudukan musuhnya yang tidak terlihat pada pandangannya, Betara lantas menghayunkan parang ditangannya sekuat hati. Betara yakin serangannya telah mengenai salah satu mangsanya apabila parangnya menyentuh sesuatu dan terdengar riuh rendah bunyi suara kera yang menjerit-jerit. Namun tanpa disangka tangan Betara tiba-tiba diserang dan parang digenggamannya terlucut dan jatuh dari tangannya.
Para gerombolan kera yang menyerang itu menjadi lebih agresif terhadap Betara. Mungkin kerana marah apabila salah seekor dari mereka telah dicederakan oleh Betara sebentar tadi. Bukan setakat menolak dan menendang seperti tadi, kini kera-kera itu mula mencakar dan menggigit Betara. Pemimpin Puak Saga itu sudah hilang kesabarannya. Kerana terpacu kemarahan yang teramat, Betara lantas menghunus Keris Taming Gemala Naga pemberian Naga Purba Raya yang dari awal tersisip dipinggangnya. Hawa aura naga yang terpancar dari keris tersebut menyebabkan kera-kera itu ketakutan dan berhenti menyerang Betara. Bunyi mencicit ketakutan jelas kedengaran di dalam kegelapan itu.
"Itu..itu aura naga! Bagaimana kau mampu memiliki senjata sebegitu?" Suara yang menjadi ketua di dalam kegelapan itu kembali kedengaran.
"Itu bukan urusanmu!" Betara menjerit kuat lalu muncul api dari keris ditangannya. Cahaya dari api itu menerangi kawasan yang gelap dan berkabus itu. Terlihatlah ratusan ekor kera yang berkumpul mengelilingi Betara disaat itu. Kerana sudah dikawal oleh kemarahan, Betara tidak berfikir panjang lantas menghayunkan keris ditangannya untuk menebas para kera tersebut. Setiap kali tangannya dihayun, semakin marak api yang keluar dan bersemarak bagaikan api yang dihembus oleh Naga Purba Raya dari mulutnya. Api itu menjalar dan membakar seluruh kawasan persekitaran sehingga banyak kera yang mati dan pokok-pokok yang terbakar. Kera-kera yang masih tidak terkena serangan Betara pula bertempiaran lari mencicit menyelamatkan diri mereka manakala Betara pula semakin rakus melancarkan serangan berapinya ke seluruh kawasan. Dia ingin membakar seluruh kawasan tersebut agar musuhnya tidak mampu lagi berselindung disebalik kegelapan.
"Cukup! cukup! Hentikan! Apa kau ingin membakar perempuan ini sekali?" Akhirnya pemilik suara tadi mula kelihatan. Rupa-rupanya itu adalah seekor kera tetapi berbeza sekali penampilannya berbanding kera-kera yang lain. Kera itu terlihat pintar dan mampu berkata-kata malah dia juga memakai kain mantel sambil memegang sebatang tongkat kayu. Kera itu berdiri di atas sebatang pokok yang besar dan disampingnya terlihat Kenchana yang sudah pengsan dan diikat pada dahan pokok tersebut.
"Lepaskan isteriku!" Betara mengeraskan suaranya.
"Hihihi.. Kau terlihat bukan seperti manusia biasa." Kera itu sepertinya tidak mengendahkan kata-kata Betara. Kera itu kemudian melompat turun ke tanah dengan lincah sekali.
"Bawakan aku Kipas Daun Pisang!" Kera itu memerintah kawanannya. Kemudian salah seekor kera menghampiri ketua mereka itu dengan membawa sehelai daun pisang.
"Bukan daun pisang bodoh! Kipas Daun Pisang! Kipas! Kipas!!" Ketua kera itu memarahi pengikutnya sambil memukul kera itu dengan tongkat ditangannya. Betara yang tadinya mengamuk kini menjadi pelik dan tergamam dengan apa yang disaksikannya. Tidak lama selepas itu, salah seekor kera mendatangi ketuanya dengan membawa kipas yang diminta. Sambil tersenyum, ketua kera itu menghayunkan kipas yang berbentuk seperti daun pisang ditangannya. Setelah itu keluarlah angin kuat yang menyemarakkan lagi api yang membakar kawasan tersebut.
"Salah! Salah! Aku salah pusing!" Ketua kera itu menjerit sambil menunjukkan wajah cemas. Betara pula semakin bingung dengan telatah kera tersebut. Selepas memusing-musingkan pemegang kipas itu, ketua kera tersebut menghayunkan sekali lagi kipas ditangannya itu. Kali ini angin kencang sekali lagi menerpa dan sekaligus memadamkan api yang sedang marak tadi. Betara kehilangan kata-kata dan terpempan apabila melihat situasi yang ajaib itu.
"Yeahh.. Aku berjaya padamkan apinya.. tak sia-sia ku curi Kipas Daun Pisang ini.." Ketua kera itu bersorak gembira sambil melompat-lompat dan membaling kipas ditangannya.
"Siapa kau sebenarnya? Benarkah kau bukan pengikut Ratu Manikmaya?" Betara menyoal ketua kera tersebut. Api yang menyala dari keris ditangannya juga sudah mulai padam. Namun suasana persekitaran sudah mula terlihat oleh Betara kerana cahaya matahari sudah mula menerobos ke kawasan tersebut setelah beberapa pokok disitu terbakar sebentar tadi. Walaupun pandangannya masih berbalam, namun itu sudah cukup untuk Betara melihat gerombolan kera di sekitarnya.
"Hihihi.. Siapa Aku? Aku adalah Sang Ukong. Kera sakti dan raja segala kera. Ada juga yang memanggilku Wukong.. Sukong.. Dukong..hihihi" Ketua kera itu memperkenalkan dirinya sambil tersengih-sengih.
"Jadi apa yang kau mahukan dengan membawa isteriku?"
"Dia akan menjadi isteriku.."
Share this novel
tringat blik journey to the west ...sami tu hensem heeee