Gunung Korbu
KEADAAN dalam gua terlihat kelam. Kegelapan yang hanya berbekalkan cahaya suram dari beberapa jamung yang tergantung di dinding gua menjadikan suasana berbalam dan samar-samar. Terlihat Ratu Manikmaya sedang bersandar di singgahsana batunya. Di hadapannya, terdapat beberapa ekor raksasa korbu yang berbaris di bahagian kiri dan kanan yang saling bertatapan muka antara mereka seperti pengawal layaknya. Di tengah antara raksasa korbu itu pula kelihatan beberapa orang lelaki sedang duduk melutut di hadapan Ratu Manikmaya. Mereka yang ketakutkan hanya menundukkan wajah menatap lantai.
Seketika kemudian, burung gagak hitam terbang di tengah laluan, melepasi kepala beberapa lelaki yang sedang melutut itu menuju ke arah Ratu Manikmaya. Burung gagak tersebut terus hinggap di atas tongkat yang terpacak, berdiri sendiri tanpa dipegang di sebelah sisi kiri singgahsana sang ratu. Ratu Manikmaya menopang dagunya dengan tangan kiri sambil melihat ke arah gagak tersebut. Mata sang gagak pun bergerak-gerak seolah sedang menghantar maklumat terus ke mata ratu manikmaya.
"Oh, ada yang sudah mengalahkan dua ekor raksasa korbu ku ya.." Ratu Manikmaya tersenyum.
"Gunung Chamah.. Di sanalah tempat si kudung ini berjumpa perempuan tak guna tu. Pasti raksasa korbuku dibunuh oleh lelaki yang menyelamatkan perempuan tu! Tak guna.. Bersiaplah raksasa korbu. Kita akan menyerang Gunung Chamah dan bunuh perempuan tu dan sesiapa sahaja yang cuba menghalang kita!"
"Owhh!" bergema laungan para raksasa korbu disitu. Suara gempita dari makhluk sumpahan itu mampu mengecutkan perut sesiapa sahaja yang mendengarnya. Beberapa orang lelaki yang sedang melutut dan menundukkan kepala mereka disitu cuma mampu melirikkan pandangan diantara sesama mereka sendiri melalui hujung mata. Mereka tidak berani mengangkat kepala untuk melihat wajah bengis dan ngeri raksasa berkepala kerbau disitu apatah lagi untuk bertentang mata dengan Ratu Manikmaya yang kejam itu.
Seketika kemudian, salah seorang dari mereka cuba memberanikan diri melihat ke arah hadapan dengan keadaan kepalanya masih menunduk. Di sudut singgahsana Ratu Manikmaya terlihat seorang lelaki yang sudah longlai tidak bermaya dan berlumuran darah, sepertinya baru selepas dipukul teruk. Tangan lelaki itu terlihat kudung sebelah. Itu adalah lelaki pemburu yang pernah memburu Kenchana suatu masa dahulu tetapi telah dihalang oleh Betara. Tangannya yang kudung itu adalah kesan dari tetakan parang Betara apabila lelaki itu cuba menyentuh Kenchana. Kini, dia menjadi mangsa kepada Ratu Manikmaya pula yang sedang mengumpul maklumat dalam memburu Kenchana. Ratu yang kejam itu tidak akan melepaskan sesiapa pun yang tidak memuaskan hatinya atau memberi maklumat tidak lengkap mengenai Kenchana. Ratu itu cuma mahu mengetahui dimana Kenchana berada. Jika maklumat yang diberikan selain dari hal tersebut, maka nyawa mereka segera akan direnggut oleh raksasa korbu.
Ratu Manikmaya menyorotkan matanya kepada para lelaki yang sedang melutut di hadapannya ketika itu. Tidak lama kemudian sang ratu menghentak kedua tangannya di sandaran tangan pada singgahsananya seraya bangkit dari duduknya. Sambil berdiri dengan megah, Ratu Manikmaya menuding jari telunjuknya ke arah beberapa orang yang sedang menundukkan kepala mereka.
"Kalian kembali dulu ke penempatan masing-masing. Nanti aku dan para raksasa korbu akan menuju ke Gunung Chamah. Aku akan melewati perkampungan kalian. Jadi sediakan makanan dan tempat yang selesa untuk aku beristirehat selama perjalananku nanti. Faham? Jika kalian membangkitkan kemurkaanku, akan aku hapuskan seluruh puak kalian!" Ratu Manikmaya mengancam dengan suara yang sangat keras.
Perkampungan Bunut Naga
SUASANA di Perkampungan Bunut Naga sungguh meriah. Puak Saga berpesta besar kerana menyambut majlis perkahwinan bakal pemimpin mereka. Betara dan Kenchana telah dinikahkan oleh Punta Damar mengikut adat resam puak Saga. Kesedihan yang melanda perkampungan Bunut Naga sejak seminggu lalu, kini telah bertukar menjadi ceria dan penuh gelak ketawa.
Betara dan Kenchana ditempatkan di gazebo dan di pakaikan pelbagai hiasan sebagai pengantin, mengikut adat puak mereka. Kelihatan Mastika sebagai ibu pengantin memberikan restunya kepada Betara dan Kenchana dengan meletakkan telapak tangannya ke atas kepala Betara dan Kenchana. Bunga-bunga juga ditabur dan beberapa titis air direnjis oleh Mastika kepada pasangan pengantin. Air mata gembira tidak berhenti mengalir dari kelopak mata Mastika apabila menyaksikan anak lelakinya itu telah menamatkan zaman bujang bersama anak angkatnya. Kedua anaknya itu terlihat seperti pinang dibelah dua. Mastika mencium pipi dan dahi Kenchana dengan penuh kasih sayang. Dia bersyukur gadis polos itu akhirnya berjodohan dengan Betara yang dicintainya. Mastika kemudian mencium pula dahi dan pipi Betara.
"Jangan sia-siakan anugerah terindahmu sayang.. Jagalah Kenchana sepenuh jiwa dan ragamu." Mastika berbisik lembut di telinga Betara. Betara hanya tersenyum sambil tersipu malu mendengar kata-kata ibunya. Mastika yang geli hatinya melihat reaksi Betara itu segera mencuit hidung anaknya sebelum memalingkan punggungnya untuk pergi dari pasangan pengantin yang sedang bersanding tersebut. Selepas Mastika selesai memberikan restunya kepada pasangan pengantin, Punta Damar pula mendekati mereka.
"Betara, sempena pernikahanmu ini, datuk juga ingin berikan sesuatu kepadamu." Punta Damar menyatakan hasratnya kepada Betara.
"Apa sahaja dari datuk ku, akan Betara terima seadanya."
"Baguslah kalau begitu, cucuku."
"Datuk nak beri apa sebenarnya?"
"Begini Betara.. Menjadi pemimpin puak Saga ini adalah tugas leluhur keluarga kita turun temurun. Sekarang, datuk juga sudah semakin tua. Rasanya adalah lebih baik kau saja yang menggantikan datuk menjadi Punta di Bunut Naga ini."
"Eh.. Tapi datuk kan masih sihat, masih mampu untuk memimpin. Kenapa harus serahkan sekarang?"
"Bukan soal aku masih sihat atau tidak. Tadikan kamu sudah mau menerima pemberianku ini."
"Emmm.. terserah datuk saja." Betara menurut sahaja kehendak datuknya itu sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Punta Damar pun melepaskan kalungan yang melilit di kepalanya. Kalung yang terbuat dari serat tumbuhan di kepalanya itu dipakaikan pula ke kepala Betara. Tongkat di tangannya juga ditukar ganti, beralih ke tangan Betara pula. Punta Damar sendiri mengambil tongkat lain yang sudah siap tersemat di pinggangnya sejak dari mula untuk di guna pakai olehnya.
"Dengarkan wahai sekalian Puak Saga di Bunut Naga.. Mulai sekarang akan Aku serahkan tanggung jawabku sebagai Punta kalian kepada cucuku Betara. Dari hari ini, dialah pemimpin baru kalian, Punta Betara." Punta Damar menyampaikan ucapan penyerahan kuasa kepimpinan yang baru kepada warga pimpinannya dikampung itu.
"Hidup Punta Betara!" Laungan oleh seluruh penduduk puak Saga itu bergema sebanyak tiga kali. Bunyi ketukan kertuk juga bertalu-talu dipukul oleh warga untuk menghangatkan suasana.
Punta Damar bergerak pula ke arah Kenchana yang sedang berdiri di sebelah Betara. Kenchana hanya tersenyum melihat kegembiraan penduduk kampung yang bersemangat menyambut suaminya sebagai pemimpin baru mereka. Punta Damar kemudian melepaskan kalungan rantai di lehernya dan dipakaikan kembali kepada Kenchana. Kenchana pula menjadi kelam-kabut kerana tidak tahu dan tidak menyangka perbuatan Punta Damar tersebut. Kenchana hanya diam dan menuruti sahaja dengan patuh perlakuan Punta Damar kepadanya.
"Dan mulai sekarang, Aku umumkan juga Kenchana, isteri kepada Punta Betara sebagai Punti puak Saga di sini. Hidup Punti Kenchana!" Punta Damar mengangkat tangan kirinya ke atas sambil membuat pengumuman dengan bersemangat.
"Hidup Punti Kenchana!" Bergema lagi laungan penduduk di situ sebanyak tiga kali bersama ketukan kertuk yang hingar bingar.
"Maka dengan ini juga, aku bukanlah lagi Punta kalian. Sekarang aku sudahpun menjadi Ruwai." Punta Damar menundukkan sedikit kepalanya semasa berbicara kepada penduduk di Bunut Naga itu.
"Hidup Ruwai Damar!" Laungan untuk Ruwai pula berkumandang
Betara pun memimpin tangan datuknya itu untuk duduk di anjung gazebo. Sikap hormatkan orang tua jelas dilihat pada diri Betara. Walaupun sudah ditabal menjadi pemimpin puak mereka, Betara sepertinya tidak merasakan apa-apa perbezaan pun. Semuanya masih tetap sama. Bahkan walaupun sudah menjadi ketua puak dengan gelaran Punta, namun mengikut adat, Punta masih juga perlukan khidmat nasihat dari Ruwai iaitu gelaran kepada orang yang menjadi mantan Punta. Walaupun Ruwai tiada kuasa untuk membuat keputusan dalam kepimpinan, namun nasihatnya tetap tidak boleh ditolak mentah-mentah oleh Punta. Ruwai dianggap setaraf pendeta yang penuh dengan ilmu pada pandangan puak Saga.
Betara kemudiannya kembali ke tempat duduknya di sebelah Kenchana. Betara yang melirik ke arah Kenchana mula perasan wajah isterinya yang terkulat-kulat memandang ke arahnya. Betara segera mendekatkan wajahnya kepada Kenchana untuk mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh Kenchana. Dia pasti, Kenchana ada sesuatu yang ingin dikatakan kepadanya.
"Kenapa sayang?" Betara ingin mengetahui masalah yang sedang dihadapi oleh Kenchana.
"Emm.. Sejak bila ada gelaran Punti bagi Puak Saga? Selama ini tiada pun.." Kenchana langsung menanyakan persoalan yang bermain difikirannya. Gelaran untuk dirinya itu tidak diketahui oleh Kenchana yang baru menjadi sebahagian Puak Saga kerana selama ini tiada pun orang di Perkampungan Bunut Naga itu diberi gelaran tersebut.
"Eh.. Memang sejak dulu pemimpin kami digelar sebagai Punta. Isteri kepada Punta akan digelar Punti. Datukkan sudah tiada isteri. Jadi tiadalah Punti sejak nenek meninggal. Datuk pun sudah tidak kahwin lagi." Betara memberi penjelasan. Walhal dia sendiri tidak pernah mengenal seorang Punti pun sejak dari lahir. Betara cuma menjelaskan kepada Kenchana mengikut adat turun temurun Puak Saga sahaja. Betara selama ini diberitahu, neneknya yang pernah bergelar Punti meninggal dunia semasa melahirkan Ibunya, Mastika. Datuknya Punta Damar pula tidak pernah berkahwin lagi selepas kematian isterinya. Disebabkan itulah Mastika menjadi anak sulung sekaligus anak tunggal Punta Damar.
"Kenapa tidak gelarkan ibu sahaja sebagai Punti?" Kenchana masih banyak berfikir.
"Kalau ayahku masih ada, mungkin saja dia yang akan menjadi punta dan ibu akan bergelar punti. Tapi ayahku sudah tiada.. Jadi, sebagai cucu, akulah yang dilantik sebagai punta.. dan sebagai isteriku, kamulah yang menjadi punti. Kalau mahu ibu menjadi punti, nanti mintalah ibu kahwin lagi. Ayah baruku pula yang akan menjadi punta.." Betara sempat berseloroh. Namun dihatinya kini terdetik sedikit rasa sedih kerana terfikirkan sosok ayahnya yang langsung tidak dia kenali. Tiada sesiapa pun termasuk ibunya sendiri yang mahu menceritakan tentang ayahnya kepada Betara.
"Jadi, sebagai punti, Kenchana kena buat apa?"
"Tidak perlu buat apa-apa.. Itu cuma gelaran.." Betara tertawa selepas mendengar pertanyaan Kenchana. Lelaki yang baru bergelar punta itu menjatuhkan semula punggungnya di tempat duduk. Hatinya terhibur dengan kenaifan Kenchana yang banyak bertanya untuk mengetahui hal yang baru. Hati dan fikiran gadis itu benar-benar polos persis yang dikatakan oleh Mastika. Dari bawah anjung, Mastika hanya memerhatikan Betara dan menantunya. Dia sangat gembira apabila melihat Betara tertawa semasa bersama Kenchana. Tepat dugaannya, hanya Kenchana yang mampu mengembalikan diri Betara yang dahulu. Seorang anak yang nakal dan suka bergurau.
Sedang penduduk di perkampungan tersebut asyik berpesta dan bergembira, mereka langsung tidak menyedari di luar pekarangan kampung, ada dua orang lelaki yang berpakaian serba putih sedang memerhatikan mereka dari celahan semak samun. Salah seorang dari mereka adalah Penghulu Jalit, pemimpin dari perkampungan Nirma. Dia hadir disitu semata-mata untuk melihat majlis keraian Puak Saga. Matanya terlihat berkaca. Tidak lama kemudian, bendungan matanya sudah tidak mampu menahan air jernih dari melimpah keluar dan mengalir di pipinya. Bibirnya menguntumkan senyuman. Penghulu Jalit menyeka air matanya. Sesekali hidungnya dipicit untuk menghalang bendalir hingus dari meleleh keluar dari rongga penghiduannya itu. Dari jauh, matanya kembali menatap ke arah pasangan mempelai yang sedang bersanding di gazebo.
"Semoga penderitaanmu akan berakhir.. Insyaallah suatu hari nanti, aku pasti akan kembali.." Penghulu Jalit mengalihkan pandangannya menatap tanah. Kekesalan sedang mengetuk hatinya. Seketika kemudian, dia tersedu sedan. Air matanya tumpah sekali lagi namun kali ini lebih deras. Suara esak tangisannya jelas kedengaran. Penghulu Jalit sudah tidak mampu menahan sebak didadanya.
"Penghulu.." Lelaki yang berdiri di sebelah Penghulu Jalit memegang bahu pemimpinnya itu. Tiba-tiba salah seorang lelaki dari perkampungan Bunut Naga yang berada di pinggiran pekarangan kampung menyedari kelibat dua orang lelaki tersebut. Lelaki itu segera berlari menuju ke arah dua orang pendatang yang tidak diundang ke perkampungannya itu sambil menghunuskan parangnya sebagai tanda berjaga-jaga.
"Siapa kalian?" laung lelaki terbabit.
"Kita ketahuan.." Lelaki yang bersama Penghulu Jalit itu segera menarik penghulunya itu berlindung di sebalik pokok. Apabila lelaki yang menuju ke arah tersebut tiba di tempat pendatang asing itu berada, namun kelibat dua orang tadi langsung hilang dari pandangan. Dia meninjau ke sekeliling kawasan namun pencariannya meleset. Beberapa orang lelaki lain yang mendengar laungan lelaki tadi segera mendekati temannya.
"Kenapa?"
"Tadi aku lihat ada dua orang lelaki berdiri di sini. Namun sekelip mata mereka menghilangkan diri." Lelaki tersebut kebingungan sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Kau mabuk agaknya.. Mana ada orang di sini." Temannya yang baru tiba mentertawakannya. Lelaki yang mengejar tadi tidak mempedulikan sindirian teman-temannya. Dia sangat yakin melihat dua orang lelaki dengan jelas. Namun sangat menghairankan mereka mampu menghilang dalam sekelip mata apabila bersembunyi disebalik sebatang pokok.
Share this novel