PAGI yang segar mula tercurahi cahaya mentari. Kenchana yang baru selesai sarapan pagi sudah pun berada di kawasan lapang yang dipenuhi oleh bunga-bungaan di sekitarnya. Betara yang telah pun menjawat gelaran punta pula sibuk menyelesaikan hal pengurusan puak mereka. Pemimpin baru di Perkampungan Bunut Naga itu perlu mengatur sistem baru dan menyelaraskan kembali setiap bidang tugas penduduk di bawah pentadbirannya lebih-lebih lagi bagi pasukan pemburu yang ditinggalkan Betara. Ketua yang baru perlu dilantik dikalangan pasukan pemburu untuk menggantikan kekosongan yang dipegang oleh Betara sebelum ini.
Kenchana yang bersendirian menikmati pemandangan bunga pelbagai warna itu mundar-mandir di sekeliling kawasan. Dia yang terlihat girang, sesekali menghidu aroma dari kelopak bunga yang sedang menguntum mekar. Sambil memandang bunga yang mekar dan indah itu, fikiran Kenchana melayang jauh mengingati peristiwa malam tadi. Dia benar-benar merasa bahagia dan mendapat nikmat yang tidak pernah dia bayangkan selama ini ketika saat bersama Betara. Kenchana masih terbayang saat Betara menyentuhnya dan dia sangat menikmati perlakuan suaminya itu.
Sedang jauh dia mengelamun, tiba-tiba Kenchana dikejutkan dengan satu pelukan tangan yang merangkul pinggangnya dari belakang. Dia kemudiannya meleretkan senyuman semasa memalingkan wajahnya apabila menyedari pendatang yang merapatinya itu adalah suaminya, Betara yang mula menopangkan dagunya ke bahu Kenchana. Kenchana memegang tangan Betara yang sedang merangkul pinggangnya dan tangannya sebelah lagi menempelkan telapak tangannya di pipi Betara.
"Sudah selesai urusanmu?" Kenchana memulakan kata.
"Urusan tugasku sudah selesai.. Tapi urusanku denganmu belum lagi selesai.." Betara cuba mengusik isterinya.
"Maksudmu?" wanita yang naif itu terpinga-pinga mendengar kata-kata suaminya itu. Dia langsung tidak memahami jenaka yang dilontarkan oleh Betara.
"Aku belum selesai mencintaimu.." Betara langsung mengucup leher isterinya itu. Kenchana yang merasakan kehangatan bibir Betara lantas memejamkan mata. Sejak menyatakan cintanya, Kenchana langsung tidak menduga tindakan Betara ke atas dirinya memberikan rasa bahagia yang penuh kenikmatan. Sentuhan, belaian, bibir, nafas malah semua yang ada dan diberikan oleh Betara dirasakan mengasyikkan Kenchana. Semua hal yang tidak pernah terlintas difikirannya. Sejenak, mindanya terdetik satu kalimat.
"Benarlah, cinta itu anugerah terindah.."
Betara kemudian merenggangkan pelukannya dan memusingkan badan Kenchana sebelum memeluk kembali isterinya dengan saling bertatapan muka. Wajah Kenchana yang sudah menjadi merah terlihat menggemaskan oleh Betara. Lelaki itu menundukkan sedikit kepalanya untuk melagakan dahinya dengan dahi Kenchana yang lebih rendah. Keduanya memejamkan mata apabila dahi mereka bersatu dan hidung mereka saling bersentuhan. Hembusan nafas bersilih ganti sesama mereka berdua. Setelah beberapa detik keadaan itu berlangsung tanpa sebarang perkataan, Betara membuka matanya dan menarik kembali kepalanya ke belakang. Wajah Kenchana yang dirasa sangat menggemaskan menyebabkan Betara tidak dapat menahan dirinya lagi.
"Kenchana.."
"Ya sayang.." Kenchana menyahut lembut. Betara langsung melepaskan rangkulannya pada pinggang Kenchana seraya mencubit kedua belah pipi isterinya itu setelah tidak tahan melihat wajah kemerahan Kenchana yang dirasakan tersangat comel. Kenchana yang malu dengan usikan suaminya itu segera menempis tangan Betara dari terus mencubit pipinya dan lantas menepuk-nepuk dada Betara. Lelaki berbadan sasa itu hanya ketawa menahan pukulan manja Kenchana.
"Ah.. Apa itu?" Betara tiba-tiba mempamerkan riak wajah yang terkejut. Melihat keadaan suaminya itu, Kenchana segera berpaling ke arah yang dilihat oleh Betara. Matanya liar mencari-cari apakah yang dimaksudkan oleh Betara. Kenchana mula cemas apabila dia tidak dapat melihat apakah hal yang mengejutkan Betara.
Tidak semena-mena Kenchana menjerit nyaring. Dia sangat terkejut apabila badannya terangkat dan kakinya tidak menjejakkan tanah. Rupa-rupanya Betara dengan pantas telah mengangkat Kenchana dan mendukung isterinya itu di dalam pangkuannya. Tangan Betara melapik bahagian belakang badan dan lipatan lutut Kenchana untuk menadah dengan gagah bagi mengangkat isterinya itu. Kenchana pula secara spontan memautkan lengannya melingkari leher Betara.
Kelakuan Betara itu mengingatkan Kenchana dengan kejadian dia diangkat dengan cara yang sama oleh Betara setelah dirinya diselamatkan dari Salak dan ketika Betara menyambutnya yang tergelincir dari lantai gazebo di depan orang ramai. Namun Kenchana tidak tahu pertama kali Betara mengangkatnya sebegitu adalah semasa kali pertama pertemuan mereka kerana ketika itu Kenchana sudah pun pengsan setelah dikejar oleh dua orang pemburu.
Kenchana merenung Betara yang sedang mendukungnya. Kini dia sedar dirinya sudah termakan tipu helah suaminya itu sebentar tadi. Betara sengaja berpura-pura terkejut untuk mengalihkan perhatian kerana ingin mendukungnya secara mengejut. Kenchana yang selesa dipangku, mengeratkan lagi rangkulan tangannya di leher Betara agar wajahnya lebih merapat dengan tubuh suami tercintanya itu. Betara mula membuka langkah kakinya sambil membawa Kenchana. Dia mendukung Kenchana menuju ke arah tebing kawasan pergunungan itu. Apabila kakinya menginjak tanah yang tidak jauh dari pinggiran tebing, Betara menghentikan langkahnya. Kenchana yang tidak tahu akan niat suaminya itu hanya menatap wajah Betara yang tidak menunjukkan apa-apa emosi.
Jeritan Kenchana sekali lagi terlontar apabila Betara mengacah melepaskan tangannya yang sedang memangku Kenchana. Kenchana yang bimbang dirinya terjatuh ke tanah tidak mampu menahan dirinya dari menjerit apabila Betara mengulangi perbuatannya mengacah untuk melepaskan isterinya itu dari dukungan. Kenchana mula menjadi geram menepuk kuat bahu Betara berkali-kali. Suaminya itu memang pakar dalam mengusik. Benar kata-kata Mastika, Betara itu memang tersangat nakal dan suka mengusik orang. Setelah lima tahun berlalu, akhirnya Betara kembali ke sifat asalnya setelah mengenali Kenchana.
Betara akhirnya melepaskan tangannya yang menampung lipatan lutut Kenchana perlahan-lahan agar isterinya itu dapat menginjakkan kakinya ke tanah. Setelah kaki Kenchana memijak tanah, tangan Betara yang menadah belakang badan wanita itu menolak ke atas agar tubuh Kenchana dapat berdiri dengan stabil. Kenchana yang masih geram dengan Betara terus mencubit perut lelaki tersebut sambil diiringi gelak ketawa mereka berdua.
Kemudian Betara terus memeluk bahu Kenchana menggunakan sebelah tangannya. Kenchana juga terus merangkul pinggang Betara dengan erat. Selesai bergurau senda, mereka kemudian bersama-sama memandang alam yang terbentang saujana mata memandang dari puncak gunung. Kenchana yang baru mengecap bahagia dalam hidupnya itu menyandarkan kepalanya di dada bidang Betara. Betara menatap lama isterinya sebelum kembali memandang keindahan pemandangan di depan mereka.
"Kenchana, cantikmu.. bagai si pari-pari.." Betara meluahkan lafaz pujian buat isterinya. Kenchana yang tidak menyahut cuma menolehkan pandangannya ke wajah Betara.
“Bintang tidak akan gemilang..
Bulan pasti tidak berseri..
Mentari pun tidak akan terang..
Tanpa cinta si pari-pari..
Sumpah petualang cinta abadi..
Terpasak bak gunung mencengkam bumi..
Cinta si pari-pari..
Anugerah terindah yang aku miliki..
Di dunia, engkaulah yang utama..
Di hati, engkau bersemadi..”
Kenchana terkebil-kebil setelah mendengar bait-bait stanza cinta Betara kepadanya. Selama ini Kenchana tidak pernah mendengar pertuturan ayat dengan lantunan sebegitu. Terfikir olehnya, apakah suaminya itu kesurupan? Tiada pula terlihat tanda-tanda lelaki dipelukannya itu tidak sedarkan diri. Kedengaran dari sebutannya, Kenchana mengerti kata-kata Betara itu merupakan pujian yang tertuju buat dirinya tetapi susunan ayat dan cara penyebutan Betara sebegitu, terdengar tersangat janggal. Walaupun canggung seketika, namun kemudiannya Kenchana mulai tertarik. Baginya, Betara itu rupa-rupanya pandai merepek. Meluahkan cintanya menggunakan ayat yang aneh. Walaupun kebingungan untuk memahami, Kenchana tetap merasa terpuji dan dihargai.
“Betara.. Pari-pari itu apa?” Kenchana yang polos pemikirannya tidak pernah mendengar perkataan yang disebutkan oleh Betara sebentar tadi. Dari tadi dia hanya memikirkan bait-bait ayat yang di ungkapkan oleh Betara, namun ada beberapa patah perkataan yang asing pada pengetahuannya.
“Pari-pari itu berupa wanita cantik yang berkeliaran di dalam hutan.. Dikatakan, pari-pari itu mempunyai kesaktian yang mampu memukau manusia. Kalau benar pari-pari itu wujud, maka aku yakin, engkaulah pari-pari itu.” Betara menjawab seraya tersenyum kepada Kenchana.
Agak jauh di belakang mereka, Mastika berdiri tegak sambil membimbit bakul di tangannya. Wanita itu tadinya berniat ke sana untuk memetik bunga. Namun terpaksa menangguhkan hasratnya setelah melihat anak lelaki dan menantunya sedang bergurau dan bermesra. Dia tidak ingin mengganggu detik bahagia pasangan pengantin baru yang sedang mabuk dengan dunia asmara mereka. Dari kejauhan itu, Mastika hanya menatap Betara dan Kenchana dengan iringan air mata dan seulas senyuman bahagia. Hatinya berdoa agar mereka kekal bersama mengecapi bahagia.
"Betara.." Mastika menyeka air mata gembiranya.
Share this novel