Ketumbukan para manusia dan gerombolan raksasa korbu yang sedang berperang menghentikan sejenak pertarungan mereka apabila Ratu Manikmaya memunculkan diri. Gegaran dan kepulan asap sebentar tadi mengejutkan mereka semua. Ratu Manikmaya hanya berdiri kaku, melihat ke arah Betara dan ketumbukannya dengan penuh kegeraman sekali. Di sebelahnya, terlihat Melur yang sedang terikat badannya dan dikawal oleh raksasa korbu. Ratu Manikmaya mencuri pandang ke arah semua penyerbu yang memenuhi kawasan puncak gunung itu. Manusia yang dianggap hina olehnya sekarang sudah berani menyerbu, membuat serangan ke istananya di puncak gunung tersebut.
“Kau.. Kau.. Rupanya kau masih hidup!” Ratu Manikmaya terkejut apabila melihat Betara. Dia masih ingat wajah lelaki yang cuba menyerangnya lima belas tahun dahulu. Padahal Betara pada waktu itu sudah parah dikerjakan oleh Ratu Manikmaya dan raksasa korbu. Sungguh mengejutkan sang ratu bahawa lelaki tersebut masih hidup dan sekali lagi ingin menentangnya. Betara pula langsung tidak membalas kata-kata Ratu Manikmaya dan hanya fokus melihat ke arah Melur yang terikat disebelah ratu itu. Tanpa berlengah, Ratu Manikmaya segera menyampaikan keinginannya kepada ketumbukan manusia yang menyerbu ke istananya itu.
“ Sekarang Aku ingin berikan tawaran kepada kalian.. Aku tahu kalian inginkan budak perempuan ini kembali.. Jadi..”
“Melur!!”Suara Pekan bergema, memintas kata-kata Ratu Manikmaya yang masih tergantung. Ratu Manikmaya belum sempat menghabiskan kata-katanya namun Pekan pula mencelah dengan menjerit nama Melur. Pekan dilihat berlari ke arah Ratu Manikmaya bagi mendapatkan Melur. Anak muda itu langsung tidak mempedulikan persekitarannya sekarang. Pada fikirannya, dia cuma ingin menyelamatkan adik kembarnya itu sahaja.
"Kurang ajar!" Ratu Manikmaya yang melihat tindakan Pekan itu sebagai sungguh biadap kerana tidak menghormatinya yang sedang bercakap. Lalu dengan marahnya Ratu Manikmaya menyerang Pekan dengan cahaya hijau dari tongkatnya. Pekan yang terkena serangan dari Ratu Manikmaya terus terpelanting ke belakang. Badannya terasa lumpuh dan otaknya juga tidak mampu memikirkan apa-apa. Raksasa korbu yang melihat ratunya menyerang Pekan, langsung meneruskan serangan kepada anak Punta Betara itu. Serangan kuat menujah dada Pekan, mengakibatkan anak muda itu terlambung tinggi sebelum jatuh ke tanah. Dadanya remuk, tulang rusuknya patah dan sebahagiannya hancur. Pekan yang jatuh berhampiran seekor lagi raksasa korbu yang lain, diserang sekali lagi dikepalanya sehingga tengkoraknya retak dan tulang lehernya patah serta merta.
“Pekan!!” Melur yang berada disamping Ratu Manikmaya menjerit apabila melihat kembarnya itu diperlakukan sedemikian. Air mata serta merta bercucuran di pipinya. Melur kemudian memejam rapat matanya dan menundukkan pandangan mukanya kerana tidak sanggup untuk terus melihat kembarnya terbunuh didepan matanya sendiri.
Pada saat yang sama, Betara terkedu dan terpempan hebat. Bibirnya bergerak-gerak namun langsung tiada suara yang terluah. Dia seolah tidak percaya apabila melihat anak lelakinya terbunuh didepan matanya. Seluruh badannya menggeletar dan tanpa disedari, air matanya tidak terbendung lagi dari menitis ke bumi. Tangan Betara mula bergetar dengan lebih kuat. Pada ketika ini, fikirannya sudah kosong dan kewarasannya sudah hilang. Tiba-tiba muncul api dari badan Betara. Apinya semakin marak menyelubunyi seluruh badan pemimpin ketumbukan perang itu dan menyambar-nyambar ke sekelilingnya. Bahang kepanasan apinya mampu dirasakan oleh orang lain yang jaraknya beberapa puluh kaki dari Betara. Yang lebih aneh, kulit Betara juga terlihat mula ditumbuhi sisik yang kasar. Sisik-sisik itu jelas kelihatan pada muka dan lengannya. Matanya sudah menjadi merah sepenuhnya dan tidak terlihat mata hitamnya malah taring pada barisan giginya juga mula memanjang dan membesar.
"Arrghhh!!!" Betara bertempik keras sambil mendongak ke langit dan mendepangkan kedua tangannya. Tindakan Betara itu menyemarakkan lagi api dari seluruh tubuhnya. Beberapa orang disekitar kawasan tersebut mula mengundurkan langkah kaki mereka menjauhi Betara. Selain tidak tahan dengan bahang kepanasan dari api yang menyala dari tubuh Betara, naluri mereka juga memberi petunjuk yang tidak baik. Mereka tahu Betara sekarang sudah hilang kesedaran kalau dilihat dari penampilannya. Dia mungkin tidak akan mengenal siapa kawan mahupun lawannya dalam keadaan yang mengerikan sebegitu. Sedetik kemudian, tiba-tiba raksasa korbu yang menyerang Pekan tadi meletup dan hancur berkecai badannya. Rupa-rupanya raksasa tersebut telah diserang oleh Betara dengan kecepatan yang luar biasa. Kemudian Betara mengarahkan pula langkahnya kepada raksasa korbu kedua yang menyerang Pekan tadi. Dengan satu tumbukan dari Betara, sudah mampu menghancur binasakan seluruh badan raksasa korbu tersebut.
Melihat aksi ganas yang di tonjolkan oleh Betara itu membuatkan para manusia dari pasukannya sendiri bertempiaran melarikan diri. Ketumbukan penggempur korbu sekarang bukan lagi takutkan raksasa sumpahan dari Ratu Manikmaya, tetapi lebih takut kepada pemimpin mereka sendiri yang sudah jelas sedang mengamuk dan hilang kewarasan.
“Aarrghhhh” Betara bertempik lagi. Kemudian satu persatu raksasa korbu diserang oleh Betara. Betara yang sudah hilang kesedaran itu cuma menyerang sesiapa sahaja yang bereaksi untuk menyerangnya dan dia akan membalas dengan serangan yang dahsyat. Oleh kerana pasukan manusia sudah melarikan diri, para raksasa korbu semuanya cuba menyerang Betara untuk menghentikan manusia yang sedang menggila itu. Kekuatan Betara jelas sekali meningkat beratus kali ganda. Raksasa korbu yang sangat gagah dan menakutkan, tetapi sekarang tidak ubah ibarat seekor semut dihadapan Betara. Dengan sekali pukulan dan tikaman dari Betara sahaja sudah mampu menghancurkan setiap ekor raksasa korbu itu.
Ratu Manikmaya pula semakin cemas apabila melihat Betara sudah mula menguasai pertarungan. Dalam beberapa minit lagi, pasukan raksasa korbu yang dia bersusah payah bentuk dalam masa lima belas tahun ini akan musnah. Hal yang mengejutkan ini diluar perkiraan Ratu Manikmaya. Seekor demi seekor raksasa korbunya hancur cuma dengan menerima satu serangan. Ratu Manikmaya yang tidak ingin berdiam diri melihat ke arah Melur disebelahnya. Fikir si ratu, gadis muda itu sekarang sudah tidak ada gunanya. Niat awalnya untuk membuat pertukaran sudah tergendala. Ratu Manikmaya segera menarik Melur berdiri rapat disampingnya.
Setelah Ratu Manikmaya melihat kembali ke medan pertempuran,dia tanpa sedar menelan liurnya sendiri. Dia mulai ketakutan apabila melihat semua raksasa korbu sudah dihabisi oleh Betara. Yang tersisa sekarang hanyalah seekor yang berdiri disebelah Ratu Manikmaya dan Melur itu sahaja.
“Kau..Kau.. Tak guna! Kau hapuskan semua raksasa korbu milikku!” Ratu Manikmaya meluahkan amarah untuk menghilangkan kegentaran dihatinya.
Ratu Manikmaya yang tidak berfikir panjang, lalu menyerang Betara menggunakan cahaya hijau dari tongkatnya. Namun diluar dugaan, cahaya hijau yang dihasilkan oleh Ratu Manikmaya itu segera menghilang, dilahap oleh api yang menyelubunyi seluruh badan Betara. Mungkin itulah kekuatan warisan naga yang dimiliki oleh Betara sepertimana yang dikatakan oleh Sang Ukong sebelumnya. Bukan sahaja memiliki kekuatan fizikal, malah api naga Betara juga memiliki kesaktian untuk membakar apa sahaja. Ratu Manikmaya mengulangi serangannya berkali-kali terhadap Betara dan hasilnya tetap sama. Betara langsung tidak mengelak serangan tersebut seperti sebelumnya, tetapi serangan sang ratu itu terus hilang dibakar api apabila mendekati Betara. Beberapa saat Betara cuma diam berdiri memandang ke arah Ratu Manikmaya. Ratu sihir itu sedar, sebentar lagi Betara pasti akan menyerangnya kembali sepertimana lelaki itu menyerang raksasa korbu.
“Pergi kau hapuskan dia!” Ratu Manikmaya mengarahkan raksasa korbu terakhirnya untuk menyerang Betara. Raksasa korbu itu segera patuh dengan arahan ratunya dan berlari menuju ke arah Betara. Pada masa yang sama, Ratu Manikmaya menguis jarinya kedepan untuk menarik burung gagak yang terbang dibelakangnya agar menempel pada badannya untuk menjadi sayap bagi dirinya. Pada waktu burung gagak itu sudah bertukar menjadi sayap di badan Ratu Manikmaya, raksasa korbunya yang terakhir sudahpun hancur ditikam oleh Betara menggunakan keris ditangannya.
Ratu Manikmaya kemudian meletakkan kuasa sihirnya dibelakang badan Melur. Apabila dia melihat Betara sedang meluru ke arahnya, dia segera menggunakan sihir dibelakang badan Melur itu untuk mencampakkan gadis muda itu ke arah Betara bagi menghalang lelaki itu mendekatinya. Melur yang terbelengu dengan ikatan itu tidak mampu berbuat apa-apa. Dia yang sedang melayang cuma melihat ke arah Betara yang sedang mengamuk itu lalu menjerit.
“Ayah!!!”
Betara sudah pun menghalakan mata kerisnya ke arah Meluri. Pada sangkaannya, itu adalah musuh yang menerpa ke arahnya. Namun jeritan Melur itu sedikit memberi kesedaran kepadanya. Betara akhirnya sempat melencongkan mata kerisnya dari menusuk anak perempuannya itu. Namun, kerana kedua mereka bertembung dalam kelajuan yang sangat tinggi, Betara tidak sempat untuk menyambut Melur. Badan Melur terus meluncur laju melepasi Betara. Malangnya, api dari tubuh Betara itu telah membakar kulit Melur, lebih-lebih lagi di bahagian mukanya yang menghadap ke depan semasa dilontarkan oleh Ratu Manikmaya. Melur akhirnnya jatuh dan kepalanya terhantuk. Mukanya tersembam pada satu batu yang agak besar di situ. Hentakan yang kuat di kepala Melur menyebabkan gadis itu terus tidak sedarkan diri. Bercucuran darah mengalir keluar dari kepalanya membasahi bumi.
Sesaat kemudian, sedikit kewarasan pada diri Betara tadi mula hilang kembali. Kini Betara sedang menatap Ratu Manikmaya dan langsung menerkam ke arah musuhnya itu sekali lagi. Ratu Manikmaya yang masih menyayangi nyawanya itu segera membentuk satu lapisan pelindung bagi menghalang kemaraan Betara. Pergerakan Betara mula tersekat. Api yang menyambar dari Betara tidak mampu menembusi lapisan pelindung milik Ratu Manikmaya. Namun Betara kemudiannya menikam lapisan pelindung itu dengan menggunakan Keris Taming Gemala Naga.
Setelah menerima beberapa kali tikaman dari Betara, akhirnya lapisan pelindung milik Ratu Manikmaya itu hancur dan Betara pun segera menghayunkan kerisnya ke arah Ratu Manikmaya. Sang Ratu yang berundur kebelakang dengan melompat dan mengibaskan sayapnya itu berjaya mengelak serangan Betara dari merobek perutnya. Namun hujung keris tersebut sempat juga menggores perut Ratu Manikmaya. Apabila melihat api semakin menyala di bekas goresan luka diperutnya, Ratu Manikmaya yang cemas segera menukarkan dirinya menjadi beberapa puluh ekor burung gagak. Dia terpaksa memecahkan dirinya menjadi puluhan ekor gagak hitam bagi mengelakkan api Betara itu terus merebak.
Ratu Manikmaya yang sudah menjadi sekelompok gagak hitam itu terbang menjauh dari Betara. Dia khawatir jika Betara yang sedang menggila itu terus menyerangnya. Kelompok gagak hitam itu terbang tinggi dan menuju ke arah tebing di puncak Gunung Korbu. Ketika puluhan ekor gagak dari jelmaan Ratu Manikmaya itu berkumpul di tebing puncak gunung tersebut, tiba-tiba muncul seekor naga dari arah jurang dengan mulut yang ternganga luas. Burung-burung hitam itu langsung masuk ke dalam mulut sang naga, lalu sekaligus tertelan apabila naga tersebut menutup mulutnya.
Share this novel
vibes2 high fantasi omputih ni
rasa mcm tgk film la hihuhu
nexx