Bab 20

Fantasy Completed 11833

EMBUN nirmala yang membasahi daun-daun pokok dan rumput ditanah mula tersejat oleh mentari pagi sedikit demi sedikit. Kelopak bunga yang masih belum ternoda oleh serangga pun mula mekar mengembang, menambahkan seri alam. Suasana pagi yang cerah itu dihiasi dengan nyanyian unggas dan bermacam jenis haiwan dari belantara. 

Mastika, Kenchana dan beberapa orang wanita kelihatan sedang mengemas dan membersihkan bahagian dapur selepas selesai mereka  bersarapan pagi. Setelah mereka sarapan beramai-ramai, pasukan pencari buah-buahan dan pasukan pencari herba dari puak Saga telah pun bertolak dari perkampungan untuk menunaikan tugas mereka. Manakala pasukan pemburu masih belum bergerak keluar lagi. Sistem di perkampungan puak saga itu sungguh teratur. Setiap orang telah dibahagi-bahagikan tugas mereka.  

Para wanita biasanya cuma ditugaskan untuk menyediakan makan dan menjaga anak-anak. Mereka beramai-ramai satu kampung akan makan bersama setelah makanan siap disediakan. Lelaki pula dibahagikan kepada beberapa pasukan seperti pemburu yang akan memburu haiwan untuk dimakan dan juga meronda serta mengawasi keadaan di seluruh hutan di Gunung Chamah. Pasukan pemburu dibawah kendalian Betara akan dibahagikan kepada lima hingga tujuh kumpulan setiap hari. Selain itu ada juga pasukan perubatan, pencari ikan, pencari buah, pencari herba dan sebagainya. Sebahagian pula akan bergilir-gilir menjaga perkampungan bersama Punta, kaum wanita dan anak-anak.

Kenchana yang sudah menyelesaikan tugasannya kini duduk di anjung dapur untuk menghilangkan kepenatan. Sambil mengelap peluh yang mengalir di dahi dan lehernya, matanya mencari-cari kelibat Betara dan dia menemui hasilnya. Pasukan pemburu masih berkumpul tidak jauh dari ruangan memasak. Setiap dari mereka kusyuk mendengar arahan dan perancangan dari Betara. Betara memisahkan pasukan hari ini kepada tujuh kumpulan dengan masing-masing seramai empat orang disetiap kumpulan melainkan kumpulan Betara sendiri yang cuma beranggota tiga orang. 

Betara kelihatan sungguh berketerampilan dan selayaknya menjadi ketua. Kenchana tidak menyedari dirinya tersenyum sendirian apabila melihat Betara dari kejauhan. Namun telatah Kenchana itu terlihat oleh Mastika. Mastika berpendapat, oleh kerana Kenchana tidak terbiasa berkomunikasi dengan manusia lain disebabkan hidup gadis itu yang membesar sendirian, mungkin itulah menjadi punca kenapa Kenchana seolah tidak pandai menyembunyikan perasaannya. Gadis naif itu terlalu polos. Jujur dalam perbuatan dan percakapannya persis anak yang masih kecil. Kerana sifat itulah Salak sebelum ini mengambil kesempatan terhadap Kenchana. 

"Betara, nanti pulang awal ya. Jangan sampai orang rindu padamu terlalu lama." Laung Mastika kepada Betara. Ibu itu sengaja mahu mengusik Kenchana. 

"Siapa pula yang rindukan Betara?" Sahut Betara.

"Adalah seseorang.." 

Betara hanya tersengih mendengar celoteh ibunya. Dia tahu ibunya sedang mengusiknya tentang Kenchana dan hal itu menyebabkan anak teruna itu tersipu-sipu menahan malu. Mastika pula merasa sedikit pelik apabila melihat Kenchana yang cuma terkedip-kedip matanya. Niat Mastika tadi ingin mengusik Kenchana dan berharap gadis polos itu akan menggelabah apabila mendengar usikannya, namun harapannya meleset sama sekali. Betara kemudiannya melambai ke arah Ibunya itu dan segera berlalu pergi bersama pasukannya menuju ke hutan dan semakin hilang dari pandang.

"Apa yang ibu katakan tadi?" Kenchana mula bersuara menanyakan kepada Mastika.

"Ibu katakan? yang mana?" Mastika inginkan kepastian.

"Yang Ibu katakan kepada Betara tadi..."

"Oh..kenapa?"

"Orang rindu Betara? Rindu itu apa?"

Mastika sedikit terkejut mendengar soalan Kenchana itu. Dahinya ditepuk sambil suara ketawanya terluah tidak mampu ditahankan. Fikir Mastika, patutlah tadi Kenchana tidak menunjukkan sebarang reaksi. Rupanya gadis itu tidak tahu apa makna rindu. Mastika pun melabuhkan punggungnya di sebelah Kenchana.

"Rindu itu perasaan.. Bila hati kita teringatkan seseorang.. Kita rasa ingin bertemu dengan seseorang.. Kita tidak sabar untuk melihat seseorang.. Itulah rindu." Mastika memberi penjelasan dengan penuh emosi. Dia menggunakan ayat yang mudah untuk difahami oleh Kenchana. Kenchana cuma diam apabila mendengar penjelasan dari Mastika. Seolahnya dia masih memikirkan sesuatu. 

"Seperti Kenchana yang sentiasa fikirkan Betara, maknanya Kenchana rindukan Betara. " Mastika menjelaskan lagi kepada Kenchana dengan mengusik gadis itu.

"Eh..Kenchana.. Betara.. eh.. tidaklah.. bukan begitu.." Kenchana tergagap-gagap cuba berdalih namun mukanya sudah merah padam. Kenchana tidak tahu kenapa dia tiba-tiba merasa malu apabila dikatakan sebegitu oleh Ibu angkatnya itu. Mastika cuma tersenyum dan mencubit manja pipi Kenchana sebelum dia berdiri kembali dan  pergi meninggalkan Kenchana di anjung ruangan memasak itu. Kenchana lantas berdiri dan cuba mengikuti Mastika namun sebelum kakinya membuka langkah, Kenchana terkaku seketika. Bibirnya bergerak seraya mengucapkan perlahan sepotong ayat.

"Rindu Betara.." Kenchana tersenyum sendirian dan tidak menyedari pipinya sedang merona kemerahan.

Hutan gunung Chamah

MATAHARI terik baru sedikit gelincir dari tepat diatas kepala. Namun ditengah hutan tebal di gunung itu, suasana tetap nyaman dan redup dilitupi oleh dedaunan pohon yang berlapis-lapis ketinggiannya. Kelihatan Betara baru siap memasang jerat. Hari ini Betara cuma bertiga sahaja di dalam kumpulannya.

"Selesai jerat kelima hari ini." Senyum Bikas, salah seorang anggota pemburu dikumpulan Betara itu memasukkan parangnya ke dalam sarung yang disematkan di pinggang.

" Kita pasang dua lagi. Menuju ke arah sungai di sana." Betara memberikan arahan sambil jari telunjuknya ditunjukkan ke arah yang dia maksudkan.

"Nanti kita rehat dan bakar ikan di sungai sana. Hahaha.." Lungga memberi saran sambil ketawa.

"Bubu kelmarin kau tinggal disana kan?" Bikas pula bertanya.

"Iya.."

"Baguslah. Kalau ada bubu pasukan Ketumbar di sana, kita ambil juga." Betara berseloroh dan mereka bertiga pun ketawa. 

“Zasss…”

Tiba-tiba mereka mendengar bunyi dari kejauhan. Mereka bertiga saling berpandangan dan tersenyum. Sebagai pemburu yang mahir, mereka tahu, salah satu perangkap yang mereka pasang, sudah mengena dan menangkap hasil.

"Biar aku lihat, apa yang sudah kita dapat." Bikas menawarkan diri untuk pergi melihat hasil dari perangkap yang sudah mereka pasang.

"Betara, aku ke tempat seterusnya dulu untuk siapkan tapak jerat." Lungga menyampaikan hasratnya kepada Betara. 

"Baiklah. Aku buat tanda dulu disini." 

Bikas dan Lungga sudah pergi ke tempat tujuan masing-masing. Betara pula masih mundar-mandir di kawasan tersebut sendirian. Sebenarnya Betara telah merasa suatu keanehan. Dia dapat melihat semak samun di kawasan sekitar itu sedikit berubah dari biasanya. Ada seperti kesan dilalui oleh binatang bersaiz agak besar. Bagi orang biasa, mungkin tidak akan terperasan keadaan hutan belukar sebegitu tetapi tidak bagi Betara. Kawasan itu adalah seumpama kawasan permainannya setiap hari. Betara cuba mencari kesan tapak kaki binatang yang sudah melalui kawasan tersebut bagi mengenal pasti haiwan apakah yang bersaiz besar itu. Fikirnya, Mungkin dia akan mendapat hasil tangkapan yang besar lagi pada hari ni. Akhirnya Betara menemui bekas tapak kaki yang dicarinya. Saiz tapak kakinya agak besar seperti tapak kaki seladang. Tapi setelah mengamati, Betara menjadi pelik. Kenapakah tapak kaki depan dan belakang tidak selari dan jarak antara empat tapak kaki tersebut tidak seimbang. 

"Haiwan apakah ini? Ini bukan tapak kaki seladang." Betara bermonolog. Pengalamannya sebagai pemburu segera dapat membezakan tapak kaki haiwan di belantara.

"Tidak mungkin ini tapak kaki seekor haiwan berkaki empat. Apakah ada haiwan berkaki dua yang bersaiz besar selain mawas? Ini jelas bukan tapak kaki mawas atau manusia.." Betara terus ragu-ragu sendirian. Fikirannya cuba membayangkan, kesan tapak kaki itu adalah dari dua ekor haiwan yang berkaki dua dan bersaiz besar. Berdasarkan kedalaman bekas tapak kaki itu ditanah juga membuktikan haiwan itu sangat berat dan bersaiz besar. Apakah haiwan itu seladang yang cacat dan berkaki dua? Tidak mungkin sama sekali. Betara sangat bingung. Selama dia berburu, tidak pernah dia menemui haiwan besar berkaki dua di hutan itu. Firasatnya memberi petanda kurang baik. Titisan peluh jernih mula muncul di dahi Betara. Setelah diamati, Betara yakin haiwan itu sememangnya berkaki dua dan bersaiz besar. Lebih merisaukan, tapak kaki tersebut kelihatan masih baru dan telah menuju ke arah yang sama dengan temannya, Lungga pergi sebentar tadi. Lungga sedang menuju ke arah dua ekor haiwan besar yang berkaki dua. Kesimpulan tersebut terus muncul di minda Betara.

"Lungga.." Terpacul nama sahabatnya itu dari mulut Betara seiring kerisauan di dalam hatinya dan dia dengan segera berlari menuju ke arah Lungga dan tapak kaki haiwan tersebut. 

"Arrghhh!!!!"

Betara terdengar satu suara teriakan. Dia yakin itu suara Lungga. Sambil langkah kakinya laju berlari, tangan kanan Betara kemas memegang hulu parangnya yang tersisip di pinggang dan dia terus menghunus parang tersebut. Setibanya Betara di tempat Lungga, dia terkejut alang-kepalang apabila melihat Lungga sudah rebah tersungkur menyembah bumi dan berlumuran darah. Lebih mengejutkan Betara, yang menyerang temannya itu adalah seekor kerbau yang berdiri dengan dua kaki dan memegang senjata seperti kayu pemukul yang besar. 

Sambil melompat, Betara menghayunkan parangnya ke arah tangan makhluk itu yang sedang cuba untuk meneruskan serangan ke atas Lungga. Dengan sekali tetakkan, maka terputuslah tangan makhluk itu terkena serangan Betara. Tanpa berfikir panjang, Betara meneruskan serangan selanjutnya ke arah badan makhluk aneh tersebut. Serangan ketiga terus berangkai ke kaki. Seterusnya Betara terus menikam perut makhluk itu berkali-kali sebelum parangnya menebas leher makhluk itu dan serta-merta memutuskan urat halkum makhluk aneh tersebut. Dalam masa beberapa saat sahaja, serangan Betara berjaya membunuh makhluk berwajah kerbau itu. Sebuah tendangan keras dari Betara tepat mengenai dada haiwan itu sehingga membuatkan makhluk itu terpelanting jauh kebelakang.

"Makhluk apakah itu?" Betara bertanya sambil memalingkan badannya ke arah Lungga. Lungga yang berlumuran darah akibat pukulan Raksasa Korbu tadi baru bangkit berdiri dengan lemah. 

"Entahlah.. Tiba-tiba aku diserang. Kepalanya seperti kerbau, tapi memiliki dua tangan dan dua kaki." Lungga memandang ke arah Betara dan mereka kemudiannya bersamaan mengalihkan pandangan mereka ke arah raksasa korbu yang sedang menggelupur akibat disembelih Betara. Mereka kemudian bersama-sama bergerak mendekati raksasa korbu yang hampir kehabisan nyawanya itu.

"Apakah ini haiwan atau raksasa? Mungkinkah kerbau sumpahan?" Betara mengamati makhluk tersebut. 

"Kamu tidak apa-apa Lungga?" Betara melihat ke arah temannya yang berlumuran darah itu. Parang di tangannya dimasukkan ke sarungnya dan Betara cuba memapah Lungga yang sudah kelihatan lemah.

Tiba-tiba satu serangan hinggap di belakang Betara sehingga menyebabkan dia tersungkur menyembah bumi dan Lungga juga turut rebah. Sebelum sempat mereka melihat penyerang mereka, satu pukulan melayang ke kepala Lungga yang sudah lemah itu. Serangan kuat itu telah meragut nyawa Lungga serta-merta. 

"Aku lupa binatang itu ada pasangan." Betara menggulingkan badannya beberapa kali untuk menjauhkan dirinya dari penyerang hendap itu bagi mengelakkan dirinya menerima serangan seterusnya. Kemudian Betara segera melompat untuk berdiri kembali dan menghadap ke arah musuh. Tangan Betara segera menghunus kembali parangnya. Dia berasa sangat sukar untuk bernafas dek kerana serangan yang diterimanya sebentar tadi. Bahagian belakang badannya terasa sangat sakit. Tanpa berlengah, raksasa korbu itu terus menyerang Betara yang masih belum berjaya menstabilkan dirinya. Serangan dari raksasa korbu itu berjaya dielak oleh Betara. Betara yang tidak mahu hanya bertahan, cuba menghadiahkan satu tendangan ke arah perut raksasa korbu itu namun kerana kedudukan badannya yang tidak stabil, tendangan yang dihasilkan sangat lemah dan tak memberi kesan kepada raksasa korbu tersebut malah menyebabkan diri Betara pula yang merebah ke tanah.

Serangan raksasa korbu diteruskan dengan cubaan menghentak Betara yang rebah itu dengan senjatanya. Betara bernasib baik kerana sempat memusingkan badannya untuk mengelak serangan tersebut. Kemudian Betara menggulingkan badannya ke belakang dan terus berdiri menghadap musuh. Satu tikaman dari Betara tepat menusuk ke dada raksasa korbu. Namun raksasa yang kesakitan itu menghayunkan senjatanya yang berupa kayu pemukul itu tepat mengenai dada Betara sehingga  menyebabkan Betara terpelanting jauh ke belakang. Betara mengerang kesakitan. Nyawanya terasa bagai cuba direnggut oleh malaikat maut.

Raksasa korbu terus menerpa lagi ke arah Betara untuk melanjutkan serangan seterusnya. Betara yang sudah tidak mampu berbuat apa-apa semakin cemas. Kesakitan yang dialaminya saat itu tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Cuma raungan sahaja yang terkeluar dari mulut Betara. Raksasa korbu yang berlari ke arah mangsanya sudah menghayunkan senjatanya untuk membunuh Betara. Beberapa kaki lagi jaraknya raksasa korbu untuk menghampiri Betara, tiba-tiba sahaja raksasa itu rebah menyembah bumi.

Di Leher raksasa korbu terlihat tertancak satu anak panah. Betara yang kehairanan menoleh ke arah punca datangnya anak panah tersebut. Rupa-rupanya Bikas yang sudah melepaskan anak panah tersebut. Bikas kelihatan sedang berlari ke arah Betara yang sedang bertarung nyawa menghadapi raksasa korbu itu. Raksasa korbu itu pula seakan langsung tidak melemah setelah mendapat dua serangan tadi. Betara cuba mengerahkan sekuat tenaganya untuk berdiri dan melibas parangnya ke arah raksasa korbu yang masih berjuang untuk berdiri. Namun serangan dari Betara berjaya ditahan oleh raksasa korbu. Raksasa korbu yang tidak mahu mengalah juga tidak mendiamkan diri. Raksasa tersebut menghayunkan tangannya ke arah Betara dan serangannya tepat mengenai perut Betara. Walaupun serangan tangan kosong, hayunan dari tenaga raksasa itu masih mampu melontarkan Betara sehingga Betara hampir ke tebing jurang. 

Bikas yang baru tiba segera menyerang raksasa korbu dengan parangnya dan berjaya melukai lengan raksasa berkenaan. Serangan kedua dari Bikas menghala ke arah leher raksasa itu namun raksasa korbu tersebut berjaya mengelak ke belakang untuk menghindari serangan tersebut. Menyedari raksasa korbu itu masih tidak menstabilkan dirinya, Bikas lantas memberi satu tendangan ke dada makhluk itu yang menyebabkan musuhnya itu rebah ke belakang berhampiran Betara yang masih terbaring menahan kesakitan. Betara yang menyedari raksasa itu sekarang berada di sebelahnya mengerahkan kudratnya untuk bangkit berjuang tapi Betara baru menyedari, parang di tangannya tadi telah terlepas sewaktu dia dipukul.

"Bikas, parang!!" Betara menghulurkan tangannya ke arah Bikas untuk meminta parang dari temannya. Bikas tanpa berfikir panjang terus melontarkan parangnya kepada ketua pasukannya itu. Betara menyambut kemas parang lontaran Bikas dan segera menghayunkan parang tersebut ke arah leher raksasa korbu yang masih terbaring dengan niat untuk menyembelih musuhnya itu. Namun serangan Betara meleset lagi apabila raksasa korbu menahan serangan itu dengan tangannya. Walaupun serangan Betara itu gagal mengenai sasarannya, namun setidaknya berhasil memutuskan lengan raksasa korbu tersebut. Malang buat Betara, satu tumbukan dari raksasa korbu mengenai muka ketua pasukan pemburu itu. Namun parang yang masih di tangan Betara juga berjaya menerobos tenggorokan raksasa tersebut. 

Betara terus rebah dan tidak lagi sedarkan diri. Raksasa korbu yang sudah sekarat itu pula masih mampu untuk bangun berdiri. Melihatkan situasi itu, Bikas tidak mahu membiarkan raksasa korbu itu terus bangkit. Bikas segera berlari dan melompat ke arah raksasa korbu itu dan memberikan satu tendangan lagi ke dada raksasa itu yang menyebabkan raksasa korbu itu terpelanting ke belakang dan terus jatuh ke bawah jurang. 

Dengan nafas yang tercungap-cungap, Bikas yang jatuh terlentang ke tanah selepas memberi tendangan tadi melihat ke arah Betara yang sudah tidak bergerak. Bikas segera berdiri dan melihat ke arah bawah jurang untuk melihat keadaan raksasa korbu yang ditendangnya. Dia yakin raksasa itu sudah mati setelah jatuh dari jurang setinggi itu, apatah lagi tenggorokannya sudah tembus ditikam Betara tadi.

"Betara..." Bikas lantas melihat ke arah Betara dan berlari mendekati ketuanya itu. Tanpa membuang masa, Bikas segera memeriksa nafas dan denyutan nadi Betara. Dia kemudian menghembuskan sebuah nafas kasar. Bikas bersyukur Betara masih bernafas. Ketuanya itu cuma pengsan setelah menerima beberapa kali serangan raksasa korbu tadi. Bikas kemudian melihat ke sekeliling kawasan tersebut. Dia menyedari ada satu lagi raksasa korbu yang tertiarap disitu. Mungkin sudah mati dibunuh Betara fikirnya. 

Bikas mula terkejut apabila menyedari temannya, Lungga juga terbaring disana. Dia segera berlari ke arah Lungga untuk melihat keadaan temannya itu. Namun emosi Bikas mula berkecamuk apabila melihat keadaan Lungga yang berlumuran darah. Dia yakin kepala sahabatnya itu sudah pecah. Wajah Lungga yang berlumuran darah itu juga terlihat hancur. Bikas menguatkan juga dirinya dengan cuba menyakini temannya itu masih bernyawa. 

Namun kekecewaan mencengkam hatinya selepas dia memeriksa nadi yang sudah tiada pada Lungga. Sungguh pilu apabila melihat sahabat baiknya kehilangan nyawa dalam keadaan yang tragis sebegitu. Dengan perasaan sebak yang mengerumuni hatinya, Bikas memeluk jasad Lungga yang sudah tidak bernyawa. Air mata lelakinya tumpah demi seorang sahabat. Menitik laju menimpa dada Lungga dan  air mata itu bercampur dengan darah yang masih hangat mengalir keluar dari kepala Lungga.

"Lungga!!!" Bikas cuma mampu memeluk mayat sahabatnya itu sambil terduduk dan meraung sekuat hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience