Hatinya tidak tenteram sejak balik dari kerja pada pukul lapan malam tadi. Sarat betul dalam kepalanya apabila teringatkan kata - kata Dato' Huzairi. Apa yang dibuatnya kini serba - serbi tak kena. Dia menghembus asap rokok ke udara. Berkepul - kepul memenuhi ruang udara di depannya. Dia mengibas asap itu dengan tangan kanannya.
"Macam mana aku nak cakap dengan Sakinah tentang hal ni. Dato' Huzairi pula dah berkenan sangat dengan Tia." Dia bercakap seolah - olah ada orang di depannya sedang menemaninya bersembang.
"Cantik budak ni, sesuai sangat dengan Hud. Kau bagi aku jumpa dia, nanti taulah macam mana aku nak pujuk." Dato' Huzairi menyerahkan kembali handphone itu kepadanya.
"InshaAllah Dato' nanti saya usahakan." Dia hanya menunduk sahaja ketika itu. Dia tunjuk gambar curi anak buahnya kepada majikannya itu setelah didesak berkali - kali. Gambar disnap ketika Tia duduk termenung di jendela rumah. Langsung tak perasankan akan dirinya yang ketika itu memandu kereta bercermin gelap milik Dato' Huzairi.
"Kalau nak harapkan kau yang bertindak, memang aku mati dulu pun benda ni tak selesai."
Tahir terkedu. Terasa kelat dia hendak menelan kata - kata perlian dari Dato' Huzairi itu. Tajam dan menusuk hingga ke ulu hati.
Setitis air hujan mengenai hidungnya. Ingatan pada perkara siang tadi hilang terus dibawa angin.
"Macam mana aku nak buat ni?" Jika gagal membawa Tia berjumpa Dato' Huzairi, dia tidak akan menerima baki bayaran tugasnya itu. Lagi separuh. Walaupun separuh tetap tinggi nilainya untuk rakyat B40 sepertinya. Dengan baki duit separuh lagi itulah dia mampu menyara hidupnya sekeluarga selama beberapa bulan. Dia bukan kaki perempuan, bukan juga kaki judi. Perempuan yang dia gila - gilakan hanya seorang.
Mata yang sedikit mengendur itu kembali bersinar. Dia tau, mungkin dengan cara ni dia boleh mempertemukan Tia dengan Dato' Huzairi.
Terus dia masuk ke dalam rumah. Mencapai kunci motosikal yang tersangkut dipaku pada dinding tepi pintu utama.
Bunyi ekzos yang kuat mengganggu ketenangan Rokiah yang sedang asyik melayan drama melayu di TV3. Panjang lehernya berpaling sebelum dia meluru ke pintu utama.
"Abang nak pergi mana tu?" Terus dia menyoal.
"Ah, tak payah tau... Sibuk jelah kau ni!!!" Jawapan acuh tak acuh dijawab dengan laungan dan tanpa berpaling.
"Hmmm, nak ke rumah jandalah tu. Macamlah aku tak tau." Bersama hati yang bergolak, dia menghempas pintu utama rumah. Bergema bunyi hentakan kuat bersama rasa geram yang menggebu di hatinya.
"Tak guna punya jantan. Aku yang banyak berkorban untuk kau selama ni langsung kau tak pandang." Bergeretap bunyi geseran giginya. Hanya Tuhan sahaja yang tau apa rasa hatinya ketika ini.
Dia menghempas pula pintu biliknya bersama hati yang berdongkol geram.
*******
"Kinah...!!!"
"Ooo, Kinah, ishhh, mana pulak perempuan ni, sakit tekak aku panggil." Tahir mula membebel. Dia turun dari motosikal. Matanya melilau hingga ke belakang rumah mencari kelibat Sakinah. Tetapi wanita itu tidak kelihatan apatah lagi bayangnya.
"Kinah..." Dia meneruskan laungan memanggil Sakinah.
Telinganya menangkap bunyi daun pintu utama seperti dibuka. Matanya tertancap ke arah situ. Cerah matanya dan hatinya yang sedikit baran sebentar tadi kembali reda dan sejuk apabila melihat Sakinah yang ayu serta masih bertelekung sedang berdiri tegak di muka pintu.
"Yang abang long terpekik , terlolong macam orang hilang bini dekat rumah Kinah ni kenapa? Ada apa - apa urusan penting ker?" Terus diajukan buah soalan kepada lelaki yang berdiri di depan tangga rumahnya itu.
"Haahhh, memang ada hal penting pun."
Kening Sakinah berkerut...
"Apa hal yang penting sangat tu sampaikan orang nak solat pun tak tenang." Perli Sakinah.
"Huhhh, mana aku tau kau tengah solat. Kalau aku tau, takdelah aku terjerit - jerit bak kata kau 'Macam orang hilang bini' tu. Aku ni cuma risaukan kau, mana tau masa aku panggil, kau diam tu tetiba kau pengsan dekat dalam rumah ke atau bilik air ker. Nanti siapa yang susah? Aku jugakan." Dia cuba bercakap dalam intonasi yang selembut mungkin.
"Emmm, yelah tu sekadar nak ambil berat, macamlah Kinah ni baru kenal abang long sehari dua. Jika takde urusan yang terlalu penting, takdenya abang long nak jejakkan kaki ke rumah ni." Sakinah memulang paku buah keras.
"Yelah - yelah... Kau ambilkan aku air, dahaga betul." Tanpa segan, tanpa malu dia meminta balu adiknya untuk mengambil air. Entah kenapa, dia tidak pula bercakap kasar seperti sebelumnya. Jika tidak, melantun - lantun suaranya membalas percakapan wanita itu.
"Emmm, yelah, tunggu kejap Kinah ambilkan. Sakinah berlalu masuk ke dalam rumah." Dah tau datang dari rumah, minumlah air dulu. Kenapa,,, kat rumah tu, isteri tak buat air ke?" Sempat dia membebel. Biarkan lelaki itu mendengar. Dia tidak ambil peduli.
Tahir hanya diam membeku mendengar sindiran pedas bekas adik iparnya itu. Telinganya dia pekakkan. Dia mengambil tempat di atas anak tangga ke tiga. Cahaya matahari terik pula petang ini. Nasib baik ada penghalang atap zink di atas beranda rumah itu.
Tidak sampai lima minit, Sakinah datang semula dengan membawa air putih sejuk. Diletakkannya di depan lelaki itu.
"Air putih jer..." Tahir memandang ke dalam gelas. Sedikit hampa kerana fikirnya Sakinah akan menghidangkannya air sirap atau mungkin juga sunquick oren.
"Bersyukur jer dengan apa yang ada, kalau nak minum sedap - sedap pergi balik rumah sendiri. Ni Kinah nak tanya, apa tujuan abang long datang sini? Cakap cepat, Kinah banyak kerja lagi nak buat." Sakinah membalas acuh tak acuh. Sebenarnya lebih kepada malas mahu melayan. Bukan apa, nanti akan ada mulut - mulut busuk seperti langau yang akan menyebarkan cerita yang bukan - bukan berkenaan dirinya. Dia bukan tak tau, sifat cemburu buta isteri abang iparnya itu. Memandangnya seolah - olah seperti seteru, apatah lagi mahu berbaik - baik dengan dirinya, hmmm, memang jauh sekali.
Tahir menelan juga air putih sejuk yang terhidang di depan matanya itu. Dia menarik nafas dalam - dalam sebelum memulakan bicara.
"Esok aku nak bawa Tia jumpa seseorang..."
"Jumpa siapa? Kinah tak benarkan." Sakinah menjegilkan matanya luas - luas. Mana tak hangin satu badan. Suka - suka hati nak bawa anak daranya jumpa entah siapa - siapa.
"Jangan risau. Aku tak bawa dia jumpa orang yang bukan - bukan. Bos aku nak jumpa dia. Mungkin ada hal dia nak bincang dengan Tia." Tahir berterus - terang.
"Hal apa? Tak de angin, takde ribut tiba - tiba dia nak jumpa Tia. Kinah tetap tak benarkan." Sakinah berkeras. Dia risau. Tersangat risau akan keselamatan anak daranya itu. Dengan abang iparnya ini pun dia tiada sekelumit pun rasa percaya.
"Kau dengar dulu. Mana tau ini untuk jodoh Tia. Kau tak bangga ke Tia dapat jodoh dengan anak orang kaya, anak Dato'. Mesti satu kampung akan respect pada kau. Aku ni niat nak membantu untuk mengubah nasib hidup kau melalui Tia..."
"Sudahlah abang long, berapa kali Kinah nak cakap, kami sekeluarga sanggup tak makanlah. Emmm, tak payahlah nak desak - desak kami. Tia anak Kinah. Abang long takde hak nak tentukan jodoh Tia. Kinah tetap tak akan benarkan. Abang long pergilah balik." Sakinah mengetap giginya. Geram sungguh dia rasa saat ini. Sejenis yang tak faham bahasa.
"Kau suka atau tak suka, esok aku akan tetap bawa Tia jumpa bos aku. Kau siapkan Tia cantik - cantik. Selepas zohor aku akan datang jemput dia. Kalau kau tetap nak berkeras, selepas zohor aku nak kau dan anak - anak kau keluar dari rumah ni. Jangan buat - buat lupa. Hutang laki kau masih belum bayar. Geran tanah ni ada pada aku. Kau fikirlah baik - baik, nak aku bawa Tia jumpa bos aku atau kau dengan anak - anak kau yang keluar dari rumah ni." Tahir mengugut. Cakap lembut - lembut pun tak jalan, degil. Orang nak bagi hidup senang pun susah. Bukan nak ucap terima kasih. Tahir merengus. Dia menghidupkan enjin motosikalnya dan segera pergi dari situ.
Sakinah urut dada. Berderau darahnya sebentar tadi apabila mendengar kata - kata abang iparnya itu. Dia masuk ke dalam rumah. Pintu rumah dia kunci rapat - rapat. Badannya jatuh terduduk di balik pintu utama. Perlahan - lahan air matanya gugur. Pilihan apa lagi yang dia ada ketika ini. Abang iparnya itu tidak habis - habis mahu mengugut. Sekarang ini dah mula ugut untuk menghalaunya anak - beranak pula. Andainya dia ada duit untuk menebus kembali tanah ini... Duit yang dia kumpul pun belum sampai sesuku dari jumlah cagaran yang di buat oleh arwah suaminya dulu. Dia tarik nafas dalam - dalam. Sangat perit rasa di hati.
"Ibu..."
Sakinah tersentak apabila mendengar dirinya dipanggil dari dapur. Lupa dia tadi yang Tia ada di belakang rumah Menyelesaikan kerja mencabut rumput - rumput di atas batas tanaman. Dia pula berhenti sebentar bagi memberi laluan untuk menunaikan solat asar.
"Yer sayang... Ibu kat sini." Sakinah membalas. Dia mengesat air mata dan membetulkan dirinya agar tampil sempurna di mata anaknya itu. Dia tidak mahu dirinya tertangkap kerana tengah bersedih.
"Ibu, jom kita makan. Tia ada buat cekodok bawang campur ikan bilis." Tia mengajak. Dia berdiri di tepi tangga dapur. Pandangannya tetap ke arah ibunya yang sedang berjalan menuju ke dapur.
Dahi Sakinah berkerut. Bila pula anaknya itu buat cekodok, rasanya tadi masih kat kebun sayur belakang rumah.
"Tia tak nak ganggu ibu. Tia dah dengar semuanya apa yang pak long dah bincang dengan ibu." Jelas Tia, dia tau apa yang menggangu pemikiran ibunya ketika ini.
"Errr, maksud Tia... Tia dah curi dengar apa yang ibu dengan pak long bincang tadi???"
"Maaf bu, bukan Tia sengaja nak curi dengar. Tia cari ibu nak panggil ibu untuk makan cekodok sama - sama. Tak sangka pulak pak long ada. Tapi ibu jangan risau, kerja Tia kat kebun semua dah selesai." Tia Zahara menerangkan. Melihat ibunya sudah mengambil tempat di meja makan, Tia menghidangkan cekodok yang sudah siap digoreng ke dalam pinggan. Bancuhan pagi tadi masih lagi tinggal sedikit yang tersisa, dia simpan di dalam peti ais untuk buat gorengan pada sebelah petang pula. Bolehlah buat kudap - kudap untuk minum petang.
"Tia..." Air liur yang ditelan terasa kelat. Tak sanggup dia hendak meneruskan.
"Ibu, izinkan Tia pergi ikut pak long. Jangan risau Tia akan jaga diri Tia. Tia tak akan sesekali keluar dari rumah ni. Ni rumah kita ibu. Arwah ayah bersungguh - sungguh sediakan tempat berteduh untuk kita. Jangan ingat pak long boleh senang - senang nak halau kita. Di rumah nilah banyak kenangan yang arwah ayah tinggalkan. Ibu sanggup ke nak lepaskan rumah ni pada pak long." Dia tahan air mata dari gugur. Dia mahu terlihat kuat di hadapan ibunya.
"Tia..." Tangan sianak dia elus. Tak sanggup dia nak mendengar.
"Ibu percayakan Tia okay. Apapun keputusannya, Tia tak akan sesekali membelakankan ibu. Kalau betul bos pak long nak jadikan Tia sebagai menantu dia. Biar dia sendiri yang datang sini mengadap ibu." Nada suara Tia kedengaran tegas. Dia tidak takut cuma ada sedikit rasa gelisah. Yelah, apabila kali pertama ingin berjumpa dengan insan yang begitu asing dengan dirinya.
Sakinah mengangguk, ada sedikit senyum terulas dibibirnya.
"Ibu percayakan Tia."
Akhirnya Tia berasa sedikit lega. Dia perlu juga tempuhi semua ini. Lambat atau cepat, tetap juga dia kena hadap. Pak long sedikitpun tidak ada belas kasihan. Demi memuaskan hati sendiri. Entah apa ganjaran yang orang tua tu terima sampai sanggup korbankan masa depan anak buahnya sendiri. Tia ketap rahang.
Tia menyudahkan gorengan. Cekodok yang baru dia angkat dari kuali dicampurkan ke dalam pinggan cekodok di atas meja.
"Ibu makan dulu yer, Tia naik atas jap panggil adik."
"Emmm, yelah. Adik kamu buat apa kat bilik? Dari tadi berkurung." Sakinah menyoal sambil memanjangkan leher ke belakang, memandang Tia yang sudah mendaki anak tangga.
"Buat kerja sekolah ibu. Banyak pula kerja sekolah dia harini. Tu yang Tia tak nak ganggu dia. Takpelah, Tia pergi panggil dia kejap untuk makan sama - sama.
*******
Tia yang sudah mengambil tempat di dalam kereta di sebelah pemandu hanya diam membisu. Asyik dengan bermain jari. Tapi fikirannya jauh melayang entah ke mana. Bermacam - macam perkara yang dia fikir. Tiba - tiba pula sekarang ini, jiwanya rasa tidak tenteram. Entah bagaimana rupa dan perwatakan bos pak longnya itu. Sampai sekarang dia tak boleh fikir kenapa bos pak longnya itu boleh berkenan kepada dirinya untuk dibuat menantu.
Fikirnya orang kaya seperti itu mesti sudah ada calon - calon dari kalangan mereka juga. Engang mesti akan mencari enggang juga, manakan maunya mencari pipit. Tapi yang dia sedang atau akan hadap nanti terlalu jauh dari kotak fikirannya.
"Tenang - tenang sudah, tak perlu nak menggelabah sangat."
Dada Tia tiba - tiba berombak apabila mendengar suara pak longnya. Tia paling wajah. Lelaki itu hanya fokus memandang ke hadapan.
"Kenapa pak long sanggup buat kami macam ni??? Tia ni anak saudara pak long. Darah daging pak long. Tia tak fahamlah, kenapa pak long tergamak nak serahkan Tia kepada orang yang Tia sendiri tak kenal." Tia yang sejak dari tadi membisu mula menyuarakan ketidakpuasan hatinya.
"Sebab pak long nak Tia ubah hidup keluarga Tia. Bos pak long baik orangnya. Mereka bukan dari sembarangan keluarga. Hud tu datang dari keluarga yang ada nama, keluarga yang berpengaruh. Hidup Tia nanti akan berubah jika kahwin dengan Hud." Pak long membalas.
'Oh, Hud namanya,' hatinya berdesis. Dengar nama pun dia dah rasa tak tenteram. Jiwanya bergelodak. Tak dapat dia bayangkan yang hidupnya akan berkongsi serba - serbi dengan lelaki itu nanti.
Happy reading ❤️ Es Lilin
Share this novel