BAB 10

Romance Series 13768

Mata Tia melilau memandang ke segenap ruang di dalam bilik yang berhias cantik ini. Kagum dia sejenak.

"Bilik siapa agaknya ni?" Dia menyoal agak naif. Susunan perabot yang agak rapi dan tampak elegan dengan sentuhan warna hitam dan silver begitu menarik naluri perempuannya.

"Ni bilik Tuan Hud. Saya letak barang Puan Tia di sini yer." Kak Maz menunjuk ke arah tepi sofa.

Tia tersentak. Namun dia dapat mengawal dirinya yang agak gelabah ketika itu. Sejak dia sampai ke sini petang tadi, dia diminta oleh ibu mentuanya untuk terus ke bilik ini. Tanpa dia tahu bilik itu kepunyaan siapa atau hanya sekadar bilik tetamu. Ibu mentuanya meminta untuk beredar segera dari situ kerana perlu menjawab panggilan telefon. Kedengaran seperti serius. Tia hanya mengangguk walaupun telinganya cuba mendengar butir bicara dari luar pintu bilik itu. Seperti Datin Malika sedang memarahi seseorang. Abaikan sahaja kerana tiada kaitan dengan dirinya.

Matanya beralih pandang pada suara yang kedengaran dari arah belakangnya. Dia mengukir senyum manis. Cuba untuk mempamerkan riak wajah yang seramah mungkin kerana tidak mahu terlihat janggal antara dia dengan pembantu rumah ini.

"Maaf sebab dah mengejutkan Puan Tia. Puan Tia berehatlah. Sekejap lagi baliklah Encik Hud tu." Maklum Kak Maz seperti yang diperkenalkan oleh ibu mentuanya sebentar tadi. Setelah meletakkan barang - barangnya, Kak Maz meminta diri untuk ke aras bawah. Katanya mahu menyediakan makan malam bersama Kak Sulis. Baru sahaja tadi dia diperkenalkan dengan pembantu dalam rumah ini. Ada dua orang. Kak Maz dan juga Kak Sulis. Takpe dia akan cuba berbaik - baik dengan mereka. Kelihatan mereka berdua juga baik - baik orangnya.

Lelaki yang bergelar suami entah ke mana perginya. Dari selepas akad nikah dua hari lepas dia tidak melihat kemunculan lelaki itu di depan matanya. Acara membatalkan air sembahyang juga tidak sempat dilakukan apabila lelaki itu tergesa - gesa keluar dari masjid sejurus akad nikah. Wajah lelaki itu juga tidak dapat dia pandang secara tepat. Salahnya juga sebab hanya menunduk dari mula sampai akhir semasa akad nikah itu berlangsung. Malu, ye, memang dia teramat malu. Perkahwinan yang dibina tanpa ikatan cinta sememangnya akan terasa tersangat janggal. Untuk memupuk rasa cinta selepas berkahwin pun amat jauh sekali dalam keadaan situasi mereka ketika ini.

Dia hanya sempat mengangkat wajah apabila kedengaran perkataan 'sah' dari saksi - saksi di telinganya.

Paling dia tidak boleh fikir apabila suaminya itu bertindak meninggalkan masjid ketika itu juga. Memang dia tidak boleh nak menjangka hal itu akan terjadi. Langsung tak menjaga air muka mommy dengan daddy. Beristighfar dia berulang kali memikirkan sifat biadap suaminya itu. Air mata terlalu mudah pula hendak gugur. Terasa bergenang di pelupuk mata. Sedayanya dia tahan. Tidak mahu merosakkan mekap pada wajahnya.

Benci betul suaminya itu mahu menatap wajahnya. Hmmm... Keluhannya terlepas. Sudah dia dapat mengagak apa kesudahan dalam rumahtangganya selepas ini. Mesti seorang akan ke Timur dan seorang akan ke Barat. Perkahwinan ini sekadar ingin memuaskan hati kedua bakal mentuanya. Anggapan itu menerjah di layar kotak fikirnya. Tidak mengapa, selagi belum ada ungkapan cerai dari mulut lelaki itu, selagi itu juga dia akan bertahan.

Kali kedua dia menjejakkan kakinya ke sini. Pertama sebelum berkahwin dan kali kedua selepas berkahwin. Kedua - duanya menghasilkan suasana yang janggal buat dirinya. Hatinya berbelah bahagi mahu ke rumah ini setelah dijemput oleh Dato' dengan Datin sendiri.

Dia mengambil tempat di sofa yang ada di dalam bilik itu. Badannya sudah berasa melekit. Nak guna bilik air yang ada di dalam bilik ini dia terasa segan. Segan yang lebih kepada takut.

Tia angkat punggung dan turun ke aras bawah mencari Kak Maz. Hidup di tempat orang kena pandai membawa diri. Jaga tingkah laku dan jangan buat orang marah. Itu pesanan dari ibu yang dia ingat sampai bila - bila. Belum masuk lagi nasihat - nasihat berkaitan menjadi isteri solehah. Berbakul - bakul juga nasihat yang terpaksa dia tadah.

"Bilik air luar dekat mana Kak Maz untuk aras atas?" Tia menyoal setelah bertemu Kak Maz di dapur.

"Bilik air luar?" Berkerut seribu dahi pembantu rumah itu. Pelik pula soalan Puan Tia sekarangni.

Tia mengangguk.

"Dalam bilik Encik Hudkan dah ada bilik air, Puan Tia boleh guna bilik air tu..." Maklum Kak Maz. Semakin pelik dengan tingkah dan riak wajah yang terpamer dari Puan Mudanya itu. Mungkin segan agaknya nak berkongsi, maklumlah masih barukan. Dia berhusnuzon.

"Tapi, saya nak guna tandas di bahagian luar." Tia menyampuk, geram pula dia. Kenapa susah sangat nak faham.

"Emmm, baiklah Puan." Akhirnya Kak Maz mengalah. Bilik air luar aras atas hanya selang satu bilik dari bilik pasangan pengantin baru ini. Memang sengaja dibuat memandangkan setiap bilik sudah ada bilik air, sebabnya bagi keselesaan tetamu yang datang bertandang jika tak cukup bilik air, itu menurut kata Datin Malika.

Tia mengambil pakaiannya. Tersangat simple baju untuk tidurnya hanya t'shirt lengan panjang bersama seluar panjang berwarna hitam, bukan baju tidur lawa dan mahal seperti sesetengah pasangan pengantin baru untuk malam pertama mereka. Baginya cukuplah hanya sedikit baju - baju yang dia bawa ke sini. Memadailah sekadar mencukupkan pakainya sepanjang dia berada di rumah ini. Entah berapa lama tu dia sendiri pun tidak pasti. Apa yang dia belajar, isteri hendaklah bersama suami. Ke mana pun suami pergi, isteri kena ada bersama. Syurganya sekarang ini adalah Hud Husaini. Lelaki yang baru dua hari menikahinya. Selagi statusnya masih isteri kepada lelaki itu, dia akan taat dan belajar untuk menjadi isteri solehah.

Debar dalam dadanya berombak - rombak. Pertemuan kali pertama dengan Hud Husaini pada malam ini begitu mengganggu jiwanya. Hatinya rasa tidak sedap dan tidak tenteram.

Walaupun batang hidung suaminya tidak dia nampak sejak dua hari bergelar isteri, tetap juga dia pujuk hatinya. Sabar, ini baru permulaan dalam kehidupan berumahtangganya. Masih jauh dan panjang lagi masa yang perlu dia hadap di hadapannya.

Usai membersihkan diri, dia melangkah semula masuk ke bilik itu, walaupun bilik itu cantik, tetapi sedikitpun tidak meredakan rasa gejolak pada hatinya ketika ini. Saat kakinya berpijak di lantai bilik itu, kedengaran bunyi air pancuran dari dalam bilik air. Serta - merta dadanya berdebar kencang. Secepatnya dia menyiapkan dirinya. Dah balik rupanya, hatinya berdesisis. Terus memakai tudung dan mengambil tempat di sofa. Dia diam membatu di situ menunggu kelibat yang akan keluar dari bilik air itu. Dada tak usah cakaplah. Bagai nak pecah degupan jantungnya. Ini baru sehari mereka berada dalam satu bilik.

Klakkk... Pintu bilik air dibuka dari dalam. Semakin hebat debaran dalam dada Tia. Dia hanya menunduk. Tidak berani mengangkat muka. Lagaknya macam seorang pesalah yang sedang menunggu hukuman.

Setelah beberapa ketika, Tia beranikan diri angkat kepala apabila terasa ada seseorang sedang berdiri di depannya. Lelaki yang telah lengkap berpakaian. Mata tajam lelaki itu mencerlung ke arahnya.

Mata mereka bertentang. Mata Tia membulat hebat. Lelaki itu... Lelaki yang baru dua hari bergelar suaminya itu seperti dia pernah lihat sebelum ni. Puas dia putarkankan semula otaknya untuk mengingat kembali. Ya, lelaki ini yang bersama wanita berlagak yang pernah dia langgar di mall dulu.

"Tia Zahara... Kau rupanya. Kecilnya dunia ni. Kau masih ingat aku?" Hud menyoal dengar wajah sinisnya. Mana boleh lupa. Dia ingat siapa perempuan ni. Kenangan di Mall menerjah kembali ruang ingatannya. Walaupun kejadian itu berlaku dalam sekelip mata tetapi wajah ini dia tidak lupa.

"Errr, aaa.. Aabang..." Tia gagap, tak tau apa yang perlu dia cakapkan ketika itu. Dia buntu. Lidahnya terasa kelu. Tika itu juga perasaan takutnya bertandang. Jika sebelum ini hanya perasaan malu yang membelenggu dirinya kini perasaan itu sudah berganti.

"Abang... Siapa abang kau??? Jangan suka hati nak panggil aku abang. Kau bukan adik aku." Kuat suara Hud terlantun keluar dari mulut. "Suka - suka hati nak panggil aku abang." Rengusnya...

Gadis yang berpakaian serba ringkas di depannya ini dia pandang atas bawah. Hujung bibirnya terjungkit. Dia pandang dengan wajah sinis. Nampak low class. Jauh panggang dari api jika nak dibandingkan dengan Tania yang terlalu elegan dan bergaya pada pandangan matanya. Entah apa yang hebatnya perempuan ini di mata mommy dan daddynya jika hendak dibandingkan dengan Tania, dia sendiri pun tidak pasti.

Dagu Tia dia cengkam... Geram, sakit hati semua bercampurbaur. Kerana hal ini dia bergaduh besar dengan Tania dan hubungan mereka hampir sahaja berakhir. Tapi syukur Tania termakan pujuk. Setelah berpuluh ribu dia habiskan dengan melabur kepada Tania semata - mata mahu memujuk. Dia tidak kisah terpaksa menanggung kerugian. Dia juga tidak kisah jika berhabis wang ringgit untuk Tania, asalkan Tania tetap sahaja bersamanya. Dia tidak sanggup kehilangan Tania. Boleh hilang seluruh jiwanya jika kekasih hatinya itu pergi jauh darinya.

"Encik Hud, sakit..." Panggilan dia ubah. Bagi Tia, itu lebih baik. Biar ada jurang dan jarak antara mereka. Biarlah status itu hanya sekadar perhiasan.

Ingatan Hud pada Tania lenyap. Dia beralih pada Tia. Gadis kampung yang berjaya menambat hati kedua orang tuanya itu.

"Dengar sini baik - baik... Perkahwinan ini hanya di atas kertas. Jangan pernah nak mengharap lebih. Kau buatlah apa yang kau suka dan jangan ganggu hak privacy aku. Kau faham tak???" Suara Hud bergema memenuhi ruang bilik.

"De... Dengar encik. Saya tau kedudukan diri saya. Saya tak pernah nak harap lebih. Saya hanya berpegang pada status saya. Selagi Encik Hud tak lepaskan saya, selagi itu saya akan jaga status saya." Tia membalas dengan matang. Walaupun umurnya masih muda, fikirannya tetap matang. Semuanya kerana pengalaman hidupnya yang tidak sama seperti orang lain.

Tia hanya menunduk. Walaupun cengkaman pada dagu dan pipinya sudah dilepaskan tetapi hatinya tetap berasa gerun.

"Hmmm, bagus. Aku nak ingatkan kau, kalau dalam bilik ni, kau tidur atas sofa. Jangan sesekali sentuh atau usik barang aku. Aku cukup pantang pada orang luar yang suka - suka hati nak sentuh barang aku."

Hati Tia terusik. 'Orang luar' ayat itu terasa menyiat - nyiat tangkai hatinya. Ye, dia orang luar. Walaupun dirinya sudah sah sebagai isteri kepada lelaki itu, tetapi dirinya tetap 'orang luar'. Dia masih sedar diri di mana kedudukan dirinya pada mata suaminya itu.

"Saya faham, jangan risau." Tia tetap juga membalas walaupun terasa berat untuknya ucapkan.

"Memandangkan kau sudah faham, tak perlulah aku terangkan lebih lanjut lagi. Ingat dan hadam peraturan dalam bilik ini. Aku tak suka berkongsi. Nak - nak dengan perempuan macam kau. Aku tak fahamlah, entah apa yang kau dah baca - baca pada mommy dengan daddy aku sampaikan diaorang boleh nak ambil kau jadi menantu. Dahlah selekeh, tak bergaya, nampak kolot pulak tu." Hud tak habis - habis lagi mahu menyakiti hati Tia. Hatinya masih tidak puas. Tia di depannya ini sangat kuat pula mentalnya.

Tia terkedu...

"Astaghfighullahalazim..." Pantas dia beristighfar. Sampai macam tu sekali suaminya ini menuduh. Takkan sampai dia nak guna - gunakan mentuanya. Perbuatan itukan syirik. Kalau sekadar memaki, menghina atau mengata yang bukan - bukan pasal dirinya, dia tak ambil kisah. Dia cuba untuk kuatkan hati tapi jika sampai menuduh dia gunakan mak esah, tu sudah lebih. Dia masih tau halal haram.

"Jangan mudah menuduh. Mommy dan daddy risik saya takde kena mengena dengan itu. Saya masih ada agama. Masih boleh fikir yang mana baik dan yang mana buruk tak akan sekali saya buat kerja - kerja syirik tu." Tia membalas berani. Pantang juga bagi dirinya jika dituduh seperti itu.

Hud telan liur. Berani pula isterinya ini menjawab. Tak sangka... Ingat naif... Dia berlalu keluar. Malas mahu melayan tapi hatinya belum puas untuk menyakiti hati wanita itu.

"Mana isteri kamu? Kenapa tak ajak turun sekali. Kejap lagi kita nak dinner sama - sama." Datin Malika yang ketika itu duduk bersama suami di sofa menegur anak terunanya. Terlalu santai turun seorang ke aras bawah. Macam tak ada isteri.

"Emmm, pandailah dia turun ke bawah kalau lapar. Dia bukannya budak kecik." Sepontan Hud membalas.

Datin Malika dan Dato' Huzairi berpaling. Dua - duanya geleng kepala. Kedengaran dengusan nafas dari Dato' Huzairi.

"Dia yang kamu cakapkan tu, ada nama. Tia tu isteri kamu. Berdosa kamu buat endah tak endah pada dia," tegur Dato' Huzairi. Wajah si anak dia pandang dengan pandangan tajam.

"Habis tu, tak berdosa ke daddy dengan mommy rosakkan jiwa dan perasaan Hud? Paksa Hud ikut kemahuan daddy dengan mommy. Sekarang Hud dah bernikah pun dengan perempuan kampung tu. Puas hati mommy dengan daddy???" Hud meluah. Kadang - kadang perlu juga dia pertahankan dirinya. Dia juga perlu luahkan ketidakpuasan hatinya. Selama ni hidupnya diatur dari kecil hinggalah ke besar panjang. Tak pernah sekalipun dia diberi peluang untuk memilih dan membuat pilihan.

Happy Reading ❤️ Es Lilin

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience