"Takde pilihan lain ke selain kena bernikah dengan budak perempuan tu?"
Cawan yang berada di tangan dia letak ke atas meja. Pertanyaan anak tunggalnya itu betul - betul mengganggu moodnya pada pagi itu.
"Takde." Jawapan tegas dia berikan kepada anak lelakinya yang duduk secara berhadapan di depannya.
"Daddy, please... Hud dah cukup dewasa untuk tentukan siapa pilihan Hud..."
"Ye, dari segi umur tapi bukan dari segi akal fikiran."
"Daddy..."
"Suka atau tak suka lagi dua minggu Hud mesti berkahwin dengan Tia. Takde pilihan lagi."
Datin Malika hanya diam membisu, tidak menyampuk perbincangan antara anaknya bersama suami.
"Tolonglah faham perasaan Hud. Hud dah ada pilihan hati Hud. Soalnya sekarang, kita bukan di zaman dahulu kala, yang jodohnya diatur - atur. Kita sekarang dah di zaman moden daddy. Masih sempat lagi kalau nak ubah fikiran." Hud cuba berlembut.
"Siapa??? Si Tania budak tak cukup matang tu ker?" Dato' Huzairi menempelak.
Hud terkedu, mana daddynya tau dia berhubungan dengan Tania. Selama ni tak pernah pula dia menonjolkan Tania di depan orang tuanya.
"Kenapa diam? memang betullahkan. Daddy tak berkenan pada budak Tania tu. Dahlah pakai baju tak cukup kain. Rambut mengerbang macam jerami penyapu. Perempuan macam tu kamu nak jadikan isteri." Dato' Huzairi menolak cawannya ke depan. Dia bangun lantas meninggalkan meja makan. Pagi - pagi dah buat moodnya swing - swing.
Datin Malika hanya menghantar pandangan dengan ekor mata. Perlahan dia menggelengkan kepala. Wajah si anak dia tunak.
"Takde waktu lain ke nak tanya soalan tu?" Datin Malika menyoal geram.
"Mommy... Mommy pun sama dengan daddy, langsung tak bagi Hud untuk bersuara."
"Mommy akan ikut apa jua keputusan daddy. Apa yang kami buat ni semua untuk kebaikan Hud. Mommy pun tak berkenan dengan Tania tu." Datin Malika membalas percakapan anaknya.
"Mommy tak kenal lagi siapa Tania. Jangan nilai orang pada luaran. Tania tu baik mommy. Hud dah lama kenal dia. Kami berkawan sejak belajar lagi. Dah tau hati budi masing - masing." Bela Hud. Tak sanggup dia mendengar apabila ada orang mengata kekasihnya, lebih - lebih lagi orang tuanya sendiri.
"Hud - Hud. Hud yang masih belum kenal sepenuhnya Tania tu. Belum duduk serumah, tidur sebantal, jangan cakap Hud dah kenal dia luar dan dalam..."
"Samalah juga dengan perempuan kampung tu. Hud pun tak kenal dia malah langsung tak kenal. Entah - entah lagi teruk dari Tania. Entah - entah bohsia kampung" Hud mencelah. Rasa puas di hatinya dapat mengata perempuan kampung tak sedar diri itu..."
"Tia lain. Jangan samakan Tia dengan Tania. Seperti langit dengan bumi. Tia budak baik. Cukup ajaran ilmu agama dia. Perempuan macam tulah layak untuk Hud yang masih terumbang - ambing dalam nak mencari hala tuju ni. Terimalah dengan berlapang dada Hud. Apa yang kami buat ni semua untuk kebaikan Hud. " Secebis nasihat dia berikan buat anaknya. Dah tua - tua macamni memang susah dah makan nasihat.
"Hmmm... Mommy pun sama dengan daddy. Langsung tak bela Hud. Lama - lama Hud boleh jadi gila macamni. Mesti sukakan Hud jadi gila." Hud Husaini bangun. Dia menahan segala rasa yang tidak enak dalam dirinya. Nafasnya turun naik. Geram, sakit hati, dan semua rasa itu bergabung dalam dirinya.
"Hud... Habiskan sarapan dulu." Datin Malika memanggil. Manakala Hud berlalu pergi dari meja makan itu tanpa memandang. Datin Malika menggelengkan kepalanya melihat tingkah anaknya. Dia faham apa yang anaknya rasa. Tapi apakan daya dia untuk membantah. Kalau 'A' kata suaminya, maka jawapannya 'A' lah, jangan pandai - pandai untuk menukar kepada 'B'.
Melihat Tia, hatinya juga terasa tenang. Wajah redup Tia dengan mata beningnya betul - betul menambat hatinya untuk dibuat menantu. Selama dia melihat Tia dari jauh, dia tau gadis itu bukan jenis yang suka bebas bergaul. Dan selama dia mengajak Tia untuk berjumpa dan berbelanja, dia tau Tia bukan jenis mata duitan. Dia terima sahaja apa yang diberi dan dibeli, bukan seorang yang jenis meminta - minta. Itulah Tia. Sengaja dia tidak jumpakan Hud dengan Tia sebelum mereka berkahwin. Biar semua itu menjadi persoalan dalam diri anaknya.
*******
"Ibu, nak tambah air asam jawa lagi tak?" Tia menyoal. Dia mengacau perlahan kuah masak asam pedas ikan pelaling yang sedang menggelegak di dalam periuk cap buaya atas dapur gas. Mata memandang pada ibu yang sedang memotong sayur kangkung untuk mendapatkan respon.
Sakinah datang mendekat. Hujung sudu kuah masak asam pedas dia letak ke bibir. Bendi - bendi yang berenang di dalam kuah itu dia cucuk salah satunya.
"Hmmm, dah cukup rasa masamnya. Tak perlu tambah lagi. Bendi pun dah lembut. Tutup apinya." Sakinah mengarah.
"Tia dah pandai masak asam pedas. Nanti belajar lagi lauk - pauk yang lain pula. Nak jadi isteri ni, kena pandai masak.Ikat perut suami dengan masakan kita..." Sempat dia menitipkan nasihat.
"Kalau kahwin dengan hati yang tak rela, mana datangnya nak ikat perut suami bu. Entah - entah dia benci Tia." Suaranya kendur. Dia melepas helaan nafas. Itulah yang paling dia takuti. Kahwin pilihan orang tua memang banyak cabarannya. Dia akuinya. Nak - nak pula dia pilihan dari orang yang dia tak pernah kenal.
"Belajar menerima dan mencintai Tia. Lambat - laun hatinya akan lembut. Ibu percaya, Dato' dan Datin tak salah pilih Tia. Mungkin juga dia ada alasan dia sendiri. Tia kena yakin dengan bakal jodoh Tia. Anggaplah Hud dah tertulis jodoh buat Tia. Tia dah pergi sejauh ni, tak boleh nak berpaling lagi nak. Kalau nak menolak pun dah terlambat. Dato' dengan Datin terlalu baik dengan kita. Ibu tak nak Tia hampakan harapan diorang dan janji yang Tia dah buat dengan diaorang. Lagi seminggu majlis Tia. Tia patut bersyukur tau, semuanya bakal mentua Tia yang uruskan. Tia bawa badan je. Tia kena ingat satu perkara, Walau apapun yang Tia buat, ibu tetap akan sokong Tia." Tubuh anaknya dia tarik ke dalam pelukan. Tak sanggup lagi dia nak meneruskan kata - kata.
"Yer bu, Tia tau. Tia pun tak cakap nak menghampakan harapan diorang. Tia takkan hancurkan harapan yang Dato' dan Datin dah bagi pada Tia. Tia tetap akan kotakan janji Tia yang Tia akan berkahwin dengan anak mereka. Ibu jangan risau. Tia bukan seorang yang suka buat janji pastu lari. Ibu jangan risau yer." Tia hela nafas. Dia memadamkan api dapur gas setelah melihat sayur kangkung di dalam kuali sudah masak.
"Ibu mana yang tidak risau Tia. Hati kita ni Allah SWT yang pegang. Bila - bila masa boleh dibolak - balikkan. Ibu sangat risau tentang tu. Risau jika Tia tiba - tiba berubah fikiran."
"Ibu jangan risau. Tia bukan seorang yang tak berpegang pada janji." Tangan ibunya dia genggam. Lega melihat wajah ibunya tersenyum semula.
"Dah, kita lupakan kejap pasal hal ni. Pergi panggil adik. Kita makan sama - sama," arah Sakinah seraya meletakkan mangkuk berisi asam pedas bersama sayur kangkung goreng belacan di atas meja.
*******
"Untung kau kan, kahwin - kahwin je nanti terus dengan orang kaya. Semua tersedia. Tak perlu susah - susah dah nak pikir itu - ini lepas kahwin. Dahlah tu, bakal mentua sendiri yang masuk meminang. Mesti kau jadi calon menantu yang paling disayangikan," ucap Norzie. Baju pengantin berwarna putih melepak itu dia belek - belek. Siap dicuit - cuitnya manik - manik hiasan yang bertebaran di atas baju pengantin itu.
"Apa yang beruntungnya Zie. Kahwin dengan bukan pilihan hati..." Helaan nafas panjang terbina dari bibir mungil Tia. Macam - macam perkara dia fikir sejak awal dia menerima pinangan dulu. Semuanya masih galak membelenggu ruang hatinya. Norzie tidak faham apa yang dia rasa.
"Maksud kau? Kau dah ada pilihan hati kau sendiri? Kenapa aku tak tau? Siapa Tia??" Berkerut dahi Norzie. Bila masa pula Tia dah ada pilihan hati? Kenapa dia tak pernah tau?.
Tia hanya senyum. Biar berkumpul tanda soal dalam diri Norzie.
"Sampai hati kau, dengan aku pun nak berahsia. Siapa Tia? Aku tak akan tenang selagi kau tak cakap. Baik kau cakap cepat." Norzie menggesa dalam perasaan tidak sabarnya. Geram pula hatinya. Seolah - olah pertanyaannya dianggap remeh pula oleh Tia.
"Yelah, sorry sebab aku kepoci pasal hal kau. Nak buat macam mana, kau sendiri yang bagi hint - hint pasal dia. Cakap apa tu, berkahwin bukan pilihan hati. Mana aku tak rasa ingin tau."
"Takpelah Zie. Hal dah berlalu dah pun. Yang penting kau dah tau siapa bakal suami aku. Walaupun rupa dia kau tak tau macam mana, tapi kau dah tau nama dan siapa family dia kan. Cukuplah tu. Sebab tu lagi afdal dari kau nak tau siapa dia," ucap Tia. Biarlah semua itu jadi kenangan. Hubungan yang sekadar teman tapi mesra, tidak pernah pula dia menyanggupi untuk menerima walaupun sudah banyak kali dirinya dilamar sebagai kekasih.
Dia tidak mahu terikat. Biarlah hanya sekadar berkawan. Sejak dia memaklumkan yang dirinya akan disunting, lelaki itu terus membawa diri. Menghilang entah ke mana dan tanpa jejak. Sedikit hampa kerana terasa dirinya telah mengecewakan hati dan perasaan orang lain. Tapi apakan daya yang dia ada. Dia lagi mementingkan hal yang berkaitan dengan keluarganya. Hanya Dato' yang sanggup membantunya mendapatkan semula geran tanah arwah ayah. Disebabkan itu dia terpaksa korbankan hati dan perasaannya. Walaupun hatinya sudah mula menyukai lelaki yang begitu baik dengan dirinya itu.
"Tia..." Norzie memanggil apabila melihat Tia seakan leka dengan dunianya. Teringat kekasih hatilah tu.
"Tia..." Nada suara sedikit dikeraskan. Sambil tangan kanan mengipas - ngipas depan mata kawannya itu.
"Hahhh," Tia menyahut. "Kau cakap apa tadi?" Seakan blur dalam menjawab sapaan kawan baiknya itu.
"Baru aku tanya pasal lelaki misteri tu, kau dah mengelamun sampai ke bulan. Tia - Tia... Tapi aku nak tanya kau dari sudut hati kau yang paling dalam. Kau tak kisah ke macam mana rupa lelaki bakal suami kau tu. Entah - entah bujang terlajak atau kepala botak ke, takpun bam - bam atau muka berkerak ke? Kau tak kisah???" Norzie menatap wajah Tia. Keningnya terangkat - angkat sekadar mahu menakutkan kawannya itu dengan pelbagai andaian negatif.
"Isyyy, tak baik kau body shaming. Apa yang bujang terlajaknya, bakal laki aku tu baru dua puluh enam tahun umur dia. Memang okay umur - umur macam tu untuk berkahwin. Yang tak okaynya, aku ni yang masih terlalu muda. Lagipun aku tak kisah macam mana keadaan dia pun. Sebab aku yang tak nak tengok gambar yang Auntie Malika nak tunjukkan, bukan dia tak nak tunjuk pun gambar anak dia. Aku yang tak nak tengok, biar semuanya terjawab setelah akad nikah tu selesai." Dah berulang - ulang pula penerangan yang dia berikan pada Norzie. Biar Norzie faham dan hadam. Macam mana tak timbulnya perasaan negatif dalam kepala otak tu. Hmmm... Tulah akibatnya bila otak selalu memikirkan perkara - perkara yang negatif.
"Dekat sini rupanya Tia dan Norzie. Jom kita minum petang. Makcik ada buatkan cekodok ikan bilis, nanti sejuk tak sedap."
Semua berpaling ke arah suara. Terjenggul ibunya di muka pintu.
"Ha'ah, elok juga tu. Jom makcik. Biarkan Tia sorang - sorang dekat dalam bilik." Lengan kiri ibu kawannya ditarik. Norzie dengan wajah selamba berlalu keluar dari bilik.
"Hmmm, kau memang. Makanan dengan kau memang takleh pisah." Tia melaung, dia yakin Norzie mendengar. Dia pun ikut membontoti langkah ibunya dan Norzie ke ruang tamu.
"Sedapnya cekodok bilis makcik masak."
"Habiskan dalam mulut dulu baru bercakap. Macam budak - budaklah kau ni. Taufiq pun tak macamni." Tia menegur. Terlihat kurang sopan walaupun hanya di depan dirinya dan ibu.
"Hehehe, sorry... Tia nak kau suap." Norzie buat - buat suara manja.
"Eee, mengadanya kau ni. Makanlah sendiri." Tia buat - buat malas nak melayan sikap mengada kawan baiknya ini.
"Bolehlah Tia, lepasni dah takleh nak manja - manja dengan kau lagi dah. Sian aku tau. Siapalah nak kawan dengan aku lagi pasni." Norzie buat - buat sedih. Sengaja mahu mengusik kawannya itu.
"Argggh..." Norzie terjerit kecil setelah tanpa dia sempat berbuat apa - apa, Tia sudah menyumbatkan seketul cekodok ke dalam mulutnya.
Sakinah hanya menggelengkan kepalanya melihat telatah dua gadis muda di depannya ini. Norzie yang sangat rapat dengan Tia sudah dianggapnya seperti anak sendiri. Macam - macam ragam budak berdua ni. Desisnya. Dia bangun dan bergerak ke pintu utama.
Gelak tawa Tia terhenti setelah dapat mengenakan Norzie.
"Ibu cari siapa tu? Adik ke?" Tia menyoal setelah melihat wajah ibunya tertoleh ke kiri dan ke kanan.
"Ye, tengah tengok -tengokkan adik kamu. Entah ke mana dia main sampai sekarang belum balik - balik lagi," ujar ibunya dalam riak risau.
"Kejap lagi baliklah adik tu bu. Dia berlatih bola sepak dekat padang bola kampung kita ni. Katanya minggu depan ada perlawanan antara kampung. Biarlah bu," ucapnya.
Happy Reading ❤️ Es Lilin
Share this novel